Definisi Konsep

1.8 Definisi Konsep

Berikut adalah beberapa istilah yang terdapat dalam kajian ini yang perlu dihuraikan maknanya:

1.8.1 Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran asas yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap murid sekolah rendah, di samping menulis dan mengira (PPK, 1982). Kemahiran membaca didefinisikan sebagai kebolehan menamakan huruf dan membunyikan vokal, membaca dan memahami perkataan, ayat dan perenggan (JPK, 1999). Pada Tahap 1, KBSR menekankan penguasaan terhadap bacaan mekanis, iaitu sebutan yang betul mengikut sebutan baku sesuatu bahasa, tanda baca dan intonasi mengikut teks yang dibaca dan pemahaman tentang apa yang dibaca (PPK, 1982).

1.8.2 Murid Pemulihan Bacaan

Murid pemulihan bacaan adalah murid-murid sekolah rendah yang tidak menampakkan kelainan pada fizikal dan mentalnya, tetapi menghadapi kesulitan membaca berbanding kumpulan sebaya mereka (JPK, 1999; PPK, 1982). Kesulitan membaca ini ditunjukkan melalui bacaan yang tidak lancar iaitu seperti sukar membatang suku kata (Zalizan, 1986), sering tergagap-gagap kerana tidak lancar mengeja dan membunyikan perkataan (Zalizan, 1986), membaca merangkak-rangkak (Robiah, 1992), lambat untuk menghabiskan bacaan (Mak, 1994) dan kadang-kadang tidak boleh membaca langsung (Jais, 1990).

1.8.3 Aktiviti Pemulihan Bacaan

Aktiviti pemulihan bacaan merupakan satu usaha yang dilaksanakan di sekolah rendah bagi membantu murid-murid yang sukar menguasai bacaan. Setelah mengikuti aktiviti ini, murid seharusnya boleh menguasai kemahiran asas membaca, meneruskan pembelajaran di kelas biasa serta menambah sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran. Aktiviti pemulihan bacaan mengandungi beberapa peringkat yang dibuat secara berurutan. Peringkat ini bermula daripada usaha mencalonkan murid untuk mengikuti Kelas Pemulihan Khas hinggalah kepada aktiviti tindak susulan (JPK, 1999). i.

Pencalonan murid. Tindakan ini dijalankan untuk mengenal pasti murid yang mengalami kesukaran membaca dan perlu mengikuti Kelas Pemulihan Khas. Usaha ini boleh dibuat oleh guru kelas, guru Bahasa Melayu, guru besar atau ibu bapa berdasarkan beberapa perkara seperti prestasi murid dalam bacaan, keputusan ujian bulanan dan semester, kerja-kerja kelas dan ciri-ciri tingkah laku murid, misalnya enggan membaca kuat, enggan mengambil bahagian dalam kerja-kerja yang melibatkan bacaan, dan suka menyendiri.

ii Ujian Saringan dan Ujian Diagnistik. Ujian Saringan bertujuan untuk mengenal pasti sama ada murid yang dicalonkan mengikuti Kelas Pemulihan Khas benar- benar menghadapi masalah membaca dan memerlukan kelas tersebut. Ujian Diagnostik pula bertujuan untuk mengenal pasti punca kesulitan membaca dan daerah kelemahan membaca murid secara lebih terperinci. Kedua-dua ujian ini boleh dibuat dalam bentuk lisan atau amali. Pemerhatian Guru Pemulihan Khas terhadap murid juga boleh dijadikan sebagai sumber maklumat.

iii. Perancangan pengajaran dan pelaksanaannya. Perancangan pengajaran merupakan pelan pembelajaran dan pengajaran yang disusun secara rapi dan

iv. Penilaian. Penilaian dibuat bertujuan untuk meneliti pencapaian murid pemulihan setelah mengikuti aktiviti pemulihan serta memberi peluang kepada Guru Pemulihan Khas menilai kesan keseluruhan aspek pembelajaran dan pengajaran yang telah dilaksanakan ke atas murid pemulihan. Penilaian boleh dijalankan dalam bentuk ujian lisan, ujan bertulis dan pemerhatian Guru Pemulihan Khas. Murid yang telah pulih akan dihantar ke kelas biasanya semula, manakala bagi yang belum, strategi pengajaran yang baru akan dirancang.

