Koridor Raya Multimedia MSC dan Multimedia Development Corporation MDeC

5.3.3 Koridor Raya Multimedia MSC dan Multimedia Development Corporation MDeC

a MSC Pada tahun 1996, Perdana Menteri Malaysia melancarkan Koridor Raya Multimedia MSC sebagai mekanisme utama bagi mencapai wawasan 2020. Koridor Raya Multimedia MSC adalah program strategik ke-2 berkaitan maklumat di Malaysia selepas NITA. Jika NITA memfokus kepada pembangunan sosial, MSC pula berperanan menjadikan ICT sebagai satu sektor industri dengan sasaran pembangunan ekonomi. MSC adalah percubaan bagi membangun gugusan industri yang dinamik bermatlamat untuk menghasil produk dan perkhidmatan multimedia berasaskan ICT yang inovatif. MSC berperanan untuk membangun persekitaran teknologi bertaraf dunia dengan menarik syarikat bertaraf dunia bagi membantu Malaysia menjadi sebuah masyarakat berasaskan maklumat. Selain itu, MSC dijangka mencetuskan aplikasi ICT sebagai sektor baharu pertumbuhan bagi membangun industri berasaskan maklumat. Walaupun gagasan MSC adalah satu gagasan yang baik, namun idea berkaitan MSC bukan datang dari dalam negara. MSC adalah hasil daripada konsultasi kerajaan dengan McKinsey Associates bagi mewujudkan “Malaysia Eutopia” iaitu masyarakat bermaklumat yang dilengkapi oleh infrastruktur teknologi maklumat. MSC merupakan projek pertama bagi NITC. b MDeC MDeC adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kandungan digital kebangsaan di Malaysia. Bagaimanapun perkembangan pembangunan kandungan digital di Malaysia masih belum mencapai tahap yang membanggakan. Syarikat pembangun kandungan digital tidak berminat melabur di Malaysia kerana negara ini menghadapi masalah kekurangan graduan yang mempunyai kemahiran yang diperlukan. Bagi menangani isu kandungan secara serius, kesedaran dan usaha bersepadu seluruh jentera kerajaan bermula dari peringkat penggubal polisi hingga ke peringkat juruteknik perlu dilaksana. Bagi peringkat sekolah, selain menyedia komputer, kerajaan perlu turut menyedia kandungan yang bersesuaian kepada para pelajar agar matlamat melahirkan pelajar yang berdikari dan kreatif dapat dicapai. Selain itu, sebagai usaha untuk menjayakan kandungan kebangsaan, budaya perkongsian kandungan atau maklumat perlu diterap dalam kalangan pendidik.

5.3.4 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM