KREATIF: CERPEN “OMONI!”

KREATIF: CERPEN “OMONI!”

Shahirah Binte Samsudin

“ A nnyeonghasaeyo Ommoni!” Hazrina memberi salam sejahtera kepada ibunya dalam bahasa Korea. Jam dinding menunjukkan pukul sepuluh setengah malam. Hazrina baru sahaja pulang dari

tempat tugasnya. Rina bekerja separuh masa dari 6 petang hingga 9 malam sebagai seorang pembantu pentadbiran untuk mengisi masa kosongnya sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat GCE O yang bakal keluar dalam masa 3 bulan lagi.

“Assalamualaikum Rina,” Ibunya memberi salam semula kepadanya. Suaranya tegas tetapi tenang.

“Err...Yé...” Rina tidak menjawab salam ibunya malah hanya mengatakan Ya dengan teloh bahasa Korea.

“Rina!” Suara ibunya meninggi. Tetap tegas. Tetap tenang.

“Arghh... Wa'alaikumsalam,” pintas Rina secepat mungkin. Dia membentak kakinya sambil masuk ke dalam bilik tidurnya.

Hampa. Hampa sungguh hati ibunya melihat sikap Rina yang semakin menjadi-jadi. Ke mana pergi semua nilai-nilai keagamaan yang telah suaminya terapkan terhadap anak gadisnya itu ? Apa yang telah menyebabkan perubahan Rina ? Hatinya tidak tenang. Ayah Rina sudah meninggal dunia akibat nahas jalan raya ketika Rina berumur 14 tahun. Ayah Rina sangat sayangkannya. Dia selalu manjakan Rina – apa yang Rina mahu, semuanya diberikan. Walaupun kadangkala ibu Rina tidak bersetuju, dia tetap akan membelikan apa-apa sahaja yang Rina mahukan. Namun, setelah pemergian suaminya, ibu Rina mengambil keputusan untuk menjadi ibu tunggal dan mendidik Rina dengan penuh disiplin. Oleh itu, Rina tidak begitu akrab dengan ibunya kerana dia merasakan bahawa ibunya menyekat kebebasannya. Tidak mudah bagi ibunya mengubah perangai anaknya yang selama ini sudah biasa dimanjakan. Namun, dia percaya satu hari nanti Rina akan berubah juga. Rina bakal menyambut ulang tahunnya yang ke 18 tidak lama lagi.

Ibunya semakin gelisah. Apatah lagi harus berfikir dalam keadaan yang bising. Rina sedang memainkan salah sebuah lagu kumpulan kegemarannya yang berasal dari Korea Selatan, Tong Vfang Xien Qi atau TVXQ. Lagu 'MIROTIC' yang membolot banyak anugerah pada suatu ketika itu dimainkan dengan kuat sekali. Sekali-sekala terdengar suaranya memekik-mekik lirik lagu itu dengan kuat. Ibunya hanya mengeluh.

Rina menghela nafas yang panjang. Tercungap-cungap dia setelah puas menari. Itulah aktiviti sehariannya. Menonton video muzik TVXQ sambil menari mengikut gaya tarian yang mereka paparkan dalam video itu. Satu senaman baginya. Satu darma baginya.

Rina menggerak-gerakkan tetikus nya. Dia menaip alamat lelaman web kegemarannya. “http://www.allkpop.com”. Semua berita terkini tentang selebriti-selebriti dari Korea terpampang di skrin komputernya.

Salah satu daripadanya - “Looking for the female TVXQ in Asia!” Dengan tidak sabar, Rina klik pada berita itu. Dia semakin ghairah. Hatinya semakin berdebar. Mungkinkah ini peluang aku ?

“KOREA SELATAN – Syarikat SM Entertainment, iaitu syarikat yang telah melahirkan bintang asia yang tak lain tak bukan, Tong Vfang Xien Qi atau lebih dikenali sebagai TVXQ, sedang dalam proses mencari pasangan bagi kelima-lima ahli kumpulan itu. Bukan. Bukan pasangan itu yang dimaksudkan tapi protege untuk melahirkan TVXQ versi wanita.

Menurut pemilik SM Entertainment, Encik Lee Soo Man, “Sudah tiba masanya untuk kami memulakan pencarian bagi kumpulan wanita pula. Dalam industri ini, kita harus peka dengan perkembangan masa. TVXQ menjadi pujian setiap wanita dari seluruh pelusuk dunia. Namun, kita juga harus ada strategi iaitu kumpulan wanita yang akan menjadi pujian bagi semua kaum adam pula.”