v. Tindak susulan. Tindak susulan merupakan usaha berterusan yang dijalankan ke atas murid yang telah pulih seperti memberi tugasan-tugasan yang dapat memperkukuh dan mengayakan kelemahan yang dialami murid sebelum ini. Guru juga akan sentiasa memerhatikan emosi, tingkah laku dan pergaulan sosial murid tersebut untuk mengelakkan masalah yang sama berulang. Kerja-kerja tindak susulan ini boleh dijalankan bersama oleh semua pihak yang terlibat dengan murid ini khususnya guru darjah, guru Bahasa Melayu dan Guru Pemulihan Khas sendiri.

1.8.4 Guru Pemulihan Khas

Guru Pemulihan Khas adalah guru yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan Program Pemulihan Khas kepada murid-murid yang lemah di sekolah-sekolah rendah. Guru ini berkhidmat sepenuh masa melaksanakan program berkenaan sebagaimana yang ditetapkan dalam surat-surat pekeliling Kementerian Pendidikan (JPK, 1999).

1.8.5 Sistem Pemulihan Khas

Sistem pemulihan khas merujuk kepada cara melaksanakan aktiviti pemulihan bacaan di sekolah iaitu sama ada mengikut sistem pengunduran atau sistem kelas tetap.

Dalam sistem pengunduran, murid-murid yang telah dikenal pasti lambat membaca, akan berundur dari kelas biasa mereka pada waktu-waktu tertentu untuk mengikuti aktiviti pemulihan bacaan dengan Guru Pemulihan Khas. Selepas setiap sesi/waktu pemulihan, mereka akan kembali semula ke bilik darjah masing-masing untuk belajar bersama rakan-rakan mereka seperti biasa.

Dalam sistem kelas khas tetap, murid-murid lambat akan tinggal tetap buat satu jangka masa di kelas khas yang ditubuhkan untuk mereka. Kelas khas tetap ini menjadi tanggungjawab sepenuh masa Guru Pemulihan Khas (Chua & Koh, 1992).

1.8.6 Strategi Pemulihan Khas

Strategi Pemulihan Khas merujuk kepada pendekatan pengajaran yang digunakan untuk mengajar murid-murid pemulihan bacaan, iaitu sama ada bercorak individu

1.8.7 Bahan Asas dan Bahan Sokongan

Bahan asas atau bahan utama adalah bahan yang menjadi sumber dalam sesi pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan, manakala bahan sokongan adalah bahan yang membantu kepada bahan utama dalam memberi kefahaman dan penguasaan kepada murid terhadap apa yang dipelajari.

1.8.8 Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran Pemulihan

Kaedah pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan merujuk kepada cara melaksanakan pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan yang diamalkan. Terdapat empat kaedah yang kerap digunakan untuk tujuan tersebut iaitu kaedah Abjad, kaedah Fonik, kaedah Gabungan Bunyi Kata dan kaedah Gabung Jalin, manakala dua cara lagi adalah kaedah Seluruh Perkataan serta kaedah Cerakin. Setiap kaedah pembelajaran dan pengajaran ini mempunyai kekuatan dan keperluannya yang tersendiri. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan, pemakaian setiap kaedah juga adalah bergantung kepada keserasian murid terhadap kaedah tersebut.

1.8.9 Gerak Kerja/Latihan

Gerak kerja merupakan tugasan atau aktiviti kecil yang dijalankan dalam proses pembelajaran dan pengajaran bagi membantu tercapainya objektif untuk satu-satu kemahiran membaca yang dipelajari.