Faktor Suasana Sekolah Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kemerosotan Disiplin Pelajar

2.2.4 Faktor Suasana Sekolah

Faktor suasana sekolah dapat mempengaruhi masalah disiplin pelajar secara tidak langsung. Suasana sekolah merangkumi bentuk bangunan sekolah, pokok- pokok dan bunga-bunga yang ditanam dan kemudahan-kemudahan seperti tempat bermain dan perpustakaan Mok Soon Sang, 1992. Suasana sekolah merupakan satu faktor yang menyumbang ke arah pelajar yang tidak berdisiplin. Ahli-ahli sosiologi berpendapat tingkah laku buruk remaja dipupuk oleh keadaan sekitar yang tidak menyenangkan. Bagi pelajar, suasana yang tidak menarik menjadikan keadaan lebih buruk. Secara sedar atau tidak, sekolah juga turut menyumbang kepada permasalahan disiplin pelajar. Sebagai sebuah organisasi masyarakat, sekolah mempunyai kelemahan dan kekurangannya sama ada dari segi fizikal atau kemanusiaan, menjadikannya tidak berupaya memenuhi segala tuntutan dan harapan segenap lapisan. Menurut Omardin 1996, salah satu faktor yang menentukan kejayaan pelajar-pelajar ialah melalui iklim dan budaya sekolah. Suasana dan persekitaran yang harmoni boleh membangkitkan semangat dan akan melahirkan pelajar yang mempunyai sikap cintakan sekolah. Dengan ini dapat mengurangkan masalah salahlaku dan disiplin. Menurutnya lagi sekolah perlu mewujudkan suasana persekitaran yang sesuai dan indah bagi membolehkan supaya pelajar mempunyai sikap cinta kepada sekolah. Membentuk disiplin tidak sesuai menggunakan kekerasan, emosi tidak boleh disekat, dengan itu masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan. Hasil kajian Zulkarnain B.Kamarudin 2002, telah membuat kajian berdasarkan latar belakang responden melibatkan empat aspek pengaruh iklim sekolah terhadap masalah disiplin pelajar iaitu suasana sekolah, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan guru. Hasil kajian menunjukkan secara umumnya tahap pencapaian terhadap aspek suasana sekolah adalah lemah iaitu 40 peratus. Ini menunjukkan kebanyakkan responden merasakan suasana persekitaran sekolah sama ada di luar mahu pun dalam bilik darjah perlu diperbaiki. Pihak sekolah juga perlu memperbanyakkan lagi projek keceriaan sekolah yang melibatkan semua warga sekolah. Tahap pencapaian terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran pula berada pada kedudukan sederhana iaitu 51 peratus. Sebahagian responden belum dapat menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran guru. Hasil kajian Azhar B. Hamzah 2003, menunjukkan bahawa sebanyak 32.6 peratus responden tidak setuju persekitaran sekolah yang mendorong pelajar ponteng sekolah. Manakala 47.2 peratus responden setuju yang persekitaran sekolah mendorong pelajar ponteng sekolah. Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi menggambarkan beberapa faktor mempunyai pengaruh ke atas masalah ponteng sekolah. Faktor tersebut ialah faktor sikap dan faktor persekitaran sekolah. Aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa ponteng sekolah ialah merokok, berbual-bual dengan rakan, membantu keluarga dan melepak di rumah sewa kawan. Pelajar-pelajar menghabiskan hampir separuh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar sekolah seperti pengagihan murid mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, stuktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan murid-murid yang lemah daripada segi akademik T.Marimuthu, 1980. Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan personaliti pelajar. Contohnya pengetua yang tegas melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada pelajar, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan. Sebaliknya, pengetua yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Dia menyebabkan pelajar menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut perkembangannya. Di sekolah, murid memperoleh prestasi yang memuaskan, menjawat jawatan yang bertanggungjawab seperti pengawas dan mendapat penerimaan guru dan rakan sebaya. Keadaan positif ini akan membentuk personaliti yang positif. Prestasi di dalam bilik darjah akan mempengaruhi tingkah laku pelajar. Pelajar tersebut gembira dan tekun belajar serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika pelajar selalu gagal, maka pengalaman pahit itu akan mendorongkan pelajar itu mudah putus asa dan takut menghadapi peperiksaan. Persekitaran sekolah akan menjadi fobia bagi pelajar seperti ini. Jesteru, pihak sekolah perlu memberikan tumpuan terhadap tingkah laku pelajar seperti ini dengan memberikan peneguhan positif.

2.2.5 Faktor Persekitaran