Kompetensi Asas EQ Yang Perlu Diberikan Intervensi dalam Kalangan Guru-Guru

kalangan guru-guru, ii pandangan pakar dan orang-orang berjaya untuk pembinaan kompetensi EQ, iii kaedah yang sesuai digunakan dalam latihan EQ, iv profil kopetensi EQ guru-guru sebelum dan selepas latihan menggunakan modul EQ yang dibina, dan v pandangan guru-guru tentang latihan EQ menggunakan modul latihan EQ yang dibina. Masing-masing dapatan dibincangkan dan disokong dengan pelbagai teori dan hasil kajian-kajian lepas yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji sebelumnya.

5.3.1 Kompetensi Asas EQ Yang Perlu Diberikan Intervensi dalam Kalangan Guru-Guru

Untuk mendapatkan gambaran tentang kompetensi EQ yang perlu diberikan intervensi dalam kalangan guru-guru yang terlibat dalam kajian ini, analisis keperluan telah dilakukan terlebih dahulu. Analisis keperluan ini sangat penting dilakukan bagi mendapatkan gambaran tentang kesesuaian modul yang dibangunkan, dan seterusnya digunakan dalam latihan untuk membantu meningkatkan kompetensi EQ yang telah dikenal pasti. Guru merupakan profesyen yang sangat mulia iaitu berperanan untuk memanusiakan manusia. Untuk memanusiakan manusia, guru perlu memiliki ciri-ciri tersendiri yang mungkin tidak sama dengan profesyen lain. Pertama, guru perlu mengusai ilmu dalam bidang kepakaranya dengan cemerlang. Kedua, guru perlu menguasai ilmu dan kemahiran mengenai kaedah yang boleh membuat suasana pengajaran yang lebih berkesan McNergney dan Herbert 1998; Mohd. Sani 2002; Kamarul Azmi Ab. Halim 2008. Justeru, ciri kedua ini mengisyaratkan bahawa untuk menjadi seorang guru yang berkesan, guru perlu kepada ilmu-ilmu kejiwaan ataupun lebih dikenal dengan ilmu psikologi, agar tugas memanusiakan manusia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Memandangan perubahan tingkah laku manusia pelajar menunjukkan paten yang berbeza mengikut perkembangan zaman, maka individu yang memilih profesion sebagai seorang pendidik sepatutnya sentiasa mengikuti perkembangan ilmu psikologi tersebut, agar peranan mereka dalam memanusiakan manusia tidak terjejas akibat kekurang fahaman mereka dalam memahami pelajar-pelajar mereka. Falsafah Pendidikan Negara FPN mempunyai ciri-ciri yang lengkap ke arah itu. Menurut FPN guru berkesan adalah guru yang sentiasa berupaya membina keunggulan sahsiah pelajarnya dan keunggulan suasana pengajaran dan pembelajaran. Justeru, guru tidak hanya mementingkan pencapaian akademik pelajar, tetapi mereka perlu mengambil berat terhadap keseimbangan antara pengisian penghayatan Agama dan moral dengan penguasaan kemahiran dalam bidang yang mereka ajarkan Tajul Arifin Nor ’Aini Dan 2002; Kamarul Azmi Ab. Halim 2008. Pengetahuan yang diperolehi oleh pelajar, sepatutnya dapat direfleksikan dalam kehidupan seharian mereka dalam bentuk akhlak yang baik, sama ada dengan Sang Penciptanya mahupun dengan persekitaranya. Dengan perkataan lain, semakin banyak ilmu yang diperolehi oleh seseorang, sepatutnya lebih mendekatkan dirinya kepada penciptanya, dan lebih mengenal tujuan hidup mereka di dunia ini. Guru profesional sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti dan prestasi diri menerusi latihan-latihan profesionalisme perguruan Tajul Arifin Nor ’Aini Dan 2002; Rohaty 2002; Mohd. Sani, Izham Jainabee 2008. Justeru, guru yang sentiasa berpijak pada landasan FPN, mereka tidak mudah menggelabah dalam menghadapi perubahan tingkah laku pelajar seperti yang digambarkan sebelum ini. Matlamat FPN adalah ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Untuk melahirkan insan seimbang tersebut, tentunya perlu dipersiapkan guru-guru yang boleh membimbing ke arah itu. Peranan guru tidak hanya memindahkan ilmu pengetahuan kepada pelajar sehingga memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi guru juga bertanggungjawab membimbing pelajar supaya dapat hidup seimbang seperti dicita-citakan FPN tersebut. Justeru, pembinaan guru secara seimbang perlu dilakukan terlebih dahulu untuk mewujudkan cita-cita mulia FPN berkenaan. Rohaty 2002 menggariskan beberapa ciri personaliti yang perlu dimiliki