PERNYATAAN MASALAH Pembinaan Modul EQ Untuk Latihan Kecerdasan Emosi Guru Guru di Malaysia

Atan Long 1980 juga menyatakan bahawa sebagai pendidik berkesan, guru perlu mempunyai sifat-sifat yang dapat menjaga imej profesion mereka seperti; i memiliki emosi dan mental yang stabil, ii mempunyai sikap yang jujur terhadap diri sendiri dan orang lain serta menghormati orang lain dengan penuh pengertian, iii mempunyai kecerdasan yang tinggi, kreatif, bertimbang rasa, berempati dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah dan iv memiliki sifat sabar, ikhlas, tegas, selalu menepati masa serta sentiasa menjaga ikhtisas profesion perguruan. Guru seperti ini sentiasa menunjukkan keyakinan diri yang tinggi, cekal hati, mempunyai harga diri serta dapat menghargai diri orang lain. Justeru, latihan-latihan menggunakan modul EQ boleh memberikan satu pengalaman baru kepada guru-guru dalam usaha meningkatkan sahsiah yang mesti dimiliki oleh guru-guru tersebut.

1.3 PERNYATAAN MASALAH

Laporan yang dipaparkan oleh media menunjukkan peningkatan insiden ketidakstabilan emosi dalam kalangan guru-guru [Berita Harian 24 Ogos 2000, 21 November 2000, 7 Ogos 2003, 7 Mei 2004; New Straits Times 12 Ogos 2000 ; Utusan Malaysia April 2001, 4 Januari 2002; Syed 2005]. Walaupun bilangan guru yang menunjukkan insiden tersebut agak kecil dan terpencil berbanding dengan jumlah populasi guru, namun, ianya boleh memberikan impak yang negatif ke atas pelajar dan profesion perguruan. Kajian-kajian oleh penyelidik sebelumnya mendapati bahawa ramai guru-guru hari ini terlibat dalam isu-isu yang berkaitan dengan tekanan kerja, kemurungan, tahap kepuasan kerja dan motivasi yang rendah serta kebimbangan kerja yang tinggi Antoniou 2000; Noriah Aliza 2002 ; Taniza 2002. Fenomena tersebut boleh menyumbang kepada ketidak stabilan emosi guru-guru berkenaan. Menurut Antonius, Polychroni dan Walter dlm Chua Adi 2002 tekanan kerja dalam kalangan guru- guru tidak sahaja menyebabkan terjejasnya kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga boleh mempengaruhi kualiti pengajaran guru tersebut. Justeru, peranan EQ sangat membantu guru-guru dalam menangani pelbagai tekanan yang dihadapi. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku, sedangkan mereka telah dipersiapkan dalam latihan-latihan khas keguruan [seperti; kursus Diploma Pendidikan Malaysia KDPM, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah KPLI, Kursus Dalam Perkhidmatan KDP seperti KSPK, kursus 14 minggu, kursus setahun dan sebagainya] menerusi kurikulum pendidikan yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru BPG, Kementerian Pelajaran Malaysia? Persoalan seterusnya ialah Adakah komponen EQ diterapkan dalam kurikulum pendidikan guru yang sedia ada? Jika ada, sejauhmanakah pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum tersebut? Apakah bentuk modul yang digunakan untuk membantu meningkatkan EQ guru-guru berkenaan? Falsafah Pendidikan Nergara FPN dengan jelas menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek JERI. Bagi merealisasikan cita-cita murni ini, guru merupakan agen dan pemangkin perubahan yang sangat penting, kerana sumbangan mereka adalah sangat besar dalam menentukan masa depan generasi akan datang. Hasrat ini dapat terlaksana apabila guru-guru mampu mendidik dengan berkesan. Martin dan Crossland dlm Noriah 2002 menyatakan seorang guru mestilah menjadikan dirinya sebagai role model kepada pelajar dengan menunjukkan sikap dan tanggungjawabanya terhadap perkembangan sahsiah pelajar secara keseluruhan. Guru berkesan adalah mereka yang mempunyai IQ dan EQ yang seimbang Awang Had 1998. Justeru, kurikulum latihan perguruan yang dilaksanakan sama ada di Institut Pendidikan Guru atau di universiti tempatan perlu mengambil kira kedua-dua elemen tersebut. Menurut Noriah 2005 guru yang tidak mempunyai pengetahuan tentang emosi, sukar untuk mengarahkan emosi mereka dalam menghasilkan suatu pemikiran dan tindakan yang berkesan. Ketidaktahuan guru-guru ini boleh menjadi penghalang dalam membuat satu tindakan yang positif. Lazimnya mereka akan bergantung kepada perasaan dan dorongan emosi yang dominan. Sekiranya emosi yang dominan itu merupakan emosi yang negatif maka mereka akan mempunyai pemahaman yang cetek tentang perasaanya sendiri dan orang lain, serta tidak dapat mengarahkan emosi berkenaan sehingga tidak mampu bertindak secara positif. Individu yang kurang cerdas secara emosi, tidak berupaya memotivasikan diri sendiri atau orang lain. Mereka tidak mampu mengubah dan mengendalikan situasi yang buruk dengan cepat dan bersesuaian mengikut keadaan. Individu seperti ini biasanya sentiasa kurang selesa apabila menghadapi pelbagai keadaan yang kritikal. Bahagian Kurikulum BPG, Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun memasukan komponen EQ kemahiran generik: kompetensi kecerdasan emosi ke dalam kurikulum teras pendidikan bagi kursus persediaan calon guru-guru di peringkat ijazah yang berkuatkuasa mulai Julai 2004 Kementerian Pelajaran Malaysia 2004. Bagi kursus perguruan lepasan ijazah KPLI, komponen EQ hanya disisipkan dalam kursus psikologi pendidikan. Ini menunjukkan bahawa setakat ini belum terdapat satu modul latihan yang komprehensif piawai untuk membantu meningkatkan EQ guru- guru. Selaras dengan matlamat kerajaan yang ingin menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf antarabangsa, maka kajian sebegini menjadi amat penting dijalankan supaya proses penambahbaikan kualiti perkhidmatan pendidikan guru dapat dipertingkatkan. Kajian kecerdasan emosi EQ sudah banyak dijalankan di Barat, seperti kajian EQ yang dijalankan terhadap pekerja di Amerika Serikat, yang mendapati bahawa pendorong utama kejayaan dalam sesebuah syarikat adalah “kecerdasan emosi” Ginanjar 2003; Goleman 1999. Bagaimanapun, diantara kajian-kajian yang dilakukan, sedikit sekali kajian dijalankan berkaitan dengan kecerdasan emosi dalam kalangan guru-guru, malah kajian tentang latihan untuk meningkatkan kecerdasan emosi amat kurang dilakukan. Justeru, kajian sebegini perlu dilakukan untuk melihat kesinambungan pelbagai dapatan kajian yang telah dihasilkan. Di Malaysia, kajian tentang kecerdasan emosi telah banyak juga di jalankan, seperti kajian Mohd Najib 2000 yang memberi tumpuan terhadap kestabilan emosi guru-guru, kajian Noriah et al. 2003 ke atas pegawai kerajaan polis, pegawai penjara, pegawai imegresen, jururawat dan guru-guru, kajian Wan Ashiba 2004 ke atas guru-guru sekolah berasrama dan tidak berasrama, kajian Syafrimen 2004 ke atas guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia, dan kajian Syed Najmuddin 2005 ke atas guru-guru Maktab Rendah Sains MARA MRSM. Kajian-kajian tersebut mendapati masih terdapat beberapa domain EQ yang perlu diberi perhatian dan latihan terhadap sampel dan subjek kajian terbabit. Kajian Noriah et al. 2003, kajian Syafrimen 2004 dan kajian Syed Najmuddin 2005 telah mendapati bahawa lima dari tujuh domain EQ yang wujud, masih berada pada peringkat yang relatif rendah. Sementara mengikut pandangan Goleman 1995, 1999, kelima-lima domain ini sangat berpengaruh dalam menentukan kestabilan emosi seseorang. Bagaimanapun kajian-kajian ini masih bersifat penerokaan tanpa mengambilkira pembolehubah latihan yang sesuai bagi membantu guru-guru ataupun sampel yang dikaji untuk meningkatkan EQ mereka. Justeru, satu kajian lanjutan yang memfokus kepada latihan untuk meningkatkan EQ tersebut perlu dijalankan, agar kesinambungan terhadap sesuatu hasil kajian tersebut dapat dilihat dalam sesebuah isu- isu yang ingin dicari jalan penyelesaian.

1.4 TUJUAN KAJIAN