Konsep Pembelajaran Koperatif
2.1 Konsep Pembelajaran Koperatif
Secara umumnya, PK merupakan satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kumpulan-kumpulan kecil pelajar bagi memberi peluang pelajar berinteraksi sesama mereka di dalam proses pembelajaran. Slavin (1990) berpendapat rasional di sebalik PK adalah pelajar akan bersedia membantu rakan sekumpulan sekiranya mereka ingin kumpulan mereka berjaya. Selain daripada itu, rakan sebaya dikatakan berupaya menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar semasa menerangkan konsep yang sukar. Menurut pandangan Slavin (1990) juga, kumpulan perbincangan, kumpulan projek, kumpulan makmal dan pengajaran oleh rakan sebaya merupakan contoh-contoh PK yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, Slavin (1990) berpendapat PK hanya berkesan apabila ia mempunyai tiga ciri berikut: ganjaran kumpulan, tanggungjawab individu dan peluang yang sama untuk berjaya. Pelajar akan diberikan ganjaran apabila kumpulan mereka mencapai sesuatu kriteria tertentu tanpa ada sebarang persaingan antara sesama kumpulan. Ganjaran kumpulan menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk melibatkan diri di dalam aktiviti kumpulan.
Tanggungjawab individu bermaksud semua ahli kumpulan bertanggungjawab menentukan kejayaan sesuatu kumpulan. Dengan kata lain, sesuatu kumpulan tidak dapat berjaya dengan usaha individu tertentu sahaja. Ini akan mendorong pelajar membimbing rakan-rakan sekumpulan dan semua ahli bertanggungjawab menguasai pelajaran.
Ciri peluang yang sama untuk berjaya merujuk kepada pencapaian pelajar diukur berdasarkan peningkatan prestasi masing-masing. Ini bermakna semua pelajar tanpa mengira tahap kebolehan berpeluang meningkatkan pencapaian kumpulan mereka. Ketiga-tiga ciri ini merujuk kepada teknik Pembelajaran Pasukan Pelajar yang diperkenalkan oleh Slavin dan rakan-rakan.
Sebaliknya Johnson dan Johnson (1994) menegaskan bahawa kumpulan belajar, kumpulan projek, kumpulan makmal dan kumpulan-kumpulan kecil yang lain tidak Sebaliknya Johnson dan Johnson (1994) menegaskan bahawa kumpulan belajar, kumpulan projek, kumpulan makmal dan kumpulan-kumpulan kecil yang lain tidak
Ciri pertama adalah saling bergantung yang positif, iaitu pelajar mesti bekerjasama di dalam satu kumpulan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Tanpa kerjasama antara ahli, sesuatu kumpulan tidak dapat mencapai matlamat tersebut.
Ciri kedua adalah tanggungjawab individu dan kumpulan, iaitu sesuatu kumpulan bertanggungjawab mencapai matlamatnya dan setiap individu bertanggungjawab memberi sumbangan kerja yang sepatutnya. Oleh itu perlu ada satu pengukuran untuk menentukan kemajuan sesuatu kumpulan dan mengenal pasti usaha setiap ahli.
Ciri ketiga adalah PK seharusnya menggalakkan interaksi, sebaik-baiknya secara bersemuka. Pelajar melakukan kerja secara bersama melalui perkongsian bahan, saling tolong-menolong dan memberi galakan antara satu sama lain.
Ciri keempat adalah PK perlu menyediakan pelajar dengan kemahiran bersosial dan kemahiran untuk bekerja secara berkumpulan. Kedua-dua kemahiran ini perlu bagi membolehkan sesuatu kumpulan berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, perlunya ada kepemimpinan yang berkesan, kemahiran membuat keputusan, mewujudkan kepercayaan sesama ahli, komunikasi yang berkesan dan kemahiran menguruskan sebarang konflik yang timbul di dalam kumpulan.
Ciri kelima adalah berkaitan dengan penilaian kumpulan, iaitu ahli kumpulan berbincang dan menganalisis setakat mana kumpulan mereka mencapai matlamat yang dikehendaki. Pelajar mengenal pasti tindakan dan tingkah laku yang perlu diperbaiki atau dihentikan.
Ciri-ciri yang disenaraikan itu merujuk kepada teknik Belajar Bersama yang diperkenalkan oleh Johnson dan Johnson. Kelima-lima ciri ini dianggap penting bagi memastikan kelancaran kerja berkumpulan.
Di dalam membincangkan penggunaan PK di dalam kelas yang mempunyai berbagai etnik, Coelho (1994) menyenaraikan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjayakan kerja berkumpulan. Ciri pertama adalah dari segi pembentukan dan pengurusan kumpulan. Berbanding dengan kerja berkumpulan tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khusus, PK mempunyai panduan tertentu bagi penentuan saiz kumpulan, pemilihan ahli kumpulan dan aspek teknikal yang lain berkaitan dengan menguruskan kumpulan kecil.
Ciri kedua adalah berkaitan dengan reka bentuk tugas iaitu adanya struktur tugas yang tertentu bagi memastikan penglibatan kesemua pelajar dan proses pembelajaran berlaku. Lanjutan daripada itu PK perlu mempunyai penilaian bagi hasil kerja setiap ahli kumpulan.
Ciri ketiga adalah komponen sosial juga diberi penekanan iaitu dari segi kemahiran bekerja di dalam kumpulan, cara berinteraksi secara lisan dan bukan lisan dan penilaian untuk keberkesanan bekerja di dalam kumpulan.
Ciri keempat adalah perlunya perbincangan diwujudkan di dalam PK. Ini adalah kerana melalui perbincangan sesama pelajar, mereka berpeluang menjelaskan lagi kefahaman dan pandangan mereka secara lisan.
Abrami et al. (1995) membezakan PK dengan pembelajaran tradisional (PT) dari segi saling bergantung yang positif antara pelajar, kerjasama untuk mencapai matlamat yang sama, wujud interaksi dua hala antara pelajar dan peranan guru sebagai pemudah cara ketika kerja berkumpulan.
Berdasarkan pandangan-pandangan yang diberikan itu, dapat dirumuskan bahawa antara ciri-ciri PK adalah penggunaan kumpulan kecil di dalam suasana pembelajaran yang terancang, wujudnya ciri-ciri yang menggalakkan pelajar bekerjasama, berinteraksi dan mempunyai sifat bertanggungjawab. Namun begitu, terdapat juga perbezaan antara ciri-ciri yang ditekankan seperti ganjaran kumpulan dan kepentingan kemahiran sosial. Ini disebabkan perlaksanaan sesuatu teknik PK yang digunakan diasaskan mengikut teori yang berbeza.