Dia menambah, “Sesi ujibakat akan diadakan di Seoul, Korea dalam masa dua atau tiga minggu lagi. Walaubagaimanapun, kali ini, kami akan turut menerima peserta- peserta dari negara lain bukan hanya dari Korea sahaja. Jadi, sesiapa yang merasakan mereka ada kelayakan untuk menjadi sebahagian daripada sensasi Asia pada masa hadapan, jumpa anda di sesi ujibakat.”

Rina tersenyum dengan penuh girang. Senyumannya melebar dari telinga ke telinga.“Inilah peluangku!” bisik hatinya. “Aku akan dapat bertemu dengan idola-idola ku! Aku akan menjadi sebahagian daripada ombak Korea, Hallyu Wave.”

“Bogoshippoyo Kim Jaejoong Oppa!” Rina berkata ke arah gambar vokalis utama TVXQ yang menghiasi meja belajarnya. Rina membuka lagu “O Jung Ban Hup” dan meneruskan tariannya. Dia tahu bahawa ibunya tidak akan membenarkan dia pergi ke Korea apatah lagi mengikut sesi ujibakat di sana. Rina harus mencari jalan sendiri.

“Annyeong Ommoni-ya!” Rina mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Dia sudah bersiap sedia untuk ke tempat tugasnya. Begitu rapi dandanannya. Baju Chiffon Merah Jambu yang berlengan pendek dikenakan dengan seluar 'skinnies' berwarna biru. Haruman minyak wangi meresap ke seluruh rumah flat tiga bilik itu. Dia mengeluarkan kasut tumit tinggi berjenama Pierre Cardin.

“Ya...jaga diri ...tengok jalan tu, ada kereta atau tidak sebelum....” ibunya berhenti di situ. “Ya Allah! Rina! Apa yang Rina pakai tu ?”

“Wae Ommoni ?” Rina berpura-pura bertanya. Hatinya berdebar juga. Takut dengan reaksi ibunya yang mungkin kelewatan. Takut terlewat untuk ke kerja.

“Ni apa ni ? Di telinga kiri Rina.” Ibunya hampir menjotos kepalanya. “Eh, dah kenapa dengan Rina ni ? Rina dah kena rasuk syaitan ya ? Dah lupa agama ya Rina ?”

Rina menelengkan kepalanya. Matanya dijeling-jelingkan. Dia sudah tahu bahawa ini akan berlaku. Dia telah menempah sepasang anting-anting dari Korea. Anting-anting ini merupakan model anting-anting sama yang dipakai oleh Kim Jaejoong sewaktu rakaman video muzik lagu TVXQ 'Tri-Angle'. Namun demikian, anting-anting ini bukan seperti yang biasa. Anting-anting ini merupakan anting-anting salib. Dia tahu bahawa ibunya akan marah jika melihatnya memakai anting-anting itu tetapi dia amat gemar dengan aksesori itu. Tambahan pula, model itu merupakan edisi terhad.

“Eh, Rina dengar tak apa yang Mama cakap ?” jerkah ibunya dengan penuh kemarahan. Hatinya seperti dipijak-pijak dan dipecah-pecahkan. Berderai semuanya. “Kalau Rina masih anak mama dan Rina masih mahu tinggal di sini, Rina must obey my rules, faham ? Mama tak mahu tengok semua nonsense ni lagi! Mama nak Rina hentikan semua ini! Hentikan obsesi Rina yang tak akan sampai ke mana tu! STOP IT!!” Ibunya menengkingnya dengan penuh kemarahan dan penyesalan.

“Shikeureo!” Rina menyuruh ibunya diam. Dia separuh menjerit. Nafasnya tersekat-sekat. “Fine!” Rina seperti teragak-agak. “I'll go.”. Suasana senyap dan sepi sebentar. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Rina memulakan langkah – dia mengemas barang-barang keperluannya dan terus keluar dari rumah itu tanpa sepatah kata pun untuk ibunya. Dia pergi begitu sahaja.

Air jernih mengalir di pipi gebu ibu Rina. Dia begitu tidak menyangka bahawa Rina sanggup meninggalkannya semata-mata kerana sebab sekecil ini. Dia mengatur langkah ke arah bilik Rina. Dindingnya dipenuhi dengan poster dan gambar-gambar kumpulan TVXQ serta kumpulan-kumpulan lain seperti Super Junior, SS501 dan 2PM. Rak-raknya dipenuhi dengan kesemua 4 album studion TVXQ serta 3 album 'LIVE' konsert mereka dan banyak lagi koleksi- koleksi DVD mereka yang dikumpulkannya sejak tahun tahun 2003 lagi. Almarinya dipenuhi dengan majalah-majalah dari Korea serta buku-buku panduan bahasa Korea. Komputer ribanya tersorok di balik kertas-kertas di atas mejanya. Komputer riba itu merupakan temannya sehari- harian – dari pagi hingga petang, dari petang hingga malam. Sibuk benar dia berbual secara online bersama teman-teman dari Korea yang dikenalinya menerusi Cyworld dan Me2Day. Jangan pergi Rina, seru hatinya.

