KREATIF: CERPEN SEBUTIR PERMATA YANG HILANG

KREATIF: CERPEN SEBUTIR PERMATA YANG HILANG

Shaheda Bte Salim

B ayu bersiulan memecah kesunyian malam. Aku duduk seorang diri di buaian sambil memerhatikan keindahan malam. Sebutir bintang bercahaya menerangi hatiku yang sedang pilu. Perasaan yang aku alami ini bak pukulan ombak ganas yang membuat aku tidak mampu menahan sebak di dalam dada bila memikirkannya. “Yang pergi takkan kembali lagi...” Kedengaran nyanyian mendayu kumpulan nasyid terkenal „Rabbani‟ di corong radio menambahkan lagi sayup dihatiku. Tanpa aku sedari, titisan mutiara mula mengalir dari mataku. Aku cuba menyembunyikan perasaan ku yang hiba ini daripada menjadi perhatian orang lebih-lebih lagi ibuku kerana aku tidak ingin dia turut berduka-cita. Kehilangan ini, sememangnya telah memberi tamparan hebat bukan sahaja buat

diriku malah ibuku juga.

Kini yang pasti, Ramadan ini akan jauh berbeza daripada Ramadan tahun yang sudah. Tawa, girang dan kekecohan dalam persiapan menjelangnya Syawal telah bertukar menjadi sunyi, sepi dan penuh kepiluan. Aku cuma dapat berharap bahawa semua ini hanyalah sebuah mimpi buruk tetapi aku sedar bahawa aku harus berpijak di bumi yang nyata. Realitinya, aku telah kehilangan tempat bergantung dan bermanja untuk selama-lamanya.

Hatiku hancur bak kaca yang terhempas. Otakku semakin bercelaru memikirkan mengapa Tuhan sering mengambil nyawa orang yang baik dan alim, mengapa tidak mencabut sahaja nyawa- nyawa si ingkar dan takbur kerana mereka hanya mengotori dunia yang sementara ini. Fikiranku pun mula melayang.

“Huh! Apa hal Umi telefon sampai sepuluh kali!” jerit hati kecilku. Aku terperanjat melihat jumlah panggilan tidak terjawab yang tertera di skrin telefon bimbitku. „Apa yang mustahak sangat ni!‟ bisik hatiku. Sepantas kilat, aku menelefon kembali ibuku kerana ini adalah antara perkara aneh yang pernah dilakukan. Setahu aku, ibuku tidak akan pernah menelefonku berulang-ulang kali memandangkan dia tahu jadual waktu sekolahku. Aduh! Talian gagal ditembusi. Aku semakin cemas. Dalam perjalanan pulang dari sekolah, aku menenangkan diriku lalu membuat panggilan demi panggilan. Akhirnya, talian dapat ditembusi jua. “Ada apa Umi?” Aku terus ke soalan bonus tanpa memberi salam atau memberi peluang untuk ibuku berkata-kata. Ibuku diam seribu bahasa. Aku masih menantikan jawapan dengan diselubungi perasaan cemas.

Tiba-tiba, ibuku memecah kesunyian. „Syifa, Cik Rabiah dah meninggal!‟ jawab ibuku teresak-esak. Sejurus mendengar penyataan itu, jantungku berhenti berdetik buat seketika. Aku terdiam membisu.„Apa? Innalillah...Bila? Dekat mana?‟ Soalan demi soalan aku ajukan kepada ibuku. „Lepas subuh tadi, dekat rumah dia dalam dakapan suaminya. Umi tak dapat jumpa dia buat kali terakhir sebab dia dah pun dikebumikan zuhur tadi. Salina terlupa nak bilang Umi sebab fikiran dia berkecamuk.” Kata ibuku dalam nada kesedihan. Aku melabuhkan punggungku di kerusi perhentian bas sambil beristigfar.

Aku telah membesar di depan matanya. Dia telah menganggap diriku sebagai anaknya sendiri. Segala kemahuanku pasti diturutkan.

“Cik Rabiah, raya ni Syifa nak biskut coklat chip yang Cik buat tu? Sedap lah!” pertanyaan manja dariku. “Boleh, Syifa punya pasal, nanti Cik Biah buatkan ok?” jawabnya dengan penuh kemesraan. Sudah menjadi kebiasaan, sejak aku kecil lagi, setiap tahun bila Syawal menjelang, Cik Rabiah akan membuat kuih lebih untuk diberikan kepada keluargaku. Bukan itu sahaja, pada malam raya, dia akan menelefon ibuku untuk datang ke rumahnya kerana dia telah menyediakan pelbagai juadah enak seperti rendang sapi, ayam masak merah, ayam cili padi dan sebagainya untuk dibahagi bersama. Keenakkan masakannya pula tiada tolok bandingannya. Kesimpulannya, ibuku hanya bergoyang kaki sahaja di malam raya kerana rakan baiknya, yang diibaratkan seperti isi dengan kuku ini, sering memanjakannya.

Walaupun demikian, dia tidak pernah meminta imbalan wang kerana dia sering melakukannya dengan ikhlas. Dia seorang yang tidak lokek harta dan suka memberi. Pada setiap bulan Ramadan, dia tidak melepaskan peluang untuk mengumpul pahala dan membuat kebajikan dengan beramal di masjid. Sebagai salah seorang sukarelawan di situ, dia akan menyiapkan pelbagai jenis juadah untuk disajikan kepada mereka yang berbuka di masjid.

Kini yang pasti, malam Syawal nanti, kami sekeluarga tidak akan dapat menjamah masakan yang menjilat jari lagi. Aku tidak dapat meratah kuih-muih ranggup buatannya lagi. Orang-orang masjid yang sering menantikan juadah menyelerakan pasti akan merindui air tangan masakannya.

Arwah mempunyai tiga orang anak. Seorang anak lelaki dan dua anak perempuan; Rizal, Salina dan Shafiqah. Beberapa bulan sebelum pemergiannya, dia ada memberitahu ibuku tentang masalahnya dengan anak lelakinya yang sulung yang kini telah menetap di Itali. Dia meluahkan rasa kecewa dan amarah terhadap anak sulungnya yang tidak pernah ambil peduli tentang kesihatannya. Sejak kecil lagi, anak lelakinya telah ditatang bagai minyak yang penuh. Persekolahannya hingga ke menara gading telah dibiayai dengan titik peluh arwah menjalankan perniagaan kateringnya itu. Namun, pendidikan tinggi yang telah diberikan hanyalah sia-sia sahaja. Anak lelakinya tidak mengenang budi malah Cik Rabiah telah dituduh mengongkong kebebasan untuk memilih arah hidupnya. Dia menuduh arwah memaksanya dalam segala hal. Inilah yang orang kata, sudah terlalu pandai. Walaupun belajar setinggi langit pun, jika tidak tahu hormati dan menghargai orang tua, tiada gunanya.

“Emak nak Rizal masuk maktab rendah, Rizal ikutkan. Mak nak Rizal jadi cikgu, Zal ikutkan. Sekarang Rizal nak ikut cara sendiri. Dah puas Rizal ikut telunjuk mak. Rizal nak pergi jauh dari sini and start a new life.” tegas Rizal.

Kini yang pasti, anak lelakinya menangis tidak berlagu. Permintaan ibunya supaya dia pulang tidak diendahkan. Kini, dia hanya dapat meratapi pemergian ibunya dari jauh nun di Itali. Dia tidak mungkin akan sempat pulang ke Singapura kerana masa yang diambil untuk sampai ke sini akan memakan masa satu hari. Sesungguhnya, jenazah tidak boleh diperlambat-lambatkan pengebumiannya.

