Struktur Kurikulum Pendidikan Asas Vokasional

4. Struktur Kurikulum Pendidikan Asas Vokasional

Kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008). Oleh yang demikian, kurikulum PAV digubal untuk menghasilkan modal insan yang berkemahiran, kritis, kreatif dan inovatif melalui persekitaran pembelajaran berorientasikan pengalaman alam pekerjaan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Malah, peluang kerjaya pelajar juga cerah dengan penglibatan dalam PAV, kerana Abdul Hakim (2006) berpendapat yang melalui bidang kemahiran sama ada separa mahir ataupun mahir menawarkan bidang pekerjaan yang menarik, mencabar dan memberi pulangan gaji yang lumayan.

Sewajarnya pelajar didedahkan dengan pengetahuan, kemahiran teknikal dan kemahiran yang berkaitan dengan keperluan industri sebagaimana yang ditegaskan oleh Abbott (1997). Sehubungan dengan itu, pelaksanaan kurikulum di sekolah adalah cara utama untuk menerapkan nilai dalam diri setiap pelajar di mana Standard Kurikulum PAV yang digubal memberi fokus terhadap menghasilkan modal insan yang berkemahiran dalam berbagai aspek, seperti kemahiran teknikal dan vokasional, kemahiran kebolehkerjaan (employability skills), boleh berkomunikasi dengan berkesan, boleh bekerjasama dalam satu pasukan, boleh membuat keputusan bila diperlukan dan sebagainya (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Seterusnya terdapat tiga komponen dalam Struktur Kurikulum PAV yang ditekankan iaitu Jati Diri, Teknologi Vokasional dan juga Kemahiran Vokasional. Sementara itu, Kemahiran Keusahawanan akan diajar secara merentas kurikulum sepanjang tiga tahun pengajian.

4.1 Komponen Jati Diri

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), Komponen Jati Diri adalah untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran berkomunikasi, menghayati dan mengamalkan ajaran agama, sikap dan nilai murni dalam kehidupan. Penerapan nilai murni melalui Komponen Jati Diri adalah bertepatan dengan pendapat Ee Ah Meng (1995) yang menyatakan bahawa penerapan nilai-nilai murni bersifat global akan membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia dan selaras dengan agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia. Di samping itu, melalui komponen ini akan dapat meningkatkan semangat patriotisme serta mengembangkan aspek fizikal dan estetika dalam diri pelajar. Malah, hal ini selari dengan pendapat Mohd Yusuff et al. (1995) yang mendapati antara elemen-elemen kemahiran yang perlu ada pada graduan vokasional ialah berkeupayaan untuk berkomunikasi, berinisiatif, berkeyakinan dalam menghadapi cabaran-cabaran era globalisasi.

Komponen Jati Diri terdiri daripada tiga dimensi iaitu Komunikasi, Patriotisme dan Sahsiah. Dalam pada itu, terdapat dua mata pelajaran bagi dimensi Komunikasi iaitu Bahasa Malaysia Komunikasi dan Bahasa Inggeris Komunikasi. Manakala, dimensi Patriotisme diterapkan dalam diri pelajar melalui subjek Sejarah yang juga Komponen Jati Diri terdiri daripada tiga dimensi iaitu Komunikasi, Patriotisme dan Sahsiah. Dalam pada itu, terdapat dua mata pelajaran bagi dimensi Komunikasi iaitu Bahasa Malaysia Komunikasi dan Bahasa Inggeris Komunikasi. Manakala, dimensi Patriotisme diterapkan dalam diri pelajar melalui subjek Sejarah yang juga

Jika ditinjau dari aspek dimensi Sahsiah pula, dimensi ini terdiri daripada Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Selain itu, dimensi Sahsiah turut mengandungi gerak kerja kokurikulum yang meliputi aktiviti sukan, badan beruniform, kelab dan persatuan. Penerapan dimensi Sahsiah dalam diri pelajar melalui penglibatan kokurikulum adalah bertepatan dengan pendapat Ab. Alim Abdul Rahim (1999) yang menyatakan bahawa penglibatan kegiatan kokurikulum ini memberikan pelbagai kesan positif ke atas diri pelajar, antaranya ialah mengawal diri, tolong-menolong, bertanggungjawab, bertimbang rasa, bertolak ansur, bercita-cita, menjaga kebersihan, mempunyai keyakinan diri, berfikiran tajam, rasional, berkemahiran, berdikari dan kreatif.

