Kenangan di Madrasatur Rasyad ad-Deeniyah

Kenangan di Madrasatur Rasyad ad-Deeniyah

Pemilik dan mudir Madrasatur-Rasyad-ad-Deeniyah ialah Syeikh Muhammad Zahran. Beliau adalah seorang ulama yang wara, bertakwa dan cerdik. Sepanjang hayatnya, ia berusaha menyebarkan ilmu pelajaran dan pendidikan di merata-rata tempat. Sistem pengajarannya tidaklah sampai ke tahap (martabat) ulamak yang resmi. Kecerdikan dan kesungguhannya itu telah dapat mengatasi mereka yang lain di segi pengetahuan dan pengalaman.

Beliau menyusun kuliah kuliah pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di masjid masjid untuk kaum lelaki dan di rumah rumah untuk kaum wanita. Pada tahun 1915, beliau mengasaskan Madrasatur-Rasyad-ad-Deeniyah untuk faedah pendidikan para pemuda. Sekolah ini diasaskan menurut corak sekolah-sekolah yang wujud di kampong-kampung. Sekolah-sekolah ini ditadbir atas pembiayaan sumbangan derma dari rakyat. Namun begitu, sekolah Syeikh Muhammad Zahran mempunyai mutu pengajian yang setaraf dengan pusat-pusat pengajian bermutu yang lain. Madrasatur – Rasyad-ad-Deeniyah adalah pusat pengajian dan pendidikan (tarbiyyah).

Cara-cara mengajar dan menyusun pelajarannya sangat menarik. Pengajiannya dimasukkan pelajaran menghafal dan mentafsir hadith-hadith Rasulullah sebagai tambahan kepada pelajaran yang telah ada. Semua penuntut diwajibkan mempelajari satu hadith pada setiap hari Khamis. Hadith diterangkan secara meluas agar mereka dapat menanggap tujuan serta maksudnya. Para penuntut mempelajari hadith secara kumpulan dan dengan demikian mereka berupaya menghafal hadith itu. Mereka sentiasa mengulang kaji hadith yang dipelajari seminggu sebelum itu. Dengan cara ini, seorang penuntut boleh mempelajari jumlah hadith yang banyak sebelum tahun berakhir. Hadith-hadith yang saya pelajari ketika menuntut di Madrasatur-Rasyad-ad- Deeniyah masih segar dalam ingatan. Mata-mata pelajaran lain yang diajar ialah karang-mengarang, nahu, latihan amali, kajian kesusasteraan, latihan bacaan dan kajian sajak serta pepatah. Sekolah-sekolah jenis ini yang lain tidak mengajar mata- mata pelajaran tadi.

Cara Syeikh Muhammad Zahran mengajar dan mendidik adalah sangat berkesan dan begitu berhasil sekali. Walaupun beliau tidak pernah terlatih dalam ilmu psikologi atau menjalani latihan ilmu pendidikan, namun begitu beliau selalu berusaha menjalin hubungan yang selesa dengan para penuntutnya. Dia mengawasi para penuntutnya tanpa mereka merasa diawasi. Dia memberi galakan dan sokongan Cara Syeikh Muhammad Zahran mengajar dan mendidik adalah sangat berkesan dan begitu berhasil sekali. Walaupun beliau tidak pernah terlatih dalam ilmu psikologi atau menjalani latihan ilmu pendidikan, namun begitu beliau selalu berusaha menjalin hubungan yang selesa dengan para penuntutnya. Dia mengawasi para penuntutnya tanpa mereka merasa diawasi. Dia memberi galakan dan sokongan

Syeikh Muhammad Zahran juga adalah seorang ahli sajak. Beliau akan berdo’a untuk para penuntutnya yang baik atau pun dihadiahkannya sebuah sajak. Saya masih ingat satu sajak yang dihadiahkan kepada seorang penuntutnya. Penuntut tersebut telah menulis satu jawapan yang sangat disukainya. Syeikh itu pun menyuruh penuntut tadi menulis sajak berikut di akhir jawapannya yang berbunyi berikut:

‘Kau memberi jawapan yang baik. Jawapan mu menunjukkan kesempurnaan. Semoga Allah meredhai dan memberi petunjuk kepada mu.’

Kepada seorang penuntut lain yang memberi jawapan yang tidak memuaskan hatinya, dia menulis sajak berikut:

‘Duhai genggaman Allah, Percepatkan cengkaman-Mu terhadap lelaki ini.’

Sajak itu kemudian menjadi buah mulut dan penuntut tersebut pun digelar ‘Gharatullah’ sejak hari itu. Kami selalu mengusik penuntut tadi dengan gelaran tersebut. Syeikh Muhammad Zahran adalah seorang yang buta, namun begitu, aqalnya bersinar dengan kebijaksanaan dan keilmuan. Dia selalu. menyuruh para penuntutnya mencatit pelajaran yang diajarkannya secara lisan itu. Walaupun matanya buta, kefahamannya adalah lebih baik dari orang yang tidak buta tetapi ‘tidak boleh melihat’ (yakni tidak faham). Sesungguhnya penglihatan itu tidak buta tetapi yang buta itu ialah hati yang terletak di dalam dada.

Kini saya sedar bahawa hubungan rohani mendatangkan kesan yang positif antara para penuntut dan guru. Saya sangat sayang pada guru saya walaupun dia membuat saya bekerja keras. Syeikh Muhammad Zahran membina semangat saya. Dia mengajar saya bersikap suka belajar dan mengkaji. Kerap kali dia membawa saya ke perpustakaannya. Perpustakaannya mengandungi himpunan buku-buku yang sangat berfaedah. Sayalah yang memilih buku-buku yang dia perlukan dan membaca bahagian bahagian yang berkaitan dengan masalah yang sedang dikaji. Kadang kala beberapa orang ulama datang dan kami semua pun mengadakan perbincangan yang berfaedah. Saya selalu mengikuti perbincangan-perbincangan itu dengan penuh minat. Hubungan mesra dan rapat antara guru dan murid yang begini meninggalkan kesan yang begitu indah. Para guru dan penaung yang menitik beratkan hubungan begini ketika mendidik murid-murid akan memberi banyak kebaikan. Saya menuntut di sekolah ini dari umur lapan sehingga umur dua belas tahun.

Beberapa tahun kemudian, Syeikh Muhammad Zahran meninggalkan Madrasah tersebut kerana terlibat dalam kerja lain. Pengurusan sekolah itu diserahkan kepada satu Lembaga Pengurus yang baru. Malangnya lembaga pengurus yang baru ini tidaklah sebaik yang lama. Saya pun berdamping dengan guru-guru baru. Saya masih tidak menghafal keseluruhan kitab Al-Quran sedangkan ibu bapa ingin saya berbuat demikian. Namun begitu saya telah menghafal surah Al-Baqarah sehinggalah surah Al-Isra iaitu lebih kurang separuh dari kitab Al-Quran.

Pernah saya nyatakan kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak tahan lagi menuntut di sekolah tersebut dan ingin melanjutkan pengajian ke sekolah menengah. Waktu itu, sekolah menengah ditadbir menurut corak sekolah rendah. Perbezaannya ialah bahasa asing tidak diajar di sekolah rendah. Dimasukkan juga ilmu perundangan dan pertanian disamping meluaskan lagi pengajian agama dan bahasa kebangsaan.

Bapa saya menentang cadangan saya itu kerana dia ingin saya menjadi hafiz (penghafal al-Quran). Setelah saya berjanji akan menghafal Al-Quran di rumah barulah bapa saya memberi kebenaran. Minggu itu juga saya mendaftarkan diri ke sekolah menengah. Lepas kembali dari sekolah, saya belajar membaiki jam sehingga waktu Isya. Saya sangat gemar dengan kerja ini. Lepas solah Isya, saya mengulang kaji pelajaran sehingga waktu tidur. Selepas menunaikan solah subuh sehinggalah waktu hendak ke sekolah, saya menghafal Al-Quran.