Ajaran Amali

Ajaran Amali

Para pendengar menghujani saya dengan soalan demi soalan. Jawapan- jawapan saya tidak memuaskan mereka sepenuhnya. Beberapa orang sahabat mengesyorkan agar saya merancangkan satu tindakan yang boleh meniadikan orang- orang yang didakwah itu Muslim sejati. Dengan demikian, mereka akan memiliki jiwa dan semangat Islam yang tulin. Kecintaan mereka kepada Islam telah mengukuhkan lagi keinginan mereka untuk mempelajari hukum-hukum Islam. Saya menasihati mereka supaya mencari tempat yang sesuai untuk tujuan itu. Mereka boleh berkumpul di tempat tersebut sebelum atau selepas ceramah di kedai kopi untuk sama sama mempelajari hukum hukum Islam secara mendalam. Mereka pun menemui satu sudut di sebuah bangunan yang boleh digunakan jika diperbaiki.

Syukur kepada Allah! Betapa suci dan bersihnya hati umat Muslimin ini! Betapa mudah sekali mereka tertarik dengan ketakwaan dan kebaikan. Yang mereka perlu ialah seorang pemimpin yang bertakwa dan ikhlas.

Para sahabat, termasuklah beberapa orang yang mahir di dalam kejuruteraan awam segera memperbaiki bangunan yang kami pilih untuk kegiatan kami. Mereka sendiri mencari dan mengumpul bahan yang perlu untuk memperbaiki rumah tersebut. Rumah siap diperbaiki di dalam tempoh dua malam dan kami pun mengadakan perjumpaan yang pertama di dalam rumah tersebut.

Orang-orang yang hadir di dalam perjumpaan itu terdiri dari muka muka baru di dalam kumpulan kami. Saya menggunakan cara yang betul-betul berbentuk amali dengan mereka ini. Saya tidak menggunakan ibarat-ibarat lagi. Saya juga tidak bersyarah mengenai masalah-masalah yang berkaitan dengan aliran-aliran fahaman (ideological problems). Saya membawa mereka ke pancur air dan menyuruh mereka duduk di dalam satu barisan. Saya berperanan sebagai guru mereka. Saya mengajar mereka cara-cara mengambil wudhuk (air sembahyang) dengan terperinci. Selepas kumpulan pertama habis mengambil wudu’, saya mengajar kumpulan kedua pula dan kemudian kumpulan ketiga dan begitulah seterusnya. Latihan amali begini membolehkan mereka memahami asas wuduk sepenuhnya. Lepas itu saya menerangkan pula faedah-faedah wuduk dari segi rohani, jasmani dan keduniaan (duniawi). Saya menyebut hadith-hadith yang berkaitan dengan wudu’ agar mereka berminat mencari ganjaran yang dijanjikan Allah. Di antara hadith-hadith yang saya sebut ialah:

i) Maksudnya:

“Barangsiapa menyempurnakan wudhu’nya maka terkeluarlah dosa-dosa daripada jasadnya walaupun yang terdapat di bawah kukunya (iaitu yang kecil sekali).”

ii) Maksudnya:

“Barangsiapa yang menyempurnakan wudhu’nya lalu bersembahyang dua rakaat dengan penuh perhatian akan dimasukkan ke dalam syurga,”

Beginilah caranya saya melatih saudara-saudara Islam saya untuk mencintai dan menjalani corak hidup Islam.

Selepas itu saya membawa mereka ke tempat solah dan memberi huraian terperinci mengenai solah. Saya menyuruh mereka bersolah di hadapan saya agar saya dapat melihat sebarang kesilapan yang mereka lakukan. Saya juga menerangkan kepentingan dan faedah solah. Saya memperingatkan mereka kepada hukuman yang bakal diterima oleh orang-orang yang lalai di dalam solahnya. Saya membaca berulang ulang kali surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek di hadapan setiap orang dari mereka. Kemudian saya pula mendengar setiap orang dari mereka membaca surah-surah tadi berulang kali dan memperbaiki mereka jika perlu. Saya menghadkan penyampaian saya kepada isi-isi yang boleh menimbulkan rasa takut dan harapan di dalam diri mereka. Dengan mereka ini, saya tidak menghuraikan segala permasalahan dengan secara terperinci. Mereka pun mula berminat kepada Islam kerana mereka telah memahami dengan jelas mengenainya. Pendekatan dari sudut fiqh semata-mata ini nampaknya tidak membosankan mereka.