Pandangan nasionalisme oleh Dato’ Mohd Asri dalam PAS

7.0 Pandangan nasionalisme oleh Dato’ Mohd Asri dalam PAS

Hanafiah Sudin (1992) menyatakan bahawa, pandangan terhadap nasionalisme oleh Dato’ Mohd Asri Muda telah berjaya mencorak imej baru PAS dengan pendekatan reformis kerana beliau begitu banyak menghayati perjuangan Syeikh Muhamad Abduh, seorang tokoh reformi s Islam Mesir. Bahkan dengan lebih tepat lagi, Dato’ Mohd Asri Muda merupakan lambang aliran modenisasi Islam dari zaman Mohamad Abduh, perjuangan umat Islam di Indonesia, India, perjuangan Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh AI Hadi awal kurun kedua puluh.

Kamarul Zaman Haji Yusof (2004) menyatakan, signifikan perjuangan nasionalisme oleh Dato’ Mohd Asri Muda adalah termaktub dalam ucapan sulung beliau yang menyatakan penegasan semula perjuangan PAS untuk memperjuangkan Islam dalam urusan masyarakat dan negara bahkan beliau turut mengungkap kewajipan untuk memperjuangkan ketuanan Melayu yang telah dizalimi oleh penjajah British dan Parti Perikatan. Beliau juga turut menyatakan kebimbangan di atas pembentukan gagasan Malaysia yang bakal membahayakan kekuasaan politik bangsa Melayu.

Wan Hashim Wan Teh (1993) menyatakan bahawa falsafah perjuangan politik Dato’ Mohd Asri Muda adalah gabungan antara Islam dan nasionalisme Melayu. Oleh itu, beliau sering menegaskan Islam tidak semudah untuk digantung di dahan kayu atau dilekatkan di dinding. Ia mesti ada yang mendokongnya. Dalam konteks kenegaraan Malaysia, pendokongnya ialah bangsa Melayu. Hal ini bermakna Islam dan Bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dan dalam masa yang sama Islam menjadi utuh dan kuat jika kedudukan dan masa depan bangsa Melayu itu terjamin. Nasionalisme

menurut pandangan Dato’ Mohd Asri Muda juga diserlahkan dalam konteks usaha- usaha beliau untuk kemerdekaan Tanah Melayu apabila Dato’ Mohd Asri Muda begitu lantang mengkritik UMNO apabila Kerajaan Perikatan berdolak-dalik dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan bagi menggantikan Bahasa Inggeris pada tahun 1967. Menurut Dato’ Mohd Asri Muda, Perwakilan PAS ke Konvensyen Nasional anjuran UMNO dan MCA menegaskan tidak berkompromi mengenai hakikat dan kedudukan bangsa Melayu sebagai pemilik asal negara ini khasnya dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Dalam usaha Dato’ Mohd Asri Muda memperkasakan bangsa Melayu melalui PAS, beliau telah membawa PAS bersatu dengan Kerajaan Perikatan yang dipimpin oleh Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Perjanjian penyertaan PAS ke dalam Kerajaan Perikatan telah dimetrai pada 28 Disember 1972. Menurut Dato’ Mohd Asri Muda lagi, faktor yang mendorong PAS menyertai Kerajaan Perikatan adalah disebabkan oleh peristiwa berdaran 13 Mei 1969 selain itu ia juga disebabkan oleh konfrantasi PAS dan UMNO (Perikatan) yang kerap tegang dalam tempoh masa yang lama seperti isu-isu melibatkan pembentukkan Perlembagaan Tanah Melayu, penahanan Dr. Burhanuddin Al Helmi dalam ISA dan pembentukan gagasan Malaysia. Namun, konfrantasi itu menjadi kendur dan kembali menjadi satu perhubungan yang baik.

Implikasi penyertaan PAS ke dalam Kerajaan Perikatan pada 1 Januari 1973, kerajaan campuran Perikatan-PAS telah memberikan satu sumbangan yang tinggi nilainya dari aspek perpaduan dan keharmonian rakyat khasnya bangsa Melayu dan kehormatan agama Islam. Ia sekaligus menyaksikan ramai pemimpin PAS dilantik untuk menganggotai kabinet dan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Malaysia bahkan Dato Mohd Asri Muda sendiri menjawat jawatan sebagai Menteri Tanah, Galian dan Tugas-tugas Khas.

Menurut Mohamed Mustafa Ishak (2014), gagasan nasionalisme Dato’ Mohd Asri Muda sewaktu mempertahankan tindakannya membawa PAS menyertai Parti Perikatan adalah demi perpaduan Melayu. Dalam pada masa yang sama walaupun PAS beragendakan Islam tetapi sama sekali tidak boleh membuang acuan Melayu untuk memastikan dominasi Melayu lebih penting daripada menyebarkan prinsip kemanusiaan dan Islam sejagat. Gagasan nasionalisme Dato Mohd Asri Muda telah

ditentang oleh kelompok yang dikenali sebagai “Turki Muda’ dalam PAS ketika itu. Mereka sangat tidak menyenangi kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda yang begitu sinigfikan dengan budaya dan nasionalisme Melayu. Hal ini kelompok ini beranggapan Dato’ Mohd Asri Muda tidak mampu untuk menandingi kedinamikan Mahathir dalam UMNO apatah lagi setelah Mahathir mendapat kekuatan dengan penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Seterusnya, PAS di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda yang walaupun berjaya meningkatkan prestasi dalam PRU 1982, pada akhirnya kepimpinan beliau tidak dapat diselamatkan lagi dan melepaskan jawatan pada tahun 1983.

Joseph Chin Yong Liow (2011) menya takan bahawa, kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda kepimpinannya mempunyai ciri-ciri etnonasionalis Melayu yang kuat. Ini menyebabkan agenda PAS beralih daripada dasar Islam kepada politik etnik yang merenggangkan kompenan keagamaan yang menjadi asas sokongan parti tersebut. Perkara itu diperkuatkan dengan kebangkitan kesedaran Islam di kalangan masyarakat Melayu-Islam pada era 1970-an. Menurut Mustafa Ali (2015), semasa kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda sebagai Yang Di Pertua PAS, sifat nasionalisme beliau diterjemahkan dalam prinsip dan pendekatan dakwah dengan mendidik masyarakat Melayu dengan hiburan-hiburan yang mendidik jiwa. Beliau telah membawa mesej itu dengan lagu-lagu nasyid dari Medan, Indonesia. Semasa PAS berada di dalam kerajaan perikatan, Dato’ Mohd Asri Muda telah membawa prinsip dakwah Islam dan nasionalisme seiring melalui ceramah-ceramah agama di kalangan peneroka Felda memandangkan pada ketika itu kesedaran masyarakat Melayu terhadap Islam masih rendah. Melalui pendekatan itu, Dato’ Mohd Asri Muda berpendirian, melalui dakwah bil hal kepada masyarakat Melayu khasnya di kalangan peneroka Felda, kefahaman Islam akan menjadi lebih kukuh.