APRESIASI POTRET POTRET PENCETUS PUISI

APRESIASI POTRET POTRET PENCETUS PUISI

Nur Hafizah Binte Mohd Rashib

Pendahuluan

Lukisan ialah gambaran atau keterangan yang memperlihatkan sesuatu hal (1997:830). Lukisan dapat dibahagikan kepada yang berbentuk abstrak dan bukan abstrak. Lukisan yang bersifat abstrak lazimnya tidak konkrit atau maujud. Bentuk dan objek yang dilahirkan dalam sesebuah lukisan abstrak sukar atau tidak dapat disamakan dengan apa yang dilihat dalam kehidupan harian. Sebaliknya, lukisan-lukisan berbentuk bukan abstrak banyak menggunakan bahan-bahan yang terdapat dalam dunia realiti sebagai pelantar dalam penghasilan karya seseorang seniman. Hakikatnya, setiap hasil lukisan itu merupakan produk imaginatif pelukisnya.

Nafas Baharu

Sesebuah lukisan boleh ditafsir daripada pelbagai sudut pandangan. Tafsiran yang diberikan pengamat tidak semestinya sama dengan mesej yang ingin disampaikan pelukis. Roland Barthes 34 pernah mengatakan bahawasanya “the author is dead”. Ertinya, apabila sesebuah buku itu sampai ke tangan pembaca, penulisnya akan kehilangan kuasa kerana beliau tidak dapat menghalang mahupun menentukan bagaimana pembaca tersebut akan dan harus mentafsir karyanya. Meskipun kata-kata itu disampaikan untuk tujuan mengalisis buku tetapi ia juga relevan dalam mentafsir sesebuah gambar atau lukisan. Sesebuah lukisan tidak akan mati bersama-sama dengan perginya si pelukis asalkan pengamat-pengamat terus mentafsir, mengkaji dan meneliti lukisan tersebut serta cuba memberikan nafas baharu dalam bentuk yang berbeza seperti menghasilkan puisi untuk mengiringinya.

Landscape from a Dream

Lukisan Landscape from a Dream oleh Paul Nash dihasilkan pada tahun 1938. Ia merupakan sebuah lukisan bukan abstrak yang dilukiskan di atas kanvas dan diwarna menggunakan pewarna minyak. Lukisan tersebut memperlihatkan seekor burung yang sugul. Burung tersebut sedang berdiri di balik sebuah tirai pemisah yang diperbuat daripada kaca. Pemisah tersebut mempunyai lima bahagian dan daripada setiap bahagian pemisah itu, dapat dilihat dengan jelas pancaran dunia realiti yakni berlatarkan situasi di tepi pantai kecuali satu bahagian.

Berbeza dengan bahagian-bahagian pemisah yang lain, bahagian itu mempunyai latar sebuah gambar yang melihatkan situasi tanah lapang yang terbentang luas dengan seekor burung sedang terbang tinggi dan bebas di awan senja. Gambar tersebut merupakan objek paling menonjol dan menangkap perhatian dalam lukisan Landscape from a Dream oleh Paul Nash. Kehadiran gambar itu di tengah-tengah pantai pastinya menimbulkan seribu pertanyaan dan persoalan dalam diri seseorang pengamat. Andaian demi andaian mula bermain di minda.

34 Dipetik daripada lelaman http://www.opensubscriber.com/message/[email protected]/10428829.html

Landscape from a Dream oleh Paul Nash (1936-8) http://www.tate.org.uk

Andaian Demi Andaian

Kehidupan penuh penderitaan dan kesempitan pada era 1930-an berkemungkinan besar menjadi pendorong utama yang menggerakkan jari-jemari Paul Nash untuk menghasilkan lukisan Landscape from a Dream itu. Era 1930-an banyak menyaksikan berlakunya peristiwa menyedihkan seperti peperangan dan The Great Depression yang menjejas seluruh pelusuk penduduk dunia.

Lantas, burung lukisan Paul Nash itu merupakan representasi manusia manakala latar pantai berserta ombaknya pula menggambarkan hakikat dunia yang penuh dengan halangan, cabaran dan dugaan yang tiada kesudahannya. „Burung‟ itu sudah jenuh berhadapan dengan dunia realiti. Ia sudah tidak sanggup lagi hendak dibebani dengan masalah-masalah dan penderitaan-pederitaan. Sebaliknya, ia mengimpikan sebuah kehidupan yang tenang dan bebas daripada belenggu sebarang masalah. „Burung‟ itu mahukan sebuah kehidupan yang membolehkan ia terbang tinggi dan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa ada yang menghalang atau menyekat tujuannya itu. Ia mengimpikan sebuah kehidupan seperti yang digambarkan di dalam gambar yang terletak di tengah-tengah pantai itu. Malangnya, untuk terus hidup di dunia ini semua orang harus berhadapan dengan realiti dan realiti itu kadangkala memeritkan.

Paul Nash sengaja melukiskan pemisah yang diperbuat daripada kaca dan bukannya bahan- bahan lain kerana beliau hendak menunjukkan dan menekankan bahawasanya manusia tidak dapat lari daripada kenyataan. Meskipun di balik mana sekalipun seseorang individu itu bersembunyi, realiti tetap menantinya. Manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau menentukan realiti. Mereka yang suka berkhayal dan bermimpi akan ketinggalan di belakang. Tafsiran yang dilakukan terhadap lukisan Landscape from a Dream oleh Paul Nash ini telah disesuaikan untuk membentuk sebuah sajak bertajuk „Realiti‟:

Memencil hati menghambat diri Mencari erti sinar nurani Berdekad sudah dibuai ilusi Berabdi di balik fantasi Andai terlukis gambaran realiti Digantung dalam halaman mimpi Mengorak langkah menuju mentari Tiba-tiba aku berhenti Realiti tetap realiti

Kesimpulan

Lukisan tidak harus dihadkan fungsinya sebagai bahan hiasan yang digantungkan pada dinding- dinding rumah. Sebaliknya, lukisan juga boleh menjadi inspirasi atau ilham untuk seseorang seniman lain menghasilkan sesebuah karya seperti puisi, cerpen dan lain-lain lagi. Ini akan dapat memastikan sesebuah lukisan itu tidak akan mati bersama-sama si pelukis. Selain itu, dunia sastera akan terus berkembang dan maju ke hadapan.

Bibliografi

Federick Palmer, 1990. Art and Design in Context. London and New York: Longman 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Persatuan Budaya Melayu Program Latihan Khas (Bahas Ibunda), Institut Pendidikan Nasional. aktivis-Jurnal Akademik Jilid IX. 2009 http://www.opensubscriber.com/message/[email protected]/10428829.html http://en.wikipedia.org/wiki/1930s http://www.tate.org.uk/servlet/ViewWork?cgroupid=- 1&workid=10544&searchid=false&roomid=false&tabview=text&texttype=8