ISU AGAMA DAN PRAGMATISME PEMINDAHAN ORGAN MANUSIA SATU TANGGAPAN FUNDAMENTALISME

ISU AGAMA DAN PRAGMATISME PEMINDAHAN ORGAN MANUSIA SATU TANGGAPAN FUNDAMENTALISME

Oleh Nurshamira Binte Johari Nurshamira Binte Johari

Pengenalan

Fundamentalisme secara harfiah merujuk kepada gerakan Protestan Amerika pada awal abad ke-20 yang menyerukan agama untuk pulang kepada ajaran kitab Injil. Kitab injil dijadikan sebagai panduan hidup yang lengkap dan utama. Mereka terlalu mematuhi dan mengikuti ajaran-ajaran dalam kitab injil yang isinya dilihat sebagai begitu absolute dan sempurna. Sikap mereka yang tidak fleksibel menjadikan mereka antara golongan yang fanatik dan konservatif kerana berdasarkan definisi kamus Oxford, fundamentalisme ialah “pemeliharaan ketat atas kepercayaan agama tradisional”. Dalam bahasa Arab, fundamentalisme tidak membawa erti kerana tiada istilah Arab untuk mendefinisikannya. Perkataan Arab yang paling sesuai untuk menerangkan erti fundamentalisme ialah ushuli yang apabila diterjemahkan kepada bahasa Melayu bererti akar. Fundamentalisme juga terdapat dalam agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Konfusianisme (Karen Armstrong, 2002).

Fundamentalisme Dalam Islam

Konsep fundamentalisme dalam Kristian dan Islam merupakan dua perkara yang berbeza. Fundamentalisme Kristian menyempitkan dan menghalang para pengikutnya dari menyesuaikan dan merelevankan diri mereka dalam kehidupan zaman ini. Sebaliknya agama Islam menggalakkan umatnya menyesuaikan diri mengikut arus kehidupan, tidak berfikiran kuno dan bersifat fleksibel dalam menjalani kehidupan teknologi maju ini. Seseorang yang beragama Islam hanya boleh mengaku dirinya dilabelkan sebagai seorang fundamentalis apabila dia mempunyai ilmu yang lengkap bukan sahaja tentang Al-quran tetapi juga menitikberatkan ilmu hadith, ijmak ulama dan qiyas (Mohamed Pitchay Gani, Jurnal Paradigma).

Mereka yang kurang berilmu dalam agama tetapi bersikap fanatik dan ekstrimis besar kemungkinan akan berkembang kepada sifat militan dalam agama (Mohamed Pitchay Gani, Jurnal Paradigma). Mereka tergolong dalam kumpulan pengganas yang memberontak atas dasar mempercayai idealogi yang songsang. Dalam membicarakan tentang bagaimana untuk membanteras penyelewengan ideologi pengganas, golongan yang perlu diberi keutamaan untuk mendidik mereka ialah golongan belia yang mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif terutama jika mereka cetek dalam ilmu agama.

Fundamentalisme dan Pemindahan Organ Dalam Islam

Islam merupakan satu gaya hidup. Hukum haram boleh bertukar menjadi halal dan harus sekiranya umat Islam mengalami keadaan darurat atau atas dasar menyelamatkan nyawa manusia. Masyarakat Islam telah mempraktikkan dasar ini dengan mengeluarkan fatwa baharu mengenai isu pemindahan organ di Singapura. Pemindahan organ ialah suatu proses menggantikan organ-organ pesakit yang rosak dan tidak berfungsi demi menyelamatkan nyawa pesakit yang terbabit.

Pada tahun 1992, umat Islam dikecualikan daripada Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA). Namun demikian, atas dasar masalah pesakit ginjal dan organ semakin meningkat di kalangan masyarakat Melayu, pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengeluarkan fatwa baharu yang membolehkan masyarakat Islam Singapura turut disertakan dalam Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA). Ini bermakna masyarakat Islam secara automatik membenarkan ginjal, hati, jantung dan kornea diambil daripada tubuh mereka selepas meninggal dunia untuk diderma kepada pesakit. Pengecualian boleh dilakukan bagi mereka yang tidak setuju dengan fatwa ini melalui permohonan opt out. Kementerian kesihatan (MOH) mengatakan bahawa masyarakat Melayu membentuk 21 peratus pesakit yang sedang menantikan pemindahan ginjal. Ini bermakna pendermaan organ dapat membantu lebih ramai pesakit Melayu. Ini secara langsung membuktikan bahawa tindakan Jawatankuasa Fatwa MUIS yang mengkaji semula dasar pemindahan organ dari sudut agama adalah bertepatan dengan waktunya. Keputusan yang diambil adalah relevan dengan keperluan zaman dan masyarakat Islam sendiri. MUIS memutuskan bahawa adalah tidak melanggar hukum syarak untuk menyertakan orang Islam dalam HOTA.