4.2 Komponen Teknologi Vokasional

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), Komponen Teknologi Vokasional pula bertujuan memberi pengukuhan ilmu sains, matematik dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan komponen ini terdiri daripada satu dimensi sahaja iaitu Teknologi. Mata pelajaran bagi dimensi mengandungi tiga bidang pengajian iaitu bidang Sains untuk vokasional, Matematik untuk vokasional dan TMK untuk vokasional.

Jika diteliti dengan mendalam berkaitan perkembangan penggunaan komputer, kegunaan komputer dalam pendidikan semakin bertambah dalam tempoh satu dekad yang lalu. Oleh yang demikian, pembentukan masyarakat berilmu kini seharusnya diterapkan melalui TMK yang mampu menjana rakyat yang kaya dengan limpahan maklumat memandangkan komponen ini juga merupakan komponen yang menyokong kepada pembelajaran kemahiran vokasional.

4.3 Komponen Kemahiran Vokasional

Komponen Kemahiran Vokasional terdiri daripada Kemahiran Vokasional Asas dan Kemahiran Vokasional Spesifik (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Komponen ini selari dengan pendapat Atan (1984) yang menyatakan antara unsur yang perlu dipertimbangkan dalam pembentukan kurikulum ialah dari segi kemasyarakatan yang berasaskan pembentukan kemahiran sosial bagi membolehkan pelajar berkomunikasi secara positif di samping menekankan aspek vokasional dalam pembentukan kurikulum yang berasaskan penguasaan kemahiran bekerja yang bersesuaian dengan kehendak tenaga rakyat untuk pembangunan negara.

Tambahan pula, Kemahiran Vokasional Spesifik menekan kepada tiga aspek penting untuk menjadikan seseorang individu itu bersedia dengan alam pekerjaan iaitu aspek employability skills, kemahiran keusahawanan (entrepreneurial skills) serta Tambahan pula, Kemahiran Vokasional Spesifik menekan kepada tiga aspek penting untuk menjadikan seseorang individu itu bersedia dengan alam pekerjaan iaitu aspek employability skills, kemahiran keusahawanan (entrepreneurial skills) serta

Pelajar akan melalui tiga peringkat Kemahiran Vokasional bagi membolehkan mereka mendapat Sijil berserta SKM yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia dalam tempoh 3 tahun tersebut. Terdapat dua jenis sijil iaitu SKM Tahap 1 dan SKM Tahap 2 yang diberikan kepada pelajar mengikut pencapaian mereka berdasarkan ketrampilan bagi setiap tugasan yang terkandung dalam National Occupational Skill Standard (NOSS). Semasa berada di Tingkatan 1, pelajar akan melalui peringkat Pra Vokasional seterusnya melalui Kemahiran Tahap 1 bagi mendapatkan SKM Tahap 1 semasa di Tingkatan 2 dan Kemahiran Tahap 2 bagi mendapatkan SKM Tahap 2 semasa di Tingkatan 3. Oleh yang demikian, pelajar akan dianugerahkan dengan SKM Tahap 2 sebagai Pembuat Perabot melalui Modul Elektif Pembuatan Perabot yang juga merupakan sumber manusia yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara.

4.4 Kemahiran Keusahawanan

Menurut Ab Aziz (1998), setiap individu mempunyai peluang untuk menjadi usahawan. Hal ini dapat dicapai dengan pemupukan budaya keusahawanan secara merentas kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan kepada pelajar PAV. Ini kerana pelaksanaan kemahiran keusahawanan yang dijalankan adalah melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) sehingga keusahawanan menjadi budaya dalam kehidupan seharian mereka.

Komponen Kemahiran Keusahawanan diajar secara merentas kurikulum supaya pelajar dapat mengamalkan sikap keusahawanan, mengamalkan cara berfikir ke arah menghasilkan sesuatu idea, memperoleh kemahiran dan pengetahuan asas dalam konteks perniagaan, menghasilkan produk yang berasaskan kemahiran teknologi dan vokasional, serta mempunyai perlakuan yang bermoral dengan nilai etika yang tinggi menerusi mata pelajaran yang relevan, yang dipelajari di sekolah. Hal ini bertepatan dengan hasil kajian Davidsson (1995) yang mendapati bahawa pengalaman yang pernah ditimba mempunyai sedikit kesan ke atas kecenderungan keusahawanan iaitu dari segi pengetahuan praktikal.

