Tetapi, meskipun kedapatan keadaan yang sedemikian, namun masa depan tetap di tangan Islam.

Tetapi, meskipun kedapatan keadaan yang sedemikian, namun masa depan tetap di tangan Islam.

Berdasarkan hakikat sistem hidup Islam dan berdasarkan keperluan manusia kepada sistem itu, kami bina sebuah keyakinan yang tidak pernah goncang iaitu bahawa masa depan adalah di tangan agama ini, bahawa ia mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan di bumi ini — sama ada ia disukai oleh musuh-musuhnya atau tidak; bahawa peranan ini tidak dapat dilakukan oleh kepercayaan atau sistem yang lain; bahawa seluruh manusia tidak boleh mengabaikannya begitu lama seperti yang kami tegaskan di bahagian permulaan buku ini.

Kami tidak berhajat untuk melanjutkan perbincangan mengenai hakikat ini. Di sini cukuplah kalau kami mengemukakan satu gambaran kenyataan sejarah Islam yang barangkali paling sesuai untuk tujuan tersebut.

Pada waktu Suraqah bin Malik memburu Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam yang ditemani oleh Abu Bakar radiyallahu'anhu perjalanan berhijrah ke Madinah yang tidak diketahui oleh orang Quraisy, setiap kali Suraqah mendekati orang yang diburunya, kudanya tersungkur. Ia mencuba lagi, kerana ingin akan hadiah yang amat menarik hati yang ditawarkan oleh orang Quraisy kepada sesiapa sahaja yang dapat menangkap Rasulullah dan sahabatnya atau memberi kabar beritanya. Pada waktu Suraqah sudah putus asa dan berhasrat untuk kembali, dan ia telah berjanji hendak merahsiakan perihal kedua-duanya, Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam bersabda: (maksudnya) Hai Suraqah! Inginkah engkau memperolehi kalung Raja Parsi? Nabi berjanji akan memberinya kalung Syahinsyah Parsi (Raja segala Raja).

Hanya Allah yang mengetahui apa yang terkandung di dalam fikiran Suraqah mengenai tawaran yang aneh yang dibuat oleh Rasulullah yang hanya ditemani oleh sahabatnya Abu Bakar yang tidak dapat memberikan apa-apa kepadanya, kerana dia juga sebagai orang yang berhijrah secara sulit.

Tetapi Rasulullah tahu kebenaran yang dibawanya, sebagaimana ia mengetahui kebatilan orang-orang Jahiliyyah pada masa itu. Ia pasti kebenaran akan dapat mengatasi kebatilan. Tidak mungkin ada kebenaran dengan bentuknya yang tertentu dan kebatilan dengan bentuknya yang lain pula, lalu tidak terjadi apa-apa.

Pohon yang tua itu (Jahiliyyah) telah rosak seluruh akar-umbinya dan tidak dapat menerima air dan baja. Semua bahagian pokok itu telah rosak, sebagai tanda ia mesti akan mati. Benih yang baik yang ditangannya (Rasulullah) adalah benih yang wajar untuk ditanam dan untuk tumbuh. Keyakinannya terhadap hal ini tidak dapat digoncang lagi.

Sekarang kita berada di dalam suasana yang seperti ini, dengan segala suasana yang mengelilinginya dan dengan segala tanda-tandanya, dengan kejahilannya yang ada di sekeliling kita. Oleh itu kita tidak boleh pesimis dalam menghadapi keadaan yang pasti akan terjadi; keadaan yang telah diberi tanda-tandanya oleh segala-galanya yang ada di sekeliling kita, meskipun banyak kenyataan yang cuba mempesonakan kita. Keperluan manusia terhadap sistem ini tidak kurang utamanya jika dibandingkan dengan keperluan mereka pada masa lalu. Pentingnya sistem ini pada masa kini sama dengan pentingnya pada masa lalu, jika dibandingkan dengan seluruh sistem yang dimiliki oleh manusia.

Oleh itu kita perlu yakin bahawa apa yang pernah terjadi dalam satu suasana, pasti akan terjadi dalam suasana yang serupa. Kita tidak perlu bimbang lantaran adanya perkembangan di sekeliling kita, yang berupa tindakan kejam yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh pejuang kebangkitan Islam di setiap tempat dan lantaran menyedari akan luasnya daerah yang dikuasai oleh kebudayaan materialisme. Sesungguhnya yang menentukan kejayaan dalam persoalan ini bukanlah kehebatan yang batil dan bukanlah kekuatan tekanan yang ditujukan kepada Islam.

Yang menentukan dalam persoalan ini adalah kekuatan kebenaran, dan kesanggupannya untuk bertahan dalam menghadapi berbagai tindakan, tekanan dan tentangan.

Kita tidaklah bersendirian, kerana kita mempunyai kekuatan fitrah; fitrah alam semesta dan fitrah manusia. Ia merupakan simpanan tenaga yang banyak dan besar, lebih besar daripada setiap kebudayaan yang lahir untuk menetang fitrah. Kalau fitrah telah berlawanan dengan kebudayaan, maka fitrahlah yang akan menang, sama ada perlawanan itu lama atau sekejap.

Ada suatu hal yang harus kita perhitungkan. Kita menghadapi perjuangan yang pahit, sukar dan lama, demi untuk membebaskan fitrah dari runtuhan berbagai kepalsuan yang menimbusi fitrah itu dan untuk meletakkan fitrah di atas segala-galanya.

Untuk satu perjuangan yang pahit kami perlu membuat persediaan dalam tempoh yang lama. Kita perlu meningkatkan diri kita ke peringkat yang setara dengan kemahuan Islam. Kita

perlu meningkatkan ibadah kita semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya kita masih belum mengenal Allah dengan sebenar-benarnya selagi kita tidak menyembahnya dengan sebenar- benarnya.

Kita perlu meningkatkan kesedaran kita terhadap keadaan sekitar dan meningkatkan kefahaman kita terhadap berbagai teknik dan taktik masa kini. Kita perlu meningkatkan pengetahuan kita tentang peradaban dan kebudayaan masa kini dan mempraktikkan peradaban dan kebudayaan itu dengan tujuan untuk menguji dan memilih. Kita tidak akan dapat menentukan sesuatu yang patut kita ambil dan sesuatu yang patut kita tinggalkan, melainkan setelah kita dapat menguasainya dengan pengetahuan dan pengalaman. Dari pengetahuan dan pengalaman kita akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan.

Kita perlu meningkatkan pengetahuan kita tentang hakikat kehidupan manusia dan keperluannya yang hakiki yang sentiasa berubah-ubah. Kita tolak apa yang patut ditolak dari kebudayaan itu dan kita ambil apa yang patut kita ambil, berdasarkan pengalaman; kita akan hidup dengan kebudayaan itu, setaraf dengan pengalaman kita.

Ini adalah perjuangan yang pahit, perjuangan yang panjang . . . tetapi merupakan perjuangan yang jelas .... perjuangan yang tulen. Dan Allah bersama-sama kita. Allah berkuasa untuk melaksanakan urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Sadaqa' Llahu'l ‘Azim.