Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat

saintifik di Malaysia juga didapati tidak dikaitkan dengan sektor lain terutama sosial dan perpustakaan. Selain itu, polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik tidak menunjukkan perluasannya kepada sektor lain seperti sains sosial. Hal ini berbeza seperti yang dibincang dalam Bab 2. Polisi maklumat bermula dengan matlamat menyebar, berkongsi dan menyedia maklumat teknikal dan saintifik khususnya dalam kalangan ahli sains seterusnya berkembang ke bidang sains sosial Lamberton 1974. Mengenai isu berkaitan maklumat teknikal dan saintifik, umumnya Malaysia menangani isu seperti yang dikemukakan oleh Ruenwai 2007. Isu seperti infrastruktur ICT bersepadu, perolehan sumber elektronik, penambahbaikan perkhidmatan, komunikasi dengan pengguna dan maklum balas, pendidikan pengguna, pembiyaan RD saintifik dan penggunaan sumber yang berkesan turut ditangani di Malaysia. Namun beberapa isu lain seperti transaksi perpustakaan elektronik dan perkongsian pengetahuan tidak dinyata dengan jelas dalam perbahasan berkaitan maklumat teknikal dan saintifik.

5.2.2 Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat

Bahagian ini membincang perkembangan dan situasi semasa perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di Malaysia. Perkaitan dan peranan yang dimainkan oleh perpustakaan dan perkhidmatan maklumat dalam polisi maklumat turut dikemukakan. Gesaan bagi menyedia keperluan infrastruktur maklumat dan perpustakaan terutamanya di sekolah, maktab perguruan dan universiti bermula sejak awal kemerdekaan Malaysia iaitu sekitar 1960 sehingga 1969 Dewan Rakyat Malaysia 1961; Dewan Rakyat Malaysia 1964a; Dewan Negara Malaysia 1965. Isu lain berkaitan perpustakaan sekitar tahun 1960-an adalah berkaitan keperluan menubuh Perpustakaan Negara dan Arkib Negara Dewan Rakyat Malaysia 1965, menambah bahan bacaan perpustakaan Dewan Negara Malaysia 1963; Dewan Rakyat Malaysia 1964b, penubuhan perpustakaan daerah Dewan Rakyat Malaysia 1969a, menambah bilangan kakitangan perpustakaan Dewan Rakyat Malaysia 1968; Dewan Rakyat Malaysia 1969b dan penubuhan katalog induk Dewan Rakyat Malaysia 1969. Antara isu terkini adalah berkaitan kakitangan perpustakaan terutama dari segi gaji dan imbuhan pekerja Dewan Rakyat Malaysia 2008a; Dewan Rakyat Malaysia 2010a. Dalam Rancangan Malaysia keempat RMK4, aspek infrastrukur terus diambil perhatian serius. Pada tahun 1971 hingga 1980, perpustakaan negeri ditubuh di setiap negeri, manakala 61 cawangan dibuka di bandar kecil. Unit perpustakaan bergerak untuk kawasan luar bandar turut beroperasi. Sebanyak RM29.5 juta diperuntuk sepanjang RMK4 bagi membangun Perpustakaan Negara, menambah bilangan cawangan perpustakaan daerah dan perpustakaan bergerak. Seperti tahun 60-an hingga 70-an, sekitar tahun 1980-an, isu berkaitan perpustakaan masih berkisar tentang kekurangan kemudahan perpustakaan dan buku Dewan Rakyat Malaysia 1984a, masalah peruntukan Dewan Rakyat Malaysia 1984b dan kekurangan perpustakaan di sekolah dan di kawasan luar bandar Dewan Rakyat Malaysia 1984c. Sekitar tahun 1990-an, kerajaan Malaysia mula terkehadapan dengan menyediakan infrastruktur perpustakaan. Perpustakaan awam bertambah daripada 219 pada tahun 1990 kepada 309 pada tahun 1993. Daripada jumlah ini, sebanyak 78 buah berada di kawasan bandar dan 231 buah di kawasan luar bandar. Sebanyak 23 daripada kemudahan yang disedia untuk kawasan luar bandar adalah perpustakaan