DEFINISI ISTILAH Pembinaan Modul EQ Untuk Latihan Kecerdasan Emosi Guru Guru di Malaysia

1.8 DEFINISI ISTILAH

Definisi operasi atau konsep yang digunakan dalam kajian ini adalah: i. Modul EQ Modul EQ merupakan bahan terancang yang digunakan oleh penyelidik untuk menyampaikan konsep-konsep kecerdasan emosi supaya dapat difahami oleh orang lain Zuria 2004. Modul EQ yang akan digunakan dalam kajian ini merangkumi tujuh domain EQ seperti yang dicadangkan Noriah-Goleman 2004. Modul tersebut akan dibangunkan berdasarkan model EQ yang dicadang oleh beliau dan juga mengambil kira pandangan-pandangan pakar, yang akan didapatkan melalui temubual mendalam dengan pakar-pakar tersebut. Dalam kajian ini modul EQ dimaksudkan dengan modul latihan bagi tujuan meningkatkan EQ guru-guru di Malaysia, yang dibina menggunakan konsep EQ yang kemukakan oleh Goleman-Noriah et al 2004 yang menyatakan kecerdasan emosi atau emotional intelligence sebagai satu set kompetensi atau kemahiran berarahkan emosi yang membolehkan seseorang mengurus kehidupan mereka dengan baik. Ianya merangkumi kebolehan menyelami emosi sendiri untuk mengetahui dan menilai keadaan diri, menggunakan kecenderungan emosi untuk membimbing atau memudahkan seseorang mencapai sesuatu matlamat, kebolehan menyedari perasaan keperluan kehendak, dan masalah atau kegusaran orang lain, kebolehan mencetuskan respon yang sesuai daripada seseorang, sedar tentang kepentingan nilai agama sebagai perintis kehidupan, serta menggunakan pengalaman hidup diri atau orang lain sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah. Justeru seseorang yang mempunyai EQ yang tinggi berkebolehan untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan diri mereka, berkebolehan untuk membina motivasi yang tinggi untuk berjaya, boleh berkomunikasi secara berkesan serta perihatin terhadap kesukaran atau komplikasi situasi yang dihadapi oleh orang lain. Mereka juga boleh bekerja dalam satu pasukan, sedar tentang nilai serta pegangan hidup serta boleh menggunakan pengalaman lepas sebagai panduan kehidupan masa kini. ii. Kecerdasan Kecerdasan mempunyai pelbagai takrifan bergantung kepada pakar atauppun ahli yang memberikan pengertian tentang kecerdasan tersebut. Pendefinisian ke atas kecerdasan juga bergantung kepada tempat dan budaya tertentu Gardner 1990; Gardner 1991; Krechevsky 1993 Sternberg 1996. Justeru, budaya yang berbeza akan memberikan cara berfikir dan kecerdasan yang berbeza pula. Bagi Wechsler 1958 kecerdasan ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang untuk bertindak selari dengan matlamat, berfikir secara rasional serta boleh mengurus persekitaran dengan berkesan. Menurut Ausubel 1968 pula kecerdasan merupakan anugerah pelbagai fungsi yang membolehkan seseorang bertindak balas ke atas berbagai fenomena serta mampu berinteraksi dengan keadaan tertentu. Sedangkan menurut Gardner 1983, kecerdasan diertikan sebagai kemahiran yang dimiliki oleh seseorang dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang akhirnya boleh memberikan pengetahuan baru kepada seseorang tersebut. Du Bois, Alverson dan Staley dlm Syed 2005 pula menyatakan bahawa kecerdasan merupakan konstruk teoritikal untuk menerangkan bentuk kelakuan. Bar-On dlm Goleman 2001 menyatakan bahawa kecerdasan sebagai kemampuan seseorang dalam mengurus emosi, pengetahuan sosial dan kebolehan mempengaruhi kesemua kenolehan untuk berhadapan engan keperluan persekitaran secara berkesan. Salovey dan Mayer dlm Goleman 2001 menyatakan bahawa kecerdasan merupakan kebolehan untuk mengurus perasaan dan emosi sendiri dan orang lain serta boleh membezakannya dalam kalangan mereka dan menggunakan matlamat tersebut untuk memandu pemikiran dan tindakan seseorang tersebut. Gardner 1993 dan Goleman 2001 memberikan gambaran tentang kecerdasan sebagai satu potensi biofizik untuk memproses informasi yang boleh diaktifkan dalam sesebuah budaya bagi menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang berharga dalam budaya tersebut. Seterusnya Gardner 1993 juga menyatakan kecerdasan sebagai kebolehan untuk menyelesaikan masalah atau menghasilkan produk yang bernilai dalam budaya sendiri, budaya orang lain ataupun dalam komuniti tertentu. Pada umumnya definisi kecerdasan yang dikemukakan oleh pakar-pakar di atas memberikan pengertian yang lebih kurang sama, iaitu keupayaan seseorang dalam menerima, memproses dan menilai maklumat dan menggunakan emosi secara terarah bagi mengawal pemikiran, tindakan dan mampu menyelesaikan masalah dalam persekitaran tertentu. iii. Emosi Menurut Mayer, Caruso dan Salovey dlm Syed 2005, emosi adalah proses dalaman yang memantau serta mengkordinasi subsistem psikologi seperti kesedaran minda dan tindak balas fisiologi. Menurut Woolfolk 2004, reaksi emosi berlaku apabila mengalami sesuatu peristiwa atau melalui pemerhatian termasuk mendengar dan membaca. Williams 2001 pula melihat emosi sebagai sesuatu ciri manusia yang kompleks dan multidimensi yang merangkumi komponen biologi dan budaya. Menurut beliau, emosi ini wujud atau kelihatan dalam pelbagai konteks hubungan sosial. Faktor persekitaran ini amat mempengaruhi kematangan individu dalam menentukan respons emosi dalam suasana yang berbeza Saarni 2000. Sehubungan dengan itu, kajian ini melihat emosi daripada perspektif kecerdasan emosi. iv. Kecerdasan Emosi EQ Menurut Goleman 1999, EQ adalah kebolehan menyedari, mengenal pasti dan mengurus emosinya sendiri serta mampu menjalin hubungan mesra dengan orang lain serta memiliki motivasi kendiri yang tinggi. Ini selari dengan pandangan Mayer et al. 1999 yang mendefinisi EQ sebagai kebolehan individu mengenal pasti makna-makna emosi dan hubung kaitnya dengan perkara-perkara yang lain, termasuk juga kebolehan dalam menaakul dan menyelesai masalah. Menurut Weisenger dlm Syed 2005, EQ adalah kemahiran mencorakkan pemikiran dan membentuk tingkah laku dengan menggunakan emosi untuk mencapai sesuatu matlamat. Mayer, Salovey dan Caruso 2000 juga menyatakan EQ sebagai tingkah laku individu dalam menunjukkan emosi dan pemikiran dalam upaya membina hubungan di dalam masyarakat. Definisi ini dikukuhkan lagi oleh McCallum dan Piper 2000 yang mentakrifkan EQ sebagai satu konstruk yang mempengaruhi keupayaan individu untuk menguasai cabaran dan tekanan dalam persekitaran. Bagi Woolfolk 2004 pula EQ dinyatakan sebagai keupayaan seseorang dalam memproses maklumat emosi dengan tepat dan efisien. Seterusnya Lynn 2002 juga menyatakan bahawa EQ adalah kebijaksanaan dalam mengurus diri dan berinteraksi dengan orang lain. v. Kesedaran Kendiri Kesedaran kendiri dimaksudkan sebagai menyedari dan mengetahui perasaan sendiri di dalam sesuatu keadaan serta dapat memilih keutamaan dalam mengambil tindakan atau membuat keputusan. Individu ini boleh melakukan penilaian yang tepat ke atas keupayaan diri sindiri dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi Goleman 1999. Duval dan Wicklund dlm Syed 2005 juga berpandangan yang sama di mana kesedaran dan kefahaman terhadap diri sendiri membolehkan seseorang itu membuat penilaian kendiri yang tepat. Kesedaran terhadap diri sendiri juga boleh membawa perubahan ke atas tingkah laku seseorang. Weisenger 1998 menyatakan bahawa kesedaran kendiri ialah keupayaan mengawal diri, mengawal tindakan dan tindak balas yang baik dalam mencapai sesuatu matlamat. Bagi Covey 1990 pula kesedaran kendiri didefinisikan sebagai keupayaan untuk berfikir semasa proses pemikiran berlaku. Whitmore dlm Syed 2005 menyatakan kesedaran kendiri sebagai menyedari bila dan bagaimana emosi diri boleh mengubah persepsi seseorang. vi. Regulasi Kendiri Regulasi kendiri ditakrifkan sebagai kemampuan mengurus emosi dalam melaksanakan kerja agar memudahkan dan tidak mengganggu tugasan tersebut. Kebolehan ini mampu memberikan kekuatan semangat untuk mencapai matlamat . Individu yang memiliki regulasi yang baik biasanya akan cepat pulih daripada tekanan emosi Goleman 1999. Weisenger 1998 melihat regulasi kendiri sebagai kebolehan memahami emosi tertentu dan menggunakan emosi itu untuk mengawal sesuatu keadaan. vii. Motivasi Kendiri Motivasi bermaksud keupayaan seseorang untuk menggunakan kemahuan diri sebagai pendorong dan panduan untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri juga dapat membantu seseorang untuk sentisa berinisiatif, tabah dalam memperbaiki diri, dan menangani cabaran kehidupan Goleman 1999. Motivasi kendiri juga bermaksud menggunakan emosi untuk merangsang semangat dalam mencapai sesuatu matlamat atau menyelesaikan sesuatu tugasan. viii. Empati Empati ialah kebolehan menyedari dan mengenal pasti perasaan orang lain, memahami sesuatu menurut perspektif orang lain serta mampu menimbulkan kemesraan dengan individu lain Goleman 1999. Menurut Covey 1990 pula, empati adalah kebolehan memahami perasaan seseorang keseluruhannya. Mengikut Muhamad 1993 pula, empati ditakrifkan sebagai kebolehan individu menyelami perasaan seseorang dalam sesuatu keadaan tanpa memberi kemudaratan terhadap emosi sendiri. Empati juga dimaksudkan sebagai kebolehan menyelami perasaan seseorang mengikut persepsi individu tersebut, selalu memahami sebab-sebab seseorang bertindak dan dapat merasai emosi orang lain tersebut Adler Towne 1984; Tangney dalam Tangney Fischer 1995; Elias, Tobias Friedlander 2002; Syed 2005. Seseorang yang mempunyai sifat empati dapat merasai keadaan emosi, fizikal atau psikologi seseorang. Ianya terdiri daripada komponen kognitif dan afektif, mempunyai keupayaan memahami, membayangkan dan secara afektif berkongsi keadaan emosi, fizikal atau psikologi seseorang Waxler Robinson dalam Tangney Fischer 1995. ix. Kemahiran Sosial Menurut Goleman 1999, kemahiran sosial adalah kemampuan individu untuk mentafsir dengan tepat keadaan sosial dan dan persekitaranya. Kemahiran ini boleh mengurus pelbagai emosi yang tercetus dengan berkesan dalam sesuatu pergaulan. Individu yang berkemahiran sosial yang baik mampu membujuk, memimpin, berunding serta dapat menyelesaikan konflik bagi mewujudkan persefahaman dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Hartley 1999 menyatakan bahawa kemahiran sosial adalah keupayaan seseorang untuk memilih perlakuan yang sesuai mengikut keadaan tertentu. x. Kerohanian Kerohanian membawa maksud individu yang sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan, sentiasa mengingatiNya dalam pelbagai aspek kehidupan, selalu bermuhasabah diri dan mematuhi peraturan agama yang dipercayainya. xi. Kematangan Kematangan merujuk kepada kematangan umur, pengetahuan dan pengalaman. Sehingga individu yang matang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah atau membuat keputusan yang tepat dan bijaksana.

1.9 RUMUSAN