TEORI KRITIKAN SASTERA MENGULAS TEORI PRAGMATIK DALAM CERPEN „ZURIAT‟ DAN „GARA-GARA KENDURI‟
TEORI KRITIKAN SASTERA MENGULAS TEORI PRAGMATIK DALAM CERPEN „ZURIAT‟ DAN „GARA-GARA KENDURI‟
Nur Hafizah Binte Mohd Rashib
Pengenalan
Setiap hasil karya sastera yang dihasilkan seorang penulis mempunyai tujuan utama yang sama dengan penulis-penulis lain iaitu untuk memberikan perutusan dan pengajaran buat dijadikan renungan para pembacanya. Karya yang baik ialah karya yang dapat menyampaikan perutusan dan pengajarannya dengan begitu berkesan kepada pembacanya dan perkara ini dapat diteliti menggunakan teori pragmatik.
Teori Pragmatik
Teori pragmatik mengkaji perutusan dan pengajaran sesebuah hasil karya dengan melihat betapa mudahnya aspek ini dapat difahami pembacanya. Karya yang dapat dikesan perutusan dan pengajarannya dengan mudah, akan dapat menjadi katarsis dalam memberikan ilmu baru, motivasi, semangat, kesedaran dan lain-lain kepada khalayak pembacanya. Pendek kata, karya itu dapat menjadi satu bahan bacaan yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Ini menepati fungsi sastera iaitu dulce dan utile. Dulce bermakna senang atau menyenangkan dan utile pula bermakna berguna atau memanfaatkan.
Teori Pragmatik amat sesuai diaplikasikan kerana ia dapat membantu memastikan tujuan penghasilan karya-karya konvensi iaitu untuk membina, mendidik dan membentuk peribadi pembacanya. Teori Pragmatik mengajak pembacanya melakukan satu penghayatan tuntas terhadap sesebuah hasil karya dengan mengesan tema, persoalan, maksud, pengajaran, perutusan dan propaganda yang terdapat dalam karya tersebut. Propaganda merujuk kepada suatu perkara yang ditekankan atau dipromosikan penulis di dalam karyanya. Sifat propaganda ialah unsur ekstra-estetik dan juga ekstrinsik karya sastera itu. Teori pragmatik yang diterapkan dalam menghasilkan sesebuah karya membuatkan pembacanya lebih memahami erti sebenar kemanusiaan kerana mereka boleh mempelajari pelbagai pengajaran dan perutusan menerusi pembacaan. Teori pragmatik boleh digunakan untuk mengupas cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah dan cerpen Gara-Gara Kenduri oleh Masuri S.N..
Penghayatan Cerpen Zuriat
Cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah dalam buku Berlalu Sudah Dukanya (2005), menceritakan tentang penyesalan seorang warga tua akan tindakannya yang terlalu mengikut telunjuk arwah isterinya apabila hendak membuat keputusan berkaitan dengan perihal rumahtangga. Semasa dia baru berumahtangga, dia dan isterinya telah bersetuju tidak mahu mempunyai ramai anak. Mereka mahu menumpukan perhatian kepada pekerjaan. Dia dan isterinya berjaya. Dia menjadi pengetua sebuah sekolah menengah sedangkan isterinya menjawat jawatan sebagai penolong pengurus dalam sebuah syarikat swasta. Setelah tiga tahun usia perkahwinan mereka, isterinya masih tidak mahu berganjak untuk mereka menimang cahaya mata. Demi isteri yang dicintainya dan rumah tangga yang disayanginya, dia terpaksa mengikut rentak isterinya. Selepas Cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah dalam buku Berlalu Sudah Dukanya (2005), menceritakan tentang penyesalan seorang warga tua akan tindakannya yang terlalu mengikut telunjuk arwah isterinya apabila hendak membuat keputusan berkaitan dengan perihal rumahtangga. Semasa dia baru berumahtangga, dia dan isterinya telah bersetuju tidak mahu mempunyai ramai anak. Mereka mahu menumpukan perhatian kepada pekerjaan. Dia dan isterinya berjaya. Dia menjadi pengetua sebuah sekolah menengah sedangkan isterinya menjawat jawatan sebagai penolong pengurus dalam sebuah syarikat swasta. Setelah tiga tahun usia perkahwinan mereka, isterinya masih tidak mahu berganjak untuk mereka menimang cahaya mata. Demi isteri yang dicintainya dan rumah tangga yang disayanginya, dia terpaksa mengikut rentak isterinya. Selepas
