Bab 5 - Analisis dan Interpretasi Data

(1)

BAB V

ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA

5.1 PENGENALAN

Analisis data dalam Bab 5 dibahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan jenis data yang dikumpul. Bahagian pertama bab ini membentangkan analisis dan interpretasi data sumber cetak. Data primer sumber cetak dianalisis berdasarkan kepada enam sektor seperti yang ditetapkan dalam Bab 2. Sektor tersebut adalah sektor maklumat teknikal dan saintifik, sektor perpustakaan, sektor ICT, sektor sosial, sektor kerajaan, sektor ekonomi dan sektor pendidikan. Data primer sumber temu bual pula dianalisis berdasarkan kepada enam sektor utama polisi maklumat yang berkaitan dengan Malaysia cadangan pengkaji lampau dan responden iaitu NITC, NITA, MSC dan MDec, SKMM, Maklumat Kerajaan dan Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat. Interpretasi data temu bual dibentang dalam bahagian kedua bab ini. Susunan sedemikian ini dilakukan kerana temu bual dijalankan bukan bertujuan memeriksa semula isu berdasarkan sektor yang dicadangkan dalam Bab 2 tetapi untuk mengetahui isu yang berada dalam pemikiran responden hasil pengalaman mereka yang terlibat secara langsung dengan penggubalan dan pelaksanaan polisi maklumat di Malaysia.

5.2 ANALISIS DAN INTERPRETASI KANDUNGAN DOKUMEN

Analisis data primer sumber cetak disusun berdasarkan sektor polisi maklumat seperti yang dikemuka dalam Bab 2 iaitu maklumat teknikal dan saintifik, perpustakaan dan perkhidmatan maklumat, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sosial, maklumat kerajaan, ekonomi dan pendidikan ICT. Dalam bahagian pertama bab ini, penyelidik mengadaptasi organisasi persembahan dari Phaswana (2000), Rabina (2001) dan


(2)

Creswell (2009) iaitu mengemukakan analisis penemuan dalam bentuk ringkasan diikuti dengan refleksi dan kritik penyelidik bagi setiap bahagian sektor. Ringkasan temuan dibuat terhadap dokumen primer dari tahun 1959 sehingga pertengahan tahun 2011. Bagi tujuan refleksi dan kritik, perbandingan dilakukan antara sumber primer dan sumber sekunder. Konflik antara data sumber primer turut dikemukakan. Pendekatan ini diadaptasi dari Trauth (2001) dan Krippendorff (2004). Dokumen yang dianalisis juga tidak terhad dari segi tahun penerbitan. Pendekatan seperti ini dijangka dapat mengenal pasti sebarang perubahan atau corak yang berlaku.

5.2.1 Maklumat Teknikal dan Saintifik

Malaysia sedar tentang kepentingan maklumat teknikal dan saintifik terhadap pembangunan negara. Kesedaran ini ditunjukkan pada awal tahun 1970-an dengan menyedia peruntukan bagi membeli peralatan arkib. Alatan ini diguna bagi menyiasat dan menyimpan maklumat geografi dan galian dalam negara (Dewan Rakyat Malaysia Malaysia 1975). Tumpuan kerajaan terhadap maklumat berkembang dari maklumat yang berbentuk struktur kepada maklumat yang mempunyai kepentingan ekonomi. Sebagai contoh Majlis Galakan Pasaran Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mendapat dan menghebahkan maklumat saintifik mengenai khasiat minyak sawit melalui persidangan, program suaikenal, pameran serta iklan (Dewan Rakyat Malaysia 1989a). Maklumat saintifik berkaitan perikanan juga turut diakui penting dan mula diguna oleh kerajaan bagi mempertingkat hasil tangkapan ikan terutama perikanan laut dalam (Dewan Rakyat Malaysia 2010a). Selain itu, maklumat saintifik turut diguna bagi tujuan kesedaran dan kesihatan seperti maklumat tentang penyakit AIDS. Maklumat ini penting terutama kepada kakitangan perubatan dan kesihatan yang terlibat dalam pengurusan pesakit AIDS. Maklumat saintifik mengenai perkembangan terkini berkaitan dengan pengurusan pesakit AIDS juga diedar dari semasa ke semasa (Dewan Negara Malaysia 1990).

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kerajaan Malaysia dengan jelas mahu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama dalam mempertingkat keupayaan negara. Bagi menguatkan komponen maklumat sains dan teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksana beberapa


(3)

langkah. Antaranya menyedia sistem maklumat bagi mengawasi dan menyelaras aktiviti dan menyedia pangkalan data R&D peringkat kebangsaan. Program menyedia sistem maklumat dimulakan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) dengan penubuhan Pusat Maklumat Saintifik dan Teknologi Malaysia (Malaysian Scientific and Technological Information Centre - MASTIC) pada tahun 1992. Melalui MASTIC, Kementerian dapat berhubung dengan berbagai agensi dalam dan luar negeri bagi tujuan mendapat maklumat berkaitan bidang sains dan teknologi (Dewan Rakyat Malaysia 2008a). Dalam pada itu, kerajaan turut menyedia maklumat melalui portal mosti.my. MOSTI dengan kerjasama agensi di bawahnya dan juga sektor swasta turut mengambil inisiatif untuk menubuh innovation exchange yang berfungsi sebagai pihak yang mempertemukan inventor dengan industri. Selain itu kerajaan turut meningkatkan pemindahan dan perolehan teknologi dan pengkomersialan dengan meningkatkan rangka kerja harta intelek (IP). Satu dasar pengkomersialan Harta Intelek (IP) bagi R&D yang dibiayai oleh dana kerajaan juga turut digubal (Dewan Rakyat Malaysia 2008a).

Selain kesedaran dan perancangan kerajaan berkaitan maklumat teknikal dan saintifik, kerajaan turut menyedia beberapa dana khusus bagi tujuan pembangunan sains dan teknologi. Sebagai contoh, dana sains dan dana pembangunan teknologi. Dana sains adalah skim geran R&D yang menyedia pembiayaan bagi penyelidikan asas sehingga ke peringkat permohonan prototaip skala makmal bagi bidang ICT, bioteknologi, industri pertanian dan perkhidmatan sains dan teknologi. Dana pembangunan teknologi pula menyedia pembiayaan pembangunan dan pengembangan teknologi hasil daripada R&D bagi tujuan pengkomersialan (Dewan Rakyat Malaysia 2007a; Dewan Negara Malaysia 2007a). MOSTI turut memperkenal dana bagi aktiviti inovasi iaitu Skim Dana Inovasi. Skim Dana Inovasi bertujuan untuk membantu dan menggalak syarikat daripada kumpulan industri kecil dan mikro serta individu untuk menghasil dan mengkomersial hasil inovasi mereka khususnya dalam bidang pertanian, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri. Dana ini turut berfungsi membantu kumpulan komuniti menterjemah pengetahuan ataupun idea mereka kepada produk ataupun proses dan perkhidmatan yang dapat mempertingkat kualiti hidup masyarakat. Di bawah pakej galakan istimewa, kerajaan menetap syarat


(4)

iaitu satu peratus daripada nilai tahunan mesti diperuntuk bagi tujuan R&D (Dewan Negara Malaysia 2007a; Dewan Rakyat Malaysia 2009a).

Refleksi dan Kritik

Kerajaan Malaysia sedar tentang kepentingan maklumat teknikal dan saintifik kepada kemajuan negara. Kesedaran ini ditunjuk melalui pengubalan Dasar Sains dan Teknologi Negara 1986. Kerajaan turut menubuh Pusat Maklumat Saintifik dan Teknologi Malaysia (MASTIC) pada tahun 1992 bagi tujuan menyelanggaran maklumat teknikal dan saintifik dari dalam dan luar negara. Bagi tujuan menyelaras dan menyatu aktiviti R&D, kerajaan menubuh Majlis Pendidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN). Beberapa dana turut disedia bagi tujuan pembiyaan, pengkomersialan R&D dan inovasi iaitu Dana Sains, Dana Pembangunan Teknologi dan Skim Dana Inovasi. Selain dasar, kerajaan turut mengaplikasi beberapa maklumat teknikal dan saintifik seperti maklumat berkaitan AIDS dan minyak sawit sama ada bagi tujuan sosial atau pun ekonomi.

Walaupun pelbagai program dan dana diwujudkan oleh kerajaan, analisis dokumen primer tidak mengambarkan maklumat teknikal dan saintifik sebagai maklumat penting yang perlu disedia oleh kerajaan. Carian dengan mengguna kata kunci ‘maklumat teknikal dan saintifik’ dari tahun 2005 hingga 2011 tidak menemui sebarang Penyata Rasmi Dewan Rakyat Malaysia dan Dewan Negara Malaysia yang berkaitan. Sementara, carian mengguna ‘maklumat saintifik’ menemui dua dokumen. Hal ini membuktikan Ahli Parlimen yang berperanan menyuara kehendak dan aspirasi rakyat, tidak menunjukkan adanya desakan dari rakyat terhadap penyediaan maklumat teknikal dan saintifik. Dalam ertikata lain, rakyat didapati tidak mengambil peduli sama ada maklumat teknikal dan saintifik disedia oleh kerajaan atau tidak. Begitu juga dengan kumpulan dari kalangan pakar teknikal dan saintifik. Tidak ada sebarang bukti dikesan yang menunjukkan kumpulan ini mendesak agar maklumat teknikal dan saintifik disediakan oleh kerajaan.

Polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik di Malaysia didapati wujud tanpa dapat dikesan asas kepada penggubalan polisi ini. Maklumat teknikal dan


(5)

saintifik di Malaysia juga didapati tidak dikaitkan dengan sektor lain terutama sosial dan perpustakaan. Selain itu, polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik tidak menunjukkan perluasannya kepada sektor lain seperti sains sosial. Hal ini berbeza seperti yang dibincang dalam Bab 2. Polisi maklumat bermula dengan matlamat menyebar, berkongsi dan menyedia maklumat teknikal dan saintifik khususnya dalam kalangan ahli sains seterusnya berkembang ke bidang sains sosial Lamberton (1974).

Mengenai isu berkaitan maklumat teknikal dan saintifik, umumnya Malaysia menangani isu seperti yang dikemukakan oleh Ruenwai (2007). Isu seperti infrastruktur ICT bersepadu, perolehan sumber elektronik, penambahbaikan perkhidmatan, komunikasi dengan pengguna dan maklum balas, pendidikan pengguna, pembiyaan R&D saintifik dan penggunaan sumber yang berkesan turut ditangani di Malaysia. Namun beberapa isu lain seperti transaksi perpustakaan elektronik dan perkongsian pengetahuan tidak dinyata dengan jelas dalam perbahasan berkaitan maklumat teknikal dan saintifik.

5.2.2 Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat

Bahagian ini membincang perkembangan dan situasi semasa perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di Malaysia. Perkaitan dan peranan yang dimainkan oleh perpustakaan dan perkhidmatan maklumat dalam polisi maklumat turut dikemukakan.

