Menentang Kemungkaran adalah tanda firasat
Menentang Kemungkaran adalah tanda firasat
Ada di kalangan da’i ini yang mempunyai kepandaian luar biasa. Formula yang dibuatnya membuktikan kesempurnaan dan ketajaman akalnya. Tetapi dia ini tenggelam dan tidak dikenali. Beliau bernama Abu Bakar bin Yasdainar
Rahimahullah. Pernah seseorang bertanya kepadanya: “Apakah itu firasat iman?” Dia menjawab:
“Pandangan orang yang soleh dengan kesolehan yang mengandungi cahaya ketakwaan, keimanan, hakikat dan kebenaran, dengan zuhud di dunia dan kecintaan terhadap hari akhirat. Pandangan ini menjadikan dia berani melawan kemungkaran dan orang yang melakukan kemungkaran.”
Perhatikanlah makna besar di dalam kata-kata yang ringkas ini. Beliau menjelaskan bahawasanya firasat itu ialah keyakinan sangat-sangat da’I itu
terhadap balasan Allah pada hari kiamat dan mengenali betapa rendahnya nilai kelazatan dan kesenangan dunia yang terbatas, terputus dan tertahan. Ini menyebabkan dia pun tampil mengubah kemungkaran dan berani menentang pelaku kemungkaran berbekalkan keyakinan ini.
Demi Allah, sesungguhnya itulah firasat yang tinggi yang menjadikan semua firasat yang lain menjadi kecil, sekalipun ianya benar. Perhatikan empat unsur yang mendorong pemiliknya untuk melaungkan suara kebenaran di
hadapan manusia.
1. Takwa, menyahut perintah Allah dan berhenti pada batas syubhat.
2. Iman, sehingga dengan keyakinan pada akhiratnya dia mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang mati hatinya.
3. Hakikat yang dihayati olehnya dalam realiti kehidupan, bukan keraguan dan khayalan dunia yang singkat dan fana.
4. Hati yang benar di dalam membuat andaian dan lidah yang benar di dalam
berkata-kata.
Perhatikanlah bagaimana halus dan syumulnya sasaran ingkaran beliau. Beliau tidak sekadar menentang kemungkaran semata-mata, bahkan beliau juga melawan orang yang melakukan kemungkaran kerana kemungkaran mereka.
Ertinya, beliau tidak menentang secara umum atau sembunyi-sembunyi. Tetapi ia menunjukkan tuduhan dengan telunjuknya kepada taghut. Dia meninggikan suara mendedahkan pekung kekufuran di hadapannya, menyebutkan nama, nombor dan alamatnya. Seterusnya dibuka baki lima jarinya untuk mengubah kemungkaran dengan tangannya, setelah ia menundingkannya dalam tuduhan.
Seterusnya perhatikanlah hubungan yang indah di antara mukadimah tersebut dari sudut kombinasi dan pengkhususan. Ini akan menunjukkan
kepada kita jalan untuk menjanakan tenaga Islam di dalam kehidupan manusia dan mengalirkannya dari sumber mata airnya untuk memuaskan dahaga orang yang sedang kehausan. Sesungguhnya itulah satu tenaga yang seimbang melalui gabungan beberapa tenaga.
Sesungguhnya itulah sumber tenaga umpama tenaga solar, haba dan tenaga elektrik dalam menjana kehidupan. Allah telah mencipta pelbagai sumber tenaga di alam ini. Allah juga yang menyediakan pakar-pakar
Matematik dan ahli Fizik yang menemui rahsia-rahsia kegunaan tenaga untuk berkhidmat kepada manusia. Begitu jugalah dengan penurunan Al-Quran.
Allah telah menurunkannya untuk menyempurnakan undang-undang alam dan memberi peluang kepada da’i untuk meneroka rahsia-rahsia dan al-Quran untuk kebaikan manusia.
Sebagaimana ahli Sains membuat kajian dan eksperimen di makmal untuk menterjemahkan hasil kajian mereka yang telah diformulakan di dalam satu
alat yang boleh digunakan, begitu jugalah ahli Fiqh dakwah seperti Abu Bakar bin Yazdainar. Mereka mengarahkan setiap gerakan Islam yang tersusun supaya menterjemahkan formula mereka kepada proses-proses pembetulan untuk menyelesaikan keadaan manusia yang kacau-bilau dan masalah mereka yang rumit.
Dari sini, jelaslah kepada kita betapa penting kajian di dalam fiqh dakwah dan segala apa yang dibangunkan di atasnya dalam bentuk perancangan haraki. Peranan fiqh dakwah selama-lamanya ialah menjelaskan ciri sebenar melalui kata-kata yang terang dan gerak kerja yang jelas.