Wanita sebagai Perancang Pembangunan Negara

b. Wanita sebagai Perancang Pembangunan Negara

Raja dalam konteks masyarakat tradisional merupakan seorang mempunyai kuasa yang tertinggi dalam kerajaaannya. Oleh itu, kesejahteraan dan keharmonian negara bergantung kepada kewibawaan dan sumbangannya dalam memerintah negara, khususnya dalam pembangunan negara. Dalam Hikayat Patani, Raja Perempuan (Raja Ijau) juga turut menyumbang kepada pembangunan negaranya melalui perbincangan dengan para pembesarnya untuk menawarkan air sungai Jambatan Kedi. Hal ini sebagaimana berikut:

“Syahadan antara berapa lama Phra Cau di atas takhta kerajaan pada suatu hari Phra Cau pun berbicara dengan segala menteri hulubalang hendak menawarkan air sungai Jambatan Kedi itu.” (Siti Hawa Haji Salleh,1992)

Penting untuk dijelaskan bahawa menawarkan air sungai Jambatan Kedi ini bermakna menyumbang dan memberi sumber air kepada masyarakatnya di samping menyediakan ruangan untuk aktiviti ekonomi seperti bercucuk tanam, dan memelihara binatang ternakan. Perkara

Suhadan Anwar dan Salmah Jan Noor Muhammad

38 yang penting dalam Hikayat Patani berkait

rapat dengan perbuatan yang bertentangan dengan kod gender, iaitu apabila raja perempuan Patani turut pergi ke tempat untuk menawarkan air tersebut. Hal ini memperlihatkan bahawa Raja Ijau telah keluar ke ruang awam dalam menjalankan pentadbirannya melangkaui kod gender yang ditetapkan berasaskan norma adat dan budaya Melayu yang meletakkan peranan dan kedudukan wanita terbatas kepada ruang dapur. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“…bentara hilir menyembahkan Phra Cau sungai yang digali ini sehari juga sampailah ke Tambangan. (…) maka titah Phra Cau, “Hai bentara, pergi beritahu akan bendahara aku hendak mudik sendiri menembuskan sungai itu. Arakian maka bendahara pun menyuruhkan berkerah segala menteri pegawai sekalian. Setelah berhimpun kesemuanya maka Phra Cau pun berangkatlah diiringi oleh bendahara dengan segala menteri pegawai sekalian mudik ke Tambangan. Setelah keesokan harinya maka sungai itu pun ditembuskan oranglah. Setelah sudah sungai itu turun air hulu terbit sampai lalu ke Kuala Aru.” (Siti Hawa Haji Salleh, 1992)

Perisiwa ini menunjukkan tentang kekuasaan dan kesungguhan wanita dalam memastikan pembangunan dan pentadbiran negara berjalan dengan lancar. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan kata ‘aku’ sebagai lambang kuasa dan kesungguhan. Penggunaan kata ‘aku’ bagi wanita berdasarkan tafsir feminisme menunjukkan tentang penyerlahan individualiti dalam diri wanita tersebut atau dalam erti kata lain menunjukkan ciri-ciri kebebasan dalam menyampaikan sesuatu perkara. Dalam hal ini, luahan kata Raja Ijau ini

jelas menunjukkan kesungguhan baginda dalam membangunkan negaranya tanpa mengambil kira soal persepsi gender masyarakat pada waktu tersebut demi kepentingan rakyatnya.

Di samping itu juga, perkara yang hampir sama yang terjadi semasa pemerintahan raja perempuan kedua Patani, Raja Biru, iaitu berkenaan dengan masalah air sungai Jambatan Kedi yang digali semasa proses menawarkan air sungai yang dilakukan oleh Raja Ijau yang telah menjadi arus sungai yang kuat hingga sedikit demi sedikit menghakis dan seterusnya merempoh (melanggar) tebing di hadapan Pintu Gajah (pintu bandar Patani). Melalui titah Raja Biru yang menyuruhkan bendahara mengangkat atau menggunakan batu bagi menghalang air Jambatan Kedi merempuh hadapan Pintu Gajah. Contohnya dalam petikan di bawah:

“Antara selang dua tiga tahun Phra Cau di atas takhta kerajaan maka Sungai Tambangan yang digali lalu turun ke Jambatan Kedi itu pun dimakan oleh air terlalu deras menikam tebing di hadapan Pintu Gajah itu. Maka titah Phra Cau kepada bendahara suruh angkat batu dari hulu Kuala Kuruk muatkan di rakit bawa hilir timbunkan kepada Kuala Tambangan yang digali itu supaya airnya jangan menikam kaki kota.” (Siti Hawa Haji Salleh, 1992)