Gesaan bagi menyedia keperluan infrastruktur maklumat dan perpustakaan terutamanya di sekolah, maktab perguruan dan universiti bermula sejak awal kemerdekaan Malaysia iaitu sekitar 1960 sehingga 1969 (Dewan Rakyat Malaysia 1961; Dewan Rakyat Malaysia 1964a; Dewan Negara Malaysia 1965). Isu lain berkaitan perpustakaan sekitar tahun 1960-an adalah berkaitan keperluan menubuh Perpustakaan Negara dan Arkib Negara (Dewan Rakyat Malaysia 1965), menambah bahan bacaan perpustakaan (Dewan Negara Malaysia 1963; Dewan Rakyat Malaysia 1964b), penubuhan perpustakaan daerah (Dewan Rakyat Malaysia 1969a), menambah bilangan kakitangan perpustakaan (Dewan Rakyat Malaysia 1968; Dewan Rakyat Malaysia 1969b) dan penubuhan katalog induk (Dewan Rakyat Malaysia 1969). Antara isu terkini adalah berkaitan kakitangan perpustakaan terutama dari segi gaji dan


(6)

imbuhan pekerja (Dewan Rakyat Malaysia 2008a; Dewan Rakyat Malaysia 2010a). Dalam Rancangan Malaysia keempat (RMK4), aspek infrastrukur terus diambil perhatian serius. Pada tahun 1971 hingga 1980, perpustakaan negeri ditubuh di setiap negeri, manakala 61 cawangan dibuka di bandar kecil. Unit perpustakaan bergerak untuk kawasan luar bandar turut beroperasi. Sebanyak RM29.5 juta diperuntuk sepanjang RMK4 bagi membangun Perpustakaan Negara, menambah bilangan cawangan perpustakaan daerah dan perpustakaan bergerak. Seperti tahun 60-an hingga 70-an, sekitar tahun 1980-an, isu berkaitan perpustakaan masih berkisar tentang kekurangan kemudahan perpustakaan dan buku (Dewan Rakyat Malaysia 1984a), masalah peruntukan (Dewan Rakyat Malaysia 1984b) dan kekurangan perpustakaan di sekolah dan di kawasan luar bandar (Dewan Rakyat Malaysia 1984c).

Sekitar tahun 1990-an, kerajaan Malaysia mula terkehadapan dengan menyediakan infrastruktur perpustakaan. Perpustakaan awam bertambah daripada 219 pada tahun 1990 kepada 309 pada tahun 1993. Daripada jumlah ini, sebanyak 78 buah berada di kawasan bandar dan 231 buah di kawasan luar bandar. Sebanyak 23% daripada kemudahan yang disedia untuk kawasan luar bandar adalah perpustakaan bergerak. Bangunan Perpustakaan Negara pula siap dibina pada tahun 1993 dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat bagi menawarkan perkhidmatan yang berkesan termasuk peluang mendapat sumber maklumat pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Pada akhir tahun 1997, semua perpustakaan negeri mempunyai laman web bagi memperbaiki capaian perkhidmatan maklumat (Malaysia 1991). Sehingga November 2008 sebanyak 1,277 buah perpustakaan awam dan 1,089 Unit Perpustakaan Desa dibangun di seluruh negara. Selain infrastruktur fizikal, kerajaan turut disaran agar mewujud perpustakaan digital di Institut Pendidikan Guru (IPG) (Dewan Rakyat Malaysia 2007f). Sementara itu, Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mula membangun perpustakaan digital (Dewan Rakyat Malaysia 2008a). Sehingga pertengahan 2007, 300 buah perpustakaan daerah dan desa dilengkapi dengan kemudahan Universal Service Provision (USP). Sementara itu, sebanyak 250 pusat perkhidmatan dan komuniti dibangun diseluruh negara. Bagi perpustakaan yang tidak mempunyai bekalan elektrik, tenaga solar diguna. Dalam pada itu, rangkaian tanpa wayar Local Area Network (LAN) diguna di lima buah projek pilot yang terpilih.


(7)

Dalam RMK6 juga, Perpustakaan Negara bekerjasama dengan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) menubuh rangkaian infrastruktur maklumat bagi Perpustakaan Negara melalui projek Jaringan Ilmu. Melalui projek ini, Perpustakaan Negara dirangkai dengan beberapa perpustakaan jabatan Kerajaan tertentu dan perpustakaan institusi pengajian tinggi awam (Dewan Rakyat Malaysia 2009b). Walaupun kerajaan mula menaik taraf infrastuktur, namun kerajaan turut disaran agar membina bangunan perpustakaan desa yang khusus agar tidak menumpang dibangunan seperti komplek penghulu dan sebagainya (Dewan Rakyat Malaysia 2008a) dan menambah bilangan perpustakaan desa khususnya di Sarawak (Dewan Rakyat Malaysia 2008k).

Pada akhir 1990-an, isu berkaitan kandungan mula disuarakan. Bagi tujuan penyediaan kandungan, sebanyak RM30.8 juta diperuntukan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi perbelanjaan bekalan tambahan 2009 yang sebahagiannya diguna bagi pembelian buku karya penulis tempatan dan perbelanjaan lain untuk Perpustakaan Desa di seluruh negara (Dewan Negara Malaysia 2009a). Aspek lain berkaitan dengan kandungan adalah berkaitan kualiti dan jenis buku (Dewan Rakyat Malaysia 2010b). Umumnya dalam RMK7, infrastruktur dan bahan bacaan semakin baik dengan pertambahan bilangan judul dari 1.5 juta pada 1995 kepada 13.5 juta pada tahun 2000. Walaupun bilang perpustakaan didapati bertambah dari 487 pada tahun 1995 kepada 610 pada tahun 2000 kerajaan terus digesa agar menambah bilangan perpustakaan (Dewan Rakyat Malaysia 2010b; Dewan Rakyat Malaysia 2010c) termasuk di kolej swasta (Dewan Rakyat Malaysia 2009c). Infrastruktur meliputi perpustakaan berasaskan IT (PERDANA) dipertingkat dengan pelancaran Mylib pada 29 Jun 2000 yang memboleh pengguna mendapat berbagai maklumat melalui pangkalan data. Selain itu kerajaan turut memperkenal perpustakaan jalur lebar komuniti melalui inisiatif Jalur Lebar Nasional melalui kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) (Dewan Rakyat Malaysia 2009d; Dewan Negara Malaysia 2010). Sehingga pertengahan tahun 2007, sebanyak 44 Perpustakaan Jalur Lebar beroperasi di seluruh negara termasuk di Sabah (Dewan Rakyat Malaysia 2008b) dan ditambah kepada 61 buah selepas tahun 2007 (Dewan Rakyat Malaysia 2009e). Kemajuan yang dicapai dalam RMK8 menunjukkan


(8)

perpustakaan di luar bandar dilengkapi kemudahan talian tetap, telefon awam berbayar dan Internet melalui program Tabung USP yang disumbang oleh pihak industri. Dalam RMK9 kerajaan merancang untuk menyedia bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti serta menaik taraf dan memaksimum sumber perpustakaan sekolah dan awam. Namun tidak dinyatakan dengan jelas apakah perancangan kerajaan berkaitan dengan perpustakaan dan perkhidmatan maklumat serta jumlah peruntukan untuk sektor ini.

Kerajaan menyedari peranan perpustakaan sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan pendidikan, sosial dan budaya negara (Malaysia 1981). Dalam Laporan RMK6, dinyatakan dengan jelas bahawa program pembangunan perpustakaan adalah bertujuan membangun masyarakat bermaklumat. Bagi tujuan ini, kerajaan digesa mempertingkat kemudahan termasuk dalam kawasan perumahan dan kampung (Dewan Rakyat Malaysia 2001a). Sejajar dengan perkembangan ini, penggubal polisi negara menunjukkan minat berkaitan isu kandungan tempatan. Perbahasan Parlimen pada tahun 1970 sehingga 1979 mula menunjukkan kecenderungan terhadap kandungan tempatan. Sebagai contoh perbahasan dalam Dewan Rakyat Malaysia (1973) yang mengemukakan persoalan berkait bahan dalam bahasa Melayu dan bahan terjemahan di Perpustakaan Negara dan perpustakaan awam. Penggubal polisi turut membangkit persoalan tentang jumlah penerbitan tempatan di pejabat penerangan di luar negara dan menuntut agar kerajaan mendapatkan semula naskhah koleksi buku lama yang terdapat di perpustakaan di luar negara (Dewan Negara Malaysia 1975). Penerbitan tempatan diakui masih rendah iaitu sekitar 2 hingga 5 peratus di kebanyakan pejabat sementara bahan bacaan Bahasa Melayu digesa untuk ditambah di sekolah (Dewan Negara Malaysia 1978). Dalam Rancangan Malaysia ketujuh (RMK7), bilangan manuskrip dan buku didapati bertambah iaitu 15,920 tajuk baharu, 750 koleksi istimewa termasuk penerbitan sebelum kurun ke 19, dan 120 manuskrip melayu. Perpustakaan Negara Malaysia antaranya menyedia dana sebanyak RM5 juta dalam tahun 2007, RM2.5 juta dalam tahun 2008 dan RM4 juta pada tahun 2009 bagi membantu GAPENA, para karyawan dan penulis dalam usaha menyokong pembangunan industri penulisan dan penerbitan dalam bidang kesusasteraan dan ilmiah (Dewan Negara Malaysia 2009b). Secara purata sebanyak


(9)

12,000 judul buku diterbit dalam setahun di Malaysia (Dewan Rakyat Malaysia 2008c).

Kerajaan turut perihatin tentang budaya membaca dalam kalangan rakyat mulai tahun 1980-an (Dewan Negara Malaysia 2008; Dewan Rakyat Malaysia 2010b; Dewan Rakyat Malaysia 2010d). Kerajaan melancar kempen gerakan membaca dengan matlamat untuk membina masyarakat yang membaca dan berilmu. Selaras dengan tujuan tersebut, tahun 1988 diisytihar sebagai "Tahun Membaca" bertujuan untuk menyedar semua rakyat tentang proses membina dan menimba ilmu melalui pembacaan yang berterusan. Program galakan membaca secara bersepadu oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan turut dijalankan. Dalam RMK7, sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi melaksana Program Galakan Membaca (Dewan Rakyat Malaysia 2001b). Tambahan sebanyak RM6.3 juta iaitu untuk Program Kempen Galakan Membaca Kebangsaan (Dewan Rakyat Malaysia 2006a). Kempen membaca pada peringkat sekolah turut dilakukan melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) pada peringkat sekolah rendah dan menengah, pertandingan pusat sumber sekolah, pertandingan kokurikulum yang perlu kepada pembacaan luas seperti pertandingan bercerita, bahas ala Parlimen, Pidato Piala di Raja dan kuiz. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang ditubuh di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga menganjur aktiviti galakan membaca (Dewan Negara Malaysia 2007b). Manakala melalui Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, program seperti pertandingan cerita rakyat, Let’s Read Together, Buku Kawan Anda, Keharuman Buku, Jejak Maklumat, Sesi Bercerita Dengarlah Sayang, Program Literasi Maklumat dan Semarak Jawi dan penubuhan Kelab Membaca Kebangsaan adalah program dan langkah strategik kementerian bagi menyemai amalan membaca dalam kalangan rakyat (Dewan Rakyat Malaysia 2008c). Selain itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui agensi jabatan di bawahnya melaksana berbagai langkah untuk membudaya ilmu pengetahuan dengan kempen Mari Membaca 1Malaysia di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (Dewan Rakyat Malaysia 2010d).


(10)

Refleksi dan Kritik

Peranan perpustakaan dan perkhidmatan maklumat dalam mengubal dan menyelia polisi maklumat diperakui oleh pengkaji lampau. Gill (2001) dan Kargbo (2007) contohnya, menegaskan disamping menjadi penyedia maklumat, perpustakaan mestilah menjadi pembangun dan memain peranan penting dalam polisi maklumat kebangsaan. Hal ini berbeza dengan penemuan kajian ini yang mendapati tidak wujud perkaitan dan peranan perpustakaan dengan polisi maklumat di Malaysia disebut pada sebarang bahagian dalam polisi berkaitan maklumat dan perpustakaan sama ada dalam Akta 80, Akta 331, Akta A667 dan Dasar Negara Bagi Perpustakaan Dan Perkhidmatan Maklumat. Kajian juga mendapati Penyata Rasmi Parlimen dan Dewan Negara Malaysia tidak mengemukakan persoalan tentang kepentingan perpustakaan sebagai peneraju polisi maklumat. Malah tidak ada saranan atau gesaan dari Ahli Parlimen dan Dewan Rakyat Malaysia agar perpustakaan dilantik menjadi ahli kepada Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) iaitu sebuah badan koordinasi tertinggi berkaitan maklumat di Malaysia. Hal ini bermakna, profesional bidang maklumat tidak terlibat dalam menyedia cadangan polisi maklumat dan kajian yang berkaitan polisi maklumat. Hal ini dipercayai akibat dari kekurangan pengaruh dan kuasa profesional maklumat.

