Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan NITA

5.3.2 Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan NITA

Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan NITA dan Koridor Raya Multimedia MSC adalah polisi utama yang dikaitkan dengan polisi maklumat kebangsaan di Malaysia. NITA dibangun sebagai satu kerangka yang melihat ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan masyarakat bermaklumat manakala MSC berfungsi menjadikan ICT sebagai satu sektor baharu bagi pembangunan sektor ekonomi seperti dalam Rajah 5.1 di bawah. Rajah 5.1 Inisiatif Dual Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan Sumber: Responden Polisi maklumat Malaysia adalah tidak bersifat komprehensif dari sudut disiplin akademik dan amalan. Dari sudut disiplin akademik, polisi maklumat yang komprehensif perlu meliputi perkara seperti maklumat dari disiplin sains perpustakaan, perkomputeran, telekomunikasi, dan penyiaran iaitu multimedia. Selain tidak komprehensif, dokumen rasmi yang boleh dirujuk sebagai polisi maklumat utama juga tidak ada. Meskipun dokumen polisi maklumat tidak wujud secara rasmi, namun komponen dan koordinasi antara agensi telah wujud secara ad-hoc. Antara komponen dan badan koordinasi sedia ada adalah seperti MDeC, NITC, Jawatankuasa Pelaksana MSC, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan Jawatankuasa Kabinet berkaitan Jalur Lebar. Justeru, apa yang perlu diwujudkan oleh kerajaan Malaysia ialah satu kerangka polisi maklumat komprehensif yang menyepadu komponen dan agensi berkaitan maklumat. Koridor Raya Multimedia MSC sasaran pembangunan ekonomi Agenda IT Kebangsaan NITA sasaran pembangunan sosial ICT sebagai Sektor ICT sebagai Pemboleh Dari sudut amalan, polisi maklumat yang komprehensif perlu ditadbir oleh satu badan induk kebangsaan. Segala hal yang berkaitan dengan komunikasi dan maklumat perlu diletak di bawah naungan seperti yang diamalkan oleh Singapura. Sebaliknya di Malaysia, sektor yang berkaitan maklumat terletak di bawah tanggungjawab kementerian yang berbeza. Misalnya, pada tahun 2004, komponen komunikasi di bawah Kementerian Teknologi, Air dan Komunikasi KTAK dan perpustakaan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Warisan KEKWA, tetapi mulai tahun 2010, komponen komunikasi dan perpustakaan berada di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudyaan KPKK, manakala komponen teknologi maklumat kekal di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi MOSTI. Justeru, satu kementerian yang khusus mengendali maklumat merupakan keperluan yang kritikal. Meskipun tidak ada dokumen rasmi yang dipanggil sebagai polisi maklumat tetapi secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai polisi maklumat yang bersifat berasingan antara satu dengan yang lain. Walaupun setiap polisi maklumat yang berasingan itu boleh dianggap baik namun, berlaku kelemahan pada peringkat pelaksanaan. Agenda teknologi maklumat kebangsaan NITA dilaksana pada peringkat persekutuan melalui kementerian dan jabatan yang berasingan. Hal ini mengakibatkan pelaksanaan NITA bergantung kepada kepimpinan pada peringkat kementerian dan jabatan. Jika kepimpinan adalah dinamik, maka pelaksana yang baik boleh didapati dalam kementerian atau sesebuah jabatan tersebut. Pada hakikatnya, tidak semua kepimpinan sama ada menteri mahupun Ketua Setiausaha mempunyai ilmu pengetahuan ICT yang mendalam kerana sebahagian besar dari mereka adalah dari generasi lama. Kemahiran dan kefahaman yang berbeza dalam kalangan menteri menyebabkan pelaksanaan program NITA banyak bergantung kepada kesungguhan menteri dan ketua setiausaha kementerian. Selain itu, NITA juga tidak dapat dilaksana dengan baik kerana sebahagian pegawai kerajaan tidak memahami kepentingan MSC dan NITA. Justeru, sebahagian program NITA tidak dapat dilaksana. Sebagai contoh, kerajaan menetapkan setiap jabatan perlu melantik Ketua Pegawai Maklumat CIO tetapi hal ini tidak dilaksana dalam kebanyakan kementerian.

5.3.3 Koridor Raya Multimedia MSC dan Multimedia Development Corporation MDeC