Langkah kakinya semakin cepat. Dengan pantas Rina menutup pintu ofisnya. Ofis yang dikongsi dengan seorang lagi pembantu pentadbiran berbangsa Cina yang sebaya dengannya. Rina menghempas pintu ofis. Dia menghidupkan komputer di ofisnya dan terus menaip dengan tekun.

Dia menaip, 'www.me2day.net'

Rina <3 Kim Jaejoong “My plans are working damn fine. SM, Im coming.” Rina menyambung kerja-kerja yang ditinggalkan semalam. Sambil itu, dia berbual dengan temannya dari seluruh Korea Selatan. Dia melakarkan rancangannya. Dia harus ke Seoul secepat mungkin supaya sempat mendapatkan tempat tinggal sementara dan supaya dapat menyesuaikan diri sebelum sesi ujibakat nanti.

Rina memeriksa senarai yang telah ditaipnya dalam Iphone. Dia terpaksa menggunakan telefon bimbitnya kerana dia tertinggal komputer ribanya sewaktu mengemas barang-barangnya Rina memeriksa senarai yang telah ditaipnya dalam Iphone. Dia terpaksa menggunakan telefon bimbitnya kerana dia tertinggal komputer ribanya sewaktu mengemas barang-barangnya

Matanya meraba senarai itu. Teman akrabnya di Korea, JiSeon sudah berjanji akan menolongnya mencapai cita-citanya. Dia menghantar emel kepada Rina dan melampirkan senarai keperluan yang diperlukan Rina sebelum dan sesudah sampai di Seoul. Rina beruntung kerana wang dalam akaun banknya lebih dari mencukupi keperluan seperti yang disenaraikan Jiseon. Itu tidak termasuk kredit kard yang belum digunakannya lagi untuk bulan ini. Jiseon telah memberi Rina senarai yang terperinci.

 Penerbangan dari Singapura ke Busan, Korea. Asiana Airline. Kos : 850 SGD  Penginapan selama 3 minggu : bilik sewa di rumah Jiseon. Kos : 130000 Won (S$195)  Kereta api KTX dari Busan ke Seoul. Kos : 45,000 Won (S$65)  Yuran pendaftaran sesi ujibakat SM Entertainment. Kos : 10,000 Won (S$15)  Makan dan keperluan lain-lain. Kos : sekurang-kurangnya 200000 Won (S$375)

Rina menghela nafas yang panjang. Dia beruntung mempunyai teman seperti Jiseon yang sanggup membantunya sedangkan Jiseon juga sedang sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan kelayakan bagi memasuki universiti Dongkook. Rina akan ke bank esok dan mengalihkan semua wang yang bakal diperlukannya di sana ke akaun bank Jiseon supaya mudah baginya untuk mendapatkan wang itu apabila di sana nanti. Rina juga menambah sekurang-kurangnya S$3000 untuk membeli-belah di sana. Rina sudah menyenaraikan semua yang ingin dibeli termasuklah cenderahati rasmi TVXQ yang hanya boleh dibeli di kedai EverySing, milik SM Entertainment.

Setelah memohon cuti dari bosnya, Rina berangkat dari Singapura ke Busan menerusi khidmat syarikat penerbangan Asiana Airline. Dia sudah berjanji untuk bertemu dengan Jiseon yang akan menunggunya di lapangan terbang Gimhae di Busan. Jiseon juga sudah menempah sepasang tiket KTX untuk mereka berdua ke rumah Jiseon di Seoul. Sedang kapal terbangnya terbang menerusi gumpalan awan yang terbentang luas, hati Rina semakin berdebar-debar. Walaupun dia yang akan ke Seoul, dia meraskan bahawa impiannya sedang bergerak ke arahnya. “Im coming!”

