b Matlamat berkaitan Infrastruktur dan Aplikasi ICT
Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT diperakui penting bagi memperbaiki kehidupan, pemerkasaan sosio-politik dan pembangunan
ekonomi Hosman Howard 2010. Bagi menyediakan infrastruktur sokongan dan meningkat penggunaan teknologi dengan optimum bagi pembangunan
negara polisi maklumat memainkan peranan penting Pajaro Betancourt 2007b. Polisi maklumat perlu menjadi penyelia untuk mencapai infrastruktur
telekomunikasi yang berkesan dan murah Moore 2004b; Pajaro Betancourt 2007b serta aplikasi ICT yang inovatif Soler 2007. Selain itu polisi
maklumat berfungi menyedia dan melaksana pelan tindakan pembangunan dan operasi sistem maklumat kebangsaan berdasarkan kepada infrastruktur sedia
ada, mengenal pasti dan membaiki kekurangan, mengisi jurang dan interaksi produktif dengan program dan sistem maklumat antarabangsa Montviloff
1990. Selain itu, polisi maklumat perlu digubal bagi penyatuan media, teknologi dan perkhidmatan maklumat di samping menetapkan piawaian selari
dengan cabaran etika baharu terhasil dari ICT Soler 2007.
c Matlamat berkaitan Budaya, Sosial dan Masyarakat
Sebuah masyarakat adalah bersifat kompleks dan bergantung kepada maklumat sebagai keperluan kepada semua sektor dalam negara. Maklumat mesti
dibangun secara terancang, dikoordinasi, dan optimum. Antara pengkaji yang mengaitkan polisi maklumat dengan kepentingan budaya, sosial dan
masyarakat ialah Henrici 2004, Soler 2007, Case 2010 dan Prins et al.
2011. Selain kajian individu, badan dunia seperti UNESCO turut
menunjukkan kepentingan maklumat kepada budaya, sosial dan masyarakat. UNESCO membuktikan peranan dan kepentingan maklumat dalam sistem
sosial sejak tahun 1971 melalui penganjuran program UNISIST United Nations International Scientific Information System dan seterusnya melalui
program NATIS National Information System pada tahun 1974. Manakala pada tahun 1977 pula, melalui Program Maklumat Umum GIP bagi menganti
UNISIST dan NATIS yang menjelaskan matlamat polisi maklumat bukan
sahaja berkaitan dengan penyediaan maklumat sains dan teknologi, tetapi semua jenis maklumat bagi aktiviti harian manusia termasuk pertukaran
maklumat bagi pengekalan budaya suatu bangsa Soler 2007.
Selain maklumat bagi kepentingan sosial, kerajaan perlu mempunyai polisi bagi melindungi maklumat tradisi kerana selain penting bagi pengekalan
warisan budaya, maklumat tradisi turut mempunyai potensi dari sudut nilai ekonomi Bustamante 2007. Maklumat dan pengetahuan yang berkaitan
dengan budaya termasuklah cerita rakyat, pakaian tradisi, bahasa, muzik, tarian, ritual, perayaan, perubatan dan penyembuhan tradisional, masakan dan
semua kemahiran istimewa yang berkaitan dengan budaya. Menurut Bustamante 2007, pengetahuan tradisi bukan berkaitan dengan perkara silam,
tetapi merupakan proses yang berlaku secara berterusan dalam masyarakat.
d Matlamat Berkaitan Kerajaan dan Capaian Maklumat
Maklumat adalah perkara pokok bagi demokrasi dan pentadbiran yang telus. Polisi maklumat dikaitkan dengan kerajaan kerana peraturan diperlukan bagi
memenuhi hak rakyat seperti hak kebersendirian, kebebasan mengemukakan pendapat Henrici 2004; Soler 2007; Uhegbu 2004 dan hak capaian maklumat
kerajaan Pajaro Betancourt 2007a. Selain itu, kerajaan melalui polisi maklumat kebangsaan mesti menyedia maklumat yang memadai kepada
mereka yang berhak pada waktu dan format yang sepatutnya Uhegbu 2004. Kerajaan mesti menyedia maklumat yang berkaitan dengan kos yang
berpatutan kepada semua yang menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan negara iaitu pengkaji, jurutera dan juruteknik, perancang
pembangunan, penggubal polisi dan pentadbir, para profesional, petani dan usahawan. Penyediaan maklumat kerajaan bukan saja untuk memenuhi
kepentingan individu tetapi pada masa yang sama dapat mengurangi kos dan nilai tambah data kepada sektor swasta dan sektor yang lain Saxby 2011.
