Perbincangan Hasil Kajian Perbezaan Yang Menyebabkan Masalah

5.3 Perbincangan Hasil Kajian Perbezaan Yang Menyebabkan Masalah

Kemerosotan Disiplin Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Mengikut Jantina Bagi melihat perbezaan antara masalah kemerosotan disiplin di kalangan pelajar Sekolah Menengah, pengujian hipotesis telah dilakukan dengan menggunakan kaedah Ujian t. Hasil dapatan hipotesis bagi tujuan ini adalah seperti berikut: Hipotesis 1.1 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor sikap pelajar terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Dapatan kajian menunjukkan bahawa nilai p = 0.142 menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara faktor sikap pelajar dengan jantina iaitu aras signifikan 0.142 melebihi aras signifikan yang ditetapkan iaitu 0.05. Maka Hipotesis ini diterima. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor sikap pelajar mengikut jantina. Ini selari dengan dapatan Ismail Haji Din 1990, sikap boleh jadi satu pengaruh yang penting kepada individu. Ia bertindak sebagai sebab dan akibat kepada tingkah laku. Ia merupakan perkara peribadi dan berkaitan dengan perasaan dan pengalaman individu. Sebagai contoh, sikap malas iaitu orang yang tidak mengerti dengan jelas matlamat dan cita-cita hidup. Sifat ini boleh membunuh masa hadapan. Ekoran dari inilah seseorang itu mempunyai kesamaran dalam objektif hidupnya. Kajian ini juga disokong oleh House 1981, dalam kajian ke atas 48 responden di Selatan Mississippi mendapati bahawa perasaan ingin dihargai, konsep kendiri yang rendah dan keperluan kendiri yang tidak mencukupi mempengaruhi gejala ponteng. Menurut Lester 1964, sekiranya seseorang remaja berjaya membuat penyesuain yang baik, maka mereka akan dapat memenuhi keperluan dirinya. Mereka juga seterusnya akan bertingkah laku sebagaimana yang diharapkan oleh masyarakat. Tetapi apabila mereka gagal membuat penyesuaian yang baik, mereka akan menunjukkan tingkah laku sebaliknya. Maka untuk memenuhi citarasa ini bagi melepaskan tekanan yang dihadapi, jalan yang paling mudah untuk meredakannya ialah dengan bersiar-siar atau melapangkan bersama rakan-rakan ataupun dengan menonton. Hipotesis 1.2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor rakan sebaya terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Didapati nilai r bagi faktor jantina dengan rakan sebaya adalah bersamaan dengan 0.00. Ini menunjukkan hubungan yang sangat lemah. Memandangkan nilai p = 0.962 adalah lebih besar dari aras signifikan iaitu 0.05, maka hipotesis ini diterima. Ini bermakna tidak terdapat hubungan yang signifikan antara faktor jantina dengan rakan sebaya. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor rakan sebaya mengikut jantina. Dapatan ini serupa dengan kajian How 2007. Dapatan ini berbeza dengan Mashuhan 1995, beliau menyatakan bahawa kebiasaannya para remaja mempunyai perwatakkan yang cepat berubah. Beliau juga menyatakan bahawa 50 peratus daripada remaja lebih cepat mengikut dan menurut apa yang dikatakan oleh rakan sebaya. Namun begitu, kajian ini juga berbeza dengan kajian Aminudin 1993, yang menyatakan bahawa remaja sukakan hiburan dan mudah terikut-ikut dengan gaya penampilan artis yang mereka minati, seperti memakai pakaian berjenama dan stail rambut yang baru. Kenyataan ini disokong oleh Zurina 1998 yang menyatakan bahawa pengaruh rakan sebaya terhadap remaja sangat dominan keran menjadi kelaziman dalam kumpulan rakan sebaya, anggotanya akan amat sensitif dengan cita rasa kumpulannya. Mereka akan cepat bertindakbalas untuk menjaga kewibawaan mereka agar diterima dalam sesuatu kumpulan rakan sebaya yang dapat memenuhi citarasa mereka. Dickinson dan Leing 1990, mengatakan faktor rakan sebaya merupakan responden bagi menghabiskan sebahagian dari masa di sekolah berbanding dengan rumah. Hipotesis 1.3 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor keluarga terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Didapati p = 0.00, maka hipotesis Nol ditolak. Ini bermakna terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor keluarga dengan jantina. Selain itu juga, dapatan ini menunjukkan faktor keluarga lebih banyak memberi kesan kepada pelajar lelaki Min = 3.48 berbanding wanita Min = 3.31. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor keluarga mengikut jantina. Dapatan kajian ini selari dengan kajian Rosnah 2006. Hasil daripada kajian didapati majoriti responden mempunyai tahap faktor gengsterisme dari aspek pengaruh keluarga berada pada tahap yang sederhana iaitu seramai 332 orang 83.0 peratus. Ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Nalini 2006, di mana terdapat hubungan yang signifikan antara faktor kekeluargaan dengan pencapaian akademik. Dapatan ini berbeza dengan Syarifah Alwiyah 1984, mengatakan bahawa pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah lebih kerap ponteng sekolah berbanding yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi. Kenyataan ini disokong oleh Ibrahim 1997, kegiatan ponteng sekolah adalah disebabkan oleh faktor sosio-ekonomi keluarga pelajar yang rendah di mana pelajar berkenaan terpaksa ponteng sekolah bagi menolong ibi bapa mereka untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Hipotesis 1.4 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor suasana sekolah terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Di dapati p = 0.168, maka hipotesis Nol ini diterima. Ini bermakna tiada perbezaan yang signifikan antara faktor suasana sekolah dengan jantina iaitu aras signifikan 0.168 melebihi aras signifikan yang ditetapkan iaitu 0.05. Oleh kerana, keputusan ujian kolerasi menunjukkan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara suasana sekolah mengikut jantina. Dapatan kajian ini, selari dengan kajian Tan 2006, yang menyatakan bahawa tidak terdapat hubungan signifikan di antara pengaruh suasana sekolah terhadap masalah disiplin pelajar. Dapatan ini adalah berbeza dengan kajian How 2007, yang menyatakan bahawa tidak terdapat hubungan signifikan antara faktor ponteng sekolah dari aspek suasana sekolah dengan pendapatan keluarga di kalangan pelajar sekolah menengah. Menurut kajian Foziah 1999, iklim sekolah yang kurang menarik dan tidak mengembirakan para pelajar merupakan faktor pelajar malas atao ponteng. Kajian oleh mohamed Yunus 1994 mendapati, faktor kelas yang sesak, tidak mempunyai kipas angin, dinding kotor dan kerusi meja yang patah serta tidak mencukupi memburukkan lagi suasana pembelajaran yang tidak selesa. Hipotesis 1.5 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor guru sekolah terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Didapati p = 0.00, maka hipotesis Nol ditolak. Ini bermakna terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor guru dengan jantina. Selain itu juga, dapatan kajian ini menunjukkan faktor guru lebih banyak memberi kesan kepada pelajar lelaki Min = 3.37 berbanding wanita Min = 3.18. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor guru mengikut jantina. Dapatan kajian ini, selari dengan Kajian Tom V.Savage 1991, membuktikan bahawa kecekapan guru dalam perubahab susunan yang sistematik dapat menyelesaikan masalah tingkah laku pelajar. Begitu juga dalam kajian Nurizam B.Mat Saad 2002, mendapati bahawa guru yang kurang bersedia akan membosankan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. Menurut N.Rajendran 1994, ponteng berkait rapat dengan sikap pelajar dengan pengajaran guru. Pengajaran guru yang tidak menarik akan menyebabkan pelajar tidak berminat dalam sesuatu mata pelajaran. Sekiranya, guru tidak berusaha menarik minat mereka, pelajar-pelajar itu akan hilang semangat belajar dan ponteng sekolah. Hipotesis 1.6 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor persekitaran terhadap kemerosotan disiplin mengikut jantina. Didapati p = 0.285, maka hipotesis Nol ini diterima. Ini bermakna tiada perbezaan signifikan antara faktor persekitaran dengan jantina. Memandangkan aras signifikan 0.285 melebihi aras signifikan yang ditetapkan iaitu 0.05. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor persekitaran mengikut jantina. Ini selari dengan dapatan Larry Ros 1986, yang menyatakan media massa yang merangkumi media cetak dan elektronik memainkan peranan penting sebagai pendidik masyarakat. Namun begitu, media massa juga meninggalkan pengaruh yang membimbangkan. Umpamanya pengatuh televisyen yang banyak memaparkan aksi- aksi berunsurkan negatif seperti aksi ganas, menipu, mencuri dan akhirnya membunuh. Paparan aksi ini mempengaruhi remaja dan mengajar cara-cara melakukan aktiviti negatif begitu juga, dengan Singer et.al 1995, yang telah menjalankan kajian tentang pengaruh televisyen ke atas 2,245 pelajar asas di Atlanta. Hasil kajian mendapati bahawa 37.9 peratus responden menonton televisyen lebih daripada 6 jam sehari dilaporkan mempunyai simptom trauma dan tingkah laku ganas. Kanak-kanak ini mempunyai gaya dan menunjukkan tingkah laku pergaduhan di tahap tinggi. Seterusnya, ini disokong oleh Scott 1995, menyatakan bahawa era teknologi maklumat telah menimbulkan pelbagai permasalahan sosial di kalangan remaja. Penggunaan internet umpamanya telah menyebabkan beraneka maklumat sampai kepada pengguna tanpa dapat dikawal. Lantaran itu ia boleh disalahgunakan oleh remaja untuk tujuan tidak baik.Kajian ini disokong oleh kajian Nalini 2006, di mana faktor persekitaran mempengaruhi budaya lepak di kalangan remaja. Hasil kajian Rodriguez 1993, mendapati bahawa 31.4 peratus responden daripada 1203 pelajar-pelajar di California terdedah kepada pergaduhan di dalam dan kuar sekolah disebabkan pengaruh persekitaran. Hipotesis 2 : Tidak terdapat perbezaan signifikan antara persepsi guru disiplin terhadap kemahiran dalam mengurus disiplin pelajar mengikut jantina. Didapati p = 0.369, maka hipotesis Nol ini diterima. Ini bermakna tiada perbezaan signifikan antara persepsi guru disiplin terhadap kemahiran dalam mengurus disiplin pelajar dengan jantina. Memandangkan aras signifikan iaitu 0.369 melebihi aras signifikan yang ditetapkan iaitu 0.05. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kemahiran dalam mengurus disiplin pelajar mengikut jantina. Hasil kajian ini disokong oleh Mohd. Ismail Othman,2004. Kemahiran mengurus disiplin yang berkesan dan cekap membolehkan proses pengajaran dijalankan secara licin dan teratur. Suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi tenang dan pelajar memahami kandungan pengajaran dengan lebih sempurna. Selain itu, jika pelajar peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, keselamatan mereka akan terjamin. Melalui kemahiran mengurus disiplin yang baik, nilai moral pelajar dapat dibentuk dan dipupuk ke tahap yang memuaskan dan suasana bilik darjah menjadi lebih kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kajian S.Sigamoney juga menyokong dapatan kajian ini. S.Sigamaoney 1984, menyatakan bahawa soal mengurus disiplin bukanlah tugas Guru Besar, Penolong Kanan, Penyelia Petang dan Guru Disiplin.Tugas memelihara disiplin sekolah adlah tugas utama semua guru di sesebuah sekolah dan bukan tugas utama pihak pentadbiran dan guru disiplin sahaja. Hipotesis 3 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara keperluan latihan untuk guru disiplin dalam menangani