Penerbangan yang memakan hampir 7 jam berakhir dengan selamat. Rina bingkas dari tempat duduknya. Dia turun dari kapal terbang itu dan terus ke dewan ketibaan untuk mengambil bagasinya. Beg demi beg yang keluar menerusi scanner semuanya diangkat oleh pemiliknya. Beg Rina tidak kelihatan. Beg bagasinya yang berwarna keunguan dengan keychain TVXQ yang tergantung di zip beg itu tidak muncul-muncul juga. Rina semakin gelisah. Rina semakin takut. Dia tidak tentu arah seperti cacing kepanasan. “Do wa ju sae yo! Chogiyo!” Rina meminta tolong. Namun, ramai tidak mempedulikannya kerana tidak sabar untuk bertemu dengan saudara-mara yang sedang menunggu. Tiba-tiba Rina teringatkan Jiseon. Dia pasti sudah meunggu dengan lama. Rina terus menuju ke pagar keluar dari dewan ketibaan dan mencari Jiseon dengan tekun. Dia tidak melihat wanita kelahiran Gwangju itu di mana-mana. Menurut Jiseon, dia akan hadir dengan baju merah dengan tulisan TVXQ dalam bahasa Korea. Berdasarkan gambar-gambarnya, Jiseon merupakan seseorang yang sangat kurus dengan rambut hitam yang lurus mencecah bahunya. Dia tidak kelihatan.

Rina mengaktifkan telefon bimbitnya. Dia terus menelefon Jiseon. Setelah tiga kali mencuba tanpa jawapan, Rina meletakkan telefonnya. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Beg bagasinya yang mengandungi semua keperluannya termasuk dompet dan passport sudah hilang.

Dia perlukan Jiseon untuk membantunya. Dia berasa asing di tempat ini walaupun sudah selalu menonton drama-drama Korea yang merakamkan babak-babak drama itu di sini. Tiba-tiba, satu perasaan takut menyelubungi dirinya.

Rina pergi ke kaunter pertanyaan. Dia memohon supaya pegawai itu mengumumkan supaya Jiseon datang ke kaunter itu. Hampir setengah jam Rina menanti. Jiseon tidak juga muncul. Rina semakin resah. Dia menceritakan segala yang telah terjadi. Mendengar akan hal ini, pegawai itu terus menelefon pegawai polis supaya dapat menyelesaikan masalah Rina.

Setelah menenagkan dirinya, Rina memulakan penjelasan tentang segala yang terjadi kepada pegawai polis itu yang untungnya dapat memahami bahasa Inggeris sedikit-sedikit. Pegawai itu meminta nombor telefon Jiseon untuk memastikan identitinya. Rina memberi nombornya kepada pegawai itu. Dua puluh minit kemudian pegawai itu kembali semula dengan wajah yang muram. “Maaf Cik,” pegawai itu berkata dalam bahasa Inggeris. “Kami tidak dapat mengenal pasti pemilik nombor ini kerana nombornya merupakan nombor kad prabayar yang tidak memerlukan sebarang pendaftaran ketika membelinya. Talian ini juga sudah dipotong oleh pemilik itu sendiri.” Rina meyumpah dalam bahasa Inggeris. Dia tertanya-tanya mengapa Jiseon perlu melarikan diri darinya.

“Adakah cik ingat nombor akaun bank Jiseon ?” suara pegawai itu mengatasi pelbagai bunyi yang mengisi ruang balai polis itu.

“Aigoo! Saya..saya..tidak menyimpannya.” Rina menyumpah lagi. “Jiseon memberi saya nombor akaun banknya ketika kami sedang berbual secara online dan saya hanya menulis nombor itu pada sekeping kertas kecil. Saya tidak tahu di mana kertas itu sekarang,”tambahnya lagi. Airmata bergenang di kelopak mata Rina. Dia tidak menyangka bahawa Jiseon akan menipunya sebegitu. Hampir empat ribu wang Singapura telah diberinya kepada Jiseon. Mengapa Jiseon sanggup menipu temannya sendiri. Teringatkan wang itu, airmata Rina berguguran ibarat manik-manik rantai. Apatah lagi, dia sudah tidak punya apa-apa lagi.

“Kalau begitu, kami tidak dapat berbuat apa-apa cik. Kecuaian cik menyebabkan perkara ini berlaku. Pihak poli...” kata-katanya terhenti.

“Tidak! Tidak mungkin!! Kamu semua gelar diri kamu sebagai polis sedangkan kamu tidak boleh meyelesaikan perkara-perkara seperti ini! Tidak guna! Kamu semua tidak guna!” Rina menjerit dan memarahi pegawai itu. Rina kelihatan sungguh tidak tentu arah. “Bodoh! Semua bodoh!” Rina berkata sambil menangis teresak-esak.

Dua pegawai polis mengangkat Rina yang sedang meronta-ronta keluar dari balai polis itu. Mereka mencampaknya ke jalanan dan memarahinya dalam bahasa Korea pula. Tangisan Rina semakin kuat. “Do wa ju sae yo! Do wa ju sae yo!” Rina meraung-raung meminta orang menolongnya. “Do wa ju sae yo Ommoni! Do wa ju sae yo! Ommoni!!!!!!” Rina terus menangis.

“Ommoni!” Rina berkata dengan nada serdehana. “Ommoni!” Rina berkata. Kali ini, berbisik pula.