oleh seorang guru untuk membantu mereka mewujudkan cita-cita tersebut, seperti guru mestilah bersikap mesra, boleh humor, memiliki sifat empati, suka belajar, amanah, bertanggungjawab dan mempertahankan etika profesinya. Wan Mohd Zahid 1993 menyatakan terdapat 8 ciri penting yang perlu dipenuhi oleh guru bagi membantu menjayakan FPN, iaitu peranan guru dalam menjayakan perpaduan rakyat, gaya pengurusan dan kepimpinan yang berkesan, perkhidmatan penyayang, empowerment, sistem pengesanan, budaya ilmu, sekolah penyayang dan budaya kecemerlangan. Bila dikaitkan dengan kajian-kajian psikologi Ary Ginanjar 2005; Goleman 1995,1999; Skovholt Drozario 2000; Mohd Najib 2000; Noriah et al. 2001; Noriah, Syed Najmuddin Syafrimen 2003; Noriah Siti Rahayah 2003; Zuria Noriah 2003, Noriah et al. 2004; Syafrimen 2004; Syed Najmuddin 2005 Zurinah 2007; Wan Ashibah 2004 menunjukkan kemahiran guru dalam aspek psikologi, seperti kemahiran EQ perlu dipertingkatkan, bagi memperkukuhkan ciri-ciri tersebut. Kemahiran EQ dimaksudkan adalah seperti kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati dan kemahiran sosial. Sebagai contoh untuk mewujudkan perpaduan serta pengurusan dan kepimpinan yang berkesan guru-guru perlu kepada kesedaran kendiri dan kemahiran sosial yang tinggi, untuk perkhidmatan penyayang guru-guru perlu kepada empati yang tinggi, dan untuk sekolah penyayang dan budaya cemerlang guru-guru perlu memiliki sifat empati dan motivasi kendiri yang tinggi. Menurut Dadang Hawari 2003 pendidik yang memiliki EQ yang tinggi mampu mengendalikan diri dengan baik, sabar dalam mendidik, tekun, tidak mudah bertindak secara agresif apatah lagi sampai mencederakan pelajar, serta sentiasa berfikiran positif dalam menjalankan tugas pendidikan. Menurut beliau untuk memperolehi EQ yang tinggi individu sepatutnya telah didedahkan semenjak daripada awal lagi, cara yang paling sederhana adalah melalui contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibubapa. Ketika memasuki alam persekolahan, murid dan pelajar banyak menghabiskan masa mereka di sekolah, untuk itu guru-guru sepatutnya tidak hanya memindahkan ilmu pengetahuan tetapi juga dapat memberikan contoh teladan yang baik kepada murid-murid dan pelajar-pelajar mereka Kamarul Azmi Ab. Halim 2008; Tajul Ariffin Nor’Aini Dan 2002. Justeru, guru yang memiliki EQ tinggi sentiasa dapat mengawal tingkah laku yang dapat merugikan diri sendiri dan juga orang lain Dadang Hawari 2003; Noriah, Syed Najmuddin Syafrimen 2003; Syed Najmuddin 2005. Al-Ghazali cuba mengelompokan manusia kepada empat kelompok besar, dalam penulisan ini dikaitkan dengan senario sebagai seorang pendidik. Pertama, adalah ”guru yang tahu, dan dia tahu kalau dirinya tahu”. Menurut Ghazali individu seperti ini sememangnya sangat sesuai memilih profesion sebagai guru. Kedua, ”guru yang tidak tahu, dan tahu kalau dirinya tidak tahu”. Menurut beliau ini adalah menunjukkan personaliti guru yang arif. Guru seperti ini mempunyai peluang untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, kerana sentiasa mahu belajar perkara-perkara yang tidak diketahui. Ketiga, guru yang tahu tetapi dia tidak tahu kalau dirinya tahu”. Guru seperti ini perlu diingatkan bahawa dirinya mempunyai potensi yang baik yang boleh dimanfaatkan untuk mendidik dengan lebih berkesan. Guru sebegini kebiasaanya memerlukan sokongan daripada persekitaran agar dapat menggunakan potensi yang dimiliki sepenuhnya. Keempat, ”guru yang tidak tahu tetapi dia tidak tahu kalau dirinya tidak tahu” ini adalah kategori guru yang ego yang sentiasa melihat dirinya sebagai seorang yang hebat, tidak mahu menerima pandangan orang lain, dan tidak tahu dengan kekurangan yang terdapat dalam dirinya. Guru pertama dan kedua merupakan ciri-ciri guru yang memiliki EQ yang tinggi. Guru ketiga adalah guru yang telah memiliki ciri EQ tetapi masih memerlukan latihan agar mereka dapat mengenal pasti potensi yang dimiliki dalam dirinya. Sedangkan guru keempat adalah guru yang menunjukkan ciri EQ yang rendah, sekiranya tidak dapat disedarkan, kemungkinan kelompok sebegini kurang dapat memberikan subangan secara maksimum dalam profesion mereka sebagai seorang pendidik Noriah, Siti Rahayah 2008. Kajian ini menunjukkan terdapat 11 kompetensi dalam kelima-lima domain EQ seperti yang disebutkan sebelum ini, yang perlu diberikan perhatian untuk diberikan intervensi dalam kalangan guru-guru, memandangkan kompetensi tersebut merupakan kompetensi penting yang mesti dimiliki oleh seorang guru Abd. Rahman 2002; Kamarul Azmi Ab. Halim 2008; Noriah 2004 et al; Tajul Ariffin Nor’Aini Dan 2002; Rohaty 2002 Wan Mohd Zahid 1993 . 