TAJUK 1
SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK
SINOPSIS
Tajuk ini membincangkan tentang sejarah perkembangan ilmu linguistik yang bermula pada tahun 500 SM hingga ke zaman moden. Sejarah pengkajian
ilmu linguistik bermula pada zaman Yunani, zaman Iskandariah, zaman Rom, zaman pertengahan, zaman Peralihan Renaissance, zaman Arab, zaman
India, zaman Linguitik perbandingan dan zaman linguistik moden.
HASIL PEMBELAJARAN
i Menyusur galur sejarah perkembangan ilmu linguistik. ii Menghuraikan sejarah ilmu linguistik zaman Yunani, Iskandariah,
Rom, Arab, India hingga zaman moden abad ke-20.
1.0 KANDUNGAN ISI
Tahukah anda bila kajian bahasa bermula? Berdasarkan catatan awal sejarah ilmu linguistik, kajian tentang bahasa telah berlaku seawal 800 tahun sebelum
masihi yang berlaku di India. Walau bagaimanapun titik permulaan kajian ilmu linguistik dipercayai berlaku pada zaman Yunani. Hal ini ada kaitannya dengan
penemuan kegiatan kajian orang-orang India yang didasarkan kepada hasil kajian Panini telah diwartakan pada abad ke-17. Kehebatan orang Yunani dalam
kajian bahasa adalah berdasarkan bukti dalam bentuk catatan yang dikaji pada zaman linguistik yang bermula di Eropah.
1.1 Zaman Yunani, Zaman Iskandariah, Zaman Rom
Dalam sejarah ilmu linguistik, golongan pertama yang bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ialah orang-orang Yunani. Tamadun Yunani
merupakan satu tamadun terawal yang wujud di atas muka bumi ini. Kehebatan tamadun ini merangkumi semua aspek seperti bahasa, ekonomi, budaya dan
1
politik. Kegiatan dalam pengkajian bahasa bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi. Disebabkan seluruh kehidupan mereka dibendung oleh falsafah, maka
kajian mereka tentang bahasa banyak dipengaruhi oleh pemikiran yang berbentuk falsafah. Falsafah bahasa bermula pada zaman pra-Socrates, iaitu
pada abad ke-6 sebelum masihi. Falsafah Bahasa merupakan satu teras kepada bermulanya satu falsafah yang menjadi pegangan dan kekuatan masyarakat
ketika itu. Untuk pengetahuan anda, tokoh hebat dalam pengkajian bahasa pada
zaman Yunani ialah Plato dan Aristotle, iaitu murid Plato. Plato 427 – 347 merupakan ahli falsafah pertama yang mengenal pasti dan menyelidik bahasa
sebagai suatu masalah dan persoalan melalui karyanya yang berbentuk dialog, iaitu Cratylus. Dialog Cratylus telah mencetuskan kontroversi berabad-abad
lamanya, iaitu antara kumpulan analogis yang mempercayai bahawa bahasa bersifat alamiah, nalar dan logis dengan kumpulan anomalis yang berpegang
kepada kepercayaan bahawa bahasa tidak nalar sepenuhnya. Plato telah menimbulkan persoalan adakah ketepatan sesuatu nama berasaskan tabii dan
realiti atau konvensyen, iaitu berdasarkan persetujuan masyarakat. Beliau juga menyelidik tentang tatabahasa yang membezakan antara kata nama dengan
kata kerja. Plato telah meletakkan fungsi kata nama sebagai subjek kepada predikat dan kata kerja sebagai penerangan kepada perbuatan.
Ilmu linguistik terus berkembang pada zaman Aristotle tahun 384 – 322 sebelum masihi dengan menambah satu lagi pembahagian dalam tatabahasa,
iaitu kata penghubung. Beliau memperkembang dan memperdalam pemikiran tentang falsafah bahasa yang diasaskan oleh Plato. Aristotle merupakan sarjana
yang mula-mula mengakui tentang adanya sistem kala atau tense dalam bahasa Yunani. Gagasan lain yang dikembangkan oleh Aristotle ialah fungsi bahasa
sebagai alat, khususnya untuk retorik dan puisi. Beliau menganggap bahawa bahasa itu sebagai suatu juzuk dunia, tetap dan dapat diperoleh dalam tulisan
yang menjadi subjek tatabahasa dan sebagai cara menunjukkan apa-apa sahaja yang ada di dunia yang menjadi subjek logika.
2
Secara umumnya, anda dapati bahawa kajian mengenai bahasa pada era Yunani lebih tertumpu kepada tatabahasa. Namun demikian, kaedah kajian
mereka lebih bercorak logik dan bukannya saintifik. Kita telah selesai membincangkan tentang sejarah perkembangan
linguistik zaman Yunani. Sekarang kita beralih pula kepada Zaman Iskandariah. Zaman ini bermula pada abad ketiga tahun masihi. Sebagai sebuah tanah
jajahan Yunani, Iskandariah menjadi pusat perkembangan kesusasteraan dan linguistik tamadun Yunani, namun penumpuan bahasa pada waktu ini lebih
kepada aspek lisan, iaitu pertuturan. Mereka turut mengkaji sistem fonetik dan membahagikan perkataan kepada adverb, participal, ganti nama dan kata depan.
Para sarjana turut memperkenalkan bidang sintaksis, iaitu ayat yang merupakan satu unit deskriptif yang terdiri daripada turutan-turutan perkataan yang
mempunyai makna. Sekarang kita akan membincangkan sejarah perkembangan linguistik
zaman Rom. Orang Rom telah mengambil alih bidang bahasa setelah tamadun Yunani runtuh. Tahukah anda bahawa mereka mengambil ilmu bahasa Yunani
dan membuat kajian dalam bahasa Latin. Jika dikaji perkembangan bahasa pada zaman ini lebih kepada perubahan sistem bahasa daripada tamadun Yunani
kepada bahasa Latin. Mereka kurang menyumbang kepada perkembangan ilmu baharu berkenaan bahasa. Walau bagaimanapun sumbangan mereka amat
penting kerana hasil tulisan mereka menjadi rujukan kepada semua pengkaji bahasa selepas zaman itu.
1.2 Zaman Pertengahan, Zaman Arab, Zaman India