Maklumat Kerajaan ANALISIS DAN INTERPRETASI KANDUNGAN DOKUMEN

Selain itu, kerajaan juga menyedia prasarana telekomunikasi ICT termasuk komputer serta Internet terutamanya di kawasan luar bandar melalui penubuhan pusat ICT seperti Internet Desa, Infodesa, pembekalan komputer di sekolah, pusat komuniti dan masjid Dewan Negara Malaysia 2001c; Dewan Negara Malaysia 2010a serta Pusat Internet 1Malaysia Dewan Negara Malaysia 2010d. Inisiatif lain yang diperkenal adalah pelaksanaan Pusat Jalur Lebar Komuniti PJK, penubuhan Pusat Internet Rakyat PIR, peluasan liputan selular awam melalui pembinaan 873 menara telekomunikasi baharu di seluruh negara termasuk 212 di Sabah dan 203 di Sarawak dan penyediaan RM1 bilion daripada dana pemberian perkhidmatan universal atau USP bagi pelaksanaan pengagihan satu juta komputer riba kepada golongan kurang berkemampuan Dewan Rakyat Malaysia 2010d. Refleksi dan Kritik Analisis menunjukkan salah satu sebab pengenalan ICT kepada rakyat adalah bagi tujuan membentuk masyarakat bermaklumat. Istilah ‘masyarakat bermaklumat’ mulai diguna dalam perbahasan berkaitan dengan ICT dalam Dewan Rakyat Malaysia dan Dewan Negara. Bagi membangun masyarakat bermaklumat kerajaan perlu mengatasi beberapa halangan seperti kadar celik computer yang rendah. Menurut World Competitiveness Yearbook, IMD 2008-2009, Malaysia menduduki tempat ke-24 dari aspek kemahiran teknologi maklumat berbanding negara Sweden, Finland, Denmark, Singapore dan India Malaysia Productivity Corporation - MPC 2009. Kedudukan pengguna Internet pula adalah pada kedudukan ke-49 berbanding negara Denmark, Iceland, Sweden, Finland, Republik Korea, United Kingdom dan Germany. Jurang digital menjadi isu utama di Malaysia, namun kerajaan didapati serius menangani isu jurang digital dengan melaksana beberapa program seperti Program Internet Desa, Infodesa dan menyedia komputer ke sekolah seluruh negara.

5.2.5 Maklumat Kerajaan

Capaian dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan diakui penting bagi kerajaan Malaysia Edwin J. Feulner dlm. Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004. Bagi tujuan tersebut, Malaysia mewujud program kerajaan elektronik e-kerajaan iaitu satu daripada tujuh aplikasi perdana MSC bagi meningkat prestasi agensi kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang cekap, menghasil produktiviti yang tinggi dan mewujud pentadbiran tanpa kertas Dewan Rakyat Malaysia 1997e; Dewan Negara Malaysia 2010e. Pelaksanaan e-kerajaan membabitkan 24 buah kementerian, 126 buah jabatan persekutuan, 78 buah badan berkanun, 245 buah jabatan negeri, 109 badan berkanun negeri, 144 kerajaan tempatan, 1.1 juta kakitangan, 400,000 badan korporat, 1.6 juta pemilik perniagaan dan 26 juta rakyat Malaysia Dewan Rakyat Malaysia 1997e. E-kerajaan adalah aplikasi penggunaan ICT bagi memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat. Sehingga 20 Disember 2010, bilangan laman sesawang atau portal yang dibangun oleh agensi sektor awam adalah 243 buah dalam agensi kerajaan peringkat persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan, 583 buah dalam agensi kerajaan peringkat negeri dan Badan Berkanun Negeri dan 123 buah pihak berkuasa tempatan. Portal myGovernment, www.malaysia.gov.my menjadi gerbang utama kepada konsep pusat setempat untuk memudah orang awam mencapai maklumat dan mengguna perkhidmatan dalam talian yang disedia oleh agensi pada peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan. MyGovernment menyedia sebanyak 2,417 perkhidmatan online, 321 perkhidmatan bayaran dalam talian dan 3,067 borang yang boleh dimuat turun melalui portal myGovernment. Kerajaan juga menyedia berbagai saluran elektronik seperti kiosk, Interactive Voice Responds IVR, telefon dan perkhidmatan Internet serta mempercepat urusan seperti memproses permohonan, membuat pertanyaan dan pembayaran bagi berbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan. Antaranya seperti e-Declare Kastam – Kastam Diraja Malaysia, Katalog Induk Kebangsaan – Perpustakaan Negara Malaysia, semakan status pendaftaran pekerjaan – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, e-Filing – Lembaga Hasil Dalam Negeri, semakan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, Program Pengajian Lepasan STPMSetaraf – Kementerian Pengajian Tinggi, semakan jadual temu duga pekerjaan – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam SPA, sistem semakan status permohonan MyKadMyPR – Jabatan Pendaftaran