Dalam model polisi maklumat, isu yang dikaitkan dengan perpustakaan adalah tekanan kepada pendemokrasian capaian maklumat, usaha galakan minat membaca dan menghargai buku, galakan menghasil dan menerbit buku (Bustamante 2007). Malaysia tidak ketinggalan dari sudut kempen membaca bagi tujuan membudaya ilmu dalam kalangan anggota masyarakat. Walaupun galakan membaca dilaksana menerusi kempen membaca, namun galakan melalui pemberian insentif kepada penulis dan penerbit buku tidak dibuat secara serius. Insentif hanya diberi kepada pihak yang menyedia kemudahan perpustakaan sama ada pada peringkat awam, sekolah mahupun universiti melalui potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (Dewan Rakyat Malaysia 2005a).

Peranan perpustakaan sebagai sumber dan penyedia maklumat bagi pembangunan ekonomi dan sosial didapati tidak ketara. Kebanyakan isu didapati


(11)

berlegar sekitar penyediaan keperluan infrastruktur maklumat. Justeru, bagi membudaya maklumat di Malaysia, satu polisi yang dipanggil Ubiquitous library (U-Library) diwujud di Malaysia pada tahun 2010 (Anon 2010).

5.2.3 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dibincang secara serius oleh kerajaan mulai awal tahun 1980-an. Satu bab khusus diperuntuk bagi menjelas mengenai teknologi maklumat dalam RMK7. Ini adalah kali pertama teknologi maklumat diberi fokus secara serius dalam enam buah rancangan sepanjang lima tahun dan enam kali kajian separuh penggal dalam tempoh tiga dekad (Dewan Rakyat Malaysia 1996a). Bagi menjadikan ICT sebagai agenda kebangsaan, beberapa insiatif dikemukakan oleh kerajaan antaranya ialah gagasan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadi asas pembangunan industri dan revolusi teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia (Dewan Negara Malaysia 2004). Sementara itu, bagi menggubal dasar dan menentu arah tuju sektor ICT negara, kerajaan membentuk Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) iaitu satu badan peringkat kebangsaan yang dianggotai oleh agensi yang berkaitan maklumat, wakil swasta dan masyarakat awam (Dewan Negara Malaysia 2006a). Kesungguhan kerajaan dalam bidang ICT dapat dibuktikan dengan peruntukan besar sebanyak RM46.3 juta kepada Bahagian Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi memasti maklumat berkualiti dapat hasil bagi membantu perkembangan polisi sains dan teknologi di Malaysia (Dewan Rakyat Malaysia 2008d).

Agensi yang bertanggungjawab menjalankan kajian berkaitan ICT adalah Malaysian Institute Of Microelectronic Systems (MIMOS). MIMOS berfungsi sebagai institusi R&D dalam bidang mikrotronik dan teknologi maklumat dan komunikasi negara. Antara kejayaan MIMOS adalah memperkenal dan menyedia perkhidmatan Internet pertama di Malaysia, mencipta dan membangun komputer peribadi kebangsan yang pertama, reka bentuk cip, membangun tenaga manusia berkemahiran dalam bidang mikrotronik dan semi-konduktor (Dewan Rakyat Malaysia 2005a). Selain itu MIMOS turut menubuh National Information Security Emergency Respond (NISER)


(12)

(Dewan Rakyat Malaysia 2005a) bagi memenuhi keperluan melindungi infrastruktur kritikal daripada ancaman dan serangan siber (Dewan Rakyat Malaysia 1998a).

Selain MIMOS, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melaksana dua inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat ICT Asia iaitu Program Dana Prapertumbuhan Usahawan Tekno dan Pusat Panggilan Pelanggan MSC Malaysia. Program Dana Prapertumbuhan Usahawan Tekno diwujudkan dalam RMK9 dengan dana sebanyak RM80 juta bagi membiayai 400 projek berkait ICT (Dewan Negara Malaysia 2007c). Bagi tujuan R&D antara skim yang ditawar kerajaan adalah Skim Geran R&D MSC. Sebanyak 56 syarikat tempatan berstatus MSC diberi bantuan, 18 buah daripadanya adalah syarikat bumiputera yang menerima geran berjumlah RM36 juta (Dewan Negara 2004). Melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperkukuh bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (RDC) dengan memberi penekanan kepada keusahawanan yang berorientasi pasaran bagi menghasil output bernilai komersial tinggi. Antara bidang keutamaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) adalah ICT dengan menyedia dana seperti dana penyelidikan, dana pra pengkomersialan serta mempertingkat kolaborasi antara institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi dengan pihak industri (Dewan Negara Malaysia 2010b).

Kerajaan Malaysia turut membangun piawai kebangsaan sebagai salah satu asas penting kepada kemajuan ICT dan inovasi. Disamping itu, piawaian sedia ada yang sepadan dengan piawai antarabangsa diadaptasi menjadi piawaian Malaysia. Kerjasama dengan badan piawai antarabangsa pula dipertingkat dan diperkukuh. Jaringan usaha sama dengan badan piawai dunia iaitu American Society of Mechanical Engineers (ASME), American National Standards of Institute (ANSI), British Standard, European Standard, dan Japan Institute of Technology turut dilakukan. Selain itu, Jabatan piawaian Malaysia dan SIRIM Berhad menjalin hubungan kerjasama dengan badan piawai dunia seperti International Organization for Standardization (ISO), International Electro Technical Commission (IEC), Pacific Area Standards Congress (PASC) dan Asia Pasific Economy Corporation Sub Committee on Standard and Conformance (APECSCSC) (Dewan Negara Malaysia 2007c).


(13)

Walaupun terdapat beberapa agensi yang sedia menjalankan kegiatan berkaitan ICT seperti MIMOS dan MDeC, kajian perlu terus dijalan bagi menetapkan bidang yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan apabila hendak memulakan aktiviti ICT pada peringkat kebangsaan (William Miller dlm. Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Bagi tujuan tersebut, kerajaan mengenal pasti tujuh bidang utama yang perlu dikuasai iaitu perkomputeran berkuasa tinggi, perisian, storan data, simulasi komputer dan pemodelan, mikro elektronik, pengesan dan pemprosesan isyarat serta pengimejan dan paparan berdefinisi tinggi (Dewan Rakyat Malaysia 2001c). Sementara itu, Dewan Rakyat Malaysia (1997d) turut mencadang empat komponen yang boleh dikaitkan dengan infrastruktur maklumat kebangsaan iaitu, rangkaian telekomunikasi, alat kelengkapan maklumat seperti sistem komputer, televisyen, mesin faksimili, dan telefon, perisian, perkhidmatan maklumat serta pangkalan data dan tenaga pakar.

Dari aspek infrastruktur ICT, Telekom Malaysia Berhad (TMB) adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab menyedia rangkaian telekomunikasi di Malaysia. TMB turut bertanggungjawab menyedia rangkaian telefon berdasarkan taburan telefon yang ditetap oleh kerajaan (Dewan Negara Malaysia 1994). Pada tahun 2005 kadar pemilikan telefon adalah 45 telefon bagi setiap 100 orang penduduk. Bagi kawasan luar bandar, kadar ini ditetapkan pada 10 telefon bagi setiap 100 orang penduduk. TMB turut memperuntukkan sebanyak RM93.153 juta dari tahun 1998 hingga 2001 bagi menyedia rangkaian telekomunikasi luar bandar khususnya di negeri Sarawak. Sebanyak 500 buah rumah panjang dan kampung dikenal pasti oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak bagi mencapai matlamat 25 telefon setiap 100 orang penduduk dapat dicapai pada tahun 2020. Pada tahun 2000, TMB melaksana sistem tanpa wayar di kawasan pedalaman. Sebanyak RM318 juta dibelanja untuk melaksana infrastruktur pemasangan telefon di kawasan pedalaman dengan seramai 120,000 orang penduduk di kawasan pedalaman menikmati kemudahan telefon (Dewan Rakyat Malaysia 2000a). Perkhidmatan sistem tanpa wayar diberi melalui sistem radio, Mulyi Access Radio System (MARS)/Country Set dan Automatic Telephone Using Radio (ATUR) (Dewan Negara Malaysia 1994). Selain itu, Code division multiple access (CDMA) turut dilaksana di Sabah bagi projek Wireless Internet Look (WIL) (Dewan Negara Malaysia 2001a).


(14)

Bagi melengkapi infrastruktur telekomunikasi negara, syarikat swasta turut diberi lesen mengendali perkhidmatan selular dalam dan luar negeri seperti Celcom, dan MOBICOM. Lesen untuk memasang dan mengendali rangkaian optik fiber di seluruh negara diberi kepada syarikat Time Engineering. Satelit Komunikasi Malaysia, MEASAT pula dikendali oleh Syarikat Bina Riang yang melancarkannya pada tahun 1995. Syarikat Bina Riang turut diberi lesen untuk mengendali perkhidmatan selular, General System Mobile (GSM) (Dewan Negara Malaysia 1993). Kerajaan turut memperkenal program Time 3 pada tahun 2008 untuk memperluas liputan selular di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman. Peluasan liputan selular awam ini melibatkan pembinaan 1,000 buah menara telekomunikasi di seluruh negara, di mana 127 buah menara telah beroperasi (Dewan Rakyat Malaysia 2010d). Kerajaan disaran untuk mencapai sasaran liputan selular sebanyak 97 peratus kawasan berpenduduk dapat dicapai pada akhir tahun 2010 (Dewan Rakyat Malaysia 2010e, Dewan Negara Malaysia 2010).

Selain infrastruktur pada peringkat kebangsaan, infrastruktur telekomunikasi dalam sektor awam turut dipertingkat agar kualiti perkhidmatan dapat diperbaiki (Dewan Rakyat Malaysia 1997e). Sebagai contoh, kerajaan menyedia infrastruktur telekomunikasi bersepadu di setiap jabatan dan agensi kerajaan melalui infrastruktur rangkaian telekomunikasi bersepadu kerajaan (Government Integrated Telecommunication Network – GITN) yang dilaksana pada tahun 1995 (Dewan Rakyat Malaysia 1997e; Dewan Negara Malaysia 2005). Kerajaan turut melaksana konsep perkhidmatan tanpa kertas melalui Electronic Data Interchange (EDI) membolehkan urusan perdagangan dijalankan secara dalam talian dan penyeragaman dalam sistem kewangan dalam badan berkanun melalui pelaksanaan pakej Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) (Dewan Rakyat Malaysia 1997e).

Rangkaian komunikasi dengan keupayaan jalur lebar dikenal pasti sebagai keperluan utama bagi penyampai berbagai perkhidmatan dalam masyarakat (Dewan Negara Malaysia 2006b; Dewan Rakyat Malaysia 2010). Justeru, capaian universal kepada lebuhraya maklumat perlu menjadi kemudahan mampu milik bagi semua rakyat bagi mencapai wawasan masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia


(15)

1996b; Dewan Rakyat Malaysia 2006b). Bagi tujuan tersebut, pelan jalur lebar Malaysia diperkenal pada akhir 2004 sebagai satu strategi meningkat infrastruktur jalur lebar. Inisiatif Jalur Lebar Nasional adalah satu strategi menyeluruh kerajaan yang dilaksana melalui dua kategori iaitu jalur lebar berkelajuan tinggi dan jalur lebar untuk orang awam (Dewan Negara Malaysia 2010a). Sehingga akhir tahun 2005, kadar penembusan jalur lebar isi rumah ialah sebanyak 8.5 peratus (Dewan Negara Malaysia 2006). Kadar penembusan meningkat kepada 12 peratus pada tahun 2007 dan dijangka mencapai sasaran 50 peratus pada tahun 2010 (Dewan Rakyat Malaysia 2007e; Dewan Negara Malaysia 2010a; Dewan Rakyat Malaysia 2010e, Dewan Negara Malaysia 2010c). Kerajaan mensasar 75% isi rumah mendapat liputan jalur lebar menjelang tahun 2015 (Malaysia 2011).