Kajian dari aspek perubatan menunjukkan bahawa masyarakat Islam tidak boleh lari daripada pendermaan organ. Mengikut keadaan dan konteks zaman sekarang, pendermaan organ adalah sesuatu yang amat perlu dan tiada jalan keluar lain untuk menyelesaikan masalah para pesakit ginjal yang memerlukan organ baharu kecuali dengan pemindahan. Jumlah pesakit yang memerlukan organ dan jumlah pengikrar menunjukkan jurang yang terlalu besar. Hal ini telah menyebabkan masalah pesakit sedemikian semakin meruncing.

Dalam situasi seperti ini, masyarakat Islam mengambil sikap fleksibel dan tidak berfikir secara sempit dan kolot. Agama Islam mengajar umatnya agar rajin berusaha dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan tahap kemampuan diri tanpa melanggar batasan agama. Islam tidak mengajar umatnya untuk berserah kepada takdir semata tanpa berusaha melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Umat Islam juga diajar supaya mencari ubat untuk menyembuhkan penyakit. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa “bagi setiap penyakit, Allah menyediakan penawarnya” (Hadith riwayat Al-Bukhari).

Ikrar untuk menderma organ menunjukkan agama Islam bersifat universal. Langkah ini sesuai dengan prinsip agama Islam iaitu bersifat rahmah. Prinsip rahmah mengajar manusia supaya saling bantu-membantu, mengamalkan amal jariah dan menyayangi setiap insan. Syariat Islam mengandungi aspek-aspek yang bersifat anjal dan dinamik. Ia boleh berubah mengikut konteks zaman, tempat dan keadaan. Ini membolehkan agama kekal relevan buat semua umat Islam.

Kebimbangan Dan Kesedaran Masyarakat

Selepas HOTA diluluskan, ramai di antara masyarakat Melayu Islam Singapura yang berasa keliru dan sangsi terhadap fatwa baharu ini. Pelbagai persoalan mengenai agama dan etika timbul sebaik sahaja fatwa ini diumumkan. Misalnya, agama Islam tidak membenarkan pengebumikan jenazah dilengah-lengahkan. Maka, sekiranya seseorang itu sudah berikrar untuk mendermakan organnya semasa dia masih hidup, ini bermakna pengurusan jenazahnya akan dilambatkan. Namun demikian, masyarakat sudah diberitahu bahawa proses pemindahan organ bukan bermaksud melengah- lengahkan urusan pengebumikan jenazah kerana mempunyai sebab dan alasan yang munasabah dalam fahaman agama. Tujuan utama ialah menyelamatkan nyawa manusia lain. Islam menggalakkan umatnya untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan. Peranan masyarakat Islam Singapura ialah menyelamatkan nyawa para pesakit ginjal tanpa mengundangkan masalah dan kemudaratan bagi diri sendiri.

Kesimpulan

Semenjak HOTA diperkenalkan, kadar purata pemindahan ginjal naik sepuluh kali ganda (MUIS, 2007). Perkembangan dalam perubatan, sains dan teknologi pada zaman ini sudah banyak berubah. Ia telah berkembang dengan begitu pesat. Hasil daripada penemuan-penemuan baru di dalam kajian perubatan telah membuktikan kadar kejayaan proses pemindahan organ yang tinggi. Pemindahan organ menjadi rawatan yang sesuai dan boleh diterima di dalam Islam. Penilaian semula dan perubahan pada fatwa merupakan fundamental agar umat Islam sentiasa bersikap relevan demi mencapai kecemerlangan dan pada masa yang sama dapat menjaga kebajikan masyarakat.

*****

Bibliografi

Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, 2007. Erti di sebalik fundamentalisme: Sejauh mana ia menyemai behih pengganasan. Jurnal Paradigma. Singapura: Universtiti Kebangsaan Singapura. Karen Armstron, 2002. Islam A Short History. Yogyakarta: Ikon Teralitera. www.muis.gov.sg Roxanne L. Euben, 2002. Mush Dalam Cermin: Fundamentalisme Islam Dan Batas Rasionalisme Modern. Indonesia: Serambi