Maklumat Teknikal dan Saintifik

Creswell 2009 iaitu mengemukakan analisis penemuan dalam bentuk ringkasan diikuti dengan refleksi dan kritik penyelidik bagi setiap bahagian sektor. Ringkasan temuan dibuat terhadap dokumen primer dari tahun 1959 sehingga pertengahan tahun 2011. Bagi tujuan refleksi dan kritik, perbandingan dilakukan antara sumber primer dan sumber sekunder. Konflik antara data sumber primer turut dikemukakan. Pendekatan ini diadaptasi dari Trauth 2001 dan Krippendorff 2004. Dokumen yang dianalisis juga tidak terhad dari segi tahun penerbitan. Pendekatan seperti ini dijangka dapat mengenal pasti sebarang perubahan atau corak yang berlaku.

5.2.1 Maklumat Teknikal dan Saintifik

Malaysia sedar tentang kepentingan maklumat teknikal dan saintifik terhadap pembangunan negara. Kesedaran ini ditunjukkan pada awal tahun 1970-an dengan menyedia peruntukan bagi membeli peralatan arkib. Alatan ini diguna bagi menyiasat dan menyimpan maklumat geografi dan galian dalam negara Dewan Rakyat Malaysia Malaysia 1975. Tumpuan kerajaan terhadap maklumat berkembang dari maklumat yang berbentuk struktur kepada maklumat yang mempunyai kepentingan ekonomi. Sebagai contoh Majlis Galakan Pasaran Minyak Sawit Malaysia MPOC mendapat dan menghebahkan maklumat saintifik mengenai khasiat minyak sawit melalui persidangan, program suaikenal, pameran serta iklan Dewan Rakyat Malaysia 1989a. Maklumat saintifik berkaitan perikanan juga turut diakui penting dan mula diguna oleh kerajaan bagi mempertingkat hasil tangkapan ikan terutama perikanan laut dalam Dewan Rakyat Malaysia 2010a. Selain itu, maklumat saintifik turut diguna bagi tujuan kesedaran dan kesihatan seperti maklumat tentang penyakit AIDS. Maklumat ini penting terutama kepada kakitangan perubatan dan kesihatan yang terlibat dalam pengurusan pesakit AIDS. Maklumat saintifik mengenai perkembangan terkini berkaitan dengan pengurusan pesakit AIDS juga diedar dari semasa ke semasa Dewan Negara Malaysia 1990. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan RMK9, kerajaan Malaysia dengan jelas mahu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama dalam mempertingkat keupayaan negara. Bagi menguatkan komponen maklumat sains dan teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi MOSTI melaksana beberapa langkah. Antaranya menyedia sistem maklumat bagi mengawasi dan menyelaras aktiviti dan menyedia pangkalan data RD peringkat kebangsaan. Program menyedia sistem maklumat dimulakan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Kelima RMK5 dengan penubuhan Pusat Maklumat Saintifik dan Teknologi Malaysia Malaysian Scientific and Technological Information Centre - MASTIC pada tahun 1992. Melalui MASTIC, Kementerian dapat berhubung dengan berbagai agensi dalam dan luar negeri bagi tujuan mendapat maklumat berkaitan bidang sains dan teknologi Dewan Rakyat Malaysia 2008a. Dalam pada itu, kerajaan turut menyedia maklumat melalui portal mosti.my. MOSTI dengan kerjasama agensi di bawahnya dan juga sektor swasta turut mengambil inisiatif untuk menubuh innovation exchange yang berfungsi sebagai pihak yang mempertemukan inventor dengan industri. Selain itu kerajaan turut meningkatkan pemindahan dan perolehan teknologi dan pengkomersialan dengan meningkatkan rangka kerja harta intelek IP. Satu dasar pengkomersialan Harta Intelek IP bagi RD yang dibiayai oleh dana kerajaan juga turut digubal Dewan Rakyat Malaysia 2008a. Selain kesedaran dan perancangan kerajaan berkaitan maklumat teknikal dan saintifik, kerajaan turut menyedia beberapa dana khusus bagi tujuan pembangunan sains dan teknologi. Sebagai contoh, dana sains dan dana pembangunan teknologi. Dana sains adalah skim geran RD yang menyedia pembiayaan bagi penyelidikan asas sehingga ke peringkat permohonan prototaip skala makmal bagi bidang ICT, bioteknologi, industri pertanian dan perkhidmatan sains dan teknologi. Dana pembangunan teknologi pula menyedia pembiayaan pembangunan dan pengembangan teknologi hasil daripada RD bagi tujuan pengkomersialan Dewan Rakyat Malaysia 2007a; Dewan Negara Malaysia 2007a. MOSTI turut memperkenal dana bagi aktiviti inovasi iaitu Skim Dana Inovasi. Skim Dana Inovasi bertujuan untuk membantu dan menggalak syarikat daripada kumpulan industri kecil dan mikro serta individu untuk menghasil dan mengkomersial hasil inovasi mereka khususnya dalam bidang pertanian, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri. Dana ini turut berfungsi membantu kumpulan komuniti menterjemah pengetahuan ataupun idea mereka kepada produk ataupun proses dan perkhidmatan yang dapat mempertingkat kualiti hidup masyarakat. Di bawah pakej galakan istimewa, kerajaan menetap syarat iaitu satu peratus daripada nilai tahunan mesti diperuntuk bagi tujuan RD Dewan Negara Malaysia 2007a; Dewan Rakyat Malaysia 2009a. Refleksi dan Kritik Kerajaan Malaysia sedar tentang kepentingan maklumat teknikal dan saintifik kepada kemajuan negara. Kesedaran ini ditunjuk melalui pengubalan Dasar Sains dan Teknologi Negara 1986. Kerajaan turut menubuh Pusat Maklumat Saintifik dan Teknologi Malaysia MASTIC pada tahun 1992 bagi tujuan menyelanggaran maklumat teknikal dan saintifik dari dalam dan luar negara. Bagi tujuan menyelaras dan menyatu aktiviti RD, kerajaan menubuh Majlis Pendidikan dan Kemajuan Sains Negara MPKSN. Beberapa dana turut disedia bagi tujuan pembiyaan, pengkomersialan RD dan inovasi iaitu Dana Sains, Dana Pembangunan Teknologi dan Skim Dana Inovasi. Selain dasar, kerajaan turut mengaplikasi beberapa maklumat teknikal dan saintifik seperti maklumat berkaitan AIDS dan minyak sawit sama ada bagi tujuan sosial atau pun ekonomi. Walaupun pelbagai program dan dana diwujudkan oleh kerajaan, analisis dokumen primer tidak mengambarkan maklumat teknikal dan saintifik sebagai maklumat penting yang perlu disedia oleh kerajaan. Carian dengan mengguna kata kunci ‘maklumat teknikal dan saintifik’ dari tahun 2005 hingga 2011 tidak menemui sebarang Penyata Rasmi Dewan Rakyat Malaysia dan Dewan Negara Malaysia yang berkaitan. Sementara, carian mengguna ‘maklumat saintifik’ menemui dua dokumen. Hal ini membuktikan Ahli Parlimen yang berperanan menyuara kehendak dan aspirasi rakyat, tidak menunjukkan adanya desakan dari rakyat terhadap penyediaan maklumat teknikal dan saintifik. Dalam ertikata lain, rakyat didapati tidak mengambil peduli sama ada maklumat teknikal dan saintifik disedia oleh kerajaan atau tidak. Begitu juga dengan kumpulan dari kalangan pakar teknikal dan saintifik. Tidak ada sebarang bukti dikesan yang menunjukkan kumpulan ini mendesak agar maklumat teknikal dan saintifik disediakan oleh kerajaan. Polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik di Malaysia didapati wujud tanpa dapat dikesan asas kepada penggubalan polisi ini. Maklumat teknikal dan saintifik di Malaysia juga didapati tidak dikaitkan dengan sektor lain terutama sosial dan perpustakaan. Selain itu, polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik tidak menunjukkan perluasannya kepada sektor lain seperti sains sosial. Hal ini berbeza seperti yang dibincang dalam Bab 2. Polisi maklumat bermula dengan matlamat menyebar, berkongsi dan menyedia maklumat teknikal dan saintifik khususnya dalam kalangan ahli sains seterusnya berkembang ke bidang sains sosial Lamberton 1974. Mengenai isu berkaitan maklumat teknikal dan saintifik, umumnya Malaysia menangani isu seperti yang dikemukakan oleh Ruenwai 2007. Isu seperti infrastruktur ICT bersepadu, perolehan sumber elektronik, penambahbaikan perkhidmatan, komunikasi dengan pengguna dan maklum balas, pendidikan pengguna, pembiyaan RD saintifik dan penggunaan sumber yang berkesan turut ditangani di Malaysia. Namun beberapa isu lain seperti transaksi perpustakaan elektronik dan perkongsian pengetahuan tidak dinyata dengan jelas dalam perbahasan berkaitan maklumat teknikal dan saintifik.

5.2.2 Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat