PENGENALAN Pembinaan Modul EQ Untuk Latihan Kecerdasan Emosi Guru Guru di Malaysia

BAB I PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Pendidikan merupakan satu proses yang berlaku sepanjang hayat yang mengarah kepada kemajuan diri seseorang. Ini memberikan implikasi bahawa pendidikan sentiasa berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja, samada secara formal atau tidak formal UNESCO; Sharifah 1987. Dwyer 2002 menyatakan setiap individu sememangnya mempunyai kebolehan untuk belajar sepanjang hayat mereka. Ini dilakukan untuk memperbaiki kehidupan dan menjadi sebahagian dari proses perkembangan diri. Istilah pendidikan sepanjang hayat telah lama disentuh oleh Al-Quran seperti dinyatakan dalam surah al- c Alaq yang bermaksud; Bacalah Muhamad dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan, telah menciptakan manusia daripada segumpal darah, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajarkan manusia menulis dengan pen, yang mengajarkan kepada manusia perkara-perkara yang tidak diketahuinya Q.S Al- Alaq 1-5”. Seterusnya pendidikan sepanjang hayat juga telah dipopularkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dinyatakan dalam sebuah hadis bermaksud; Tuntutlah ilmu pengetahuan mulai dari ayunan sehingga ke akhir hayat H.R. Bukhari. Di dalam riwayat lain rasulullah s.a.w juga menyatakan bermaksud; Menuntut ilmu adalah wajib bagi muslim lelaki dan muslim perempuan H.R. Bukhari”. Sentuhan al-Qur’an dan hadis di ini mengisyaratkan bahawa pembelajaran merupakan satu kemestian bagi setiap individu tanpa mengira jantina, umur atau latar belakang, dan pembelajaran tersebut tidak bermaksud ianya membawa kepada sesuatu pengijazahan atau pensijilan kepada sebarang bidang sahaja. Konsep pendidikan sepanjang hayat ini juga selari dengan hasrat kerajaan yang mengambil berat tentang perkembangan pendidikan dalam kalangan remaja masa kini, dimana pembelajaran bagi sesetengah individu tamat selepas zaman persekolahan. Bagi individu yang berjaya, mereka akan meneruskan pembelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi. Bagi yang kurang berjaya, pembelajaran mereka akan berhenti sehingga sekolah menengah. Justeru, ruang yang lebih luas sepatutnya disediakan untuk individu yang kurang berjaya agar mereka dapat terus belajar dan menimba ilmu untuk kemajuan peribadi serta boleh berfungsi dengan berkesan dalam kehidupan seharian. Bagaimana pun, untuk menghasilkan remaja yang dapat menangani arus globalisasi dunia tanpa sempadan, mereka memerlukan bimbingan dari guru dan ibubapa yang memahami cabaran yang terhasil dari perubahan pantas masa kini. Proses pembelajaran sepanjang hayat disentuh dalam Falsafah Pendidikan Negara FPN yang menyebut bahawa “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara” Kementerian Pendidikan Malaysia 1987. Falsafah Pendidikan Negara FPN mewadahkan satu cita-cita yang mulia; iaitu melahirkan insan yang seimbang, mempunyai pengetahuan intelek yang mantap, kerohanian spritual yang kokoh, emosi yang stabil serta memiliki jasmani yang sihat. Dari segi intelek FPN ingin melahirkan insan yang; i mempunyai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira 3M, ii berkebolehan mendapatkan, meningkatkan dan menyebarkan ilmu, iii berfikiran kritis dan kreatif, dan iv boleh memanfatkan ilmu untuk diri sendiri dan orang lain. Dari segi rohani pula FPN ingin melahirkan insan yang sentiasa; i menyedari dan menginsafi adanya pencipta, ii menghargai dan mensyukuri pemberian pencipta, iii menyedari dan menginsyafi tanggungjawab, iv memupuk dan membina disiplin kendiri serta v membentuk akhlak mulia. Sedangkan dari segi emosi pula FPN berhasrat melahirkan insan yang mempunyai; i perasaan tenang dan tingkah laku yang terkawal, ii memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, iii memiliki semangat kekitaan dan perpaduan dan iv menghargai serta menilai keindahan dan keseniaan. Dari aspek jasmani pula FPN berhasrat untuk melahirkan insan yang sentiasa; i menjaga kesihatan, ii melakukan riadah, iii mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal dan manipulatif, iv memanfaatkan tenaga fizikal untuk berdikari, v menggunakan tenaga fizikal bagi kepentingan masyarakat dan vi berusaha meningkatkan daya pengeluaran Kementerian Pendidikan Malaysia 1987. Untuk mewujudkan cita-cita mulia ini tentunya memerlukan sokongan dari pelbagai pihak termasuk kerajaan, ibubapa, guru mahupun persekitaran. Mereka mestilah memberikan sokongan yang padu untuk mencapai hasrat FPN tersebut. Ibubapa contohnya, boleh memberikan sokongan dengan memberikan perhatian yang padu terhadap pendidikan anak-anak mereka, sama ada di dalam mahupun di luar rumah. Persekitaran keluarga pula mestilah mampu menyokong cita-cita murni tersebut dengan cara memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pelaksanaan FPN berkenaan. Dalam pendidikan formal, peranan guru tidak dapat dipertikaikan, guru merupakan tonggak kepada kesuburan minda, kestabilan emosi, dan kesejahteraan fisiologikal pelajar-pelajar terutama apabila mereka berada dalam persekitaran pembelajaran di sekolah. Impak yang ditinggalkan oleh seseorang guru terhadap pelajarnya boleh mempengaruhi corak pembelajaran dan kerjaya pelajar tersebut di masa hadapan Abu Bakar Ikhsan 2003. Justeru, guru merupakan teras kepada pelaksanaan proses pendidikan tersebut. Menurut mereka, terdapat tiga tanggungjawab asas guru dalam menjayakan pendidikan iaitu; i guru sebagai contoh ataupun role model, ii guru sebagai pembentuk akhlak yang baik, dan iii guru sebagai pakar bidang. Guru harus menjadi contoh bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah juga di luar sekolah. Mereka juga perlu menjadi contoh kepada pelajar dan ahli masyarakat. Justeru, peranan mendidik mereka menjangkaui pendidikan formal yang diterapkan dalam sistem pendidikan sedia ada. Tanggung jawab guru sebagai pendidik, tidak selesai apabila tamat waktu bekerja, tetapi ianya berterusan selagi mereka berinteraksi dengan ahli masyarakat. Profesion perguruan merupakan profesion yang sangat mulia. Bagaimanapun, keprofesionalan seseorang guru bergantung kepada sikap mereka terhadap profesion tersebut yang dicerminkan kepada pelajar. Sebagai pendidik, guru mestilah menjadi contoh yang baik, berkemahiran untuk melakukan rekfleksi kendiri Parson Stephenshon 2005, berdisplin, rajin berusaha, menepati masa, berakhlak mulia, dan mempunyai emosi yang stabil. Keperibadian seperti ini dapat memberikan kesan positif kepada pembentukan sahsiah pelajar. Hal ini selari dengan perintah Allah s.w.t yang bermaksud; Serulah olehmu kepada jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan cara-cara yang baik mauizah hasanah serta tegurlah mereka dengan dengan cara-cara yang sesuai Q.S. An-Nahl: 125. Tugas guru tidak hanya melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga bertanggungjawab membentuk akhlak dan sahsiah pelajar ke arah yang lebih baik. Guru mesti dinamis, sentiasa mencari dan menimba ilmu pengetahuan baru melalui pembelajaran dan pengalaman, serta mahu menerima perubahan yang sentiasa berlaku sesuai dengan perkembangan semasa. Tajul Ariffin dan Nor Aini 2002 menyatakan guru yang baik sentiasa membina keunggulan sahsiah pelajar dengan mencorakkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Mereka mempunyai keseimbangan dalam pengisian antara penghayatan agama dan moral dengan pelbagai ilmu bidang dan urusan kehidupannya. Mereka juga sentiasa meningkatkan kualiti diri menerusi latihan-latihan yang dapat meningkatkan keprofesionalan mereka. Guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa, menggalakkan pembinaan sahsiah murid secara menyeluruh, menyuburkan hubungan kemanusiaan yang sihat di sekolah, menyediakan pelajar untuk memahami realiti kehidupan, menguasai kemahiran hidup, keutamaan kepada penghayatan agama dan nilai moral serta mampu melaksanakan pendidikan yang berkualiti Tajul Ariffin Nor Aini 2002. Hasrat kerajaan yang ingin menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia merupakan cabaran kepada individu yang memilih profesion perguruan. Ini tentunya memerlukan kesediaan guru dari pelbagai aspek, sama ada dari segi ilmu pengetahuan, kaedah pengajaran mahupun dari aspek kesediaan emosi, kerana mereka akan berhadapan dengan pelbagai tekanan kerja bagi melahirkan pelajar yang cemerlang. Noriah et al. 2003 menyatakan quality teacher begets quality student. Ini bermaksud, pelajar yang cemerlang hanya boleh lahir dari guru yang berketrampilan. Justeru, untuk memenuhi keperluan membina kecemerlangan pelajar, guru-guru perlu mendahului usaha mempertingkatkan kualiti diri terlebih dahulu bagi mengendalikan pendidikan tersebut. Bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat berita tentang sikap yang kurang bertanggungjawab oleh segelintir guru, yang boleh mencemarkan imej profesion perguruan. Guru bertindak menampar, menyepak dan memukul pelajar sehingga menimbulkan kesan fizikal, mental dan emosi yang negatif kepada pelajar Berita Harian Ogos 2004; Berita Harian 15 Ogos 2004; Harian Metro 19 Mei 2005 Harian Metro 17 Jun 2005. Trenda salah laku guru-guru ini walaupun pada awalnya kelihatan seperti kes-kes terpencil, namun laporan mengenainya sering terpapar di muka akhbar sehingga ianya kelihatan seperti satu fenomena yang berlaku secara berterusan. Mengapa perkara ini berlaku? Adakah guru-guru mengalami tekanan emosi akibat bebanan tugas berlebihan? Tidakkah mereka didedahkan dengan cara-cara yang boleh menjaga kestabilan emosi mereka? Kajian Maslach dlmTaniza 2002 mendapati bebanan kerja yang berlebihan menyebabkan guru mengalami keletihan emosi, dan kemungkinan keadaan sebegini menyumbang kepada ketidakstabilan emosi guru-guru tersebut yang seterusnya mencetuskan emosi yang negatif. Kajian Goleman, Boyatzis dan Mckee 2002 ke atas pekerja beberapa buah syarikat mendapati jika pekerja tersebut memiliki kekuatan pada domain regulasi kendiri ia mampu menyumbangkan keuntungan antara 78 hingga 390 dalam syarikat tempat mereka berkhidmat dalam setahun berbanding dengan individu lain yang tidak memiliki keterampilan tersebut. Demikian juga halnya dengan individu yang memiliki kemahiran sosial. Pekerja tersebut mampu menyumbangkan keuntungan sebesar 110 setahun. Ini berbeza dengan pekerja yang hanya mempunyai kemampuan kognitif dan analisis yang tinggi. Mereka hanya mampu meningkatkan keuntungan syarikat sebanyak 50 daripada keuntungan yang diperolehi sebelumya. Justeru, Goleman merumuskan bahawa kemampuan dan keterampilan kognitif IQ sememangnya membantu seseorang dalam menjalankan tugas. Namun, ini tidak mencukupi untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan jayanya. Goleman berpandangan bahawa kini wujud keperluan kepada kecerdasan EQ yang didapati lebih menyumbang kepada kejayaan seseorang berbanding dengan kemampuan dan keterampilan kognitif tersebut. Kajian yang sama telah dijalankan oleh Skovholt dan Rozario dlm Syed 2005. Mereka mendapati guru-guru cemerlang iaitu, guru-guru yang mempunyai sifat empati dan kemahiran sosial yang tinggi, lebih disukai oleh ramai pelajar berbanding dengan guru-guru yang tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Ke dua-dua ciri itu merupakan domain penting dalam EQ. Justeru, guru-guru yang mesra pelajar mudah didampingi oleh pelajar dan ini memudahkan laluan pelajar untuk menerima proses pembelajaran. Selari dengan pandangan di atas, Ary Ginanjar 2003 juga menyatakan kewujudan EQ sangat penting selain daripada IQ, sama ada dalam dunia usahawan mahupun pendidikan. Menurut beliau permasalahan yang sering dihadapi oleh individu bekerja sekarang adalah masalah komitmen kerja, integriti, motivasi, kreativiti dan mengekalkan semangat bekerja. Ary Ginanjar 2003 juga menyatakan, membina keterampilan teknikal adalah lebih mudah berbanding dengan keterampilan EQ. Justeru, beliau mengandaikan wujud kemungkinan hubungkait antara EQ dengan sifat- sifat dalaman seseorang kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa EQ boleh dibina Bagsaw 2000; Dulewicz Higghs 2004; Matthews, Roberts Zeidner 2003; Patricia Finian 2003. Bagaimanapun, sejauhmana EQ tersebut boleh dibina masih dipertikaikan Cooper, 1997; Goleman, 1996, 1998; Higgh and Dulewicz, 1999 Martinez, 1997. Kajian Dulewicz dan Higgs 2004 menunjukkan bahawa terdapat beberapa kompetensi EQ yang boleh dikembangkan berbanding dengan sebahagian kompetensi EQ yang lain. Goleman 1999 pula menyatakan pembinaan kompetensi EQ berbeza dengan pembinaan IQ. Beliau mendapati IQ dan kemampuan kognitif individu relatif tidak berubah, berbeza dengan EQ yang boleh dipelajari dan ditingkatkan sepanjang hayat. Bagaimanapun, persoalannya adalah “Apakah bentuk latihan yang sesuai untuk meningkatkan EQ seseorang?”. Menurut Ary Ginanjar 2003 kebanyakan latihan-latihan yang dilakukan hanya memberikan kesan sesaat, sehingga latihan-latihan tersebut kurang bersebati dengan perubahan sikap seseorang. Daripada pengalamannya, Ary Ginanjar 2003 membuat kesimpulan bahawa seseorang itu perlu melakukan latihan secara berterusan continuosly improvement yang boleh membentuk satu keperibadian yang mempunyai EQ yang tinggi. Terdapat beberapa latihan EQ yang dilaksanakan oleh institusi di luar negara seperti; Institute for Health and human potential Pawliw, Bill Benjamin, Elizabeth Pawliw dan Blair Steinbach, six seconds the emotional intelligence network training Anabel Jensen dan Joshua Fredman, Emotional Spiritual Quotient Training oleh Ary Ginanjar, Emotional Intelligence Development Programmes oleh Andy Smith, dan Training Emotional Intelligence oleh Peter Sullivan. Setelah mempelajari beberapa latihan EQ yang dilaksanakan di luar negara tersebut, dan juga mengambil kira beberapa dapatan kajian tempatan, pengkaji berpandangan bahawa sedikit usaha diperlukan agar satu modul EQ yang sesuai digunakan kepada guru-guru dan bakal guru-guru tempatan dapat dibina. Pembinaan modul EQ dimaksudkan mestilah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara sehingga dapat membantu guru-guru untuk mewujudkan cita-cita Falsafah Pendidikan Negara FPN yang telah dirancang semenjak 20 tahun yang lepas. Pembinaan modul tersebut juga diharapkan dapat membuka nuansa baru dalam kalangan guru-guru tentang pentingnya pengembangan aspek-aspek emosi dan bukan hanya melulu pada potensi akademik, seperti mana yang berlaku selama ini.

1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN