LATAR BELAKANG KAJIAN Pembinaan Modul EQ Untuk Latihan Kecerdasan Emosi Guru Guru di Malaysia

1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN

Kerajaan Malaysia telah meletakkan pendidikan pada kedudukan tertinggi dalam agenda pembangunan negara. Perkara ini dilakukan, kerana kerajaan berkeyakinan dengan menguasai ilmu pengetahuan akan membawa maruah negara ke peringkat global, sekaligus menjadikan negara Malaysia maju menjelang 2020. Hasan Said melaporkan pengurusan sistem pendidikan di Malaysia merupakan yang terbaik di dunia ketiga Berita Harian 31 Mei 2005. Bagaimanapun beliau menyatakan masih terdapat pelbagai kelompangan yang perlu diperbaiki bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan pada masa yang akan datang. Di antara kelompangan yang dimaksudkan ialah, memartabatkan profesion perguruan, meningkatkan mutu pendidikan prasekolah dan pendidikan khas, menyediakan kurikulum berteraskan pemikiran saintifik, sekaligus melahirkan pekerja yang mampu berdaya saing dan pada masa yang sama mengekalkan nilai moral yang tinggi. Untuk menjayakan semua perkara tersebut, beliau menyarankan supaya guru menjadi elemen utama dan sekaligus sebagai pelaksana berbagai revolusi dan reformasi pendidikan. Beliau juga menyatakan bahawa guru-guru tidak akan dapat mempercepatkan proses tersebut tanpa latihan dan sokongan yang mencukupi dari pelbagai pihak Utusan Malaysia 31 Mei 2005. Guru adalah ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan pembentukan masyarakat madani dan kehadiran mereka memberikan impak kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Mereka merupakan tenaga ikhtisas yang bertanggungjawab untuk mendidik pelajar yang merupakan aset masa hadapan Mok Soon 1992. Selain bertugas sebagai pendidik dan pemudah cara dalam bilik darjah guru juga berperanan sebagai pengganti ibubapa pelajar. Justeru, tanggungjawab mendidik ini meliputi tugas-tugas sebagai penasihat, pembimbing, kaunselor, pengamal dan penyebar nilai budaya yang baik dan menjadi contoh sahsiah yang unggul dalam proses pembentukan sahsiah pelajar. Ini memberikan implikasi bahawa guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu tetapi juga pembentuk peribadi pelajar dengan menyemai sifat rajin dan tekun dalam kalangan mereka Mahathir 2005. Untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dalam situasi yang semakin mencabar dan kompleks seperti sekarang ini, guru-guru perlu sentiasa mempersiap dan memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan, seperti melakukan penambahbaikan terhadap kaedah pengajaran di dalam bilik darjah, menguasai teknologi pendidikan, membina suasana pengajaran dan pembelajaran yang harmonis dan membentuk hubungan guru-pelajar yang mesra. Kesemua ini memerlukan guru tersebut membina kecekapan dalam setiap aspek atau kompetensi EQ. Sekiranya aspek EQ ini diabaikan, tidak mustahil guru-guru tersebut menghadapi tekanan dan kecelaruan emosi dalam menghadapi karenah pelajar yang semakin mencabar. Terdapat beberapa laporan akhbar dan media elektronik tempatan yang menggambarkan perlakuan kurang beretika dan tidak bertanggungjawab dalam kalangan segelintir guru-guru sekolah. Antara contoh tingkah laku agresif yang dipaparkan adalah seperti guru mendenda pelajar secara keterlaluan, mengetuk kepala pelajar dengan objek berat, mencedera, menampar dan menumbuk pelajar sehingga mengakibatkan pelajar terpaksa dirawat di hospital Berita Harian Ogos 2004; Berita Harian 15 Ogos 2005; Harian Metero 19 Mei 2005; Noriah 2003; The Sun Ogos 1999, Disember 1999; Utusan Malaysia 24 Februari 2004. Selain daripada isu keagresifan guru ke atas pelajar, satu laporan yang memeranjatkan masyarakat baru-baru ini berkaitan dengan seorang guru di sebuah sekolah rendah yang ditahan oleh pihak polis kerana dipercayai menjadi pengedar dadah di kawasan tempat beliau berkhidmat Harian Metro 17 Jun 2005. Fenomena seperti ini tidak hanya berlaku di Malaysia malah juga di negara-negara membangun yang lainya. Sebagai contoh, media elektronik Indonesia melaporkan bahawa seorang pesara guru telah merogol cucunya sendiri, dan pengetua sekolah berasrama telah merogol lima orang pelajar di sekolahnya SCTV 7 Mei 2004. Tingkah laku agresif segelintir guru seperti yang dipaparkan di atas tidak hanya memburukkan peribadi guru berkenaan, malah ianya boleh menjejaskan imej kerjaya dan keprofesionalan guru tersebut. Mengapakah perkara sebegini berlaku dalam profesion yang mulia ini? Adakah guru-guru tidak lagi menghayati Falsafah Pendidikan Negara FPN dan Falsafah Pendidikan Guru? Adakah kurikulum yang diberikan semasa menjalani latihan kurang mencukupi bagi mempersiapkan kualiti peribadi guru untuk berkhidmat sebagai pendidik di sekolah? Adakah pengetahuan tentang elemen-elemen yang berkaitan dengan kecekapan mengawal emosi belum cukup didedahkan kepada calon-calon guru semasa menjalani latihan perguruan, sedangkan kecekapan ini sangat penting dalam perkhidmatan yang melibatkan pembinaan modal insan cemerlang seperti pelajar-pelajar di sekolah. Goleman dalam Noriah 2005 menyatakan bahawa; ...cognitive intelligence may provide some individuals entry into particulas work setting, however emotional intelligence could play a vital role in determining how successful they will be after entering the work setting . Kenyataan Goleman ini boleh dikaitkan dengan profesion keguruan hari ini dimana guru-guru yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah terdiri dari mereka yang memiliki kelulusan pendidikan dan latihan perguruan di peringkat diploma, sarjanamuda, sarjana dan doktor falsafah PhD. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dalam perkhidmatan pendidikan hari ini tidak ketinggalan dari segi pengetahuan intelektual IQ. Namun demikian ini tidak memastikan bahawa mereka dapat berfungsi dengan lancar sebagai guru sehingga boleh melahirkan insan-insan yang cemerlang. Kesan keagresifan yang ditunjukkan oleh sesetengah guru tersebut kini dipertikaikan kerana pada akhir-akhir ini terdapat banyak rungutan dari ibubapa dan masyarakat ke atas kebolehan guru menjadi pendidik yang berkesan. Beberapa kajian luar dan dalam negara mendapati bahawa wujud kepentingan EQ di samping kemahiran intelektual IQ dalam kalangan pendidik Ary Ginanjar 2003; Goleman 1995, 1999; Mohd Najib 2000; Noriah et al 2001; Noriah dan Siti Rahayah 2003; Noriah, Syed Najmuddin Syafrimen 2003; Noriah et al. 2004; Skovholt Drozario 2000; Syafrimen 2004; Syed Najmuddin 2005; Wan Ashibah 2004; Zuria Noriah 2003. Oleh itu, telah sampai masanya bagi guru-guru untuk memahirkan diri dengan keterampilan tersebut. Pendedahan dan latihan berkaitan dengan EQ perlu diberikan pada peringkat latihan keguruan. Justeru, kajian ini cuba membina satu modul latihan EQ yang boleh digunakan dalam bengkel-bengkel workshop bagi membantu meningkatkan kecerdasan emosi guru-guru. Kecerdasan dan sahsiah guru merupakan hasil latihan dan pengalaman yang dilalui oleh guru-guru tersebut semasa dalam pengajian, sehingga mereka dapat menguruskan pengajaran pembelajaran secara berkesan apabila bertugas di sekolah. Guru perlu mendapat latihan untuk memahami keadaan fizikal, dan psikologikal pelajar serta kaedah penyampaian yang lebih berkesan. Untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran tersebut guru-guru perlu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, menambah pengetahuan dan kemahiran selaras dengan profesion mereka, walaupun sudah memiliki sijil, diploma atau ijazah pendidikan Mohammed Sani 2001. Untuk itu, penglibatan guru dalam program-program perkembangan profesionalisme perguruan adalah penting supaya dapat mengetahui perkembangan terkini dalam bidang pendidikan dan menyedari keperluan pendidikan masa kini. Mohammed Sani 2001 juga menyatakan bahawa kelulusan yang cemerlang dari universiti terkenal sekalipun tidak menjamin guru tersebut memiliki keterampilan sehingga dapat mempelbagaikan pengalaman dalam seting sebenar pendidikan. Pendidikan praperkhidmatan hanya membekalkan calon guru dengan kemahiran, pengetahuan, teknik dan sikap yang perlu ada untuk peringkat awal perkhidmatan sahaja. Justeru, guru-guru mesti sentiasa menimba pelbagai pengalaman untuk memastikan bahawa mereka boleh berjaya Jessup dalam Mohammed Sani 2001. Atan Long 1980 mengemukakan beberapa perkara asas yang perlu diperhatikan dalam penyediaan guru iaitu; pembinaan sikap yang baik dan mempunyai rasa penglibatan ikhtisas terhadap profesion perguruan. Guru perlu berdedikasi dan memberikan tumpuan penuh terhadap tugas mereka, sentiasa memikirkan cara-cara memperbaiki dan memajukan diri dalam kerjaya, serta merancang langkah-langkah dan tindakan yang perlu diambil, demi meningkatkan proses pembelajaran kendiri mereka. Perkara ini tidak dapat dilaksanakan secara sambilan. Atan Long 1980 juga menyatakan bahawa dalam menjalankan tugas mendidik, guru memerlukan ketekunan, kegigihan, inisiatif dan kecekalan, kerana sifat-sifat inilah yang akan membawa mereka ke arah mencapai kejayaan di dalam profesion tersebut. Atan Long 1980 juga menyatakan bahawa sebagai pendidik berkesan, guru perlu mempunyai sifat-sifat yang dapat menjaga imej profesion mereka seperti; i memiliki emosi dan mental yang stabil, ii mempunyai sikap yang jujur terhadap diri sendiri dan orang lain serta menghormati orang lain dengan penuh pengertian, iii mempunyai kecerdasan yang tinggi, kreatif, bertimbang rasa, berempati dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah dan iv memiliki sifat sabar, ikhlas, tegas, selalu menepati masa serta sentiasa menjaga ikhtisas profesion perguruan. Guru seperti ini sentiasa menunjukkan keyakinan diri yang tinggi, cekal hati, mempunyai harga diri serta dapat menghargai diri orang lain. Justeru, latihan-latihan menggunakan modul EQ boleh memberikan satu pengalaman baru kepada guru-guru dalam usaha meningkatkan sahsiah yang mesti dimiliki oleh guru-guru tersebut.

1.3 PERNYATAAN MASALAH