11 kompetensi tersebut adalah kesedaran emosi, penilaian kendiri yang tepat, keyakinan diri, niat, kawalan kendiri, kebolehpercayaan, dorongan pencapaian, memahami orang lain, mengembangkan potensi orang, mempengaruhi orang lain dan pengurusan konflik. Secara umumnya kompetensi EQ tersebut selari dengan himbauan Kementerian Pendidikan Malaysia 2002 dan Kamarul Azmi Ab. Halim 2008 iaitu setiap warga pendidik haruslah mempunyai sifat-sifat luhur, bertanggungjawab, dan sentiasa meningkatkan keprofesionalan ke tahap yang lebih tinggi. Kompetensi tersebut sejajar dengan etika kerja guru seperti amanah, benar, bijaksana, bersyukur, dedikasi, ikhlas dan penyayang Abd. Rahman 2002. Amanah merujuk kepada sifat sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diberikan, dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Benar merujuk kepada sentiasa berniat baik dan jujur dalam menjalankan tugasan, serta mahu menerima dan berkongsi pandangan dengan orang lain. Bijaksana pula merujuk kepada sentiasa menggunakan pemikiran yang bijak dalam membuat keputusan dan tindakan, serta dapat menggunakan seluruh potensi dan kepakaran untuk menjayakan tugasan profesion. Bersyukur pula menggambarkan tentang kemampuan insan guru dalam menghargai segala sesuatu yang diterima, dan mahu memberi pengiktirafan kepada individu lain yang patut menerima penghargaan yang sama seperti dirinya. Dedikasi pula menggambarkan tentang kesiapan guru untuk mengorbankan masa dan tenaga bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti. Sedangkan ikhlas menggambarkan tentang ketulusan guru untuk menghasilkan kerja yang berkualiti tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Manakala penyayang pula menunjukkan sikap yang sentiasa memahami, menghargai, mengambil berat dan tidak berdendam, sama ada dengan pelajar mahupun dengan persekitaran. Secara tidak langsung dapatan kajian ini menggambarkan masih wujud dalam kalangan guru yang belum mengamalkan sepenuhnya etika kerja profesion perguruan yang menjadi pilihan kerjaya mereka. Pertanyaan yang boleh dimunculkan adalah, apakah yang akan berlaku sekiranya guru kurang menyedari bahawa dirinya adalah sebagai seorang guru? Apakah yang akan berlaku sekiranya guru kurang memiliki keyakinan diri, tidak boleh dipercayai, kurang sensitif dengan keadaan orang lain dan tidak dapat mengembangkan potensi orang lain dengan baik.... dan seterusnya? Kamarul Azmi Ab. Halim 2008 menyatakan bahawa guru perlu berusaha meletakan diri mereka pada kedudukan yang lebih baik dan terhormat di kalangan murid, ini kerana guru tersebut merupakan contoh teladan, bukan hanya kepada murid- murid mereka, malah kepada ibu bapa dan masyarakat sekitarannya Tajul Ariffin Nor’Aini Dan 2002. Dalam mendidik terkadang guru berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat emosi ataupun perasaan, kemungkinan boleh membawa kesan negatif kepada guru dan murid yang mereka didik. Guru yang profesional sepatutnya mereka tidak terlalu hanyut dengan perasaan negatif yang sedang mereka alami, kerana boleh memberikan kesan yang kurang baik kepada diri dan juga pelajarnya. Justeru, untuk mengelakan berlakunya keadaan sedemikian, guru perlu memperkukuhkan kompetensi yang masih pada tahap perlu dipertingkatkan. Dengan perkataan lain, guru-guru sepatutnya tidak perlu merasa enggan untuk memperbaiki keadaan tersebut dengan cara berlatih secara berterusan. Sekiranya guru tidak dapat menyedari dan menilai dengan baik bahawa dirinya adalah sebagai seorang guru, ini menunjukkan guru tersebut kurang dapat membuat penilaian kendiri yang