bergerak. Bangunan Perpustakaan Negara pula siap dibina pada tahun 1993 dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat bagi menawarkan perkhidmatan yang berkesan termasuk peluang mendapat sumber maklumat pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Pada akhir tahun 1997, semua perpustakaan negeri mempunyai laman web bagi memperbaiki capaian perkhidmatan maklumat Malaysia 1991. Sehingga November 2008 sebanyak 1,277 buah perpustakaan awam dan 1,089 Unit Perpustakaan Desa dibangun di seluruh negara. Selain infrastruktur fizikal, kerajaan turut disaran agar mewujud perpustakaan digital di Institut Pendidikan Guru IPG Dewan Rakyat Malaysia 2007f. Sementara itu, Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mula membangun perpustakaan digital Dewan Rakyat Malaysia 2008a. Sehingga pertengahan 2007, 300 buah perpustakaan daerah dan desa dilengkapi dengan kemudahan Universal Service Provision USP. Sementara itu, sebanyak 250 pusat perkhidmatan dan komuniti dibangun diseluruh negara. Bagi perpustakaan yang tidak mempunyai bekalan elektrik, tenaga solar diguna. Dalam pada itu, rangkaian tanpa wayar Local Area Network LAN diguna di lima buah projek pilot yang terpilih. Dalam RMK6 juga, Perpustakaan Negara bekerjasama dengan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia MIMOS menubuh rangkaian infrastruktur maklumat bagi Perpustakaan Negara melalui projek Jaringan Ilmu. Melalui projek ini, Perpustakaan Negara dirangkai dengan beberapa perpustakaan jabatan Kerajaan tertentu dan perpustakaan institusi pengajian tinggi awam Dewan Rakyat Malaysia 2009b. Walaupun kerajaan mula menaik taraf infrastuktur, namun kerajaan turut disaran agar membina bangunan perpustakaan desa yang khusus agar tidak menumpang dibangunan seperti komplek penghulu dan sebagainya Dewan Rakyat Malaysia 2008a dan menambah bilangan perpustakaan desa khususnya di Sarawak Dewan Rakyat Malaysia 2008k. Pada akhir 1990-an, isu berkaitan kandungan mula disuarakan. Bagi tujuan penyediaan kandungan, sebanyak RM30.8 juta diperuntukan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi perbelanjaan bekalan tambahan 2009 yang sebahagiannya diguna bagi pembelian buku karya penulis tempatan dan perbelanjaan lain untuk Perpustakaan Desa di seluruh negara Dewan Negara Malaysia 2009a. Aspek lain berkaitan dengan kandungan adalah berkaitan kualiti dan jenis buku Dewan Rakyat Malaysia 2010b. Umumnya dalam RMK7, infrastruktur dan bahan bacaan semakin baik dengan pertambahan bilangan judul dari 1.5 juta pada 1995 kepada 13.5 juta pada tahun 2000. Walaupun bilang perpustakaan didapati bertambah dari 487 pada tahun 1995 kepada 610 pada tahun 2000 kerajaan terus digesa agar menambah bilangan perpustakaan Dewan Rakyat Malaysia 2010b; Dewan Rakyat Malaysia 2010c termasuk di kolej swasta Dewan Rakyat Malaysia 2009c. Infrastruktur meliputi perpustakaan berasaskan IT PERDANA dipertingkat dengan pelancaran Mylib pada 29 Jun 2000 yang memboleh pengguna mendapat berbagai maklumat melalui pangkalan data. Selain itu kerajaan turut memperkenal perpustakaan jalur lebar komuniti melalui inisiatif Jalur Lebar Nasional melalui kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM Dewan Rakyat Malaysia 2009d; Dewan Negara Malaysia 2010. Sehingga pertengahan tahun 2007, sebanyak 44 Perpustakaan Jalur Lebar beroperasi di seluruh negara termasuk di Sabah Dewan Rakyat Malaysia 2008b dan ditambah kepada 61 buah selepas tahun 2007 Dewan Rakyat Malaysia 2009e. Kemajuan yang dicapai dalam RMK8 menunjukkan perpustakaan di luar bandar dilengkapi kemudahan talian tetap, telefon awam berbayar dan Internet melalui program Tabung USP yang disumbang oleh pihak industri. Dalam RMK9 kerajaan merancang untuk menyedia bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti serta menaik taraf dan memaksimum sumber perpustakaan sekolah dan awam. Namun tidak dinyatakan dengan jelas apakah perancangan kerajaan berkaitan dengan perpustakaan dan perkhidmatan maklumat serta jumlah peruntukan untuk sektor ini. Kerajaan menyedari peranan perpustakaan sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan pendidikan, sosial dan budaya negara Malaysia 1981. Dalam Laporan RMK6, dinyatakan dengan jelas bahawa program pembangunan perpustakaan adalah bertujuan membangun masyarakat bermaklumat. Bagi tujuan ini, kerajaan digesa mempertingkat kemudahan termasuk dalam kawasan perumahan dan kampung Dewan Rakyat Malaysia 2001a. Sejajar dengan perkembangan ini, penggubal polisi negara menunjukkan minat berkaitan isu kandungan tempatan. Perbahasan Parlimen pada tahun 1970 sehingga 1979 mula menunjukkan kecenderungan terhadap kandungan tempatan. Sebagai contoh perbahasan dalam Dewan Rakyat Malaysia 1973 yang mengemukakan persoalan berkait bahan dalam bahasa Melayu dan bahan terjemahan di Perpustakaan Negara dan perpustakaan awam. Penggubal polisi turut membangkit persoalan tentang jumlah penerbitan tempatan di pejabat penerangan di luar negara dan menuntut agar kerajaan mendapatkan semula naskhah koleksi buku lama yang terdapat di perpustakaan di luar negara Dewan Negara Malaysia 1975. Penerbitan tempatan diakui masih rendah iaitu sekitar 2 hingga 5 peratus di kebanyakan pejabat sementara bahan bacaan Bahasa Melayu digesa untuk ditambah di sekolah Dewan Negara Malaysia 1978. Dalam Rancangan Malaysia ketujuh RMK7, bilangan manuskrip dan buku didapati bertambah iaitu 15,920 tajuk baharu, 750 koleksi istimewa termasuk penerbitan sebelum kurun ke 19, dan 120 manuskrip melayu. Perpustakaan Negara Malaysia antaranya menyedia dana sebanyak RM5 juta dalam tahun 2007, RM2.5 juta dalam tahun 2008 dan RM4 juta pada tahun 2009 bagi membantu GAPENA, para karyawan dan penulis dalam usaha menyokong pembangunan industri penulisan dan penerbitan dalam bidang kesusasteraan dan ilmiah Dewan Negara Malaysia 2009b. Secara purata sebanyak 12,000 judul buku diterbit dalam setahun di Malaysia Dewan Rakyat Malaysia 2008c. Kerajaan turut perihatin tentang budaya membaca dalam kalangan rakyat mulai tahun 1980-an Dewan Negara Malaysia 2008; Dewan Rakyat Malaysia 2010b; Dewan Rakyat Malaysia 2010d. Kerajaan melancar kempen gerakan membaca dengan matlamat untuk membina masyarakat yang membaca dan berilmu. Selaras dengan tujuan tersebut, tahun 1988 diisytihar sebagai Tahun Membaca bertujuan untuk menyedar semua rakyat tentang proses membina dan menimba ilmu melalui pembacaan yang berterusan. Program galakan membaca secara bersepadu oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan turut dijalankan. Dalam RMK7, sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi melaksana Program Galakan Membaca Dewan Rakyat Malaysia 2001b. Tambahan sebanyak RM6.3 juta iaitu untuk Program Kempen Galakan Membaca Kebangsaan Dewan Rakyat Malaysia 2006a. Kempen membaca pada peringkat sekolah turut dilakukan melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca NILAM pada peringkat sekolah rendah dan menengah, pertandingan pusat sumber sekolah, pertandingan kokurikulum yang perlu kepada pembacaan luas seperti pertandingan bercerita, bahas ala Parlimen, Pidato Piala di Raja dan kuiz. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia MBKM yang ditubuh di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia KPM juga menganjur aktiviti galakan membaca Dewan Negara Malaysia 2007b. Manakala melalui Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, program seperti pertandingan cerita rakyat, Let’s Read Together, Buku Kawan Anda, Keharuman Buku, Jejak Maklumat, Sesi Bercerita Dengarlah Sayang, Program Literasi Maklumat dan Semarak Jawi dan penubuhan Kelab Membaca Kebangsaan adalah program dan langkah strategik kementerian bagi menyemai amalan membaca dalam kalangan rakyat Dewan Rakyat Malaysia 2008c. Selain itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan KPKK melalui agensi jabatan di bawahnya melaksana berbagai langkah untuk membudaya ilmu pengetahuan dengan kempen Mari Membaca 1Malaysia di bawah Perpustakaan Negara Malaysia Dewan Rakyat Malaysia 2010d. Refleksi dan Kritik Peranan perpustakaan dan perkhidmatan maklumat dalam mengubal dan menyelia polisi maklumat diperakui oleh pengkaji lampau. Gill 2001 dan Kargbo 2007 contohnya, menegaskan disamping menjadi penyedia maklumat, perpustakaan mestilah menjadi pembangun dan memain peranan penting dalam polisi maklumat kebangsaan. Hal ini berbeza dengan penemuan kajian ini yang mendapati tidak wujud perkaitan dan peranan perpustakaan dengan polisi maklumat di Malaysia disebut pada sebarang bahagian dalam polisi berkaitan maklumat dan perpustakaan sama ada dalam Akta 80, Akta 331, Akta A667 dan Dasar Negara Bagi Perpustakaan Dan Perkhidmatan Maklumat. Kajian juga mendapati Penyata Rasmi Parlimen dan Dewan Negara Malaysia tidak mengemukakan persoalan tentang kepentingan perpustakaan sebagai peneraju polisi maklumat. Malah tidak ada saranan atau gesaan dari Ahli Parlimen dan Dewan Rakyat Malaysia agar perpustakaan dilantik menjadi ahli kepada Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan NITC iaitu sebuah badan koordinasi tertinggi berkaitan maklumat di Malaysia. Hal ini bermakna, profesional bidang maklumat tidak terlibat dalam menyedia cadangan polisi maklumat dan kajian yang berkaitan polisi maklumat. Hal ini dipercayai akibat dari kekurangan pengaruh dan kuasa profesional maklumat. Dalam model polisi maklumat, isu yang dikaitkan dengan perpustakaan adalah tekanan kepada pendemokrasian capaian maklumat, usaha galakan minat membaca dan menghargai buku, galakan menghasil dan menerbit buku Bustamante 2007. Malaysia tidak ketinggalan dari sudut kempen membaca bagi tujuan membudaya ilmu dalam kalangan anggota masyarakat. Walaupun galakan membaca dilaksana menerusi kempen membaca, namun galakan melalui pemberian insentif kepada penulis dan penerbit buku tidak dibuat secara serius. Insentif hanya diberi kepada pihak yang menyedia kemudahan perpustakaan sama ada pada peringkat awam, sekolah mahupun universiti melalui potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 Dewan Rakyat Malaysia 2005a. Peranan perpustakaan sebagai sumber dan penyedia maklumat bagi pembangunan ekonomi dan sosial didapati tidak ketara. Kebanyakan isu didapati berlegar sekitar penyediaan keperluan infrastruktur maklumat. Justeru, bagi membudaya maklumat di Malaysia, satu polisi yang dipanggil Ubiquitous library U- Library diwujud di Malaysia pada tahun 2010 Anon 2010.

5.2.3 Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT