Maklumat Teknikal dan Saintifik

beberapa isu yang serupa namun dikelas dalam sektor yang berlainan. Pengkelasan Moore 2005 pula didapati terlalu khusus iaitu berdasarkan pembangunan masyarakat bermaklumat. Dalam pada itu, walaupun pengkelasan cadangan Lamberton dikemukakan sejak 1974 namun pengkelasan Lamberton boleh dijadikan asas pembangunan polisi maklumat dengan memasukkan beberapa aspek terkini terutamanya aspek teknologi maklumat. Justeru, bagi mengatasi kelemahan pengkelasan isu polisi maklumat, kajian ini mengemukakan pengkelasan isu polisi maklumat berdasarkan objektif dan matlamat polisi maklumat yang menyeluruh dengan mengambil kira bidang polisi maklumat yang bersifat silang disiplin. Asas pengkelasan isu polisi maklumat dalam kajian ini diadaptasi dari Moore 2005. Pendekatan ini kerap digunakan oleh pengkaji dalam bidang polisi maklumat dan mula diguna sejak 1974 oleh Lamberton, seterusnya oleh Milevski pada tahun 1986, Chartrand pada tahun 1989 dan yang terkini oleh Case 2010. Senarai isu polisi maklumat kajian ini dikelas ke dalam enam sektor utama iaitu Maklumat Teknikal dan Saintifik, Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat, Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT, Sosial, Maklumat Kerajaan dan Ekonomi. Enam sektor maklumat ini berkembang secara dinamik seperti maklumat sektor pelancongan, kesihatan dan keselamatan negara. Kajian ini tidak menganggap pendidikan ICT sebagai satu sektor, tetapi sebagai satu keperluan asas yang menyokong sektor yang disebutkan tadi.

2.5.1 Maklumat Teknikal dan Saintifik

Walaupun sektor maklumat teknikal dan saintifik tidak tersenarai sebagai matlamat polisi maklumat kebangsaan seperti dalam perenggan 2.4.4, namun kajian ini menganggap maklumat teknikal dan saintifik sebagai satu sektor dalam pengkelasan isu polisi maklumat. Maklumat teknikal dan saintifik dikelaskan sebagai satu kelompok polisi maklumat kerana ia merupakan punca bermulanya perkembangan polisi maklumat. Polisi maklumat dikesan bermula dengan matlamat untuk menyebar, berkongsi dan menyedia maklumat teknikal dan saintifik khususnya dalam kalangan ahli sains seawal 1800-an lagi. Menurut Lamberton 1974, polisi maklumat mula dikemukakan oleh Charles Babbage pada tahun 1830-an melalui Polisi Sains Kebangsaan. Pada awal tahun 1900-an, ahli ekonomi England mengesa agar British memperkukuh teknologinya bagi menghadapi persaingan perdagangan antarabangsa. Hal ini membuktikan maklumat teknikal dan saintifik menjadi keperluan bagi meneroka dan membangun teknologi. Seterusnya teknologi dapat diguna bagi memperbaiki kebajikan sosial Ruenwai 2007. Hubung kait antara maklumat saintifik, teknologi dan sosial adalah jelas. Gesaan untuk menjadikan maklumat teknikal dan saintifik sebagai asas kepada pembangunan polisi maklumat mula disuarakan oleh Lamberton sejak tahun 1974 lagi. Gesaan terus dikemukakan oleh Porat 1977, Brown 1983, Stroetmann Schwuchow 1992, Hill 1994, Kularatne 1998, Duff 2004, Kamar 2006, Ruenwai 2006, Bustamante 2007, Pajaro Betancourt 2007, dan Orna 2008. Bagaimanapun kebanyakan pengkaji tidak menyenarai atau mengenal pasti isu yang diletak di bawah sektor maklumat teknikal dan saintifik kecuali Ruenwai. Isu yang dimasukkan dalam sektor maklumat teknikal dan saintifik adalah isu infrastruktur ICT bersepadu, perolehan sumber elektronik, penambahbaikan perkhidmatan, komunikasi dengan pengguna dan maklum balas, pendidikan pengguna, pembiayaan RD saintifik, penggunaan sumber yang berkesan, transaksi perpustakaan elektronik dan perkongsian pengetahuan. Justeru, dalam kajian ini, sektor maklumat teknikal dan saintifik dianggap satu sektor tersendiri kerana maklumat teknikal dan saintifik adalah asas kepada perkembangan polisi maklumat semasa.

2.5.2 Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat