Usaha Untuk Menggugat Perpaduan

Usaha Untuk Menggugat Perpaduan

Para penentang tadi mendapati diri mereka sudah jauh dari ahli Ikhwanul Muslimin. Mereka tidak boleh mencari jalan untuk berkomplot terhadap Ikhwanul Muslimin lagi. Oleh itu, mereka pun mula menyebar fitnah terhadap kami. Mereka menghantar surat-surat layang ke pejabat-pejabat kerajaan dari Kementerian Pelajaran ke Balai Polis dan Hakim Daerah. Anasir-anasir ini cuba bergaul dengan orang-orang berpengaruh Ikhwanul Muslimin dengan tujuan menyebarkan fitnah di kalangan mereka agar mereka menjauhkan diri dari pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Sasaran pertama mereka ialah Syeikh Muhammad Hussain Zamloot. Mereka memberitahunya, ‘Ikhwanul Muslimin ialah satu pertubuhan yang merbahaya. Jika awak tahu mengenai kegiatan sulitnya, awak akan menjauhkan diri dari mereka serta merta. Bahkan awak akan berusaha menyelamatkan nyawa awak. Kami ingin membawa perkara kegiatan mereka ini kepada Jabatan Kerajaan. Sebelum kami berbuat demikian, kami mahu awak tahu mengenai perkara ini agar awak dapat berhati-hati dan memutuskan hubungan awak dengan mereka. Adalah lebih baik jika awak mengumumkan pemberhentian awak dari menjadi ahli Ikhwanul Muslimin. Selepas itu, barulah kami memberitahu pihak berkuasa yang berkenaan mengenai kegiatan mereka yang merbahaya itu. Dengan cara ini, awak tidak akan terlibat dengan kegiatan mereka itu.’

Syeikh Muhammad Hussain Zamloot bertanya, ‘Awak yakinkah bahawa apa yang awak katakan itu benar?’ Mereka menjawab, ‘Kami yakin kami benar. Bahkan kami juga mengambil bahagian di dalam kegiatan sulit mereka.’ Syeikh Zamloot adalah seorang yang bijaksana dan berkemampuan. Dia memiliki iman yang teguh. Dia juga berani dan juga lantang ketika menyuarakan pendapat. Dia berkata kepada mereka, ‘Dalam hal ini, hanya dua penilaian saja yang ada kaitan dengan awak. Jika awak bercakap benar, ini bermakna awak telah berkhianat dan memecah amanah (pertubuhan). Jika awak berdusta, ini bermakna awak semua adalah pendusta. Dalam keadaan begini, bagaimana saya hendak menyebelahi atau menghormati awak? Sama ada awak adalah pendusta atau perampas hak, sila keluar dari sini kerana saya tidak mahu melihat muka awak lagi.’

Saya masih ingat lagi ketika Syeikh Muhammad Hussain Zamloot datang menemui saya di sekolah. Dia kelihatan sangat marah. Setelah meminta kebenaran Pengetua, dia pun membawa saya keluar dari bilik darjah. Perlahan-lahan kami pun keluar dari kawasan bandar. Dia pun mula menyoal saya mengenai kenyataan yang dia dengar dari beberapa penentang Ikhwan tadi. Dia memberitahu saya, ‘Awak kembali ke bandar serta merta. Jika apa yang mereka kata itu benar, awak seharusnya mengatur langkah-langkah untuk menyelamatkan diri awak. Andainya awak betul- betul menjalankan kegiatan sulit, awak perlu berjaga-jaga agar sesiapa pun tidak mengetahuinya. Jikalau rahsia kegiatan itu telah didedahkan, hendaklah awak membuat pengakuan tidak menjadi ahli Ikhwan lagi. Awak beritahu mereka bahawa Yang Di Pertua Ikhwan ialah Muhammad Aboo Hussain Zamloot.’

‘Saudara ku, awak masih muda. Awak ada masa depan untuk difikirkan. Lagi pun awak adalah kakitangan kerajaan. Pihak kerajaan mungkin mendatangkan kesusahan kepada awak. Awak adalah tetamu di bandar kami. Awak telah menjalankan usaha kerana Allah. Awak layak menerima penghargaan dan kesyukuran.’

Saya terus mendengar kata-katanya yang sangat menarik itu. Kemudian saya berkata kepadanya, ‘Tuan, bertenanglah, sesungguhnya apa yang sedang kami lakukan secara terang-terangan. Orang-orang tadi telah berdusta. Kegiatan mereka untuk menyusahkan perjuangan kita ini bukanlah perkara baru. Sebenarnya, mereka tahu awak telah dan sedang membelanjakan kekayaan awak untuk perjuangan kita ini. Mereka juga tahu awak adalah seorang yang berakhlak mulia di bandar ini. Oleh itu, langkah pertama mereka ialah menyekat Ikhwanul Muslimin dari menerima sokongan awak. Lepas itu, barulah mereka akan mencanangkan kepada umum bahawa Ikhwanul Muslimin itu merbahaya. Saya sangat berterima kasih kepada awak kerana telah memberi nasihat yang baik itu.’

Selepas perbualan tadi dia berkata, ‘Saya pernah dengar bapa saudara saya, Syeikh Eid berkata, ‘Saya berdo'a kepada Allah agar dia tidak mengambil nyawa saya sehingga saya dapat melihat undang-undang Islam ditegakkan dan negara Islam berjaya diwujudkan.’ Dia mati tanpa mencapai hasratnya itu. Saya juga ingin melihat Islam gemilang semula sebelum saya menemui maut. Tetapi saya rasa cita-cita ini terlalu jauh untuk dicapai kerana orang-orang Islam masih menganggap setitis darah mereka sebagai sesuatu yang sangat berharga. Selagi mereka beranggapan bahawa darah mereka sangat berharga, selagi itulah mereka tidak akan berjaya. Harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan kebebasan dan kemuliaan darah. Al Quran telah menyatakan hal ini di berbagai ayat. Sejarah hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat juga membuktikan hal ini. Bukankah begitu?’

Saya berkata kepadanya, “Ya, apa yang awak katakan itu memang benar. Tetapi saya ingin memperingatkan awak bahawa iman yang teguh saja yang dapat menentukan nilai darah yang dikorbankan. Darah yang mengalir kerana Allah akan mendatangkan ganjaran yang besar di Akhirat kelak. Lantaran itu, saya dapat melihat api iman sedang membakar hati-hati para penyembah Allah. Insya Allah, kumpulan ini akan menyebarkan cahaya Islam. Mereka ini sangat suka kepada setiap amalan yang baik (amal soleh). Semoga Allah memberi awak umur panjang agar awak dapat melihat kegemilangan Islam tertegak di seluruh dunia.”

Syeikh Zamloot membalas, ‘Tetapi kumpulan ini sangat kecil.’ Saya pun berkata, ‘Jumlahnya akan membesar di masa depan. Menurut Al Quran, kumpulan yang berpendirian tegas mendapat berkat dari Allah:

Maksudnya:

“Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata; ‘Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Al Baqarah: 249)

Syeikh Zamloot menjawab, ‘Semoga Allah melimpahi awak dengan segala yang baik. Kita yakin sepenuhya kepada Allah. Kita memohon dan berharap dari Nya.’ Kemudian dia menambah lagi, pihak pendakwa bertanya saya mengenai surat- surat yang dihantar oleh penentang tadi. Saya menasihatinya supaya melemparkan surat-surat itu ke dalam tong sampah. Jika aduan mereka itu benar, mereka sepatutnya menulis nama serta alamat mereka dan berani menghadapi kenyataan:’ Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Syeikh Zamloot.