Tema cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah ialah mengenai kasih sayang antara ahli keluarga. Warga tua yang menjadi watak utama cerpen tersebut merupakan seorang yang sangat prihatin terhadap perasaan ahli keluarganya sehinggakan dia tidak sanggup hendak bertegang urat dengan isterinya apabila isterinya tidak mahu berganjak untuk mereka menimang cahaya mata meskipun sudah masuk tiga tahun mereka mendirikan rumah tangga. Ini dapat dilihat menerusi nukilan di bawah;
“Setelah tiga tahun usia perkahwinan mereka, isterinya masih tidak mahu berganjak untuk mereka menimang cahaya mata. Isterinya terus sibuk dengan pekerjaannya, urusan rumah tangga mereka banyak dilakukan oleh orang gajinya. Kadang-kadang dia terasa bosan juga apabila pulang ke rumah. Tidak ada sesiapa di rumah. Demi isteri yang dicintainya dan rumah tangga yang disayanginya dia terpaksa mengikut rentak isterinya.”(Abdul Wahab Hamzah, 2005:97)
Selepas kematian isterinya, anak dan menantunya pula tidak mahu tinggal bersamanya di rumah sebandung yang besar itu. Mereka telah membeli sebuah rumah kondo jauh dari tempat kediaman warga tua itu. Hati warga tua itu sedikit tersinggung tetapi dia sedar bahawasanya anaknya mahu berdikari dan memerlukan ruang sendiri untuk membangunkan keluarganya. Oleh yang demikian, dia merelakan juga anaknya pindah meskipun berasa sedih dan sunyi kerana terpaksa berjauhan dengan anak, menantu serta cucu-cucunya. Ini dapat dilihat menerusi nukilan di bawah;
“Anak menantunya mahu berpindah ke rumah sendiri. Tanpa pengetahuannya mereka telah pun membeli sebuah rumah kondo di daerah yang agak jauh dari tempat tinggalnya. Pada mulanya dia berasa tersinggung dengan tindakan anaknya itu. Namun akhirnya dia terpaksa terima keputusan mereka.” (Abdul Wahab Hamzah, 2005:95)
Secara amnya, warga tua yang menjadi watak utama dalam cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah menunjukkan kasih sayang terhadap ahli keluarganya dengan sentiasa mengalah kepada mereka. Kuasa sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga tidak pernah digunakan wewenangnya sebaliknya setiap keputusan yang hendak dilakukannya akan dipertimbangkan dahulu kesannya terhadap perasaan ahli keluarganya.
Cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah mengutarakan persoalan utama mengenai tanggungjawab khususnya tanggungjawab yang dimainkan setiap ahli di bawah institusi kekeluargaan. Misalnya seorang isteri diharuskan menjaga kebajikan dan nama baik keluarga manakala suami pula ditugaskan untuk membawa pulang nafkah yang halal buat menanggung makan pakai anak isteri di rumah. Anak pula seharusnya menjaga dan mengambil hati ibu bapa semasa usia Cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah mengutarakan persoalan utama mengenai tanggungjawab khususnya tanggungjawab yang dimainkan setiap ahli di bawah institusi kekeluargaan. Misalnya seorang isteri diharuskan menjaga kebajikan dan nama baik keluarga manakala suami pula ditugaskan untuk membawa pulang nafkah yang halal buat menanggung makan pakai anak isteri di rumah. Anak pula seharusnya menjaga dan mengambil hati ibu bapa semasa usia
“Anak lelakinya yang seorang itu jarang-jarang datang ke rumahnya. Kalau ditanya alasannya sibuk dan banyak kerja. Dia terpaksa mengalah datang ke rumah anaknya demi cucu-cucunya.” (Abdul Wahab Hamzah, 2005:100)
“Dia cuba menyedapkan hati cucunya. Memang dia akan ke rumah anaknya. Sudah hampir dua bulan dia tidak melihat wajah cucu-cucunya. Rindu betul rasa di hati.” (Abdul Wahab Hamzah, 2005:96)
Kesimpulannya, cerpen Zuriat bertujuan menyampaikan perutusan kepada khalayak pembacanya tentang betapa pentingnya kasih sayang terhadap sesama ahli keluarga jikalau ingin memastikan rumah tangga kekal aman dan bahagia. Kasih sayang boleh ditunjukan menerusi pelbagai cara antaranya dengan mengalah, bersikap bertimbang rasa dan menunjukkan keprihatinan terhadap satu sama lain. Satu pengajaran yang dapat dipelajari ialah janganlah seseorang individu itu menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya demi manfaat dirinya sendiri. Seeloknya, setiap tindakan atau keputusan yang hendak dibuat, dilihat dahulu kesannya terhadap orang lain dan jikalau perlu mengalah lakukanlah demi kebaikan semua.
Penghayatan Cerpen Gara-Gara Kenduri
Cerpen Gara-Gara Kenduri oleh Mahsuri S.N. dalam buku Di Luar Dugaan (2002) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pula menceritakan tentang satu perbalahan yang berlaku di antara golongan tua dan golongan muda di sebuah majlis kenduri arwah. Pak Busu merupakan tuan rumah bagi majlis kenduri arwah tersebut. Dia telah menjemput orang kampung ke rumahnya supaya sama-sama dapat menyedekahkan bacaan Yasin kepada insan-insan yang telah meninggal dunia di samping mengeratkan ikatan silaturrahim antara penduduk. Namun demikian, berlakunya salah faham antara Aman, seorang pemuda kampung tersebut dengan seorang tua ketika waktu menjamu selera. Aman telah mentertawakan orang tua itu kerana tidak tahan melihat gelagat lucu orang tua itu ketika hendak menjamu hidangan daging kambing yang disediakan tuan rumah. Orang tua itu sebaliknya berpendapat bahawasanya perbuatan Aman keterlaluan dan kurang ajar langsung hendak dipukulnya pemuda itu. Dek tidak mahu memburukkan keadaan, Aman meminta maaf dan pulang bersama kawannya sebelum majlis berakhir. Kejadian yang berlaku menyebabkan ramai penduduk kampung tidak suka akan diri Aman dan tidak menegurnya termasuklah Pak Busu dan juga anak perempuan nya yang menjadi gadis idaman Aman. Mereka menganggap perbuatan Aman di majlis kenduri arwah itu sebagai kelakuan yang tidak beretika.
Tema cerpen Gara-Gara Kenduri oleh Masuri S.N. membawa tema utama mengenai adat. Adat adalah peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi. Masyarakat Melayu memang berpegang teguh pada adat sehingga munculnya pepatah biar mati anak jangan mati adat. Seseorang yang melanggar adat samalah seperti seorang yang yang tidak mempunyai etika dalam hidup antaranya datang lewat untuk sesebuah majlis, makan dengan begitu lahab, bersikap kurang ajar terhadap orang tua dan bergaduh di majlis orang. Orang yang tidak beretika sering dipandang serong oleh masyarakat. Ini dapat dilihat menerusi nukilan di bawah;
“Tuan Haji diserahkan memimpin majlis. Sedang semua khusyuk ramai-ramai berzikir, terdengar batuk-batuk kecil di tangga. Tidak lain, Salim dan Amanlah yang datang itu. Dipersilakan naik oleh Pak Busu. Kedua-duanya pun tidak lupa masuk mencari tempat duduk dalam majlis kenduri tersebut. Tetapi entah kerana geraknya kasar, atau duduknya salah, sekalian mata jemputan memandang serong kepada Salim dan Aman.” (Masuri S.N., 2002:27-28)
“Dua malam kemudian, Aman dimarahi oleh bapanya kerana bergaduh di majlis kenduri itu. Tidak cukup itu sahaja, Pak Busu apabila bertemu, pura-pura memandang ke tempat lain. Aman lagi bingung.” (Masuri S.N., 2005:32-33)
Secara dasarnya, penulis cuba mengetengahkan betapa pentingnya peranan adat sebagai panduan ke arah gaya hidup yang lebih bersopan-santun dan harmonis. Penulis merealisasikan tujuannya itu dengan menggambarkan watak Aman sebagai seorang yang tidak berpegang kepada adat dan akibatnya dia menjadi individu yang tidak beretika dan dibenci masyarakat.
Persoalan utama yang dibawa oleh cerpen Gara-Gara Kenduri oleh Masuri S.N. ialah mengenai kesantunan. Seseorang itu hendaklah sentiasa bersopan-santun walaupun di mana mereka berada. Orang yang bersopan-santun akan disegani dan dihormati masyarakat sekelilingnya. Misalnya di dalam cerpen Gara-Gara Kenduri, Pak Busu selaku tuan rumah majlis kenduri arwah itu tidak dihampakan oleh penduduk kampung kerana semua yang dijemputnya ke majlis itu menghadirkan diri. Orang kampung berasa segan hendak menolak jemputan Pak Busu itu kerana dia telah bersusah payah dan secara baik lagi berbudi bahasa datang mengundang mereka ke majlis kenduri arwah itu. Pak Busu juga menyambut kedatangan semua tetamunya dengan senyuman dan tangan terbuka meskipun ada yang terlewat untuk majlis tersebut.
Natijahnya, cerpen Gara-Gara Kenduri bertujuan menyampaikan kepada khalayak pembacanya tentang betapa pentingnya adat dalam membentuk etika seseorang individu masyarakat. Masyarakat yang beretika ialah masyarakat yang bertamadun lagi disegani serta dihormati umum. Satu pengajaran yang dapat dipelajari ialah janganlah seseorang individu itu bersikap kurang ajar terhadap orang tua dengan menggunakan kata-kata kasar atau meninggikan suara kepada mereka. Seeloknya, budi bahasa yang baik itu hendaklah diamalkan dalam kehidupan seharian; tidak kira di mana, bila dan dengan siapa seseorang itu bercakap.
Perbandingan
Tujuan utama kedua-dua cerpen ini dihasilkan ialah dijadikan renungan dan iktibar kepada khalayak pembacanya. Namun demikian, propaganda atau unsur utama yang cuba disampaikan dalam cerpen- cerpen ini berbeza-beza. Cerpen Zuriat oleh Abdul Wahab Hamzah membawa unsur utama mengenai kasih sayang. Unsur utama itu kemudiannya difokuskan kepada kasih sayang sesama ahli keluarga supaya pembaca dapat memahami dan mendapat kesan pembacaan yang diharapkan oleh semua penulis seperti mesej betapa pentingnya kasih sayang dalam memastikan rumah tangga yang aman dan bahagia.
Beza dengan cerpen Zuriat, cerpen Gara-Gara Kenduri oleh Masuri S.N. membawa unsur utama mengenai adat. Jika di dalam cerpen Zuriat penulisnya memfokuskan unsur utama cerpennya, cerpen Gara-Gara Kenduri pula mencabangkan unsur utama dalam cerpen tersebut kepada kelakuan-kelakuan yang melanggar adat misalnya datang lewat untuk sesebuah majlis, makan dengan begitu lahab, bersikap kurang ajar terhadap orang tua dan bergaduh di majlis orang.
Perincian sebegini diharap dapat memudahkan pembacanya untuk memahami apakah perutusan dan pengajaran yang cuba disampaikan penulis.
Kesimpulannya
Kedua-dua cerpen merupakan cerpen yang baik meskipun membawa propaganda yang berbeza-beza. Kedua-dua cerpen berjaya memenuhi motif utama penghasilan karya sastera iaitu untuk menyampaikan pengajaran dan perutusan dengan berkesan agar dapat dijadikan renungan oleh khalayak pembacanya.
Bibliografi
Abdul Wahab Hamzah. 2005. Berlalu Sudah Dukanya. Singapura: Edn Media Sdn Bhd. Mana Sikana. 2007. Teori Sastera Kontemporari. Singapura: Pustaka Karya Masuri S.N. 2002. Di Luar Dugaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mutiara Kata...
“Kadang kala Allah hilangkan sekejap matahari. Kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita menangis, mencari di mana matahari? Rupanya Allah ingin hadiahkan kita Pelangi..."
Sebagai manusia biasa di dunia yang sementara ini, kita sering menyalah tafsirkan segala dugaan dan cubaan yang diberi oleh yang Maha Esa. Manusia akan cepat putus asa dan menyoal kenapa dia yang sering diduga. Manusia kadang kala merungut apabila diuji sedikit walhal ujian adalah sebahagian daripada cara hidup orang Islam sebelum mendapat sesuatu kebaikan di kemudian hari nanti. Manusia amat gemar dan sering membanding-bandingkan kesenangan dan kemewahan hidup orang lain dengan diri kita yang serba kekurangan. Kita janganlah sekali-kali menyalahi yang Maha Esa dengan dugaan yang diberi kerana Dia Maha Mengetahui. Sebaliknya, manusia tidak boleh lari dari pelbagai cubaan dan rintangan hidup namun kita harus percaya bahawa dengan berkat usaha dan doa kepadaNya yang berterusan, kita pasti akan dapat mencapai pelangi yang indah di suatu hari nanti. Akhir sekali, janganlah kita sekali-kali menyalahi Allah s.w.t. kerana Dia lebih tahu dan Maha Mengetahui kerana sesungguhnya, di sebalik setiap dugaan itu, Allah s.w.t. akan melimpahkan kebaikan terhadap setiap insan yang mampu bertahan. Insyallah.
Shaheda Bte Salim