Malah Saxby menambah komitmen kerajaan menyedia maklumat awam menjadikan kerajaan semakin telus dan seterusnya dapat mengatasi
ketidakcekapan pentadbiran. Melalui capaian maklumat, rakyat boleh turut
serta dalam proses pembangunan polisi dan agenda kerajaan dan tidak hanya bergantung kepada lobi, proses parlimen dan konsultasi sahaja. Bagi
menjadikan maklumat kerajaan menepati keperluan rakyat dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara, beberapa saranan dibuat oleh
Saxby 2011 terhadap hala tuju polisi maklumat boleh dikuti. Saranan yang diberi oleh Saxby adalah seperti berikut:
a. kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat melalui forum
sokongan dalam talian dan menganggap sebagai tempat penting bagi membantu rakyat.
b. pegawai kerajaan perlu dilatih dan bimbing bagi menyokong
perkhidmatan maklumat awam.
c. mengguna teknik dalam talian bagi dialog terbuka dan memecah proses
tradisional konsultasi.
d. Mengubah data geografi peta digital bagi kegunaan awam dan
ekonomi.
e. Memoden penerbitan data dan penggunaan semula bagi memperbaiki
perkhidmatan awam dan mencipta perniagaan baharu.
f. Pengiktirafan dari kerajaan penting bagi memasti kejayaan perubahan
terhadap fungsi perkhidmatan awam.
Selain menyedia maklumat, kerajaan juga perlu menghapus semua halangan sosial, budaya, kognitif, teknologi, ekonomi bagi capaian maklumat
dan rangkaian data digital Pajaro Betancourt 2007a; Soler 2007. Kerajaan perlu melindungi maklumat domain awam dari capaian yang tidak wajar
dengan mengambil kira kesukaran menyelia rangkaian yang bersambungan di seluruh dunia. Melalui polisi maklumat, kerajaan perlu menyedia capaian
maklumat mengguna berbagai bahasa Soler 2007.
e Matlamat berkaitan Ekonomi dan Pembangunan
Maklumat adalah satu sumber yang bernilai Arnold 2004 menyebabkan polisi maklumat mempengaruhi dan memberi kesan kepada pembangunan negara
Arnold 2007; Case 2010; Soler 2007. Kekayaan maklumat dapat mempercepat masa pembangunan jika aktiviti kritikal seperti penggubalan
keputusan, perancangan dan pengurusan mengguna maklumat yang betul dan tepat Henrici 2004. Di samping itu, dengan mengguna maklumat sebagai
sumber perkembangan dalam organisasi, polisi maklumat didapati dapat memperbaiki persaingan, meningkatkan produktiviti industri dan komersial
Pajaro Betancourt 2007a. Produktiviti dicapai melalui penggunaan maklumat sama ada penyelidikan bagi tujuan inovasi, automasi dalam proses
pengurusan atau melalui aplikasi teknik pengurusan berintensifkan maklumat. Manipulasi maklumat bagi tujuan di atas dapat dilaksana oleh pekerja
berpengetahuan Calanag 2003; Moore 2004b; Mokmin 2005a. Selain penggunaan maklumat secara intensif dalam kalangan pekerja berpengetahuan,
polisi maklumat turut berfungsi menggalak penghasilan pengetahuan anggota masyarakat dan institusi awam Pajaro Betancourt 2007a. Apabila syarikat,
industri, orang awam dan institusi awam sertai agensi kerajaan mengguna maklumat secara intensif, ekonomi keseluruhannya menjadi kompetitif, nilai
tambah pekerja dan purata pendapatan per kapita turut meningkat. Keadaan ini membawa kepada perubahan sistem ekonomi daripada ekonomi berasaskan
industri kepada ekonomi berteraskan maklumat. Justeru, polisi maklumat secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan dan pertumbuhan
ekonomi berasaskan pengetahuan yang membantu dalam pembangunan negara.
f Matlamat Berkaitan Pendidikan ICT
Pendidikan merupakan satu keperluan bagi perkembangan kerajaan dan pembangunan strategik modal insan yang menjadi teras produktiviti dan
kreativiti dalam ekonomi Henrici 2004; Soler 2007. Bagi Moore 2004b semua lapisan masyarakat perlu mempunyai maklumat dan kemahiran
teknologi asas. Ini perlu dipertingkat bagi memenuhi keperluan organisasi yang
berteraskan maklumat. Pendidikan dan sistem latihan juga perlu disesuaikan dengan keperluan pembelajaran sepanjang hayat dan proses yang konsisten
bagi memperkaya dan meningkat kemahiran Pajaro Betancourt 2007b. Polisi maklumat turut berfungsi bagi memasti sokongan kepada penyelidikan
maklumat yang berkaitan dengan teori, amalan, pendidikan, latihan kepada menghasil, memindah dan mengguna maklumat Pajaro Betancourt 2007a.
Selain itu, polisi maklumat penting bagi menyokong penyediaan rangkaian pembelajaran kolektif untuk inovasi dan menghasil pengetahuan tempatan
untuk pengeluaran Soler 2007.
Kepelbagaian matlamat polisi maklumat seperti dibentangkan di atas mengukuh lagi hujah bahawa polisi maklumat adalah satu bidang silang disiplin.
Selain itu, kepelbagaian matlamat polisi maklumat secara tidak langsung menunjukkan keperluan kepada satu model maklumat yang bersepadu yang terdiri dari beberapa
komponen dari berbagai disiplin yang dikaitkan antara satu dengan yang lain. Model bersepadu ini dijangka dapat memberi kefahaman tentang bidang polisi maklumat
yang tepat dan menyeluruh.
2.3.5 Polisi Maklumat Kebangsaan