Polisi Maklumat yang terpisah-pisah

2.5.7 Pendidikan ICT

Walaupun pendidikan ICT turut menjadi matlamat polisi maklumat Henrici 2004; Soler 2007 seperti yang dikemukakan dalam perenggan 2.4.4. namun dalam kajian ini tidak menganggap pendidikan ICT sebagai satu sektor polisi maklumat yang tersendiri. Sebaliknya, kajian ini menganggap pendidikan ICT merupakan keperluan asas kepada semua sektor yang dicadangkan iaitu menyediakan kemahiran asas mengguna teknologi dan memanipulasi maklumat kepada semua lapisan masyarakat Moore 2004b; Pajaro Betancourt 2007b.

2.6 AMALAN POLISI MAKLUMAT

Selain masalah yang bersifat teori, polisi maklumat turut berdepan dengan masalah dari sudut amalan polisi maklumat. Masalah yang berkaitan amalan polisi maklumat adalah bentuk polisi yang terpisah-pisah, tidak bersepadu, tidak disepakati dan pelaksanaan polisi secara berasingan Case 2010; Koga 2010.

2.6.1 Polisi Maklumat yang terpisah-pisah

Sorotan susastera mendapati ramai pengkaji lampau menemui lompang yang sama iaitu polisi maklumat bersifat picisan, terpisah-pisah bagi menangani isu yang berlainan dan tidak bersepadu. Lompang ini dikesan sejak kajian oleh Trauth pada tahun 1986, seterusnya oleh Dae 1996, Browne 1997a, Norman 1998, Priftis Oppenheim 1999, Braid 2006 dan yang terkini oleh Case 2010, Koga 2010 dan Trosow 2010. Beberapa negara mengamal pendekatan ini. Antaranya ialah Brazil Chaparro 2008, AS Trauth 1986, England Rowlands 1996 dan Jepun Koga 2010. Dalam pada itu UNESCO t.th turut melaporkan hampir keseluruhan negara Asia Pasifik tidak mempunyai polisi maklumat yang menyeluruh. Merujuk kepada Malaysia, Salleh 2008 menyatakan antara penyebab kegagalan 7 aplikasi perdana MSC berpunca dari ketiadaan kesepaduan di antara agensi yang terlibat. Beberapa sebab dikenal pasti menjadi punca polisi maklumat dibangun secara terpisah-pisah. Pengkaji terawal yang membahas punca polisi maklumat dibangun secara terpisah-pisah adalah Trauth 1986. Beliau mendakwa lompang ini diakibatkan oleh penggubalan polis maklumat yang didasarkan kepada teknologi tertentu sahaja. Beberapa orang pengkaji selepas Trauth seperti Hill 1994, Browne 1997a dan Norman 1998 mendakwa lompang ini disebabkan oleh kaedah pengubalan polisi maklumat yang dibuat ‘khusus’, sebagai reaksi terhadap isu tertentu dan dibangun oleh agensi atau jabatan berlainan dalam kerajaan. Chaparro 2008 pula berpandangan lompang tersebut berpunca dari polisi maklumat yang didapati memfokus kepada teknologi tanpa mengambil kira kandungan dan konteks maklumat tersebut berasal. Beberapa kesan negatif timbul akibat dari pendekatan polisi maklumat yang bersifat terpisah-pisah. Pendekatan polisi maklumat yang terpisah-pisah tidak mampu untuk menyelesai isu penting dalam maklumat dan teknologi maklumat. Sebagai contoh pembangunan polisi maklumat berdasarkan teknologi maklumat tertentu menjadi punca masalah bagi mengekal perundangan yang dibangun apabila teknologi baharu dan penggunaan teknologi baharu diperkenal dan semakin berkembang. Selain itu set polisi yang tidak dikoordinasi pada peringkat kebangsaan menyebabkan pembaziran bukan sahaja dari sudut kerja yang bertindan tetapi menyebabkan jurang terhadap penyediaan maklumat pada peringkat kebangsaan semakin melebar Revkin 2006. Semua hal di atas menjadikan polisi maklumat bersifat terpisah, bertindih dan kelihatan bertentangan antara satu dengan yang lain yang mengakibatkan polisi maklumat terasing dari polisi aliran utama dan tidak diambil berat.

2.6.2 Kesepaduan Polisi Maklumat