Tetapi tindakan memerangi Islam dengan berbagai cara yang melampau itu tidak akan dapat melunturkan keyakinan kami yang mutlaq bahawa masa depan adalah di tangan Islam.

Tetapi tindakan memerangi Islam dengan berbagai cara yang melampau itu tidak akan dapat melunturkan keyakinan kami yang mutlaq bahawa masa depan adalah di tangan Islam.

Islam telah membuktikan kesanggupannya mempertahankan diri dari sebarang tindakan ganas yang lebih kejam dan lebih keras di sepanjang hayatnya, seperti tindakan kejam yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh yang memperjuangkan kebangkitan Islam di setiap tempat. Islam telah berjuang dengan hanya menggunakan kekuatan dirinya sendiri dan telah mencapai kejayaan dan kini terus kekal. Islam terus kekal dalam keperibadian masyarakat dan negara yang pernah dilindunginya, sedangkan Islam pada waktu itu tidak bersenjata sama sekali.

Islam telah menyelamatkan tanah airnya di Timur dari serangan bangsa Tartar dan dari serangan-serangan Kaum Salib. Kalaulah Kaum Salib di Timur berjaya seperti kejayaannya yang dicapai di Sepanyol pada masa dulu atau seperti Kaum Yahudi yang telah berjaya di Palestin pada masa kini, tentulah tidak ada lagi nasionalisme Arab, tidak ada lagi bangsa dan negara Arab Sepanyol pada masa dulu dan Palestin pada masa sekarang kedua-duanya menjadi saksi bahawa kalaulah Islam telah diusir dari satu negeri tentunya bahasa dan nasionalisme di sana akan hilang, setelah tunjangnya dibongkar sama sekali.

Kaum Mamluk yang telah menyelamatkan daerah itu dari serangan Tartar bukanlah bangsa Arab tetapi salah satu suku bangsa Tartar. Namun mereka sanggup bertahan di depan serangan anak bangsanya sendiri, demi untuk mempertahankan Islam, kerana mereka adalah Kaum Muslimin. Mereka bertahan dengan mengambil inspirasi dari aqidah Islam dan dengan kepimpinan jiwa Islam yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah, sebagai pemimpin pembinaan jiwa dan pejuang di baris hadapan.

Salehuddin Al-Ayyubi telah menyelamatkan daerah itu dari kehancuran Arabisme, bangsa Arab dan bahasa Arab, padahal dia adalah kearaban daerah itu dan bahasanya, pada waktu dia menyelamatkan keislaman daerah itu dari serangan Kaum Salib. Islam yang ada di dalam hati noraninya yang telah memerangi Kaum Salib, seperti Islam yang ada di dalam hati Al-Zahir Bibrars dan Al-Muzaffar Quts dan Al-Malik Al-Nasir dalam memerangi Kaum Tartar yang biadab.

Islam telah berjuang di Algeria selama seratus lima puluh tahun. Islam telah menyebabkan Arabisme terus merebak di sana. Bahkan pada waktu nilai-nilai utama yang terlambang dalam bahasa dan kebudayaan telah hancur; pada waktu Perancis menganggap bahasa Arab sebagai bahasa asing dan melarang orang menyebarkannya melalui pengajaran; pada waktu itu hanya Islam yang masih teguh dalam hati setiap penduduknya; lalu mereka bangkit memerangi bangsa penakluk yang akhirnya mereka beroleh kemenangan. Islam tidak pernah menundukkan kepalanya kepada mereka, kerana mereka itu Kaum Salib yang menjadi musuhnya. Dengan ini sahaja, jiwa antimusuh terus membara di Algeria kemudian dimarakkan sekali lagi oleh 'Abdul Hamid bin Badis lalu apinya menjulang sekali lagi. Inilah hakikat yang hendak dihapuskan oleh golongan pelampau dan penyesat, sebagai hakikat yang telah diketahui oleh orang Perancis dan Kaum Salib, kerana mereka adalah Kaum Salib.

Mereka percaya bahawa Islam, dengan semangat yang tinggi dalam menentang musuh, akan menghalang perjalanan mereka di Algeria. Oleh itu mereka mengisytiharkan peperangan terhadap Kaum Muslimin, bukan terhadap bangsa Arab dan bukan pula terhadap orang-orang Algeria.

Dalam revolusi besar Mahdi, Islam telah mempelopori rakyat Sudan untuk bangkit menentang pendudukan Inggeris di Lembah Nil bahagian Utara, iaitu Mesir dan di bahagian Selatan, iaitu Sudan. Kalau kita lihat kembali pernyataan-pernyataan Mahdi yang agung itu dan surat-surat Uthman Daqnah kepada Kitchner, Cromer dan Taufiq kita dapat melihat ketokohan dan keagungan peribadi seorang pejuang Islam yang tulen.

Islam telah bertempur di Cyrenaica dan Tripoli dalam menghadapi serangan Itali. Di pusat- pusat gerakan Sanusi dan markas mereka, timbullah bibit penentangan itu. Dari sanalah bersumbernya perjuangan Umar Al-Mukhtar yang gigih dan penuh semangat kepahlawanan.

Pemberontakan yang pertama di Morocco adalah terpancar dari jiwa Islam. Zahir Al-Barbari (Barber Law) iaitu undang-undang yang dikeluarkan oleh Perancis pada tahun 1931 untuk mengembalikan suku-suku Barbar kepada faham animisme di sana dan memisahkan mereka dari syariat Islam adalah merupakan cetusan api yang membakar semangat perjuangan Morocco dalam menentang orang-orang Perancis.

Islam berjuang tanpa senjata, kerana faktor kekuatannya tersembunyi di sebalik hakikatnya yang unggul, dalam kesederhanaan, kejelasan dan kelengkapannya, dalam keserasiannya dengan fitrah manusia dan dalam kesanggupannya memenuhi keperluannya yang hakiki. Kekuatan itu tersembunyi di sebalik penentangannya terhadap penghambaan diri terhadap manusia dan memilih penghambaan diri terhadap Allah, Tuhan sekalian hamba.

Kekuatan itu terletak di sebalik dasar tidak menerima pemberian selain daripada Allah dan menolak sebarang tindakan untuk tunduk kepada sesiapa pun selain kepadaNya. Kekuatan itu tersembunyi di sebalik tindakannya melindungi penganut-penganutnya dari ditimpa oleh sebarang pancaroba dan melindunginya dari sebarang kuasa yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu ketewasan rohani tidak akan terjadi, selama Islam masih hidup dengan subur di dalam hati norani manusia, walaupun pada beberapa ketika mereka mengalami kekalahan zahir.