disiplin pelajar mengikut jantina. Didapati p = 0.00, maka hipotesis Nol ditolak. Ini bermakna terdapat perbezaan yang signifikan antara keperluan latihan untuk guru disiplin dalam menangani disiplin pelajar dengan jantina. Selain itu juga, dapatan kajian ini menunjukkan keperluan latihan lebih banyak disuarakan oleh guru lelaki Min = 3.19 berbanding guru wanita Min = 2.88. Oleh kerana, keputusan ujian t menunjukkan terdapat perbezaan min, maka dengan ini dapat dirumuskan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor keperluan latihan mengikut jantina. Hasil dapatan kajian ini disokong oleh Abd. Rahim Abdul Rashid 1999, yang menyatakan bahawa seorang guru perlu mempunyai latihan dan pengetahuan, khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan guru dari perspektif pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan seseorang guru memainkan peranannya dengan lebih efektif dan mampu menangani pelbagai masalah yang dihadapi. Seterusnya, hasil kajian ini juga selari dengan pendapat Abdullah Sani Yahaya 2005, tugas utama guru di dalam kelas adalah sebagi penyampai ilmu. Oleh itu, guru mestilah menguasai kemahiran dalam pelbagai ilmu supaya isi pengajarannya mencakupi keseluruhan sukatan pelajaran. Seseorang pelajar berasa lebih yakin sekiranya dapat belajar dengan guru yang mahir dalam sesuatu mata pelajaran. Nuztaza Abu Amin 1994, menyatakan bahawa disiplin yang ketat dalam bentuk denda yang kejam dan sikap guru disiplin yang kasar menyebabkan ketegangan emosi di kalangan pelajar. Hal ini seterusnya, akan mendorong mereka untuk ponteng sekolah. Pelaksanaan disiplin yang terlalu ketat kepada pelajar dari segi pembelajarannya. Ini disokong oleh dapatan kajian Bakhtihar Mansor 1994, yang mendapati kesan dari disiplin yang ketat membuatkan pelajar berasa bersalah, terancam, bersifat bertahan dan menentang. Ini mengakibatkan mereka menjadi malas untuk belajar dan menimbulakan masalah disiplin untuk menunjukkan sikap penentangan mereka. Hipotesis 4 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara persepsi guru disiplin terhadap masalah-masalah disiplin mengikut jantina .Didapati nilai p = 0.02. Hipotesis Nol ditolak kerana signifikan. Terdapat perbezaan yang signifikan antara persepsi guru disiplin terhadap masalah-masalah disiplin mengikut jantina. Berdasarkan jadual statistik di atas, keperluan latihan lebih banyak disuarakan oleh guru perempuan Min = 3.80 berbanding guru lelaki Min = 3.43 Oleh kerana, keputusan ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan min maka dengan ini dirumuskan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara persepsi guru disiplin terhadap masalah-masalah disiplin mengikut jantina. Ini juga selari dengan dapatan Ismail Haji Din 1990, Sifat membuli ini boleh membunuh masa hadapan ekoran dari sifat ini jugalah seseorang mempunyai kesamaran dalam matlamat hidupnya. Kajian ini berbeza dengan kajian yang dijalankan Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat 2000. Kajian dijalankan di 20 buah sekolah tinggi di Arizona dan Houston. Hasil ini mendapati 5 peratus responden terlibat dengan vandalisme, peras ugut, mencuri barang guru dan ponteng sekolah serta menconteng dinding. Dapatan kajian ini juga disokong oleh Rosnah 2006. Dapatan ini berbeza dengan kajian yang dijalankan oleh Morales 1992, mendapati bahawa prestasi akademik sering dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti gengsterisme dan tingkah laku delinkuen yang agresif dan ganas. Ini ada kaitan dengan kajian Hamilton 1990. Kajian telah dijalankan ke atas pelajar- pelajar menengah rendah di United States. Dapatan hasil kajian menunjukkan bahawa 27 peratus responden takut ke sekolah kerana terdapat ancaman dan keadaan tidak selamat.

5.4 Rumusan