Arwah adalah seorang ahli tukang masak dan pernah mempunyai kateringnya sendiri. Namun, adat orang berniaga, pasti ada yang akan mata berbulu, dengki atau iri hati. Cik Rabiah sering ditimpa pelbagai musibah apabila menguruskan kateringnya itu. Nasi minyak yang dimasaknya tidak tanak walaupun api panas membara, tangan punca segala rezekinya, patah akibat tersungkur dipukul angin yang kuat entah dari mana datangnya kerana hanya dia yang dapat merasakannya. Akhirnya, dugaan yang paling berat adalah apabila dia mengalami sesuatu penyakit yang doktor sendiri tidak mampu memberi keterangan. Pada usia yang baru menjangkau 51, dia sudah tidak mampu berjalan Arwah adalah seorang ahli tukang masak dan pernah mempunyai kateringnya sendiri. Namun, adat orang berniaga, pasti ada yang akan mata berbulu, dengki atau iri hati. Cik Rabiah sering ditimpa pelbagai musibah apabila menguruskan kateringnya itu. Nasi minyak yang dimasaknya tidak tanak walaupun api panas membara, tangan punca segala rezekinya, patah akibat tersungkur dipukul angin yang kuat entah dari mana datangnya kerana hanya dia yang dapat merasakannya. Akhirnya, dugaan yang paling berat adalah apabila dia mengalami sesuatu penyakit yang doktor sendiri tidak mampu memberi keterangan. Pada usia yang baru menjangkau 51, dia sudah tidak mampu berjalan

Sesungguhnya, dia adalah seorang yang berhati cekal dan berjiwa kental. Penyakit misteri yang dialaminya sejak bertahun lalu tidak pernah dijadikan hambatan atau mematahkan semangatnya untuk meneruskan bidang yang digemarinya iaitu berniaga. Walaupun kesihatan tidak menyebelahinya, dia tidak pernah berputus asa.

Selama ini, dialah pembakar semangat bagi ibu dan diriku untuk meneruskan hidup yang tiada siapa tahu penghujungnya. Bila aku gagal dalam peperiksaan peringkat „A‟, dia tidak pernah mengutuk atau memerliku. Malah, dia sering memberiku kata-kata nasihat supaya aku dapat bangun dari kegagalanku itu. Tidak seperti sesetengah orang yang lain yang suka melihat kejatuhan orang lain. Dia sering memberitahuku bahawa pasti ada hikmah disebalik apa yang telah terjadi. Atas dorongannya juga, aku kini berada di aliran perguruan. Itu adalah salah satu harapannya untuk melihat aku berjaya pada satu hari nanti. Tetapi, sayang, aku tidak sempat menepati harapannya itu sebelum dia menutup mata. Kini, siapa yang akan memberiku perangsang pabila aku gagal dalam peperiksaan? Siapa yang akan menasihati ibuku pabila dia sedang dilanda dilema atau masalah? Siapa yang akan menjadi tempat ibuku mengadu masalahnya? Siapa! Siapa!!! Malangnya, jeritan batinku, hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Yang pasti, aku akan kotakan janjiku kepadanya untuk berjaya dalam aliran yang telah aku ceburi ini sebagai tanda terima kasihku kepadanya.

Masih terngiang-ngiang lagi di gegendang telingaku, beberapa bulan sebelum kematiannya, dia sering memintaku mendoakan supaya penyakit misterinya itu sembuh. Aku tidak pernah lepas dari mendoakan kesembuhannya tetapi Allah s.w.t. lebih menyayanginya. Mungkin dia telah cukup terseksa di dunia ini dan aku redha dengan pemergiannya walaupun tidak dapat bertemu dengannya di saat-saat terakhir hidupnya. Setiap kali aku menadah tangan untuk mendoakan kesejahteraan rohnya agar dicucuri rahmat, pasti akan terbayang kebaikan yang telah dilakukan untukku. Air mata pasti berlinangan kerana dia bak permata dalam hatiku.

Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohmu. Amin.