Negara dan MySMS Dewan Negara Malaysia 2010e. Kementerian Kewangan pula memperkenal MyPROCUREMENT iaitu pusat maklumat kerajaan pada 1 April 2010 yang boleh memapar maklumat mengenai syarikat yang berjaya mendapat tender agensi kerajaan Dewan Rakyat Malaysia 2010h. Kerajaan turut memperkenal inisiatif MyID, iaitu kemudahan berurusan dengan kerajaan dengan mengguna nombor MyKad sebagai nombor rujukan tunggal. Usaha memperbaiki perkhidmatan maklumat kerajaan dibuat melalui beberapa inisiatif di bawah MAMPU dan juga beberapa agensi yang lain Dewan Rakyat Malaysia 2010f. Kerajaan juga menganggap televisyen sebagai medium penting bagi menyalur maklumat kerajaan Dewan Negara Malaysia 2007d. Bagi tujuan tersebut, RTM bekerjasama dengan stesen penyiar ASTRO kerana mempunyai perkhidmatan satelit terus ke rumah. Kerjasama ini membolehkan penduduk khususnya di pedalaman negeri Sabah dan Sarawak menerima siaran TV1, TV2 dan siaran bebas lain ke udara tanpa perlu membayar yuran langganan bulanan. Pendekatan kerjasama ini diambil kerana pelaksanaan melalui kaedah konvensional melibatkan masa dan kos yang tinggi bagi menyedia kemudahan asas seperti menara pemancar dan talian komunikasi Dewan Rakyat Malaysia 2010i. Selain infrasturktur dan aplikasi berkaitan maklumat kerajaan, kesedaran tentang hak rakyat terhadap maklumat turut diberi perhatian dalam kalangan penggubal polisi di Malaysia. Dalam sebuah masyarakat bermaklumat, rakyat berhak mencapai maklumat kerajaan kerana maklumat kerajaan adalah milik rakyat. Kerajaan dianggap sebagai pemegang maklumat bagi pihak rakyat dan harus memasti bahawa kualiti, integriti, maklumat kerajaan ini dijaga dengan baik. Rakyat perlu diberi hak capaian maklumat kerajaan kerana maklumat adalah syarat utama bagi sebuah masyarakat bermaklumat agar dapat berfungsi dengan baik dan seterusnya dapat menunai hak dan tanggungjawab rakyat bagi membuat pilihan yang tepat Dewan Rakyat Malaysia 1996c. Berkaitan hal ini, kerajaan didakwa bertindak memperketat undang-undang dengan menyekat, mengawal dan menghad maklumat. Sebagai contoh, kerajaan didapati menyekat pengaliran berita asing ke dalam negara ini dengan menyiar segala berita asing melalui BERNAMA. Akhbar tempatan pula menghadapi sekatan untuk melapor peristiwa yang berlaku di Malaysia. Selain itu, beberapa maklumat penting kerajaan tidak dapat dicapai oleh rakyat mahupun ahli Dewan Rakyat Malaysia seperti senarai penerima lesen mengimport kereta terpakai AP, Laporan Murad dalam sektor pendidikan, laporan Zahid mengenai pendidikan tinggi, Interim Report mengenai Royal Commission Inquiry dan National Help Financing’s Report Dewan Rakyat Malaysia 2005b. Penyebaran maklumat kerajaan kepada orang awam adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetap di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972. Arahan Keselamatan yang dikeluarkan oleh Jemaah Menteri mengenai peraturan kawalan keselamatan perlindungan maklumat untuk semua agensi kerajaan adalah dikawal selia oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Ketua jabatan menerusi peraturan sedia ada bertanggungjawab mengurus penggredan dokumen kerajaan kepada dua kategori utama iaitu maklumat rahsia besar, rahsia, sulit dan terhad serta maklumat yang terbuka Dewan Rakyat Malaysia 2005b. Kerajaan membenar capaian maklumat rahsia melalui pengkelasan semula terhadap sebarang maklumat rahsia rasmi tanpa had masa menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 Dewan Rakyat Malaysia 1989b. Namun begitu, kerajaan didakwa gagal mengkelas semula maklumat kategori rahsia besar, rahsia, sulit dan terhad menyebabkan orang awam serta pihak swasta menghadapi kesukaran mencapai maklumat kerajaan khususnya bagi menjalankan urusniaga dan sebagainya. Justeru, sebahagian penggubal polisi mengesa kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi membenarkan orang ramai mencapai maklumat kerajaan kecuali dalam kes khas seperti keselamatan negara atau kerahsiaan peribadi Dewan Rakyat Malaysia 1989b; Dewan Rakyat Malaysia 2005b. Walaupun wujud gesaan bagi menggubal Akta Kebebasan Maklumat, kerajaan mengambil ketetapan tidak menggubalnya kerana berpandangan adalah perlu bagi melindungi maklumat yang bersifat sebagai sulit atau rahsia daripada jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya boleh membahaya keselamatan negara. Hal ini dikuatkuasa melalui Akta Rahsia Rasmi 1972. Walaupun akta ini didakwa mengongkong pegawai kerajaan daripada memberi maklumat yang sebenarnya dalam isu penyelewengan, kerajaan berpendapat rangkaian undang-undang sedia ada mencukupi bagi menangani perkara berkenaan. Berdasarkan alasan tersebut, kerajaan berpendapat belum ada keperluan bagi menyemak semua Akta Rahsia Rasmi 1972 Dewan Rakyat Malaysia 1998d. Hal ini berbeza berbanding di England, akibat tekanan Ahli Parlimen dan rakyat yang menuntut hak mendapat maklumat, Kerajaan British menubuh jawatankuasa Franks Committee untuk mengkaji akta berkaitan maklumat dengan tujuan memansuh ciri Akta Rahsia Rasmi yang dianggap terbatas Dewan Rakyat Malaysia 1983. Kerajaan memandang serius berkaitan pengurusan e-mel dan laman web kerajaan dengan mengeluar pekeliling dan arahan mengenai pengurusan e-mel dan membuat pemantauan secara berkala. Namun maklumat dalam portal rasmi kerajaan didapati sering mendapat teguran dalam kalangan penggubal polisi dan penyelidik bidang maklumat. Walaupun kerajaan melaksana inisiatif yang baik seperti MSC, tetapi maklumat dalam sistem kerajaan tidak diurus dengan baik Dewan Negara Malaysia 2000a. Antara masalah berkaitan pengurusan maklumat kerajaan adalah maklumat yang disedia dalam portal rasmi kerajaan bukan merupakan maklumat terkini, tidak memapar maklumat yang lengkap, engin carian yang tidak memapar maklumat yang dicari serta pautan yang tidak berkaitan Dewan Rakyat Malaysia 1998a. Keadaan tersebut didakwa berpunca akibat daripada kurang pemahaman mengenai implikasi dan potensi Internet sebagai kemudahan capaian maklumat rasmi kerajaan oleh sebahagian kakitangan kerajaan. Sedangkan penerbitan elektronik adalah mudah dengan kos yang minimun. Jika hal ini dapat difahami, kerajaan boleh mempamerkan rang undang-undang yang sedang digubal oleh kerajaan bagi mendapat maklum balas dari rakyat Dewan Rakyat Malaysia 1997b. Walaupun diakui undang- undang siber di Malaysia adalah komprehensif namun sewaktu pengubalan draf undang-undang siber pakej pertama, kandungan draf undang-undang tersebut tidak dipamerkan dalam Internet bagi tujuan mendapat maklumat balas dari masyarakat umum Dewan Rakyat Malaysia 1997b. Penggunaan ICT seperti aplikasi kerajaan tanpa kertas seharusnya dapat mengurangi saiz pentadbiran awam dengan drastik namun perkara berlaku dengan sebaliknya penambahan mendadak daripada 21,000 orang pada tahun 2003 kepada 43,544 orang pada tahun 2010. Hal ini menimbul persoalan berkaitan keberkesanan dan menunjukkan percanggahan di antara dasar kerajaan dengan pelaksanaan dasar Dewan Negara Malaysia 2010g. Refleksi dan Kritik Negara maju seperti AS menganggap maklumat adalah sumber kepada negara dan diperakui menyumbang kepada proses pembangunan sosio-ekonomi negara. Negara berkenaan mempunyai strategi bagi menjadikan maklumat boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja yang memerlukannya bagi memenuhi keperluannya sebagai anggota masyarakat. Hal ini didapati berbeza di Malaysia. Kerajaan didapati tidak serius menyedia keperluan maklumat kepada rakyat. Maklumat yang disedia dalam portal kerajaan bukanlah maklumat terkini, pautan kepada bukan maklumat yang sepatutnya dan maklumat tidak mencukupi adalah antara rungutan berkait maklumat kerajaan yang sering kedengaran. Keadaan ini menimbulkan persoalan adakah kerajaan tidak mengiktiraf maklumat sebagai sumber kepada negara? Kajian ini mendapati punca utama maklumat kerajaan tidak didapat dicapai dengan mudah di Malaysia bukan disebabkan oleh teknologi, tetapi komitmen dan kesungguhan kepimpinan politik dan birokrasi peringkat atasan untuk mengguna dengan sebaiknya kemudahan teknologi maklumat demi membekal perkhidmatan dan maklumat yang baik kepada rakyat Malaysia. Kakitangan awam perlu menyedari kepentingan berkongsi maklumat kepada rakyat kerana selain perlu penyediaan maklumat berguna kepada rakyat, juga hal ini dapat mengurangkan kos pentadbiran kerajaan. Selain itu, perkongsian maklumat turut memberi peluang kepada sektor swasta dan pengguna sektor ketiga menambah nilai kepada maklumat sedia ada Saxby 2011. Dengan teknologi ICT, kerajaan sepatutnya tidak lagi berfungsi dengan tindakan dan polisi secara atas bawah dengan sektor awam bagi mencipta maklumat. Budaya perkongsian perlu diwujudkan bagi mencipta peluang membangun idea dan maklumat dalam semua lapisan masyarakat. Selain itu, mekanisme tradisional melalui lobi, proses konsultasi parlimen dan penggubalan polisi atas bawah yang berlaku di berbagai peringkat pembangunan polisi perlu dihapus.

5.2.6 Ekonomi