ISU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN STRATEGI PERGURUAN DI SEBALIK PERMAINAN CATUR
ISU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN STRATEGI PERGURUAN DI SEBALIK PERMAINAN CATUR
Nurul Fasha Binte Samsudin
Pengenalan
Chess is a classic game of strategy, invented more than 1500 years ago in India. Legend has it that the ruler of India asked his wise men to devise a way to teach the children of the royal family to become better thinkers and better generals on the battlefield. Chess was the result. In the centuries since its invention, chess has spread to every country in the world. While countless other games have died out, chess lives on. In the United States, it has received endorsements by many educators, ranging from Benjamin Franklin to former U.S. Secretary of Education, Terrell Bell. In Western Pennsylvania, more than 70 schools and a dozen libraries offer chess programs, reaching several thousand students each year.
(Jerry Meyers, Why Offer Chess In Schools? dalam A collection of studies and papers on chess and education)
Permainan catur memang dikenali sebagai permainan yang tinggi daya inteleknya. Pemain-pemain catur harus cekap dalam melakarkan strategi dan perancangan yang baik agar dapat menewaskan lawan dan muncul sebagai juara di dalam permainan itu. Di dalam kitab Sejarah Melayu, Bab 8, dikisahkan tentang seorang yang bijak pandai yang bernama Tun Bahara. Beliau berasal dari Pasai dan telah datang ke Melaka. Beliau sungguh handal dan cekap dalam permainan catur sehinggakan tidak ada yang mampu untuk mengalahkannya. Tun Bahara masih boleh memandang kiri dan kanan, bersyair, bergurindam dan berseloka ketika bermain catur. Semua orang yang handal dalam permainan catur pun tidak mampu untuk mengalahkannya.
Kisah Tun Bahara ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu memang sudah lama mahir dalam permainan catur. Walaupun permainan catur ini dipercayai berasal dari India, ia mula menjadi terkenal dan dimainkan dengan meluas pada kurun ke-15 di Eropah. Lantas, apabila permainan catur ini baru hendak berkembang, masyarakat Melayu sudah ternyata mampu menguasainya dengan begitu baik sekali. Kisah Tun Bahara di dalam Sejarah Melayu menunjukkan bahawa penguasaannya terhadap catur itu luarbiasa, sekali gus memberikan gambaran akan daya intelek Tun Bahara. Antara sebab mengapa permainan catur mampu mengambarkan daya intelek seseorang individu ialah kerana falsafah sebalik catur sangat tinggi. Banyak ilmu dan manfaat boleh diperolehi daripada proses bermain catur ini.
Penerapan dalam pendidikan
Di dalam permainan catur, terdapat tujuh kebaikan yang boleh dikenalpasti. Ketujuh-tujuh manfaat ini dapat membangunkan diri insan dan mempertingkatkan lagi mutu kehidupan termasuk dalam dunia pengajaran dan pembelajaran.
Fokus
Catur mengajar pemainnya memberikan tumpuan kepada permainan yang sedang berlaku. Kepandaian yang dimiliki seseorang individu itu tidak akan berguna dan bermanfaat seandainya perhatiannya tidak tertumpu kepada permainan catur. Ini dapat diaplikasikan kepada apa jua perkara dalam kehidupan kerana fokus itu sangat penting supaya sesuatu situasi itu dapat diteliti dengan baik. Ini dapat mengajar guru-guru tentang pentingnya memberi fokus, baik di dalam atau di luar bilik darjah. Seseorang guru itu harus sentiasa fokus dan peka akan kebajikan, prestasi dan kelakuan murid-muridnya. Di dalam bilik darjah, guru harus fokus kepada apa yang ingin disampaikan dan juga respons murid-murid. Di luar bilik darjah pula, guru itu harus fokus kepada kegiatan yang dijalankan dan implikasinya kepada semua yang terlibat; fokus kepada perancangan pelajaran yang akan dijalankan dan juga fokus dalam memeriksa latihan yang telah dilakukan oleh murid-murid.
Menjangkakan apa yang akan datang
Permainan catur mengajak pemainnya belajar cara menjangkakan apa yang akan berlaku. Di dalam permainan catur, seseorang pemain itu harus mengutarakan daya penjangkaannya itu kerana terpaksa membayangkan di dalam minda langkah-langkah yang akan diambil. Seorang guru juga harus pandai menjangkakan apa yang akan datang apabila di dalam kelas dan ingin menyampaikan sesuatu pelajaran, guru itu harus sudah menjangkakan respons dan reaksi murid-muridnya. Dia juga harus menjangkakan apakah jenis soalan yang akan diajukan kepadanya dan beberapa masalah yang mungkin akan timbul dalam penyampaiannya itu.