Antara inisiatif yang dilaksana oleh pihak industri dengan sokongan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi ialah Initiative Easy to Own Broadband PC oleh penyedia perkhidmatan Internet. Strategi MY SMS 886 juga turut menumpu usaha bagi mempertingkat kadar pemilikan komputer dan langganan jalur lebar melalui kempen one home one Internet access dengan sasaran sebanyak 90% isi rumah mempunyai capaian kepada Internet pada tahun 2010. Pihak TIMEdotCom menyedia perkhidmatan 3G secara komersial di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru pada tahun 2007. Liputan perkhidmatan Streamyx oleh Telekom Malaysia diperluas ke seluruh Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan pedalaman. Perkhidmatan jalur lebar di Sabah dan Sarawak juga dijangka dapat diperluas dengan pelaksanaan teknologi jalur lebar tanpa wayar iaitu WiMax (Dewan Rakyat Malaysia 2007c).

Faktor kadar pemilikan komputer yang rendah dikenal pasti menjadi penghalang kepada penembusan perkhidmatan jalur lebar. Sehingga akhir Jun 2006 kadar penembusan komputer dilapor sebanyak 23.6 peratus. Bagi memperbaiki keadaan ini, kerajaan melaksana beberapa program. Kerajaan menyedia makmal komputer dan menggalak syarikat swasta membekal komputer percuma ke sekolah, seterusnya meningkat dasar pendidikan seumur hidup bagi melahir sumber tenaga manusia yang produktif melalui pembelajaran maya. Bagi golongan pekerja pula, kerajaan membenar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman yang berulang selepas 5 tahun dan pelepasan cukai kepada syarikat yang


(16)

membekal komputer untuk kakitangan. Sementara itu, kerajaan turut meningkat penggunaan teknologi maklumat dalam semua institusi kerajaan (Dewan Rakyat Malaysia 2001). Selain itu, dalam Bajet 2007, kerajaan mengumumkan tempoh layak menuntut galakan cukai bagi pembelian komputer dari lima tahun kepada setiap tiga tahun (Dewan Negara Malaysia 2006c).

Perkhidmatan telekomunikasi yang tidak memuaskan di kawasan pedalaman masih menjadi isu (Dewan Rakyat Malaysia 2000a). Kerajaan digesa untuk mencapai tahap celik komputer dalam kalangan semua rakyat dengan menyedia infrastruktur ICT yang meliputi semua kawasan (Dewan Rakyat Malaysia 1997f). Perkhidmatan telekomunikasi di luar bandar serta di Sabah dan Sarawak menjadi perbahasan ahli parlimen hingga ke tahun 2007 (Dewan Negara Malaysia 2001a; Dewan Rakyat Malaysia 2007c). Selain itu, kemudahan ICT yang belum memuaskan terutama isu perkongsian komputer oleh para pelajar turut menjadi perhatian kerajaan (Dewan Rakyat Malaysia 2010d). Berhubung dengan infrastruktur ICT, kerajaan digesa agar menyedia kemudahan elektrik apabila membekal kemudahan komputer di sekolah (Dewan Rakyat Malaysia 2008e) dan memperluas liputan MSC ke negeri lain seperti Sarawak (Dewan Rakyat Malaysia 1997d).

Walaupun infrastruktur asas ICT didapati berkembang baik dan menyeluruh, namun caj penggunaan Internet di Malaysia masih tinggi. Justeru, kerajaan diseru agar caj capaian kepada produk dan aplikasi multimedia diturun pada kadar yang berpatutan kepada semua rakyat (Dewan Negara Malaysia 1997). Hal ini dapat dilakukan dengan mengoptimum dana USP yang terkumpul melalui SKMM yang berjumlah RM1.6 bilion. Dana ini digesa agar diguna bagi menyedia perkhidmatan telefon dan Internet ke seluruh negara. Selain itu, sejumlah RM12 bilion peruntukkan untuk RMK9 bagi menyedia prasarana lain untuk sekolah, komuniti dan perpustakaan desa perlu dibelanja dengan sepenuhnya bagi menjamin perkhidmatan Internet dapat dinikmati secara menyeluruh dengan harga yang berpatutan (Dewan Rakyat Malaysia 2006b).

Teknologi maklumat menjadi perkara pokok bagi kerajaan Malaysia disamping memupuk semangat serius kepada transisi Malaysia menjadi masyarakat bermaklumat. Sehubungan itu, kerajaan dicadang menubuh satu kementerian khusus bagi


(17)

membimbing pembangunan IT dan mengawal selia pembangunan infrastruktur maklumat kebangsaan serta semua perkara yang berkaitan dengan komunikasi dan multimedia (Dewan Rakyat Malaysia 1998a). Namun cadangan mewujud kementerian berkaitan maklumat tidak dapat dilaksana kerana kuasa untuk menubuh kementerian baharu atau memberi tugas kepada menteri adalah hak Perdana Menteri (Dewan Rakyat Malaysia 1998b).

Bagi meneruskan visi ICT kebangsaan, kerajaan perlu kepada komitmen menyeluruh dari pimpinan negara dan badan politik tertinggi negara (William Miller dlm. Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Begitu juga kejayaan NITA adalah bergantung kepada pemimpin yang bersedia menukar kerangka pemikiran berkenaan budaya masyarakat bermaklumat. Pemimpin yang bersedia belajar sepanjang hayat didapati bersikap terbuka dan menerima baik idea tanpa mengira sumber maklumat tersebut. Namun sebahagian pemimpin pada peringkat parlimen dan dewan undangan negeri didakwa tidak mengambil perhatian serius mengenai ICT (Dewan Rakyat Malaysia 1998a). Mengenai MSC, majoriti rakyat Malaysia termasuk pemimpin pada peringkat negeri, pegawai kerajaan dan pihak swasta didakwa belum memahami matlamat dan faedah sebenar MSC kepada negara (Dewan Rakyat Malaysia 1997a). Rakyat Malaysia perlu menukar pemikiran yang menganggap Teknologi Maklumat (IT) dan MSC adalah perkara yang sama. MSC adalah sebahagian daripada Agenda IT Kebangsaan (NITA). MSC boleh dianggap sebagai ‘crown jewel’ bagi Infrastruktur Maklumat Kebangsaan yang perlu dibina oleh kerajaan bagi melakukan transisi ke era ‘masyarakat bermaklumat’. Dalam erti kata lain, MSC bukan Infrastruktur Maklumat Kebangsaan. Ini merupakan persoalan pokok bagi NITA (Dewan Rakyat Malaysia 1997d). Kerajaan sedar bahawa ICT adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi khususnya yang berasaskan pengetahuan (Dewan Rakyat Malaysia 2008f). Rakyat perlu diberi pendidikan agar Internet tidak hanya dianggap sebagai alat penyelesai masalah atau dikaitkan dengan komputer sahaja, tetapi juga dikaitkan dengan cara hidup. Rakyat dan pemimpin juga perlu diberi kefahaman bagaimana Internet boleh mengubah cara manusia bekerja, hidup, belajar dan bermain, bukan sekadar teknologi yang berkaitan kuasa mikropemprosesan atau jalur lebar. Justeru, dasar IT kebangsaan sepatutnya merupakan satu dasar,


(18)

strategi dan rancangan yang berpusat kepada rakyat dan bukan berpusat kepada projek atau berpusat kepada MSC (Dewan Rakyat Malaysia 1998b).

Promosi MSC perlu dilakukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Walaupun MSC dikenali pada peringkat tempatan dan sebahagian daripada negara luar, namun MSC perlu membawa jenamanya dan pengiktirafan pada peringkat global. Hal ini dapat dilaksana dengan mempertingkat hubungan dengan negara ASEAN, The Organisation of the Islamic Conference (OIC) dan Non-Aligned Movement (NAM). Bagi tujuan tersebut, MDeC membuka pejabat di Dalian, China dan Jeddah, Arab Saudi. Natijahnya, MSC diiktiraf dan dianugerahi beberapa kontrak antarabangsa seperti di Arab Saudi, Bahrain, Myanmar dan Iran (Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Selain itu matlamat strategik MSC perlu diperluaskan kepada beberapa bidang kritikal lain antaranya sistem penyampaian awam, pendidikan, kesihatan dan bioteknologi (Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004).

Refleksi dan Kritik

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai infrastruktur yang menyeluruh dan baik dalam kalangan negara Asia walaupun ketinggalan berbanding purata untuk seluruh dunia (Muhammad Abkari & Mokhtar 2006). Infrastruktur menyeluruh diakui sukar untuk dilaksana terutama di Sabah dan Sarawak. Selain kawasan yang luas, geografinya yang bergunung-ganang menyebabkan penyediaan infrastruktur ICT menjadi sukar. Namun begitu, dengan mengguna teknologi tanpa wayar kerajaan dapat menyedia kemudahan ICT di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak (Dewan Rakyat Malaysia 2000a). Kerajaan juga sedar tentang kepentingan menyedia jalur lebar kepada rakyat. Rancangan Jalur Lebar Kebangsaan diluluskan oleh kabinet Malaysia pada Oktober 2004. Rancangan ini mendapat input yang besar dengan pengenalan rancangan lima tahun Blueprint MyICMS (Malaysian Information, Communications and Multimedia Services) 886 (Rashidah 2007).

Perbahasan ICT didapati berkisar tentang penyediaan infrastruktur yang menyeluruh kepada rakyat dan aspek teknikal yang lain seperti piawaian ICT. Dalam


(19)

kalangan penggubal polisi negara iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara Malaysia, didapati tidak mengaitkan isu infrastruktur dengan infostruktur. Hal ini menjadikan isu kandungan dan tekologi ICT ditangani secara berasingan dan menyebabkan infostruktur menjadi isu yang dikesampingkan. Infrastruktur adalah alatan dan keupayaan mengguna alatan adalah penting. Namun infostruktur menjadi isu yang besar kerana perlu dibangun dari dalam negara. Hal ini penting kerana kira-kira 75% dari jumlah maklumat berasal dari luar Malaysia (Ding 1998). Keadaan ini memberi ruang kepada musuh negara untuk menyerang Malaysia dari sudut ekonomi, sosio-politik dan kedaulatan negara. Masalah tersebut dijangka dapat dikurang dengan mempertingkat tahap profesionalisme dan kesedaran dalam kalangan kakitangan awam tentang kepentingan maklumat negara terhadap kedaulatan negara. Kakitangan awam perlu sedar bahawa tanpa pembangunan maklumat dari dalam negara, kandungan dari luar diimport dan hal ini membabit persoalan mengenai kesesuaiannya dengan nilai dan budaya kebangsaan dan agama. Sementara itu Saxby (2011), bertegas kejayaan ICT tidak hanya berkaitan dengan penyediaan infrastruktur tetapi sejauh mana pembangunan kandungan tempatan dapat selari dengan pengenalan ICT dalam negara. ICT juga didapati dibahas secara berasingan daripada sektor lain terutama perpustakaan dan perkhidmatan maklumat. Kerajaan disaran mewujud satu kementerian khas bagi mengurus dan mentadbir maklumat termasuk mencipta, mentadbir, menyebar, mengekal dan menghapus maklumat dalam negara dengan berkesan.

