Teori Kepuasan Kerja

2.4.2 Teori Kepuasan Kerja

Kepuasan kerja secara amnya dapat dipengaruhi oleh perasaan pekerja terhadap elemen-elemen kerja sama ada ianya hak milik pekerja itu atau sebaliknya. Ianya merangkumi aspek yang spesifik seperti bayaran, faedah, kenaikan pangkat, keadaan tempat kerja, penyeliaan, amalan organisasi, dan hubungan antara pekerja (Misener et al., 1996). Kepuasan kerja perlu dijadikan perkara penting dalam cara pemimpin memainkan peranannya kerana ianya dapat mempengaruhi orang bawahan untuk terus melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab di samping terus kekal di organisasi tersebut.

Beberapa faktor yang dikatakan menjadi sebagai penyumbang kepada tahap kepuasan guru dalam proses pembelajaran berterusan seperti gaji atau ganjaran, prospek untuk kenaikan pangkat, penyeliaan, hubungan dengan rakan guru, dan perihal pembelajaran itu sendiri. Teori Motivator-Hygience telah dicetuskan oleh Frederick Herzberg dan rakan-rakannya (Herzberg, Mausner, & Snyderman, 1959). Teori ini menyatakan faktor-faktor yang mendorong kepada kepuasan kerja adalah berbeza daripada faktor-faktor ketidakpuasan kerja. Faktor yang mendorong kepada kepuasan kerja dikenali sebagai faktor pendorong (motivational) yang meliputi prospek kenaikan pangkat, penghargaan, rasa tanggungjawab dan pencapaian. Faktor yang menyebabkan ketidakpuasan kerja pula merupakan faktor hygiene yang meliputi faktor seperti, gaji atau ganjaran, polisi organisasi, penyeliaan dan persekitaran pekerjaan. Faktor pendorong dikatakan mampu membawa individu ke peringkat yang lebih tinggi dalam kerjaya mereka.

Sekiranya dapat dilihat, faktor hygiene merupakan faktor luaran yang menjurus kepada keadaan atau situasi yang berlaku dalam persekitaran pembelajaran guru itu sendiri seperti gaji atau ganjaran, prospek kenaikan pangkat dan keadaan di tempat kerja. Faktor motivasi pula merupakan faktor dalaman yang melibatkan perihal kerja individu seperti pencapaian, penghargaan dan kepuasan. Faktor hygiene dan faktor motivasi ditunjukkan seperti jadual di bawah:

Jadual 2.2: Teori Herzberg dua faktor dalam motivasi kerja

Faktor Motivasi Faktor Hygiene

Pencapaian

Polisi Organisasi

Gaji atau Ganjaran

Prospek Kenaikan Pangkat

Persekitaran Kerja

(Sumber: Herzberg, Mausner, dan Snyderman, 1959).

Faktor-faktor tersebut dikatakan mampu mempengaruhi tingkahlaku individu, prestasi kerja dan tahap kepuasan kerja. Kepuasan terhadap gaji, prospek kenaikan pangkat, penyeliaan dan hubungan dengan rakan sekerja adalah beberapa contoh utama kepada pelbagai masalah dalam aspek kepuasan (Cranny, Smith, & Stone, 1992). Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan mengenal pasti kepuasan guru berhubungkait dengan kompetensi guru berdasarkan teori Herzberg dua faktor.

2.4.2.1 Pekerjaan itu sendiri

Pekerjaan itu sendiri merujuk kepada aktiviti pembelajaran guru yang sentiasa dilakukan sebagai bentuk kerja-kerja rutin yang sama setiap hari. Pekerjaan sebagai guru dapat memuaskan hati dan merasakan pekerjaan guru itu bagus. Pekerjaan sebagai guru memerlukan usaha untuk selalu berfikiran kreatif dan merasakan bahawa pekerjaan ini dihormati oleh orang lain. Disamping itu, merasakan bahawa pekerjaan guru boleh memberi sumbangan yang berfaedah, merasakan pekerjaan mencabar, sentiasa bersiap sedia, merasakan pekerjaan dipenuhi dengan tugas, dan dapat memberi satu kepuasan.