Berfikir jauh
Seseorang individu itu bermain catur perlu berfikir jauh. Ini merupakan salah satu strategi penting. Mereka harus berfikir dengan teliti sebelum bertindak. Tiap-tiap langkah yang diambil harus dipertimbangkan dengan baik dan pemain harus memikirkan apa kesannya nanti. Lantas, ini juga melatih pemain catur untuk seringkali berfikiran jauh sebelum mengambil tindakan atau keputusan. Dalam melakukan perancangan pembelajaran, seorang guru harus berfikir jauh. Pelajaran yang ingin disampaikan kepada muridnya itu tidak boleh hanya mempunyai kesan jangka pendek, tetapi harus memberi implikasi jangka panjang. Seorang murid itu harus mampu menggunakan apa yang disampaikan oleh guru itu sepanjang hayatnya, maka ia menjadi tugas dan tanggungjawab seorang guru itu untuk memastikan pelajarannya itu dapat mencapai matlamat tersebut.
Membuat pemilihan dengan bijak
Catur juga mengajar pemainnya untuk tidak membuat tindakan atau keputusan yang melulu. Setiap pemilihan langkah di dalam permainan harus dipertimbangkan dengan teliti sekali. Pemain harus melihat kebaikan dan keburukan pemilihan itu apabila diberikan pemilihan. Dalam membuat pemilihan, pemain juga dilatih untuk melihat cara-cara alternatif yang boleh diambil untuk mencapai matlamatnya. Kadangkala, guru akan menempuhi cabaran dan dugaan di sekolah. Ia akan menjadi satu masalah yang lebih rumit jika pemilihan yang salah dibuat. Seorang guru itu harus mampu mempertimbangkan setiap keputusan atau tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah atau mengharungi dugaan yang ada. Mungkin juga, seorang guru itu tidak hanya tertakluk kepada jalan penyelesaian yang konvensional dan boleh memikiran cara alternatif.
Penganalisian yang kukuh
Dalam bermain catur, seseorang individu itu harus mampu membuat analisis yang kukuh terhadap setiap langkah yang diambil. Langkah-langkah yang diambil harus dianalisiskan dengan baik dan teliti. Dalam analisis ini, pemain harus bertindak berdasarkan logik dan bukanlah sekadar keinginan semata. Sebagai seorang guru, penting baginya memiliki daya pemikiran yang kritikal. Dalam menilai tahap murid-murid, analisis yang teliti wajib dilakukan.Seorang guru itu haruslah bertindak mengikut fakta dan logik yang benar, bukanlah mengikut perasaan peribadi terhadap murid- muridnya. Seorang guru itu harus membuat analisis yang objektif dan tidak berat sebelah.
Berfikir secara abstrak
Kadangkala, dalam permainan catur, pemain harus berhenti sejenak dan mengundurkan langkah untuk berfikir bagaimana mengorak langkah seterusnya. Pemain juga harus berfikir bagaimana merelevankan strategi-strategi ke dalam konteks yang berbeza. Pemikiran abstrak itu memanglah penting dimiliki guru. Beliau tidak boleh mempunyai minda yang sempit dan enggan menerima pembaharuan. Seseorang guru itu harus berfikiran abstrak untuk memberi dan dalam masa yang sama menerima daya kreativiti yang tinggi daripada murid-muridnya. Penting bagi guru membuat refleksi setelah mengajar agar mutu pelajarannya kekal tinggi, baik dan tidak merosot.
Perancangan
Perancangan merupakan antara faktor terpenting dalam permainan catur. Setiap pemain itu haruslah memperlengkapkan diri dengan rancangan yang baik dan kukuh agar dapat berjaya kelak. Pemain catur harus berfikir jauh dalam perancangannya dan bermatlamat untuk muncul sebagai juara di akhir permainan secara strategis bukanlah dan penuh kesabaran. Seseorang guru itu juga harus sentiasa merancang apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Guru itu harus sudah bersedia dan lengkap dengan perancangan yang baik serta teliti tentang aktiviti pada hari itu.
Kesimpulan
Permainan catur ternyata bukan sekadar permainan yang dimainkan untuk mengisi masa lapang. Catur dapat membentuk insan yang tinggi intelek dan penuh dengan strategi. Catur juga membina minda yang selalu berfikir dan jarang leka dan lalai. Daripada tujuh langkah yang dikemukakan di atas, catur telah membuktikan bahawa pengajaran dan manfaatnya boleh diaplikasikan oleh guru- guru apabila mengajar supaya menjadi guru yang berkualiti tinggi.
Bibliografi
A.Samad Ahmad. (1986). Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. McDonald P.(2002). A collection of studies and paper on chess and education. Diperolehi 8 hb Februari, 2010, dari www.gardinerchess.com