Tempat Kajian

3.7 Tempat Kajian

Spradley (1980) menegaskan setiap penyelidik mempunyai alasan yang tersendiri dalam memilih tempat kajian. Namun demikian mengikut Jorgensen (1989) pemilihan tersebut wajar menitikberatkan sifat dan keperluan kajian supaya ia tidak membataskan apa yang hendak dikaji. Sehubungan dengan itu Jorgensen (1989) menyarankan penyelidik menggunakan akal fikiran dalam membuat pertimbangan terhadap pemilihan tempat kajian. Berdasarkan kriteria-kriteria ini dan dengan bantuan pandangan dan maklum balas daripada Pegawai Pemulihan Khas di JPN Selangor dan di Bahagian Khas, KPM, Penyelidik telah menetapkan lima kriteria bagi pemilihan tempat kajian.

Kriteria-kriteria tersebut adalah ketekalan menjalankan aktiviti pemulihan sekurang- kurangnya tiga tahun berturut-turut di bawah Guru Pemulihan Khas yang sama, mempunyai kemudahan asas untuk menjalankan aktiviti pemulihan, kebenaran pihak pentadbir (Guru Besar) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat kajian, kesediaan pihak yang terlibat di sekolah berkenaan untuk bekerjasama dengan penuh komited terhadap kajian dan kemudahan Penyelidik untuk pergi ke sekolah dari segi penjimatan masa dan jarak.

Dengan bantuan Pegawai Program Pemulihan Khas JPN Selangor, Sekolah X telah dipilih sebagai tempat kajian kerana didapati memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan iaitu: i.

Sekolah X telah menjalankan aktiviti pemulihan bacaan secara tekal selama empat tahun berturut-turut (2001-2004) di bawah seorang Guru Pemulihan Khas yang sama. Keadaan ini telah memudahkan kerja-kerja pengumpulan data terutama yang berkaitan pemerolehan maklumat masa lepas.

ii. Sekolah X mempunyai kemudahan asas untuk menjalankan aktiviti pemulihan bacaan iaitu sebuah bilik yang memang dikhaskan untuk tujuan tersebut yang dinamakan oleh Sekolah X sebagai Kamar Harapan. Bilik ini pula dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas lain seperti kerusi meja, bilik kerja guru, ruang pembelajaran dan ruang peralatan mengajar. Rekod-rekod mengenai murid pemulihan juga disimpan di bilik ini. Keadaan bilik yang sedemikian menyebabkan hampir keseluruhan aktiviti pemulihan bacaan dijalankan di bilik berkenaan. Pengendalian Kelas Pemulihan Khas di premis yang khusus dan secara tekal telah membolehkan kajian dibuat dengan lancar (seperti masa tidak banyak terbuang kerana berpindah randah) dan selesa terutama apabila melibatkan pemerhatian proses pembelajaran dan pengajaran serta penganalisisan dokumen.

iii. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di Sekolah X membenarkan sekolah mereka dijadikan tempat kajian, malah kedua-dua guru tersebut telah berjanji untuk memberi kerjasama yang sebaik mungkin di sepanjang kajian ini. Kedua-dua guru telah menegaskan apa sahaja perkara yang menyumbang ke arah kebaikan dan kepentingan pendidikan dan murid pemulihan bacaan sama ada di sekolah mereka sendiri atau pun secara keseluruhan, mereka akan memberi sokongan dan kerjasama yang padu.

iv. Guru Pemulihan Khas di Sekolah X merupakan guru terlatih, pernah mengikuti kursus pemulihan di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) dan mempunyai pengalaman mengajar yang lama di bidang pemulihan iaitu tujuh tahun. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Program Pemulian Khas di daerah Shah Alam, dengan itu beliau pernah mengendalikan beberapa siri ceramah dan kursus kepada Guru-guru Pemulihan Khas di seluruh Selangor. Selain itu beliau sering menghadiri mesyuarat, seminar dan bengkel yang berkaitan pendidikan pemulihan sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Dengan pengalaman dan kepakaran yang sedemikian, Guru Pemulihan Khas telah dapat memberi jawapan dengan jelas dan tepat kepada soalan-soalan yang diajukan, serta dapat menghasilkan idea, pandangan dan komen yang bernas berhubung aktiviti pemulihan bacaan. Selain itu sebagaimana Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik, Guru Pemulihan Khas juga amat bersikap terbuka terhadap kajian yang dijalankan. Beliau tidak keberatan langsung untuk dijadikan peserta kajian, malah amat mengalu-alukannya. Menurut guru ini, beliau akan menghulurkan apa sahaja bantuan yang dapat diberikannya demi menjayakan kajian ini dan demi kebaikan aktiviti pemulihan bacaan di sekolah.

Sebagaimana Guru Pemulihan Khas, tujuh orang guru lagi iaitu lima guru kelas atau guru mata pelajaran Bahasa Melayu murid pemulihan bacaan, Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Penyelaras Pusat Sumber/Media turut tidak keberatan dipilih menjadi peserta kajian. Alasan yang diberi adalah sama seperti yang dikemukakan Guru Besar, Guru Penolong Kanan Akademik dan Guru Pemulihan Khas.

v. Sekolah X hanya terletak lebih kurang lapan kilometer jauh dari rumah penyelidik. Jarak yang dekat ini memberi banyak kemudahan dan kelebihan pada penyelidik untuk menjalankan kajian seperti tidak membuang masa perjalanan dan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang boleh menjejaskan kerja- kerja penyelidikan di sekolah tersebut. Selain itu Pengkaji juga dapat menggunakan masa secara maksimum dan efektif untuk menjalankan penyelidikan kerana Pengkaji dapat berada di Sekolah X sehari suntuk.