2.4.2.2 Gaji atau ganjaran

Gaji atau ganjaran merupakan suatu bentuk bayaran berkala dari seorang majikan pada pekerja yang dinyatakan dalam suatu kontrak kerja. Dari sudut pandang pelaksanaan perniagaan, gaji boleh dianggap sebagai bayaran yang diperlukan untuk mendapatkan sumber manusia untuk menjalankan operasi, dan kerana itu disebut dengan bayaran personel atau bayaran gaji. Dalam lingkup penjawat awam, gaji merupakan pengeluaran untuk pampasan yang perlu dibayar kepada pegawai kerajaan berupa gaji pokok ditambah dengan faedah-faedah yang sah yang berhak diterima oleh penerima gaji mengikut regulasi yang berlaku. Dalam kajian ini, gaji atau ganjaran merupakan insentif yang dibayarkan oleh pengurus atau kerajaan kepada guru selepas mengikuti suatu program pembelajaran berterusan seperti pelaksanaan latihan dalam perkhidmatan.

2.4.2.3 Prospek kenaikan pangkat

Kenaikan pangkat membawa maksud peningkatan secara hierarki dari satu gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat. Dalam konteks Indonesia, kenaikan pangkat merupakan penghargaan yang diberikan atas prestasi kerja dan pengabdian penjawat awam terhadap negara. Dalam hal ini, kerajaan telah menetapkan regulasi mengenai kenaikan pangkat guru yang meliputi: pertama, unsur pendidikan dengan mendapatkan gelaran akademik dan mengikuti pendidikan dan latihan profesional; kedua, melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran; ketiga, membuat kerja inovatif berupa penyelidikan, kerja saintifik, media pengajaran, modul, buku, atau kerja teknologi pendidikan yang nilai angka kreditnya disesuaikan; dan keempat, melakukan aktiviti sosial kemasyarakatan.

2.4.2.4 Penyeliaan kakitangan Institusi Latihan Perguruan

Penyeliaan kakitangan Institusi Latihan Perguruan (seperti pengetua, guru kanan, Guru Pelatih, atau Pendidik Guru) merupakan satu proses memerhati, membimbing dan memberi maklumbalas kepada aktiviti profesional oleh penyelia kepada guru. Ini merupakan cara yang dapat dilaksanakan untuk mempastikan keberkesanan perkhidmatan berkualiti. Penyeliaan kakitangan Institusi Latihan Perguruan bermakna memberi pimpinan kepada para guru untuk berkembang, meningkat, dan mencapai kesempurnaan dalam tugas mereka. Selain itu, penyeliaan kakitangan Institusi Latihan Perguruan sebagai satu usaha untuk mendorong, menyelaras, dan membimbing guru dalam hal pembelajaran supaya mereka lebih berusaha melakukan semua fungsi berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Keseluruhannya, staf profesional diamanahkan untuk melaksanakan tugas, aktiviti, dan tanggungjawab yang telah dirancang dan ditetapkan. Oleh itu, melakukan proses penyeliaan, guru dapat dibimbing, dibantu supaya lebih imaginatif, kreatif, dan inovatif untuk perkembangan kendiri ke arah peningkatan mutu pencapaiannya .

2.4.2.5 Rakan sekerja

Rakan sekerja merupakan rakan guru atau rakan profesional pendidikan dalam satu program pembelajaran guru atau rakan sekerja dalam satu sekolah. Penilaian rakan sekerja adalah satu kadar yang melibatkan guru untuk menilai rakannya mengenai kualiti pembelajaran mereka. Penilaian rakan sekerja memerlukan para guru untuk memberikan nilai atau maklumbalas kepada rakan mereka mengenai pencapaian berdasarkan satu ciri yang telah dibuat bersama mereka. Beberapa keuntungan penilaian rakan sekerja antaranya iaitu, (1) dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran, (2) dapat meningkatkan kerjasama belajar melalui maklumbalas dari rakan sekerja, dan (3) guru boleh memberi komen pada pencapaian dan prestasi kerja rakannya.