5.2.4 Sosial

Istilah dan perbahasan ‘masyarakat bermaklumat’ dan ‘masyarakat berpengetahuan’ mula popular apabila diguna sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara Malaysia terutama dalam perbahasan Rang Undang-Undang berkaitan MSC seperti Rang Undang-Undang Hakcipta (Pindaan) 1997, Rang Undang-Undang Jenayah Komputer 1997, dan Rang Undang-undang Cakera Optik 2000 (Dewan Negara Malaysia 1998a; Dewan Rakyat Malaysia 2000b). Namun, konsep masyarakat bermaklumat tidak disepakati dalam kalangan penggubal polisi di Malaysia. Sebahagian penggubal polisi merujuk masyarakat bermaklumat sebagai golongan pelajar (Dewan Rakyat Malaysia 2009f) dan sebahagian merujuk kepada satu


(20)

masyarakat yang meletak ilmu sebagai tumpuan utama dan menganggap ilmu sebagai komponen penting bagi kehidupan peribadi serta pekerjaan (Dewan Rakyat Malaysia 1996b). Kerajaan Malaysia berusaha membangun masyarakat bermaklumat sebagai salah satu matlamat negara maju pada tahun 2020 (Dewan Rakyat Malaysia 1999a; Dewan Rakyat Malaysia 2007d). MSC pula menjadi simbol kepada visi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteras kepada masyarakat bermaklumat (Dewan Negara Malaysia 2008g).

Bagi membangun masyarakat bermaklumat kerajaan Malaysia menghadapi beberapa cabaran antaranya adalah membangun modal insan, keupayaan inovasi pembentukan budaya ilmu dalam kalangan rakyat (Dewan Rakyat Malaysia 2007e). Bagi menangani cabaran di atas, kerajaan melaksana beberapa dasar termasuk mensasarkan 60% dari masyarakat yang berusia 18 ke 25 tahun mempunyai kelayakan minimum sijil, diploma dan ijazah. Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan menambah bilangan IPTA dan IPTS. Pada tahun 2008, Malaysia mempunyai 20 IPTA dan 468 IPTS yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia 2008g). Bukan sekadar pendidikan formal, pendidikan sepanjang hayat juga diakui penting bagi tujuan membangun masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia 2007f). Selain pendidikan, kerajaan turut mengubal akta bagi tujuan mengadakan peruntukan pemerolehan, pemeliharaan, pameran dan pemajuan karya seni visual di Malaysia dan perkara yang berkaitan dengannya melalui penubuhan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Balai Seni Visual Negara (Dewan Rakyat Malaysia 2010g). Selain itu, aspek penguasaan kemahiran dan capaian teknologi maklumat juga penting kerana teknologi maklumat dan multimedia diakui menjadi alat strategik bagi membentuk masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia 1999a; Dewan Negara Malaysia 2001b; Dewan Negara Malaysia 2006b).

Selain mengakui kepentingan ICT terhadap kemajuan masyarakat bermaklumat, kerajaan menyedari pelaksanaan aplikasi elektronik yang melibat kegiatan harian seperti perdagangan elektronik (e-dagang) dalam kalangan masyarakat umum tidak menggalakkan. Bagi mengatasinya, usaha meningkat kesedaran orang ramai tentang manfaat serta kepentingan e-dagang serta aktiviti melalui elektronik dijalankan menerusi kursus dan kempen tertentu. Kerajaan mempertingkat keyakinan


(21)

orang ramai tentang keselamatan laman web serta aktiviti dalam ruang siber melalui penyediaan kerangka undang-undang dan peraturan yang kondusif (Dewan Negara Malaysia 2001c). Perlindungan kebersendirian menerusi perundangan perlindungan data adalah perlu bagi masyarakat maklumat kerana pengaliran data peribadi yang besar berlaku menerusi rangka telekomunikasi, contohnya kad kredit, pemprosesan transaksi dan maklumat kesihatan (Dewan Negara Malaysia 1998b).

Agenda IT Kebangsaan (NITA) dilancar sebagai satu kerangka pada peringkat kebangsaan bertujuan menyokong agenda kerajaan dalam membangun masyarakat bermaklumat di Malaysia (Dewan Rakyat Malaysia 2001e; Malaysia 2001a). Selain itu, langkah lain yang dilaksana oleh kerajaan adalah melaksana MSC dengan 7 aplikasi utama, penubuhan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), bagi merangka NITA bagi membantu menyusun strategi pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat, membangun E-Komuniti, mewujud persekitaran E-Dagang, mewujud banyak ISP bagi menggalak penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat, menggalak pembangunan industri gantungan tempatan, mengadakan undang-undang siber untuk melindungi pengguna dan industri seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Telemedicine 1997 dan penubuhan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Dewan Negara Malaysia 1998c).

Aliran bebas maklumat diakui penting bagi membentuk masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia 2007g). Dengan alasan tersebut, MSC tidak mengenakan sebarang tapisan berita ke atas maklumat dan media massa tempatan bagi menyiar berita. Berkaitan dengan itu, kerajaan turut didesak agar akta rahsia rasmi (OSA) dimansuh dan diganti dengan akta kebebasan maklumat kerana menganggap maklumat sebagai satu hak asasi rakyat (Perbahasan Dewan Rakyat Malaysia 1999b). Kerajaan turut digesa bersikap terbuka dengan menyedia maklumat yang telus kepada rakyat menerusi penyiaran program secara langsung (Dewan Rakyat Malaysia 1998c). Kerajaan dituntut mengeluar satu laporan status IT ke Parlimen sebagai satu bukti komitmen yang tinggi dari kerajaan ke arah transisi Malaysia menjadi masyarakat bermaklumat (Dewan Rakyat Malaysia 1998c).


(22)

Jurang digital adalah isu yang perlu ditangani oleh kerajaan kerana jurang digital boleh membantut usaha kerajaan membangun masyarakat bermaklumat. Isu jurang digital turut menjadi perbahasan dalam kalangan penggubal polisi dan kerajaan digesa mengambil langkah drastik dan berkesan bagi menangani jurang digital (Dewan Rakyat Malaysia 2003). Menurut laporan Unit Perancang Ekonomi (UPE), pada tahun 2006 negeri Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan tahap kemahiran yang tinggi berbanding negeri lain. Laporan UPE turut menunjukkan 90 peratus dari daerah luar bandar di Malaysia berada di bawah kadar purata capaian kepada Internet. Pada tahun 2006, capaian kepada Internet adalah sekitar 500,000 sedangkan sasaran kerajaan dalam tahun 2010 adalah dua juta capaian (Dewan Rakyat Malaysia 2006b).

Beberapa usaha dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangi jurang digital di Malaysia. Antaranya dengan meluaskan MSC ke kawasan baharu seperti Bayan Lepas Pulau Pinang dan Bandar Kulim Hi-Tech di Kedah (Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Sementara itu, program pembudayaan ICT dan program merapat jurang digital turut dilaksanakan oleh agensi kerajaan seperti MOSTI, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran serta kerajaan negeri (Dewan Negara Malaysia 2006a). UPE pula berfungsi menjadi penyelaras usaha menangani jurang digital antara agensi seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK). Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK) turut menyedia infrastruktur latihan dan perkhidmatan bagi 1,169 pusat Internet desa di seluruh negara (Dewan Negara Malaysia 2010a). Sementara itu, syarikat besar terutamanya yang dikuasai kerajaan seperti Telekom, TNB, Petronas dan MISC turut terlibat secara aktif membantu kerajaan dalam program dan projek yang bertujuan merapat jurang digital. Sebagai contoh, Program Internet Desa dan Universal Service Provider (USP) oleh Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Kerajaan turut melaksana inisiatif Tabung Perkhidmatan Sejagat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia memboleh sumbangan diperoleh daripada pelesen pembekal perkhidmatan industri komunikasi dan multimedia. Tabung ini diguna bagi membiayai penyediaan rangkaian telekomunikasi di kawasan luar bandar yang tidak diliputi oleh prasarana sedia ada. Kerajaan turut memperkenal projek e-komuniti bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perdana IT (Dewan Rakyat Malaysia 1999c).


(23)

Selain itu, kerajaan juga menyedia prasarana telekomunikasi ICT termasuk komputer serta Internet terutamanya di kawasan luar bandar melalui penubuhan pusat ICT seperti Internet Desa, Infodesa, pembekalan komputer di sekolah, pusat komuniti dan masjid (Dewan Negara Malaysia 2001c; Dewan Negara Malaysia 2010a) serta Pusat Internet 1Malaysia (Dewan Negara Malaysia 2010d). Inisiatif lain yang diperkenal adalah pelaksanaan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK), penubuhan Pusat Internet Rakyat (PIR), peluasan liputan selular awam melalui pembinaan 873 menara telekomunikasi baharu di seluruh negara termasuk 212 di Sabah dan 203 di Sarawak dan penyediaan RM1 bilion daripada dana pemberian perkhidmatan universal atau USP bagi pelaksanaan pengagihan satu juta komputer riba kepada golongan kurang berkemampuan (Dewan Rakyat Malaysia 2010d).

Refleksi dan Kritik

Analisis menunjukkan salah satu sebab pengenalan ICT kepada rakyat adalah bagi tujuan membentuk masyarakat bermaklumat. Istilah ‘masyarakat bermaklumat’ mulai diguna dalam perbahasan berkaitan dengan ICT dalam Dewan Rakyat Malaysia dan Dewan Negara. Bagi membangun masyarakat bermaklumat kerajaan perlu mengatasi beberapa halangan seperti kadar celik computer yang rendah. Menurut World Competitiveness Yearbook, IMD 2008-2009, Malaysia menduduki tempat ke-24 dari aspek kemahiran teknologi maklumat berbanding negara Sweden, Finland, Denmark, Singapore dan India (Malaysia Productivity Corporation - MPC 2009). Kedudukan pengguna Internet pula adalah pada kedudukan ke-49 berbanding negara Denmark, Iceland, Sweden, Finland, Republik Korea, United Kingdom dan Germany. Jurang digital menjadi isu utama di Malaysia, namun kerajaan didapati serius menangani isu jurang digital dengan melaksana beberapa program seperti Program Internet Desa, Infodesa dan menyedia komputer ke sekolah seluruh negara.

5.2.5 Maklumat Kerajaan

Capaian dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan diakui penting bagi kerajaan Malaysia (Edwin J. Feulner dlm. Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Bagi tujuan tersebut, Malaysia mewujud program kerajaan elektronik


(24)

(e-kerajaan) iaitu satu daripada tujuh aplikasi perdana MSC bagi meningkat prestasi agensi kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang cekap, menghasil produktiviti yang tinggi dan mewujud pentadbiran tanpa kertas (Dewan Rakyat Malaysia 1997e; Dewan Negara Malaysia 2010e). Pelaksanaan e-kerajaan membabitkan 24 buah kementerian, 126 buah jabatan persekutuan, 78 buah badan berkanun, 245 buah jabatan negeri, 109 badan berkanun negeri, 144 kerajaan tempatan, 1.1 juta kakitangan, 400,000 badan korporat, 1.6 juta pemilik perniagaan dan 26 juta rakyat Malaysia (Dewan Rakyat Malaysia 1997e). E-kerajaan adalah aplikasi penggunaan ICT bagi memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat. Sehingga 20 Disember 2010, bilangan laman sesawang atau portal yang dibangun oleh agensi sektor awam adalah 243 buah dalam agensi kerajaan peringkat persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan, 583 buah dalam agensi kerajaan peringkat negeri dan Badan Berkanun Negeri dan 123 buah pihak berkuasa tempatan. Portal myGovernment, www.malaysia.gov.my menjadi gerbang utama kepada konsep pusat setempat untuk memudah orang awam mencapai maklumat dan mengguna perkhidmatan dalam talian yang disedia oleh agensi pada peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan. MyGovernment menyedia sebanyak 2,417 perkhidmatan online, 321 perkhidmatan bayaran dalam talian dan 3,067 borang yang boleh dimuat turun melalui portal myGovernment. Kerajaan juga menyedia berbagai saluran elektronik seperti kiosk, Interactive Voice Responds (IVR), telefon dan perkhidmatan Internet serta mempercepat urusan seperti memproses permohonan, membuat pertanyaan dan pembayaran bagi berbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan. Antaranya seperti e-Declare Kastam – Kastam Diraja Malaysia, Katalog Induk Kebangsaan – Perpustakaan Negara Malaysia, semakan status pendaftaran pekerjaan – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, e-Filing – Lembaga Hasil Dalam Negeri, semakan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf – Kementerian Pengajian Tinggi, semakan jadual temu duga pekerjaan – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), sistem semakan status permohonan MyKad/MyPR – Jabatan Pendaftaran Negara dan MySMS (Dewan Negara Malaysia 2010e). Kementerian Kewangan pula memperkenal MyPROCUREMENT iaitu pusat maklumat kerajaan pada 1 April 2010 yang boleh memapar maklumat mengenai syarikat yang berjaya mendapat tender agensi kerajaan (Dewan Rakyat Malaysia 2010h). Kerajaan turut memperkenal inisiatif MyID, iaitu kemudahan berurusan


(25)

dengan kerajaan dengan mengguna nombor MyKad sebagai nombor rujukan tunggal. Usaha memperbaiki perkhidmatan maklumat kerajaan dibuat melalui beberapa inisiatif di bawah MAMPU dan juga beberapa agensi yang lain (Dewan Rakyat Malaysia 2010f). Kerajaan juga menganggap televisyen sebagai medium penting bagi menyalur maklumat kerajaan (Dewan Negara Malaysia 2007d). Bagi tujuan tersebut, RTM bekerjasama dengan stesen penyiar ASTRO kerana mempunyai perkhidmatan satelit terus ke rumah. Kerjasama ini membolehkan penduduk khususnya di pedalaman negeri Sabah dan Sarawak menerima siaran TV1, TV2 dan siaran bebas lain ke udara tanpa perlu membayar yuran langganan bulanan. Pendekatan kerjasama ini diambil kerana pelaksanaan melalui kaedah konvensional melibatkan masa dan kos yang tinggi bagi menyedia kemudahan asas seperti menara pemancar dan talian komunikasi (Dewan Rakyat Malaysia 2010i).

Selain infrasturktur dan aplikasi berkaitan maklumat kerajaan, kesedaran tentang hak rakyat terhadap maklumat turut diberi perhatian dalam kalangan penggubal polisi di Malaysia. Dalam sebuah masyarakat bermaklumat, rakyat berhak mencapai maklumat kerajaan kerana maklumat kerajaan adalah milik rakyat. Kerajaan dianggap sebagai pemegang maklumat bagi pihak rakyat dan harus memasti bahawa kualiti, integriti, maklumat kerajaan ini dijaga dengan baik. Rakyat perlu diberi hak capaian maklumat kerajaan kerana maklumat adalah syarat utama bagi sebuah masyarakat bermaklumat agar dapat berfungsi dengan baik dan seterusnya dapat menunai hak dan tanggungjawab rakyat bagi membuat pilihan yang tepat (Dewan Rakyat Malaysia 1996c). Berkaitan hal ini, kerajaan didakwa bertindak memperketat undang-undang dengan menyekat, mengawal dan menghad maklumat. Sebagai contoh, kerajaan didapati menyekat pengaliran berita asing ke dalam negara ini dengan menyiar segala berita asing melalui BERNAMA. Akhbar tempatan pula menghadapi sekatan untuk melapor peristiwa yang berlaku di Malaysia. Selain itu, beberapa maklumat penting kerajaan tidak dapat dicapai oleh rakyat mahupun ahli Dewan Rakyat Malaysia seperti senarai penerima lesen mengimport kereta terpakai (AP), Laporan Murad dalam sektor pendidikan, laporan Zahid mengenai pendidikan tinggi, Interim Report mengenai Royal Commission Inquiry dan National Help Financing’s Report (Dewan Rakyat Malaysia 2005b).


(26)

Penyebaran maklumat kerajaan kepada orang awam adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetap di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972. Arahan Keselamatan yang dikeluarkan oleh Jemaah Menteri mengenai peraturan kawalan keselamatan perlindungan maklumat untuk semua agensi kerajaan adalah dikawal selia oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Ketua jabatan menerusi peraturan sedia ada bertanggungjawab mengurus penggredan dokumen kerajaan kepada dua kategori utama iaitu maklumat rahsia besar, rahsia, sulit dan terhad serta maklumat yang terbuka (Dewan Rakyat Malaysia 2005b). Kerajaan membenar capaian maklumat rahsia melalui pengkelasan semula terhadap sebarang maklumat rahsia rasmi tanpa had masa menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Dewan Rakyat Malaysia 1989b). Namun begitu, kerajaan didakwa gagal mengkelas semula maklumat kategori rahsia besar, rahsia, sulit dan terhad menyebabkan orang awam serta pihak swasta menghadapi kesukaran mencapai maklumat kerajaan khususnya bagi menjalankan urusniaga dan sebagainya. Justeru, sebahagian penggubal polisi mengesa kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi membenarkan orang ramai mencapai maklumat kerajaan kecuali dalam kes khas seperti keselamatan negara atau kerahsiaan peribadi (Dewan Rakyat Malaysia 1989b; Dewan Rakyat Malaysia 2005b).

Walaupun wujud gesaan bagi menggubal Akta Kebebasan Maklumat, kerajaan mengambil ketetapan tidak menggubalnya kerana berpandangan adalah perlu bagi melindungi maklumat yang bersifat sebagai sulit atau rahsia daripada jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya boleh membahaya keselamatan negara. Hal ini dikuatkuasa melalui Akta Rahsia Rasmi 1972. Walaupun akta ini didakwa mengongkong pegawai kerajaan daripada memberi maklumat yang sebenarnya dalam isu penyelewengan, kerajaan berpendapat rangkaian undang-undang sedia ada mencukupi bagi menangani perkara berkenaan. Berdasarkan alasan tersebut, kerajaan berpendapat belum ada keperluan bagi menyemak semua Akta Rahsia Rasmi 1972 (Dewan Rakyat Malaysia 1998d). Hal ini berbeza berbanding di England, akibat tekanan Ahli Parlimen dan rakyat yang menuntut hak mendapat maklumat, Kerajaan British menubuh jawatankuasa Frank's Committee untuk mengkaji akta berkaitan maklumat dengan tujuan memansuh ciri Akta Rahsia Rasmi yang dianggap terbatas (Dewan Rakyat Malaysia 1983).


(27)

Kerajaan memandang serius berkaitan pengurusan e-mel dan laman web kerajaan dengan mengeluar pekeliling dan arahan mengenai pengurusan e-mel dan membuat pemantauan secara berkala. Namun maklumat dalam portal rasmi kerajaan didapati sering mendapat teguran dalam kalangan penggubal polisi dan penyelidik bidang maklumat. Walaupun kerajaan melaksana inisiatif yang baik seperti MSC, tetapi maklumat dalam sistem kerajaan tidak diurus dengan baik (Dewan Negara Malaysia 2000a). Antara masalah berkaitan pengurusan maklumat kerajaan adalah maklumat yang disedia dalam portal rasmi kerajaan bukan merupakan maklumat terkini, tidak memapar maklumat yang lengkap, engin carian yang tidak memapar maklumat yang dicari serta pautan yang tidak berkaitan (Dewan Rakyat Malaysia 1998a). Keadaan tersebut didakwa berpunca akibat daripada kurang pemahaman mengenai implikasi dan potensi Internet sebagai kemudahan capaian maklumat rasmi kerajaan oleh sebahagian kakitangan kerajaan. Sedangkan penerbitan elektronik adalah mudah dengan kos yang minimun. Jika hal ini dapat difahami, kerajaan boleh mempamerkan rang undang-undang yang sedang digubal oleh kerajaan bagi mendapat maklum balas dari rakyat (Dewan Rakyat Malaysia 1997b). Walaupun diakui undang-undang siber di Malaysia adalah komprehensif namun sewaktu pengubalan draf undang-undang siber pakej pertama, kandungan draf undang-undang tersebut tidak dipamerkan dalam Internet bagi tujuan mendapat maklumat balas dari masyarakat umum (Dewan Rakyat Malaysia 1997b). Penggunaan ICT seperti aplikasi kerajaan tanpa kertas seharusnya dapat mengurangi saiz pentadbiran awam dengan drastik namun perkara berlaku dengan sebaliknya penambahan mendadak daripada 21,000 orang pada tahun 2003 kepada 43,544 orang pada tahun 2010. Hal ini menimbul persoalan berkaitan keberkesanan dan menunjukkan percanggahan di antara dasar kerajaan dengan pelaksanaan dasar (Dewan Negara Malaysia 2010g).

Refleksi dan Kritik

Negara maju seperti AS menganggap maklumat adalah sumber kepada negara dan diperakui menyumbang kepada proses pembangunan sosio-ekonomi negara. Negara berkenaan mempunyai strategi bagi menjadikan maklumat boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja yang memerlukannya bagi memenuhi keperluannya sebagai anggota masyarakat. Hal ini didapati berbeza di Malaysia. Kerajaan didapati tidak serius


(28)

menyedia keperluan maklumat kepada rakyat. Maklumat yang disedia dalam portal kerajaan bukanlah maklumat terkini, pautan kepada bukan maklumat yang sepatutnya dan maklumat tidak mencukupi adalah antara rungutan berkait maklumat kerajaan yang sering kedengaran. Keadaan ini menimbulkan persoalan adakah kerajaan tidak mengiktiraf maklumat sebagai sumber kepada negara? Kajian ini mendapati punca utama maklumat kerajaan tidak didapat dicapai dengan mudah di Malaysia bukan disebabkan oleh teknologi, tetapi komitmen dan kesungguhan kepimpinan politik dan birokrasi peringkat atasan untuk mengguna dengan sebaiknya kemudahan teknologi maklumat demi membekal perkhidmatan dan maklumat yang baik kepada rakyat Malaysia. Kakitangan awam perlu menyedari kepentingan berkongsi maklumat kepada rakyat kerana selain perlu penyediaan maklumat berguna kepada rakyat, juga hal ini dapat mengurangkan kos pentadbiran kerajaan. Selain itu, perkongsian maklumat turut memberi peluang kepada sektor swasta dan pengguna sektor ketiga menambah nilai kepada maklumat sedia ada (Saxby 2011). Dengan teknologi ICT, kerajaan sepatutnya tidak lagi berfungsi dengan tindakan dan polisi secara atas bawah dengan sektor awam bagi mencipta maklumat. Budaya perkongsian perlu diwujudkan bagi mencipta peluang membangun idea dan maklumat dalam semua lapisan masyarakat. Selain itu, mekanisme tradisional melalui lobi, proses konsultasi parlimen dan penggubalan polisi atas bawah yang berlaku di berbagai peringkat pembangunan polisi perlu dihapus.

