kreatif  dapat  dicapai.  Selain  itu,  sebagai  usaha  untuk  menjayakan  kandungan kebangsaan,  budaya  perkongsian  kandungan  atau  maklumat  perlu  diterap  dalam
kalangan pendidik.
5.3.4  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM
SKMM  adalah  agensi  penyelia  dan  penguatkuasa  Akta  Komunikasi  dan  Multimedia 1998 AKM 1998 iaitu akta berkaitan Undang-Undang Siber yang memantau industri
komunikasi dan multimedia di Malaysia. Aktiviti dan perkhidmatan yang dikawal oleh AKM  1998  termasuk  penyiaran  tradisional,  telekomunikasi  dan  perkhidmatan  dalam
talian,  kemudahan  dan  rangkaian  yang  diguna  bagi  memberi  perkhidmatan  tersebut, serta  kandungan  yang  dibekal  menerusi  kemudahan  dan  rangkaian.  Sewaktu
penggubalan  akta  ini,  input  pakar  tempatan  adalah  pada  tahap  yang  minimum.  AKM 1998  adalah  akta  yang  diadaptasi  dari  pihak  ketiga  iaitu  hasil  konsultasi  oleh  Dr.
Terrence Austin Cutler, Principal Cutler  Co. Australia. Cutler juga merupakan Ahli
Panel  Penasihat  Antarabangsa  MSC  sejak  1998.  Akta  ini  didakwa  pernah  ditawar untuk  dilaksanakan  di  Australia  namun  ditolak  oleh  kerajaan  Australia.  AKM  1998
adalah Akta  yang berkaitan dengan percantuman sedangkan pada waktu  penggubalan akta  tersebut  percantuman  masih  tidak  dapat  dilaksana  kerana  teknologi  lebar  jalur
tidak  dapat  menyokong  percantuman  ICT.  Kerajaan  Malaysia  didakwa  mengadaptasi akta tersebut bagi membuktikan bahawa Malaysia mempunyai Undang-Undang Siber,
Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Bil Jaminan bagi menyokong gagasan MSC.
5.3.5  Maklumat Kerajaan
Bagi membentuk sebuah kerajaan  yang telus, rakyat perlu diberi hak untuk mencapai dokumen  rasmi  sama  ada  berstatus  rahsia  besar  atau  rahsia.  Dokumen  kerajaan  yang
dikelas  sebagai  rahsia  atau  rahsia  besar  perlu  melalui  proses  pengkelasan  semula selepas satu jangka waktu yang ditetapkan. Hal ini jelas termaktub dalam Akta Rahsia
Rasmi  1972  malah  Seksyen  33  Akta  Komunikasi  dan  Multimedia  1998  turut mengisytihar  ketiadaan  peruntukan  di  bawah  akta  tersebut  yang  membenarkan
sebarang  penapisan  maklumat  berlaku.  Namun  begitu  pengkelasan  semula  dokumen supaya  maklumat  dapat  dicapai  oleh  rakyat  tidak  diamal  oleh  pelaksana  dasar  di
Malaysia.  Dokumen  rahsia  terus  berstatus  rahsia  walaupun  melangkaui  jangka  masa yang  ditetapkan.    Keadaan  ini  menyumbang  kepada  kesukaran  mendapat  dokumen
tersebut walaupun sebaran maklumat kepada rakyat  adalah penting terutamanya  yang berkaitan  dasar  dan  pelaksanaan  dasar  kerajaan.  Selain  itu  maklumat  seperti  caj,
prosedur  memperoleh  lesen  tertentu,  yuran  serta  pemprosesan  dalam  talian  untuk permohonan  biasiswa  dan  permohonan  perkhidmatan  kerajaan  sukar  dicapai  oleh
rakyat. Keadaan ini  tidak membantu meningkatkan taraf hidup dan keselesaan rakyat.
Tidak sahaja terhad kepada maklumat rahsia, maklumat kerajaan yang lain juga sukar  dicapai  dan  tersedia  dalam  keadaan  minimal  terutama  capaian  melalui  dalam
talian. Batasan capaian kepada maklumat kerajaan bukan berpunca dari masalah polisi tetapi  berkaitan  dengan  pengoperasian  dan  pelaksanaan.  Antara  punca  yang  dikenal
pasti  ialah  sikap  kakitangan  kerajaan  terhadap  maklumat  kerajaan.  Meskipun menyedari  dari  segi  prinsip,  semakin  banyak  maklumat  disebar  kepada  rakyat  adalah
semakin  baik,  namun  dari  sudut  pelaksanaan,  pegawai  kerajaan  didapati  berhati-hati untuk  mengeluarkan  suatu  maklumat.  Pegawai  kerajaan  mahu  memastikan  agar
maklumat  yang  mereka  keluarkan  tidak  menimbulkan  masalah  dan  persoalan  yang boleh membebankan mereka pada masa hadapan. Malah terdapat sebahagian pegawai
kerajaan  yang  bersikap  cenderung  bekerja  dalam  suasana  orang  ramai  tidak mengetahui  banyak  maklumat  kerajaan  kerana  beranggapan  jika  orang  ramai
mengetahui  banyak  perkara  tentang  kerajaan,  maka  keadaan  tersebut  bakal menimbulkan  masalah  kepada  mereka.  Justeru,  kakitangan  kerajaan  cenderung  untuk
berpandangan  bahawa  maklumat  kerajaan  perlu  didedah  dengan  kadar  yang  paling minimum kepada umum.
Laman  web  rasmi  agensi  kerajaan  yang  masih  berada  pada  tahap  yang minimum  serta  tidak  menyedia  maklumat  yang  sepatutnya  dikatakan  berpunca
daripada kakitangan agensi kerajaan yang tidak memahami atau mengamalkan konsep kitar hayat maklumat. Keadaan ini disumbang oleh beberapa faktor berikut:
a. Sebahagian  kementerian  masih  belum  menghayati  teknologi  maklumat
sebagai satu sumber untuk menyebar maklumat.
b. Kemampuan  jabatan  kerajaan  untuk  menyebar  maklumat  secara
konsisten dan berterusan belum sampai ke tahap yang memuaskan.
c. Pegawai berhati-hati dengan maklumat yang hendak disebar. Maklumat
perlu diolah dan dilakukan dengan betul kerana menjadi tanggungjawab pegawai kerajaan terbabit.
d. Proses  mengolah  dan  menyedia  maklumat  dalam  bentuk  yang  mudah
perlu kepada kemahiran dan latihan.
e. Pegawai  kerajaan beranggapan bahawa penyebaran maklumat kerajaan
tidak memberi keuntungan sama ada kepada individu mahupun jabatan.
Selain  itu,  kegagalan  menyedia  maklumat  yang  sepatutnya  pada  masa  yang tepat  oleh  kerajaan  Malaysia  juga  berpunca  dari  faktor  budaya.  Kerajaan  Malaysia
masih  belum  mempunyai  budaya  pendokumenan  yang  jelas.  Berbeza  dengan  AS, pembangunan  kandungannya  adalah  berkembang  maju  kerana  terdapat  tradisi
pendokumenan  yang  baik.  Oleh  kerana  semua  maklumat  kerajaan  didokumenkan, maklumat  berkaitan  dengan  kerajaan  AS  boleh  diperoleh  dan  dicapai  dengan  mudah
dan  pantas.  Di  Malaysia,  kegagalan  menyedia  maklumat  yang  sepatutnya  kepada rakyat  juga  disebabkan  agensi  kerajaan  yang  kurang  memberi  komitmen,  tidak
distruktur  dan  tidak  mempunyai  strategi  jangka  panjang.  Agensi  kerajaan  didakwa sekadar melaksana operasi  harian biasa.  Pengkomputeran dalam  agensi  kerajaan juga
didapati  masih  rendah  kerana  tidak  ada  agensi  kerajaan  yang  bertanggungjawab sepenuhnya  terhadap  usaha  tersebut.  Pada  masa  ini  perkomputeran  agensi  kerajaan
diselia  oleh  MAMPU.  Namun  begitu  MAMPU  tidak  mempunyai  cukup  keupayaan bagi  mengurus  pengkomputeran  kerajaan  kerana  MAMPU  bukan  sebuah  agensi
kerajaan yang mempunyai agenda kebangsaan. Tambahan pula pengkomputeran dalam agensi kerajaan hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikul oleh agensi
ini. Selain tidak mempunyai kuasa terhadap pengkomputeran pada peringkat negeri.
Bagi  memperbaiki  capaian  dan  pengedaran  maklumat  kerajaan,  kerajaan Malaysia  turut  melaksana  agenda  kerajaan  elektronik.  Meskipun  penggunaan  ICT
semakin berkembang dalam kalangan kakitangan kerajaan, namun kerajaan elektronik belum dilaksana sepenuhnya. Antara puncanya adalah penggunaan kerajaan elektronik
secara  intensif  memerlukan  masa  yang  panjang  kerana  aplikasi  e-kerajaan  bukan setakat aplikasi mel elektronik dan memuat turun dokumen tetapi melibatkan aplikasi
yang  kompleks  seperti  perjanjian  elektronik.  E-kerajaan  juga  tidak  dapat  dilaksana sepenuhnya  kerana  terdapat  dalam  kalangan  penjawat  awam  yang  masih  tidak  mahir
mengguna  teknologi  maklumat  terutamanya  pegawai  kanan.  Selain  daripada  itu, kerajaan  juga  didakwa  tidak  mewajibkan  penggunaan  teknologi  maklumat  secara
serius.
5.3.6   Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat