TEORI KRITIKAN SASTERA PENERAPAN TEORI SASTERA EKOLOGI DALAM SAJAK A.GHANI HAMID

TEORI KRITIKAN SASTERA PENERAPAN TEORI SASTERA EKOLOGI DALAM SAJAK A.GHANI HAMID

Puteri Nor’ Atikah Binte Raja Ismail Puteri Nor’ Atika Binte Raja Ismail

Pengenalan

Sejak awal lagi, alam telah menjadi sebahagian daripada sastera. Ia juga menjadi inspirasi kepada penulis, penyair dan karyawan dalam penulisan mereka. Namun demikian, kesedaran sastera dan alam sekitar hanya dapat dirasakan kepentingannya sekitar awal tahun 2000. Unsur-unsur ekologi mula didapati di dalam karya-karya sastera secara sedar ataupun tidak sedar. Ini berlaku kerana pencemaran dan kerosakan bumi yang sering diperkatakan pada zaman moden ini. Penulis mula mendapat kesedaran dalam hal ini lalu menggunakan karya sastera sebagai alat pencapai masyarakat agar dapat mendidik mereka. Menurut sebuah artikel di lelaman web Pikiran Rakyat Online, http://newspaper.pikiran-rakyat.com, teori sastera ekologi diperkenalkan sebagai sebuah konsep oleh Michael P. Branch dalam eseinya, „What is ecocriticism?‟ pada tahun 1970-an. Michael P. Branch kini seorang pensyarah sastera Inggeris dan ekologi di Unversiti Nasional Florida.

Konsep Ekologi

Mana sikana (2007) dalam bukunya Teori Sastera Kontemporari, mengatakan bahawa perkataan ekologi sebenarnya berasal daripada perkataan Greek, oikos yang bermaksud hubungan organisme dengan tempat tinggal mereka. Konsep ekologi ini mesra alam. Lantas, segolongan manusia yang amat mengambil berat dan mempertahankan kebersihan alam dipanggil ekologis. Mereka percaya bahawa merosakkan alam semulajadi dianggap sebagai satu penganiayaan kerana ia akan menjejas haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga manusia. Hidup manusia berkait rapat dengan alam kerana manusia memerlukan alam untuk hidup. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan membekalkan oksigen untuk kehidupan manusia. Kurun ke-18 hingga kurun ke-19 pula merupakan zaman kebangkitan Amerika. Industrialisasi mengakibatkan pencemaran udara di Amerika lalu golongan ekologis melakukan pelbagai usaha supaya pencemaran tidak terus berlaku walaupun demi pembangunan negara. Negara Eropah pula menebang pokok secara meluas untuk tapak pembinaan rumah, kilang dan sebagainya. Ini mengakibatkan kegondolan muka bumi dan menjejas keindahan hidup lantas, terjadinya kebangkitan ekologis untuk menentang gejala ini. Para ekologis percaya bahawa dunia harus kekal seperti asalnya.

Konsep Sastera Ekologikal

Alam dijadikan inspirasi kepada penulis untuk menghasilkan karya-karya sastera mereka. Ini dapat dilihat dari segi pemilihan kata dan isi ceritanya. Penganut ekologisme ini disokong oleh penganut feminisme dan pascamodenisme. Konsep feminisme mempunyai persamaan dengan ekologisme iaitu memperjuangkan keindahan asal sesuatu perkara itu. Penganut feminisme menggesa agar karya- karya sastera dikaji semula kerana mereka percaya bahawa ada mutiara feminisme yang mungkin digelapkan oleh patriarki. Bagi konsep ekologi pula, penganutnya berpendapat bahawa karya sastera harus memaparkan keadaan dunia yang bersih dan asli atau dalam erti kata yang lain, mesra alam.

Gerakan Hijau merupakan satu usaha menentang kegiatan-kegiatan yang memusnahkan bumi dan alam. Gerakan Hijau ini mula bergiat dengan aktif dan meluas pada 1970-an kerana Gerakan Hijau merupakan satu usaha menentang kegiatan-kegiatan yang memusnahkan bumi dan alam. Gerakan Hijau ini mula bergiat dengan aktif dan meluas pada 1970-an kerana

Ciri-ciri Teori Sastera Ekologi

Teori ini bertujuan menyedarkan manusia agar tidak merosakkan bumi. Terdapat beberapa ciri bagi teori ini. Pertama, sesebuah karya sastera itu harus menghormati alam sekitar. Maksudnya, karya sastera tersebut harus sensitif dan mengetengahkan isu-isu yang dapat menggalak dan menyedarkan manusia untuk melindungi alam sekitar. Ini merujuk kepada perkara-perkara seperti pencemaran, penebangan pokok, jerebu, kepupusan haiwan dan sebagainya. Kedua, karya sastera itu harus melihat hubungan manusia dan alam sekitar dari aspek negatif ataupun positif. Sesebuah karya sastera itu juga harus menganalisis gerakan ekologi yang mengungguli kehidupan harmonis. Ini bermaksud bahawa karya-karya itu harus memaparkan langkah-langkah atau jalan penyelesaian yang diambil untuk mempromosikan kemesraan alam. Seterusnya, penulis harus menilai gerakan individu atau kolektif dalam pembentukan budaya ekologikal. Setiap manusia memainkan peranan dalam pembentukan ekologi. Sesuatu yang dilakukan, walaubagaimana kecil pun, dapat membuat perbezaan. Ciri yang kelima adalah, meneliti pergolakan yang bersifat ekologikal, terutamanya dalam aspek budaya, ekonomi, pembangunan dan sebagainya. Terakhir sekali, karya sastera itu harus menanam rasa cinta terhadap ciptaan Tuhan. Manusia harus bersyukur atas kurniaan dan pemberian Tuhan.

Penerapan Teori Ekologi Dalam Sajak ‘Perubahan Alam’ Oleh A.Ghani Hamid

Sajak „Perubahan Alam‟ oleh A.Ghani Hamid yang didapati dalam bukunya Aku Bukan Penyair (2008) ini mengetengahkan tentang manusia yang tidak tahu menghargai dan tidak berterima kasih atas pemberian Tuhan sehingga akhirnya, bumi semakin kekurangan sumber alam untuk kegunaan manusia. Teori ekologi ini dapat diterapkan dalam sajak „Perubahan Alam‟ oleh A.Ghani Hamid kerana ia menepati ciri-ciri teori ini. Agak jelas peristiwa-peristiwa yang diketengahkan tentang hubungan alam dengan manusia.

Persoalan pertama adalah tentang manusia yang sering menggunakan sumber alam semulajadi sesuka hati kerana ia boleh diambil secara percuma. Manusia juga merupakan makhluk yang sering lupa dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat manusia seperti ini yang mendorongnya untuk berkelakuan sedemikian sehingga lupa untuk bersyukur kepada Tuhan yang maha pemurah. Ini dapat dilihat dalam baris-baris berikut:

untuk segala makhluk-Nya (R1,B3) yang sering menerima dan sering lupa (R1,B4)

Baris-baris ini menunjukkan salah satu ciri teori sastera ekologi iaitu menanamkan rasa cinta terhadap Tuhan dan segala ciptaannya iaitu alam dan bumi. Ada pihak yang menggunakan sumber alam tanpa had kawalan atau sukatan kerana mereka yakin bahawa sumber alam itu akan sentiasa ada di bumi ini dan tidak akan kehabisan. Penganut ekologis tentu tidak akan setuju dengan cara ini kerana sumber alam tidak kekal, tidak boleh dikitar semula dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Hal ini dapat dilihat dalam baris-baris berikut:

Kurniaan di muka alam di mana-mana (R2,B1) diguna sebebas rasa (R2,B2) bagai air aliran sungai tak siapa punya (R2,B3)

Manusia mengambil sahaja sumber alam yang ada kerana ia percuma. Tidak perlu wang untuk membelinya tetapi hanya harus mengeluarkan modal untuk membeli alat-alat berteknologi canggih yang dapat membantu dalam proses penggaliannya. Teknologi yang canggih memudahkan proses pengambilan sumber alam ini jadi manusia sudah tidak lagi tahu menghargainya. Penggunaan frasa „bagai aliran sungai‟ merujuk kepada manusia yang mengambil sumber alam semulajadi dengan banyak sekali tanpa henti. Ini menepati ciri teori ekologi bahawa karya meneliti pergolakan bersifat ekologikal iaitu, keadaan alam semakin teruk kerana perbuatan manusia.

Sajak „Perubahan Alam‟ ini juga mengatakan bahawa alam tidak akan pernah cukup untuk menampung keperluan manusia yang semakin tamak, berlumba-lumba untuk mendapatkan sumber alam seperti minyak, tanah, pokok, air dan sebagainya. Baris-baris berikut membuktikan bahawa perkara ini benar:

Kerana dorongan inginkan lebih mewah (R4,B1) hingga alam tidak berkemampuan (R4,B3)

Alam tidak sempat menggantikan „stok‟ atau bekalannya kerana manusia mengambil hasil bumi yang dikeluarkan lebih pantas dan banyak dari apa yang mampu alam gantikan. Proses pemulihan mengambil masa yang lama. Manusia sepatutnya tidak boleh melakukan perkara seperti ini kerana ia akan merosakkan alam. Manusia memerlukan alam untuk hidup tetapi mereka tidak menghargai sumber alam yang terhad itu. Ini menunjukkan ciri teori ekologi yang memperlihatkan hubungan manusia dengan alam sekitar serta permasalahan alam.

Akhirnya, manusia sedar bahawa sumber alam semulajadi semakin luput kerana perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab dan tamak. Manusia kemudiannya berusaha untuk memulih kan bumi ke keadaan asalnya. Mereka tahu bahawa kehidupan mereka berkait rapat dengan alam. Tanpa alam, mereka akan mati. Ini dapat dibuktikan melalui baris-baris berikut:

Ikhtiar berikhtiar membaiki segala (R5,B1) kerana alam adalah kurniaan sangat mulia (R5,B2)

Usaha-usaha seperti penyambutan „Earth Day‟ atau Hari Bumi bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan manusia kepentingan dalam menjaga bumi dengan sempurna. Ia mendapat sambutan media massa secara besar-besaran lantas, ramai yang menyokongnya. Negara seperti Singapura dan Amerika turut menyambut Hari Bumi ini dengan harapan ia akan memberi kesan yang positif terhadap pemulihan bumi. Ini menepati ciri teori ekologi bahawa alam harus dihormati.

Sajak „Perubahan Alam‟ ini juga menunjukkan unsur perhubungan makhluk ciptaan Tuhan dengan alam seperti yang didapati dalam ciri teori ekologi. Rangkap berikut memaparkan perhubungan ini dengan jelas:

Ketika hujan lebat begini (R6,B1) curahan air menekan rasa (R6,B2) kemudian, kecerahannya mendedah (R6,B3) rakaman suka duka makhluk dan alamnya (R6,B4)

Baris empat mengandungi maksud bahawa manusia dan haiwan adalah sebati dengan alam dan tidak dapat dipisahkan perhubungan antara mereka. Akhir sekali, A. Ghani Hamid menggunakan diksi-diksi berkaitan dengan alam seperti mentari, alam, air, sungai, hujan dan makhluk di dalam sajaknya ini. Pemilihan kata-kata seperti ini besar tentunya disengajakan untuk memaparkan dengan lebih jelas tujuan dan isi penulisannya. Perkataan-perkataan ini juga dapat memberi penekanan kepada isi di dalam sajak ini agar pembaca dapat menghayatinya dengan lebih mudah lagi.

Kesimpulan

Sejak dahulu lagi, alam dan manusia berkait rapat antara satu sama lain. Hubungan ini tidak dapat dipisahkan kerana ia sudah sebati dengan diri manusia. Manusia tidak dapat hidup tanpa alam dan alam juga tidak dapat kekal tanpa manusia. Pertalian yang kuat antara kedua-dua unsur ini dengan semulajadinya dapat dilihat dalam karya-karya sastera. Kesusasteraan dianggap indah dan begitu juga alam semulajadi. Lantas, alam dan sastera juga tidak dapat dipisahkan kerana alam menjadi sumber inspirasi sastera.

Bibliografi

A.Ghani Hamid. 2008. Aku Bukan Penyair. Singapura: Angkatan Sasterawan „50 Mana Sikana. 2007. Teori Sastera Kontemporari. Singapura: Pustaka Karya http://newspaper.pikiran-rakyat.com/prprint.php?mib=beritadetail&id=62949 http://www.suite101.com/article.cfm/ecology/104867