5.2.6 Ekonomi

Industri maklumat mula diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia bermula akhir 1980-an. Dalam jangka waktu berkenaan, industri maklumat menjadi salah satu komponen kecil di bawah sektor perkhidmatan perniagaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan Industri Maklumat Komputer kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1987 dan 1988 adalah sekitar RM8 hingga RM9 juta. Industri maklumat berkembang pada kadar 12% pada tahun 1988 selaras dengan pengenalan dan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan komputer dan teknologi (Dewan Rakyat Malaysia 1989c). Mulai pertengahan tahun 1990-an, kerajaan menyedari ICT adalah penting dalam pembangunan ekonomi dari segi meningkat kecekapan, produktiviti dan daya saing (Dewan Rakyat Malaysia 1999a). Justeru, struktur ekonomi negara diubah daripada berasaskan pengeluaran dan eksport


(29)

komoditi kepada ekonomi berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan (Dewan Negara Malaysia 1997g). Keupayaan inovasi turut diakui penting bagi membangun ekonomi berasaskan maklumat (Dewan Rakyat Malaysia 2007h, Malaysia 2011). Hal ini selari dengan saranan World Economic Forum (WEF) agar Malaysia beralih kepada ekonomi berasaskan maklumat yang didorong oleh inovasi (Dewan Rakyat Malaysia 2009b). Pada tahun 2009, sektor ICT menyumbang 9.8 peratus kepada KDNK (Malaysia 2011) dan menjadi salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi menjana pendapatan tinggi kepada negara (Dewan Rakyat Malaysia 2007i; Dewan Rakyat Malaysia 2010j). Dalam belanjawan 2010 kerajaan menganjak Malaysia kepada satu tahap dan bentuk model ekonomi baharu berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Justeru, sektor ICT terus menjadi fokus utama bagi Malaysia dan dijangka menyumbang kepada KDNK sebanyak 10.2% menjelang tahun 2015 (Malaysia 2011).

Bagi membangun sistem ekonomi berasaskan maklumat beberapa faktor perlu diatasi, antaranya ialah kebebasan maklumat (Dewan Rakyat Malaysia 2007g). Maklumat yang tepat dan cepat diperlukan bagi membuat keputusan sama ada untuk perniagaan, pelaburan, pendidikan, penyelidikan, keselamatan, mahupun politik. Masyarakat yang menguasai dan berupaya memperoleh maklumat dengan tepat dan cepat mempunyai kelebihan dalam penguasaan ekonomi berasaskan maklumat. Justeru, kebebasan media mesti diwujud untuk memberi kelebihan kepada masyarakat dalam menerokai pengetahuan, pasaran peluang perniagaan, perkhidmatan pekerjaan dan sebagainya. Media berperanan sebagai pemangkin dalam menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan maklumat, mengawal dan mengimbang dalam sistem politik demokrasi (Dewan Rakyat Malaysia 2008h).

Bagi tujuan menggalak pertumbuhan industri maklumat, kerajaan melaksana beberapa dasar. Antaranya, Kementerian Kewangan melalui Akta Penggalakan Pelaburan 1986 mengambil langkah memberi status Taraf Perintis dengan pengecualian cukai selama 5 tahun kepada syarikat yang terlibat dengan pembangunan perisian dan pemasangan komputer, serta aktiviti yang berkaitan dengannya disamping elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus (Dewan Rakyat Malaysia 1989c). Kerajaan juga memberi pengecualian semua cukai ke atas peralatan multimedia dan


(30)

memberi galakan istimewa untuk syarikat yang kehadirannya mendorong syarikat lain menjalankan operasi di bandar teknologi tersebut (Dewan Rakyat Malaysia 1996d). Bagi memacu pembangunan ekonomi berasaskan maklumat dan inovasi, kerajaan turut menggubal Model Inovasi Negara. Model Inovasi Negara adalah satu usaha kerajaan untuk menghasil teknologi baharu bagi membantu meningkat eksport barangan dan pelaburan dalam negara. Model ini menggabung semua faktor yang berkaitan seperti tenaga pekerja, sumber kewangan, pembangunan keusahawanan, pasaran dan dasar kerajaan yang berkaitan. Melalui model ini, kerajaan mensasar capaian sekurang-kurangnya 5% pengkomersilan hasil R&D selain membangun syarikat dan usahawan techno baharu berasaskan sains dan teknologi (Dewan Rakyat Malaysia 2008f). Selain itu, bagi memastikan model inovasi berjaya, MOSTI mengkaji semula dan mengemas kini Dasar Sains dan Teknologi Kedua (2002 hingga 2010). MOSTI turut mengemukakan kerangka pelan strategik dan pelan tindakan dengan tujuan membangun modal insan untuk penjanaan ilmu, membudaya kreativiti dan inovasi, mempertingkat penyelidikan R&D untuk pengkomersialan dan memperkasa masyarakat untuk menjana pendapatan dan kesejahteraan melalui sains, teknologi dan inovasi. Kerajaan turut mengkaji semula polisi yang berkaitan dengan undang-undang harta intelek dan prosedur imigresen serta memudah cara pembiayaan dan pakej insentif bagi menggalak penyelidikan dan inovasi (Dewan Rakyat Malaysia 2007k). Bagi menjadikan industri multimedia kreatif berkembang dengan dinamik, Dasar Industri Kreatif Negara dirancang untuk digubal manakala projek Penyiaran Televisyen Terestrial Digital Negara (DTTB) dilaksanakan.

Menyedari kebaikan dan manfaat ICT, kerajaan disaran agar meluas sektor tersebut ke seluruh negara (Dewan Rakyat Malaysia 2010j). Bagi tujuan tersebut, kerajaan mengguna strategi mengembang industri ICT melalui MSC. MSC bertanggungjawab mengenal pasti dan membangun beberapa bidang terpilih termasuk pembangunan perisian, multimedia kreatif, perkhidmatan perkongsian dan penyumber luaran serta e-dagang. Konsep kluster pula diguna pakai bagi memacu pertumbuhan bidang ICT yang melibatkan kolaborasi di antara syarikat global sebagai nukleus dengan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) tempatan (Malaysia 2011). Sementara itu, dalam tempoh RMK6 dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, beberapa langkah diambil bagi meningkat industri maklumat iaitu melalui penggunaan teknologi


(31)

maklumat dalam sektor awam, pembangunan piawai, pangkalan maklumat dan rangkaian data serta menggalak kesedaran mengenai kepentingan teknologi maklumat. MOSTI juga memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar bagi membantu menjana pendapatan dan mempertingkat kesejahteraan serta kualiti hidup. Bagi tujuan tersebut, projek inovasi komuniti dilaksana oleh kerajaan (Dewan Rakyat Malaysia 2008i). Selain itu, kerajaan turut memperuntuk sumber bagi mempertingkat R&D dalam bidang yang berkaitan dengan industri maklumat. Kerajaan juga menggalak pengwujudan rantaian antara industri maklumat dengan sektor ekonomi yang lain supaya penglibatan syarikat tempatan dan nilai tambah sektor ICT dapat dipertingkat (Dewan Rakyat Malaysia 1991). Prasaran dan keupayaan dalam industri maklumat turut dipertingkat kerana berpotensi menyumbang kepada perkembangan industri baharu terutamanya industri bioteknologi (Dewan Rakyat Malaysia 2000c). Sehingga hujung tahun 2010, bidang multimedia kreatif menyumbang sebanyak 1.6% kepada KDNK. Kerajaan terus memberi penekanan kepada multimedia kreatif terutamanya animasi bagi simulasi, pengiklanan dan hiburan serta pembangunan permainan komputer. Kerajaan turut mempertingkat teknologi digital agar banyak kandungan dapat disalur dengan cekap dan berkesan (Malaysia 2011). Beberapa syarikat tempatan menunjukkan keupayaan untuk menghasil dan menjual produk ICT bernilai tinggi. Nilai eksport ICT Malaysia bernilai 1.2 Bilion ringgit sehingga tahun 2003. Namun, nilai tersebut perlu ditingkatkan dan banyak lagi syarikat tempatan yang kompetitif perlu diwujudkan (Minit Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa kali kelapan 2004). Bidang kajian lain seperti bioteknologi dan pengaruhnya kepada ICT serta industri kandungan kreatif turut dibiayai dan diterokai oleh kerajaan. Bagi menggalak aktiviti R&D, kerajaan menawar insentif kepada penyelidik menerusi pemberian kadar pembayaran royalti sebanyak 80%, manakala baki 20% kepada institusi penyelidikan. Galakan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi memasti harta intelek yang berjaya dikomersial dapat menjana hasil pulangan yang maksimum kepada negara (Dewan Rakyat Malaysia 2007k).

Rangkaian inforastruktur berkualiti tinggi turut diakui penting bagi menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan maklumat (Dewan Negara Malaysia 2007j; Dewan Rakyat Malaysia 2010e; Dewan Negara Malaysia 2010c). Dalam hal ini, negara mempunyai kemampuan teknikal dalam bidang teknologi maklumat. Walaupun


(32)

jumlahnya kecil berbanding dengan negara lain, profesional dalam bidang komputer dan kejuruteraan telekomunikasi dijangka memadai bagi memboleh Malaysia mewujud pasukan hadapan yang menjadi peneraju dalam bidang industri maklumat (Dewan Rakyat Malaysia 1997h). Bagi menjayakan gagasan sistem ekonomi berasaskan maklumat, kerajaan digesa membentuk persekitaran yang sihat, bebas dan berdaya saing bagi merangsang dan menggalak kreativiti dalam kalangan rakyat (Dewan Negara Malaysia 2009c). Justeru, penekanan terhadap aspek pendidikan dan latihan dalam bidang berkaitan dengan industri maklumat perlu dimulakan dari pendidikan seawal peringkat rendah hingga peringkat pendidikan tinggi (Dewan Rakyat Malaysia 1991; Dewan Rakyat Malaysia 2010). Pada peringkat pendidikan menengah, pengambilan pelajar bagi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) ditambah dan kualiti latihan secara keseluruhan diperbaiki bagi meningkat tahap kemahiran tenaga kerja supaya bekalan modal insan berkemahiran bertambah (Malaysia 2011). Selain daripada menyedia tenaga kerja berkemahiran teknikal bagi keperluan industri maklumat, profesional dalam bidang dan disiplin lain termasuk perubatan dan undang-undang perlu diselaras dengan golongan teknikal. Ini kerana produk dan aplikasi seperti teleperubatan, undang-undang dalam talian, perbankan dalam talian dan perdagangan elektronik adalah produk yang berkaitan dengan industri maklumat (Dewan Rakyat Malaysia 1997h). Pada peringkat pengajian tinggi pula, Kementerian Pengajian Tinggi dan IPT melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menyokong dan mempertingkat program R&D di universiti awam dan swasta. Bagi tujuan penyediaan sumber manusia kreatif, peningkatan keupayaan tenaga kerja dalam negara dipertingkat melalui kerjasama di antara universiti, institut penyelidikan, industri, pemberi dana dan sektor awam (Dewan Rakyat Malaysia 2010l). Bidang lain yang perlu dibangun pada peringkat pengajian tinggi termasuklah bidang perfileman kreatif, reka bentuk industri, penulisan, pengiklanan, kewartawanan dan penerbitan elektronik (Dewan Rakyat Malaysia 1997h). Kerajaan turut mengiktiraf inisiatif pihak majikan swasta yang menghargai sumbangan pekerja cemerlang dan berprestasi tinggi dengan memberi pengecualian cukai ke atas anugerah perkhidmatan cemerlang diperluas kepada semua anugerah berkaitan dengan inovasi dan produktiviti (Dewan Rakyat Malaysia 2008j).


(1)

a) Maklumat Teknikal dan Saintifik

Responden bersetuju maklumat teknikal dan saintifik menjadi salah satu sektor dalam polisi maklumat. Namun para responden tidak mengulas kesemua isu yang disenaraikan dalam sektor ini kerana melibatkan satu senarai isu yang panjang. Umunnya, responden mengakui kepentingan maklumat teknikal dan saintifik diurus secara komprehensif melalui satu dasar maklumat yang bersepadu.

b) Perpustakaan

Selain bersetuju Perpustakaan menjadi sektor penting dalam polisi maklumat, tiga responden berpandangan, perpustakaan tidak harus berperanan sebagai tempat menyimpan dan meminjam buku sahaja. Peranan dan tanggungjawab perlu diperluaskan termasuk menjadi badan penyelaras maklumat negara. Bagi tujuan itu, perpustakaan perlu menjadi agensi pusat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Badan penyelaras ini berfungsi menetapkan maklumat mana yang boleh disebarkan kepada orang awam dan maklumat mana yang hanya boleh dikongsi dalam kalangan kementerian disamping menyelia dan memantau pelaksaan dasar maklumat disetiap sektor. Seorang responden berpandangan penyeliaan maklumat negara boleh diberikan kepada arkib negara berbandingn perlustakaan.

c) ICT

Semua responden setuju dengan pandangan bahawa ICT merupakan satu ”Pemboleh” dan satu sektor ekonomi tersendiri. ICT menjadi pemboleh kepada kepada semua sektor polisi maklumat terutama berkaitan dengan kitar hayat maklumat, iaitu pengumpulan, pengedaran dan pengekalan maklumat. ICT turut diakui sebagai satu sektor ekonomi yang tersendiri kerana ICT merupakan satu sektor yang penyumbang kepada KDNK negara yang utama.


(2)

d) Sosial

Mengulas berkaitan sektor sosial, semua responden bersetuju sosial perlu menjadi salah satu sektor utama model polisi maklumat. Prinsip asasnya adalah, rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan memadai pada waktu dan tempat yang sepatutnya dengan kadar yang mampu ditanggung oleh mereka. Hak ini penting untuk diberikan kerana maklumat merupakan salah satu sumber utama bagi aktiviti dan perkembangan sosial. Keperluan menyediakan maklumat dalam bidang sosial mencetus beberapa isu penting terutama hak terhadap capaian maklumat bagi menjamin rakyat dapat menjalankan fungsi sosial mereka dengan baik.

e) Kerajaan

Semua responden mengakui bahawa kerajaan boleh dianggap sebagai salah satu sektor penting dalam polisi maklumat kerana kerajaan memang berperanan untuk mencipta, menyebar dan menyelenggara maklumat yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Bagi melaksanakan peranannya, kerajaan diakui perlu menyedia mekanisme bagi capaian yang mudah dan murah kepada semua rakyatnya terhadap maklumat yang dimiliki oleh kerajaan. Responden turut mengakui bahawa sudah sampai masanya kerajaan perlu mempunyai dasar pengurusan kitar hayat maklumat agensi kerajaan supaya maklumat sesuatu jabatan dapat disimpan dan diperolehi semula dengan mudah. Tidak sekadar itu, seorang responden menyarankan maklumat sulit kerajaan yang telah melangkaui jangka waktu yang ditetapkan juga perlu disediakan agar dapat dicapai oleh rakyat pada bila-bila masa.

f) Ekonomi

Semua responden setuju bahawa setiap sektor dinyatakan di atas boleh menjadi asas kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan di sebuah negara. Justeru sektor ini diakui penting menjadi sebahagian dari komponen polisi maklumat negara. Antara isu maklumat yang berkaitan dengan ekonomi yang diakui penting untuk ditangai adalah Hak Harta Intelek, Hak Cipta dan Industri Maklumat.


(3)

Sektor yang Berpotensi Bagi Polisi Maklumat

Selain dari enam sektor utama polisi maklumat, responden turut mengulas lima sektor lain yang berpotensi untuk menjadi sektor penting dalam polisi maklumat pada masa hadapan iaitu sektor pertanian, sektor pelancongan, antarabangsa, kesihatan dan keselamatan negara. Selari dengan sifat polisi maklumat yang dinamik, semua responden setuju bahawa kelima-lima sektor ini adalah penting dan boleh dimasukkan dan ditunjukkan dalam model polisi maklumat.

Sektor lain Dalam Polisi Maklumat

Selain 6 sektor utama yang dibentangkan di atas, model kajian ini juga menunjukkan beberapa komponen yang didapati terlibat secara tidak langsung dengan polisi maklumat. Komponen yang dimaksudkan adalah pendidikan, kitar hayat maklumat dan perundangan.

a) Pendidikan

Semua responden bersetuju bahawa pendidikan merupakan asas kepada kejayaan polisi maklumat. Responden bersetuju pendidikan secara formal dan tidak formal perlu diberikan kepada rakyat bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya penyeliaan maklumat dalam setiap sektor polisi maklumat. Responden turut bersetuju dengan model ini yang tidak mengkelas pendidikan sebagai satu sektor polisi maklumat tersendiri, tetapi tetapi sebagai keperluan asas kepada semua lapisan masyarakat bagi memanipulasi sektor polisi maklumat yang lain. Selain itu, responden turut menegaskan tentang kepentingan pendidikan untuk berperanan dalam menyediakan ‘kandungan tempatan’ kepada komuniti pelajar dan masyarakat.

b) Kitar Hayat Maklumat

Semua responden bersetuju bahawa setiap sektor polisi maklumat melalui proses kitar hayat bermula dengan perancangan, penciptaan, penyebaran dan penyelenggaraan maklumat. Responden mengakui, proses kitar hayat terhadap isu yang mendasari


(4)

setiap sektor boleh mengakibatkan keperluan kepada perundangan tertentu. Responden bersetuju dan membenarkan contoh yang diberikan yang mana maklumat dalam sektor sosial berkembang dengan melibatkan kitar hayat yang bermula dengan penciptaan, penyebaran dan penyelenggaran maklumat. Dalam proses kitar penciptaan maklumat, beberapa isu seperti isu pemprosesan maklumat peribadi timbul. Proses kitar penyebaran maklumat pula mengakibatkan isu keselamatan maklumat. Sementara kitar penyelenggaran maklumat sosial turut menghasilkan isu penyimpanan maklumat peribadi. Responden mengakui bahawa contoh isu yang dikemukakan menjadi punca Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 diggubal.

c) Perundangan

Semua responden mengakui bahawa undang-undang perlu diggubal bagi menangani isu yang timbul akibat aktiviti kitar hayat dalam semua sektor. Seorang responden menjelaskan bahawa perundangan boleh dalam bentuk satu set dasar, undang-undang, garis panduan, peraturan, perundangan dan prosedur yang saling berkait bagi memandu dan menyelia pengurusan kitar hayat maklumat: penghasilan, pengumpulan, pengedaran/ pengagihan, mendapatkan semula dan memusnahkan maklumat. Polisi maklumat juga meliputi capaian kepada maklumat, dan penggunaan maklumat. Responden mengakui bahawa setakat ini perundangan tertumpu kepada sektor ekonomi seperti undang-undang bagai menangai isu hak milik harta intelek, dan hak cipta. Sementara itu, undang-undang bagi kitar hayat sektor sosial seperti hak capaian maklumat dan sebagainya masih belum mantap.

Matlamat Polisi Maklumat

Selain prinsip pembangunan dan sektor model polisi maklumat, matlamat polisi maklumat turut diulas oleh responden. Maklumat yang tepat dan tersedia pada masa yang sepatutnya adalah penting bagi membuat keputusan sama ada berkaitan dengan ekonomi atau membuat keputusan berkaitan aktiviti sosial dalam masyarakat. Justeru, responden setuju bahawa matlamat polisi maklumat adalah untuk mencapai masyarakat bermaklumat dan menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan maklumat.


(5)

5.5 KESIMPULAN

Bahagian pertama bab ini mengemukakan status polisi maklumat Malaysia berdasarkan kepada sektor polisi maklumat iaitu, maklumat teknikal dan saintifik, perpustakaan, ICT, sosial, maklumat kerajaan, ekonomi dan pendidikan ICT. Analisis dari sumber primer iaitu Penyata Rasmi Parlimen dan Rancangan Malaysia menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia menangani semua sektor ini dengan baik. Malah sebahagian sektor seperti ICT, dijadikan satu agenda kebangsaan melalui inisiatif MSC. Begitu juga dengan program mengurang jurangi digital. Berbagai usaha dijalankan bagi mengatasinya dengan melibatkan sektor swasta dengan mewujud tabung USP, membangun Internet Desa dan Info Desa. Kajian juga menunjukkan wujud hubungkait antara sektor. Sebagai contoh, ICT dikaitkan dengan peranannya sebagai pemboleh bagi komunikasi maklumat, dari proses mencipta, menyebar dan menyelenggara maklumat. ICT itu sendiri adalah satu sektor dalam ekonomi negara. ICT turut dikaitkan dengan demokrasi maklumat iaitu kebebasan rakyat untuk capaian kepada maklumat kerajaan. Menyedari kepentingan ICT kepada semua sektor, kerajaan melaksana program bagi mengatasi buta ICT bermula dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti dan orang awam. Namun begitu, salah satu sektor penting bagi maklumat iaitu Sektor perpustakaan dan perkhidmatan maklumat didapati terasing dari aliran utama maklumat negara. Perpustakaan didapati tidak berperanan sebagai penyedia dan penyelenggara maklumat negara yang utama. Hal ini ketara apabila perpustakaan tidak menjadi ahli dalam NITC. Walaupun wujud perkaitan dinyatakan dalam dokumen yang dirujuk, namun perkaitan antara sektor yang dikemukakan di atas dijangka mudah difahami dengan mengguna model tertentu.

Bahagian kedua bab ini pula mengemukakan analisis interpretasi isu berkaitan dengan polisi maklumat Malaysia berdasarkan sumber temu bual. Temu bual responden yang terdiri dari empat responden yang terlibat dalam pengubalan dan berpengalaman dalam amalan polisi maklumat Malaysia menunjukkan beberapa penemuan penting. Pertama adalah berkaitan dengan sektor yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia menunjukkan corak yang hampir sama dengan sektor cadangan penulis dalam Bab 2 (perenggan 2.5.) iaitu NITC yang berperanan sebagai badan koordinasi polisi maklumat kebangsaan, NITA yang memfokus menangani isu


(6)

sosial dan maklumat kerajaan, MSC memfokus kepada maklumat teknikal dan saintifik, ekonomi dan ICT. Bahagian ini juga menunjukkan Malaysia turut menangani isu perpustakaan namun sektor ini didapati tidak berada dalam aliran utama polisi maklumat Malaysia. Temu bual dengan responden turut menemukan beberapa persoalan penting berkaitan polisi maklumat di Malaysia. Antara yang penting adalah NITC sebagai badan koordinasi peringkat kebangsaan didapati tidak berperanan dengan sewajarnya. Pengubalan polisi penting seperti MSC dan AKM1998 adalah berdasarkan konsultasi dari pihak luar Malaysia tanpa melibatkan pihak berkepentingan yang menyeluruh dari dalam negara. Sementara itu, pemisahan komponen ICT dengan komunikasi kepada kementerian yang berbeza didakwa sebagai satu keputusan kebelakang dan tidak menguntungkan. Analisis turut menunjukkan Agenda IT Kebangsaan (NITA) dan MSC tidak dihayati oleh sebahagian kakitangan kerajaan, sistem pendidikan tidak menyokong sepenuhnya industri kandungan, sistem maklumat kerajaan yang tidak cekap dan gagal memberi maklumat yang tepat dan berkesan, bidang perpustakaan yang tidak berada dalam aliran utama polisi maklumat Malaysia dan sistem ekonomi berasaskan maklumat yang masih belum berkembang dengan baik. Masalah yang dikemukakan oleh responden ini perlu diambil perhatian serius khususnya apabila ingin mengubal polisi maklumat Malaysia yang bersepadu pada masa hadapan.

Di akhir bab ini, ulasan berkenaan model yang dicadangkan dalam kajian ini kemukakan. Ulasan ini melibatkan dua responden yang telah terlibat dalam sesi temubual semasa pengumpulan data primer manakala dua lagi responden baru dipilih berdasarkan peranan mereka dalam bidang berkaitan maklumat negara. Responden diminta mengulas berkaitan prinsip pembangunan polisi maklumat, sektor dan isu yang dikemukakan dalam model.