tepat terhadap dirinya. Akibat daripada ketidakbolehan ini kemungkinan boleh menjejaskan tugas hakiki sebenar guru berkenaan. Guru sepatutnya memahami sepenuhnya bahawa peranan mereka adalah sebagai pendidik Tajuk Ariffin Nor ’Aini Dan 2002; Rohaty 2002; Robiah Sidin 2002. Sebagai pendidik tugas guru bukan hanya sekedar mengajarkan ilmu, pada masa yang sama guru merupakan pendidik kepada ibu bapa, ahli masyarakat dan seluruh rakyat. Justeru jalan keluar yang ditawarkan dalam kajian ini adalah memberikan bimbingan dan latihan secara berterusan kepada guru-guru yang menghadapi masalah sebegini. Satu perkara penting juga yang perlu dimiliki oleh seorang guru adalah mempunyai dorongan pencapaian yang tinggi, iaitu sentiasa ingin membawa pelajarnya ke tahap cemerlang. Guru tidak sepatutnya terperangkap dengan-kerja-kerja rutin yang membosankan pelajar. Untuk mengelakan diri daripada perkara tersebut, guru perlu sentiasa memikirkan dan mencuba pendekatan baru supaya lebih menarik dan berkesan. Dorongan pencapaian di sini juga dikaitkan dengan kemampuan guru untuk membuat perubahan self renewal terhadap dirinya sendiri Rohaty 2002 agar sentiasa bermotivasi dan tidak membosankan. Guru profesional sepatutnya sentiasa meneroka dan mengemaskini ilmu pegetahuan agar dirinya lebih ke hadapan daripada pelajarnya. Sentiasa meningkatkan pengetahuan dan pengalaman supaya dapat dijadikan panduan untuk mendidik yang lebih berkesan. Sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran seperti bengkel, seminar malah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, agar mereka dilihat sebagai seorang model yang cinta kepada ilmu pengetahuan oleh pelajar-pelajar mereka Rohaty 2002; Kamarul Azmi Ab. Halim 2008. Menurut Tajul Ariffin 2008 guru sepatutnya dapat berperanan sebagai seorang ayah ataupun ibu kepada murid-murid mereka. Ini menggambarkan perlunya sifat kasih sayang dimiliki oleh guru tersebut Kamarul Azmi Ab. Halim 2008; Rohaty 2002;. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang guru kepada pelajar- pelajarnya adalah kasih saya yang tulus, ikhlas sebagaimana mereka memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka sendiri di rumah Tajul Ariffin 2008. Dengan perkataan lain agak sukar bagi seorang guru untuk menjayakan pendidikan sekiranya mereka tidak memiliki sifat kasih sayang tersebut. Kajian ini juga mendapati guru-guru yang terlibat dalam kajian ini menunjukkan skor yang agak rendah pada dua subdomain kemahiran sosial, iaitu kompetensi mempengaruhi orang lain dan pengurusan konflik. Dua kompetensi ini merupakan kompetensi yang sangat kritikal bagi seorang guru. Pelajar-pelajar yang datang ke sekolah tentunya daripada pelbagai latar belakang. Kepelbagaian pelajar tersebut menuntut guru-guru memiliki seni yang baik untuk mendekati pelajar-pelajar mereka, agar mereka merasa selesa dengan guru, dan dapat mencurahkan pelbagai permasalahan sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah dalam pembelajaran ataupun dalam kehidupan peribadi. Dapatan tersebut selari dengan pandangan Mennin and Farach 2007, Sloan and Kring 2007, Suveg, Southam-Gerow, Goodman, and Kendall 2007, Zeman, Klimes-Dougan, Cassano, and Adrian 2007 yang menyatakan bahawa kemahiran EQ kemahiran mempengaruhi orang lain dan pengurusan konflik merupakan perkara penting yang menunjukkan seseorang itu memiliki EQ yang tinggi. Menurut mereka kemahiran EQ tersebut merupakan satu kemahiran yang holistik yang dapat diperolehi melalui proses pembelajaran, perubahan tingkah laku dan pelbagai pengalaman hidup dalam kehidupan peribadi mahupun sosial. Pandangan lebih kurang sama juga dinyatakan oleh Christine 2007 yang menyatakan bahawa kemahiran sosial merupakan perkara penting yang perlu ada dalam sesebuah pengurusan pengurus syarikat, pendidik, dan sebagainya. Beliau juga menyatakan bahawa kemahiran tersebut boleh dibina, bukan hanya melalui latihan secara formal tetapi juga dapat dipelajari melalui proses dan pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang.

5.3.2 Pandangan Pakar Dan Orang-Orang Berjaya Dalam Pembinaan Kompetensi Asas EQ