Daya Tarikan Program-Program Media

2.5 Daya Tarikan Program-Program Media

Kajian mengenai daya tarikan program-program media telah dijalankan oleh Oos M. Anwas (2003) terhadap 18 buah sekolah menengah di Jogjakarta, Indonesia. Beliau mendapati para remaja cenderung untuk mudah dipengaruhi oleh persekitaran yang dapat memenuhi kehendak naluri, psikologi dan kumpulannya ( peer group ). Media merupakan salah satu medium yang dapat memenuhi kehendak tuntutan remaja. Ini kerana media menyediakan pelbagai bentuk program dan perisian yang dapat memenuhi selera dan kehendak remaja. Beliau juga mendapati remaja sangat menggemari filem-filem aksi ganas dan keras kerana ianya bersesuaian dengan perkembangan biologi tubuh badan remaja yang kuat dan bertenaga. Kajiannya juga mendapati golongan remaja juga menggemari rancangan atau laman yang porno kerana ianya bersesuaian dengan tahap perkembangan hormon tubuh badannya yang mula menyediakan diri ke alam dewasa dan perkahwinan. Beliau merumuskan bahawa program-program media yang mengandungi kepelbagaian rancangan untuk pelbagai kumpulan masyarakat merupakan faktor utama mengapa pelajar-pelajar tertarik untuk menonton pelbagai program-program tersebut.

Menurut kajian Gerlach dan Ely (1980) dan Russel (1991) di England mengenai pelbagai dimensi tayangan media dan kesannya terhadap kanak-kanak dan remaja, beliau mendapati program-program media merupakan suatu bentuk tayangan komersial yang menggunakan pelbagai teknik produksi bagi menarik perhatian pengguna untuk menonton, mengalami, menghayati dan mempraktikkan apa yang ditonton oleh mereka. Dalam kajiannya pelbagai teknik digunakan dalam programprogram media untuk menarik perhatian penonton seperti teknik melibatkan dialog, jenis gambar ( kind of shorts), sudut dan jarak pengambilan gambar, animasi, efek khusus, pencahayaan, warna dan kombinasi, kecepatan (pacing) dan waktu pengambilan gambar, single dan multiple scenes serta manipulasi suara. Beliau merumuskan kesemua aspek teknik persembahan ini dengan mudah menarik minat remaja untuk menontonnya dan dalam masa yang sama remaja menerima pelbagai adegan ganas tanpa disedari.

Menurut kajian Flemming dan Levie (1993) mengenai peranan media dan perubahan tingkah laku pelajar-pelajar di Amerika Syarikat, beliau mendapati kesemua jenis teknik produksi yang digunakan oleh media dengan mudah menarik minat remaja yang sukakan keseronokan dan fantasi dalam kehidupan mereka. Kajiannya mendapati program-program media ini dapat menyediakan pelbagai bentuk keseronokan, permainan video, ruangan sembang, gaya hidup moden, fesyen pakaian terkini, maklumat mengenai barangan dan pelbagai bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh agensi tertentu. Kajiannya juga mendapati, media menyiarkan filem-filem “box-office” yang biasanya menghidangkan adegan yang hangat dan panas seperti pembunuhan, perkosaan, bercumbu, berpelukan, menakutkan dan seram, pertengkaran, pergaduhan, adegan tembak menembak, aksi pergaduhan (kung fu, karate, judo dan silat) dan wanita seksi yang mempunyai watak kekuatan luar biasa. Beliau merumuskan dalam kajiannya kesemua bentuk program-program media ini dengan menjadi daya tarikan untuk diadaptasi oleh golongan remaja dan akan mendedahkan remaja kepada bentuk- bentuk keganasan melampau yang akan memudaratkan diri remaja itu sendiri.

Menurut kajian Anderson dan Dill’s (2000) mengenai kisah-kisah ganas dalam media dan kesannya terhadap persepsi dan pemikiran pelajar-pelajar di Amerika Syarikat, beliau mendapati pelajar-pelajar lebih mudah tertarik dengan pelbagai adegan yang agresif dan ganas dalam media kerana keadaan psikologi mereka yang belum matang, lebih sukakan hiburan, aktiviti yang lasak dan mencabar. Menurutnya keadaan ini bersesuaian dengan zaman remaja yang mana mereka dalam keadaan tidak stabil dan dalam proses membentuk personaliti diri. Kajiannya juga mendapati kitivi-aktiviti yang ganas memang sesuai dengan jiwa pelajar-pelajar remaja yang sedang memberontak dan mempunyai kekuatan fizikal yang tinggi. Oleh itu, beliau merumuskan dalam kajiannya bukanlah sesuatu yang menghairankan jika pelajar-pelajar agresif memang tertarik dan berasa seronok menonton program-program ganas yang terdapat dalam media kerana ia bersesuaian dengan naluri dan keadaan psikologi pelajar.