Sementara itu, Kolvereid (1996) mendapati bahawa responden yang mempunyai pengalaman keusahawanan lebih berminat untuk menjadi usahawan berbanding mereka yang tidak mempunyai pengalaman keusahawanan. Melalui penerapan kemahiran ini juga, pelajar yang mempunyai ciri keusahawanan dan budaya kerja yang baik serta boleh menghasilkan inovasi, mereka cipta dan mempunyai kecenderungan untuk berurus niaga akan dapat dihasilkan. Ini memberi makna bahawa jika seseorang pelajar didedahkan kepada kursus keusahawanan semasa pengajian, mereka akan berminat untuk menjadi usahawan setelah mereka tamat pengajian kelak. Dalam pada itu, Turker & Selcuk (2009) turut mendapati yang pendidikan dan faktor sokongan struktur dari pelbagai sektor dalam sesuatu negara itu memberi kesan kepada kecenderungan keusahawanan.

4.5 Struktur Kurikulum Tingkatan 1

Komponen Kemahiran Vokasional Asas atau juga dikenali sebagai Komponen Kemahiran Pra Vokasional ini merangkumi enam bidang kemahiran vokasional utama iaitu bidang-bidang Teknikal, Pertanian, Ekonomi Rumah Tangga, Seni dan Kebudayaan, Kraftangan, Perdagangan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), matlamat mata pelajaran Pra Vokasional ialah untuk memberi pendedahan dan menyediakan murid dari aspek mental dan fizikal sebelum mereka menjurus kepada pengkhususan spesifik pekerjaan mengikut standard dan keperluan industri yang akan ditawarkan di Tingkatan 2 dan 3. Selain itu, objektif Pra Vokasional telah ditetapkan adalah jelas untuk membolehkan pelajar:

(a) Mengetahui dan mengalami berbagai jenis aktiviti kemahiran yang disediakan dalam enam Modul Umum (taster) Pra Vokasional.

(b) Meneruskan minat dan pembelajaran dalam Modul Elektif setelah tamat mengikut enam Modul Umum.

(c) Melaksanakan tugas dan aktiviti kemahiran asas dengan kompeten. (d)

Mempamerkan minat dan sikap yang positif semasa melakukan aktiviti.

(e) Meneruskan semangat dan potensi keupayaan belajar di peringkat yang lebih tinggi.

(f) Menerap dan mengembangkan kompetensi keusahawanan serta budaya niaga. Mata pelajaran Pra Vokasional ini distrukturkan menggunakan pendekatan modular

bagi memastikan penguasaan kemahiran dapat diterapkan dengan lebih berkesan memandangkan menurut Ishak Mad Shah (2002), pembelajaran secara teori disokong dengan aktiviti amali mampu memperteguh pembelajaran dari peringkat asas ke peringkat yang selanjutnya.

4.6 Struktur Kurikulum Tingkatan 2 dan 3

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2011), struktur kurikulum PAV Tingkatan

2 dan 3 tetap mengekalkan komponen yang sama tetapi mempunyai perbezaan dari aspek waktu pembelajaran yang diperuntukkan. Dalam konteks ini, Komponen Jati Diri dan Teknologi Vokasional dikurangkan waktu pengajaran bagi memperuntukkan waktu yang lebih kepada modul kemahiran Tahap 1dan 2. Oleh yang demikian, latihan dan pengalaman yang diperoleh daripada program PAV ini akan dapat membentuk pekerja yang mampu bekerja sendiri dengan pengawasan majikan yang minimum. Lanjutan itu, pekerja khusus yang berkemahiran tinggi dan disokong dengan keupayaan interpersonal menjadi daya penarik dan kelebihan pada diri pelajar untuk mendapat kepercayaan dari para majikan (Jenner, 2000).

4.7 Cadangan Penambahbaikan dalam Kurikulum

Cadangan penambahbaikan yang dibuat ini adalah berdasarkan kepada permasalahan yang timbul sepanjang pelaksanaan MPV yang sedikit sebanyak memberi gambaran tentang keadaan yang berkemungkinan akan berlaku dalam pelaksanaan PAV Kursus Pembuatan Perabot di Sekolah Menengah Akademik Harian memandangkan PAV ialah program bagi menggantikan MPV.

MPV ditawarkan kepada pelajar yang memperoleh pencapaian rendah dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di mana purata gred yang diperoleh adalah gred D termasuk mata pelajaran utama seperti Bahasa Melayu, Sains dan Matematik. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) mendapati pencapaian akademik pelajar yang rendah banyak mempengaruhi P&P khususnya yang memerlukan kemahiran tinggi di dalam pelaksanaan MPV. Dapatan kajian Asnul Dahar Minghat & Rabiah Sikh Mohamad (2010) turut menunjukkan kesediaan pencapaian pengetahuan pelajar dalam mengikuti MPV berada pada nilai yang sederhana. Ini adalah kerana, pelajar yang pengetahuan asasnya sederhana dan rendah agak lambat memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru dan lambat dalam menguasai sesuatu kemahiran dan seterusnya kurang bersedia untuk mengikuti MPV di sekolah. Untuk mengelakkan masalah ini berulang dalam pelaksanaan PAV, kurikulum yang dirangka perlu memaksimumkan kandungan yang relevan dalam Kursus Pembuatan Perabot dengan memuatkan dengan kandungan yang dapat mengasah kemahiran pelajar. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa terdapat keseimbangan antara pengetahuan teknikal dengan kemahiran yang juga dapat membantu pelajar PAV meningkatkan pencapaian pengetahuan mereka. Selain itu, penggubal kurikulum juga perlu mengambil kira faktor usia dan tahap pemikiran pelajar dengan kesesuaian kemahiran yang perlu dikuasai.

Jika ditinjau dari aspek kurikulum MPV, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2003), terdapat projek yang mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan akan mengakibatkan projek seterusnya lewat untuk disiapkan mengikut masa yang ditentukan. Sebagai contoh projek meja tulis yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan sedangkan bilangan modul yang perlu dihabiskan terlalu banyak dan menyebabkan kekurangan masa untuk menyiapkan kesemua modul. Dalam pada itu,

Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) turut mendapati di dalam pelaksanaan MPV, beberapa aspek kandungan MPV seperti tajuk berkaitan teori, keusahawanan dan mengira kurang diminati kerana sukar difahami oleh pelajar. Oleh yang demikian, penyediaan guru PAV berdasarkan bidang pengkhususan mengikut mata pelajaran PAV di peringkat Ijazah Sarjana Muda, jelas menjadi keutamaan untuk mengelakkan masalah ini berulang memandangkan melalui pengkhususan bidang ini akan melahirkan guru berkemahiran tinggi. Dengan penguasaan ilmu dan kemahiran guru juga, dapat menjamin tahap kualiti kemahiran pelajar dalam meningkatkan tenaga sumber negara pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, sebagai langkah awal penawaran kursus bagi mata pelajaran berkaitan boleh dilaksanakan dengan menawarkan mata pelajaran baru dalam program sedia ada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Jika diteliti dengan lebih mendalam dapatan kajian Zainudin Othman (2004), sukatan mata pelajaran MPV Membuat Perabot adalah tidak selari dengan keperluan

masa kini. Oleh yang demikian bagi kurikulum PAV yang dirangka ini perlu dilengkapi dengan latihan vokasional yang membolehkan pelajar mempunyai asas dan pengetahuan serta kemahiran teknologi yang kukuh dalam menguasai sesuatu bidang pekerjaan sekali gus dapat memenuhi keperluan sektor perindustrian negara. Selain itu, kurikulum PAV juga boleh mewujudkan mata pelajaran keselamatan dalam kurikulum yang bukan hanya sekadar pengetahuan atau penyampaian teori semata-mata, tetapi pelajar akan didedahkan dengan amalan di industri secara lebih praktikal. Selain itu, penyemakan semula kurikulum PAV perlukan dibuat dari masa ke masa untuk menghadapi keperluan tempat kerja dan memenuhi jenis kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Penambahbaikan kurikulum Kursus Pembuatan Perabot PAV yang dicadangkan ini masih perlu dibuat kajian yang lebih luas dan menyeluruh sebelum di laksanakan di sekolah. Ini kerana perubahan dalam satu kurikulum tidak boleh dibuat tanpa kesahan yang jitu kerana ia melibatkan masa depan individu dan negara pada masa akan datang.